Program "Sinar Di Sebalik Tirai Besi" Talian Hayat Kedua Banduan

M
uhammad Ali (bukan nama sebenar) tidak akan lupa satu malam pada Jun 2016 di Petaling Jaya, Selangor, yang berakhir dengan dirinya berada di sebalik tirai besi.

Ditangkap atas kesalahan mengedar dan salah guna dadah, dia yang ketika itu berusia 31 tahun, disabitkan dengan kesalahan menurut Seksyen 39a (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun.

"Jika ingin diungkapkan perasaan dari lubuk hati paling dalam, tidak pernah sehari pun hilang rasa kesal terlibat dengan najis dadah ini. Kalaulah dapat diundurkan masa, ingin saya katakan kepada diri saya bahawa semua tindakan ini hanyalah sia-sia dan tidak membawa sebarang makna,” kongsi lelaki itu ketika ditemui Bernama di Penjara Kajang, baru-baru ini.

Dua prospek Penjara Kajang yang ditembual BERNAMA menyatakan rasa bersyukur mereka kerana diberikan peluang terlibat dengan program SLDN berinsentif sebegini.

Sambil menyeka air mata, Muhammad Ali ketika mengimbas kembali kisahnya, berkata pada waktu itu dia menyara hidupnya serta ibu bapanya dengan bekerja sebagai tukang baiki pendingin hawa di Damansara.

“Pada asalnya saya hanya menagih dadah. Namun atas ajakan kawan yang menjanjikan kehidupan mewah, saya turut terlibat mengedar dalam jumlah kecil. Sebenarnya kegiatan kami telah lama diperhatikan oleh pihak berkuasa hinggalah pada malam berkenaan saya ditangkap oleh pihak polis,” katanya. 

Sesal kemudian tidak berguna, Muhammad Ali mengakui di peringkat awal bergelar  “penghuni” Penjara Kajang, dia hilang arah kerana berasakan hidupnya sudah berakhir dan tidak lagi mempunyai masa depan, lebih-lebih lagi apabila mengenangkan nasib kedua orang tuanya.

“Namun selepas beberapa lama, saya bertekