B
eberapa tahun lalu, sewaktu Wan Salbiah Mior Yahya mencari ruang untuk memperbesarkan perniagaan pusat penjagaannya, dia ternampak sebuah hotel kosong, antara bangunan kosong di Seksyen 13, Shah Alam yang amat sesuai untuk keperluannya.
Akibat pandemik COVID-19, bangunan itu kosong sejak sekian lama, lokasi pun bagus dan mempunyai beberapa tingkat di samping ada tempat letak kereta yang luas.
Beliau yang juga pengasas Pusat Penjagaan Zara Aisyah berjumpa dengan pihak berkuasa tempatan, menyatakan minatnya, namun dia hampa. Baru-baru ini (tahun 2024), beliau memandu melalui kawasan hotel itu, ia masih kosong dan kelihatan begitu terbiar berbanding sebelumnya. Sudah tidak sesuai untuk digunakan.
“Sia-sia sungguh. Bangunan dibina ada tujuannya,” dia memberitahu Bernama. “(Penggunaan semula) bangunan terbiar boleh memberi banyak impak kepada komuniti atau masyarakat.”
Bagi Wan Salbiah, apa yang ada dalam fikirannya, bangunan kosong itu hendak digunakan sebagai pusat penjagaan warga emas iaitu yang berumur 65 tahun ke atas.
Sesuai sangat bangunan itu kerana selain lokasi, banyak bilik serta ruang yang luas, dan menukarkannya menjadi pusat penjagaan warga tua merupakan pilihan terbaik.
Tambahan, semua orang akan menjadi tua dan lambat laun akan memerlukan perkhidmatan seumpama itu. Malaysia yang akan mencapai status negara tua menjelang tahun 2044, mungkin juga awal daripada tahun itu, amat memerlukan pusat penjagaan orang tua
Bangunan bekas Hotel Carlton di Shah Alam telah kosong selama bertahun-tahun, salah satu mangsa sekatan COVID-19. --Nina Muslim/Bernama
Hotel yang menjadi sasaran beliau untuk digunakan sebagai pusat penjagaan itu, bukan satu-satunya bangunan kosong yang ada. Beliau memberitahu Bernama, terdapat sebuah lagi hotel berhampiran, yang baru sahaja ‘gulung tikar’.
“Saya buat tawaran (kepada pemilik). Bagi kami beli bangunan itu. Bagi saya tukar untuk menjadi pusat penjagaan warga tua,” katanya. Beliau menambah, setakat ini belum ada jawapan daripada pemilik berkenaan.
Setakat ini Wan Salbiah mungkin tidak berjaya membeli hotel tua itu untuk dijadikan pusat penjagaan warga emas, namun cubaan beliau itu menggambarkan keadaan terdesak sesetengah pihak untuk mencari ruang bagi memenuhi keperluan warga emas. Dengan negara yang semakin mempunyai ramai penduduk tua, pengendali pusat penjagaan dan beberapa pemaju hartanah kini menukar fokus untuk memenuhi permintaan menggunakan apa sahaja ruang yang ada. Ianya sama ada di dalam pasar raya kejiranan mahu pun hotel.
Persoalannya, apakah usaha itu mencukupi? Yang lebih penting, apakah ia sudah terlewat?
MENUJU NEGARA TUA
Malaysia sudah menjadi negara menua, memandangkan penduduk berusia mencapai 7 peratus pada tahun 2021 dan 7.4 peratus pada tahun 2023, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia. Kadar kelahiran negara jatuh di bawah paras penggantian sejak tahun 2013, yang mempercepatkan negara pantas menuju status negara tua.
Pada pengiraan terakhir, penduduk Malaysia berjumlah 34.1 juta, menjadikan penduduk tua anggaran seramai 2.5 juta dan semakin meningkat.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggolongkan negara-negara yang mempunyai penduduk tua sebanyak 14 peratus daripada jumlah populasi sebagai negara tua dan 20 peratus, sebagai negara ‘super-aged’.
Bank Dunia menekankan kepentingan membangunkan strategi untuk mempersiapkan menjadi negara tua.
Sebagai sebahagian daripada penyelesainnya adalah dengan mempunyai sebanyak mungkin pusat penjagaan orang tua, di sebalik jangkaan mengikut budaya yang anak-anak akan menjaga ibu bapa mereka yang sudah tua. Akibat pertambahan bilangan warga tua serta tuntutan kehidupan moden, besar kemungkinan keluarga tidak dapat menyediakan penjagaan jangka panjang untuk orang tua di rumah.
Besar kemungkinan, jangkaan anak-anak akan menjaga orang tua membuatkan tidak ada banyak pusat penjagaan warga emas untuk memenuhi permintaan, kata Delren Terrence Douglas, Presiden Persatuan Pengendali Jagaan Berkediaman Warga Emas SeMalaysia (AGECOPE).
“Hakikatnya, kita masih belum bersedia. Sesetengah majlis perbandaran tidak bersedia,” katanya.
Warga emas di sebuah kemudahan penjagaan warga tua. Malaysia, yang sudah menjadi negara menua, menuju ke status negara tua menjelang tahun 2044. Gambar hiasan. --fotoBERNAMA (2024) HAKCIPTA TERPELIHARA
Punca untuk kekurangan ini berbagai. Satu, kerenah birokrasi yang dihadapi oleh pengendali pusat penjagaan sewaktu mahu mendaftar dan mendapatkan lesen untuk pusat berkenaan, dan sama ada premis itu terletak di zon untuk pusat penjagaan warga tua. Menurut Douglas, keperluan yang tidak realistik serta kompleks adalah antara faktor yang menyebabkan pusat penjagaan yang berdaftar menjadi tidak berdaftar.
Satu lagi punca ialah sikap orang awam dalam soal mempunyai rumah orang tua di kejiranan mereka yang mana mereka menentang operasi yang sedemikian. Ini menyukarkan untuk membuka fasiliti itu, yang perlu hampir dengan hospital dan perkhidmatan perubatan.
“Di negara kita, masyarakat kita terdiri daripada NIMBYs – Not In My Backyard (bukan di belakang rumah saya). Semua mahu penjagaan untuk datuk nenek mereka tetapi tidak ada yang mahu fasiliti berkenaan di belakang rumah mereka,” kata James Tan, Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Suntrack Development. Beliau berurusan dengan hartanah yang diperlukan untuk penjagaan warga emas dan yang berusia di Malaysia.
Pada masa ini, terdapat sebanyak 433 pusat penjagaan orang tua yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Menurut AGECOPE dan pakar industri lain, dianggarkan terdapat lebih 1,600 pusat penjagaan orang tuan yang tidak berdaftar.
CEKAP MENGGUNAKAN RUANG
Satu lagi penyebab kekurangan itu ialah banyak syarikat pemaju perumahan tidak bersedia membina pusat kediaman warga emas di atas tanah yang tinggi nilainya, kecuali mereka mendapat pulangan daripada pelaburan itu. Kebanyakannya lebih berminat membina kondominium. Beberapa syarikat pemaju ada membina komuniti persaraan seakan pusat peranginan dengan pelbagai kemudahan, purata warga emas Malaysia tidak mampu membayar harga tinggi yang dikenakan.
Menurut Wan Salbiah, daripada hanya membina fasiliti baharu, fokus perlu diberi kepada menggunakan ruang yang sedia ada.
“Pembangunan baharu adalah baik tapi sepatutnya seimbanglah kan? Buat pembangunan baharu dan bangunan yang terbiar, kita ubah penggunaannya, ” katanya.
Apa yang mengecewakan Wan Salbiah ialah beliau maklum menukar ruang hotel yang kosong atau ‘sedang nazak’ sebagai pusat penjagaan warga emas bukanlah sesuatu yang tidak pernah didengar, atau pun perkara baharu.
Salah satu penukaran ruang hotel kepada kediaman dan fasiliti penjagaan warga emas ialah MiCasa Retirement and Recovery Village, dalam kawasan MiCasa Hotel and Suites, terletak berhampiran Menara Berkembar Petronas. Ia dimajukan oleh ReU Living, dan dibuka pada tahun 2022 di tengah-tengah penguatkuasaan sekatan COVID-19. Ia juga menyediakan perkhidmatan penjagaan harian untuk warga emas.
Ketua Pegawai Eksekutif ReU Living Anna Chew berkata, pihaknya terpaksa melalui banyak kesukaran untuk melaksanakan projek berkenaan dan ketika melalui proses mendapatkan kelulusan.
“Memang sukar kerana projek kami adalah yang pertama seumpamanya, dan (pihak berkuasa) tidak faham. Apabila mereka datang (untuk buat pemeriksaan) dan kami kata, ‘OK, di blok ini kami nak buat penjagaan warga emas,’ tiba-tiba mereka mempunyai pandangan yang lain dan kata ia tidak boleh diluluskan kerana orang tua semuanya berkerusi roda,” katanya.
“Tanggapan lazim bahawa semua orang tua menggunakan kerusi roda dan terlantar di katil.”
Beliau menambah, untuk mendapat kelulusan, pihaknya terpaksa membuat beberapa perubahan, seperti meluaskan pintu dan menambah papan tanda.
Warga emas menikmati makan tengah hari di MiCasa Retirement and Recovery Village. Sebelum dibuka pada tahun 2022, pengendali ReU Living telah menukar sebahagian daripada hotel tersebut, yang mengalami kadar penghunian rendah akibat sekatan COVID-19, untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan warga emas dan jagaan harian. --Nina Muslim/Bernama
DI MANA LAGI?
Sejak itu, ada pihak lain cuba untuk menukar hotel dan ruang lain di Kuala Lumpur dan di tempat lain, dan ada sedikit kejayaan. Bagaimanapun, untuk berjaya, bergantung kepada majlis perbandaran dan sejauh mana pihak berkenaan menyedari akan isu yang menyelubungi penuaan dan penjagaan warga emas.
Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Terence Tan memberitahu Bernama, mereka banyak menerima permohonan untuk menukar atau menggunakan semula bangunan kosong atau yang ‘hampir mati’ untuk dijadikan pusat penjagaan, dan menambah, hanya terdapat sedikit masalah daripada MBPJ untuk cuba berbuat demikian.
MBPJ membuat pelan bertindak untuk warga tua awal tahun ini.
Terence merujuk sebagai contoh, bangunan KWSP di Jalan Gasing di Petaling Jaya, yang akan dibuka semula sebagai fasiliti kediaman warga emas. Contoh lain yang berjaya termasuk penukaran hotel bajet, yang teruk terkesan sewaktu penutupan COVID-19, dijadikan pusat penjagaan ibu selepas bersalin.
Menurut beliau, sebab utama yang menghalang penukaran bangunan kosong atau ‘hampir mati’ menjadi pusat penjagaan ialah kesulitan dengan pemilikan hartanah itu.
“Banyak betul isu. Ada yang tak bernama, ada melibatkan urusan keluarga, perebutan melibatkan undang-undang, itu dan ini. Jadi untuk pengusaha perniagaan yang ingin mengambil bangunan terbiar dan membuat sedikit bayaran, mereka tak boleh bergerak, ” katanya.
“Saya memang ingin melihat bangunan terbiar dengan 20-30 bilik ditukar kepada kemudian kediaman warga emas.”
Beliau menambah, belum lagi terlambat untuk membuat persediaan untuk status negara tua selagi persediaan serius dimulakan segera.
Selain daripada hotel, sesetengah pengendali pusat penjagaan warga emas turut memberi tumpuan kepada medan beli-belah untuk membuka pusat penjagaan, terutamanya di kawasan kejiranan yang mempunyai banyak ruang dan tidak ramai pejalan kaki, berbanding medan beli-belah yang besar.
Pemilik bersama Amerin Mall Aaron Lim merancang untuk membuka pusat penjagaan dan pusat penjagaan harian untuk warga emas di Mall berkenaan. Menurut beliau, rancangannya adalah untuk mewujudkan pusat penjagaan harian hibrid dan pusat penjagaan warga emas, tempat yang membolehkan warga emas menghabiskan masa mereka dengan orang lain sementara anak mereka bekerja.
Beliau memberitahu Bernama, pusat berkenaan sedang melalui proses kelulusan daripada majlis perbandaran.
“Diharap kami akan dapat kelulusan menjelang September ini. Sekiranya dapat kelulusan, kami boleh mulakan kerja pengubahsuaian pada bulan Oktober,” katanya menambah, semua kerja itu dijangka siap dalam tempoh dua bulan untuk menyediakan kemudahan penjagaan bagi warga emas.
Menurut Lim, memandangkan Amerin Mall bersambung dengan kompleks pangsapuri yang mempunyai kemudahan kolam renang dan kawasan rekreasi, warga emas boleh menggunakan kemudahan berkenaan pada waktu tertentu.
Salah satu pemilik Amerin Mall, Aaron Lim, menunjukkan kemudahan yang boleh diakses oleh warga emas di pusat jagaan warga emas dan pusat jagaan harian warga tua hibrid yang dicadangkan. --fotoBERNAMA (2024) HAKCIPTA TERPELIHARA
James, yang juga bekas pengerusi Jawatankuasa Kecil Perkampungan Persaraan dan Warga Tua di bawah Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), menyifatkan pembukaan pusat penjagaan orang tua dan pusat penjagaan harian warga emas sebagai “terbaik.”
“Itu konsep yang baik sekali kerana ia membolehkan interaksi antara komuniti, anda tidak asingkan warga emas, membolehkan mereka aktif berjalan di sekitar Mall, melihat orang ramai, anak-anak muda dan lain-lain,” katanya menambah, Malaysia perlu mencontohi Kampung Admiralty di Singapura, konsep ruang kediaman pelbagai generasi, yang mempunyai pusat penjagaan warga emas berhampiran tadika dan banyak kawasan hijau.
Menukar penggunaan ruang yang ada secara cekap boleh mengurangkan kekurangan kemudahan untuk warga emas. Bagaimanapun, pakar berpendapat, satu cara terbaik untuk menangani kekurangan pusat penjagaan orang tua, mungkin semudah seperti memerlukan perubahan dibuat ke atas reka bentuk rumah di Malaysia, bagi membantu rakyat Malaysia menghabiskan sisa usia tua mereka di rumah sendiri dan hanya perlu pergi ke pusat penjagaan harian apabila memerlukan kemudahan itu.
“Fahamkan perkara ini, sesetengah orang diletakkan di pusat penjagaan kerana rumah mereka tidak sesuai untuk warga emas (seperti tandas Asia), ” kata James.
Oleh yang demikian, kata beliau, adalah penting untuk kediaman pelbagai generasi dan integrasi masyarakat menjadi sebahagian daripada strategi komuniti penuaan.
“Bina rumah yang sesuai untuk penuaan. Fikirkan kepentingan komuniti,” katanya.
Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff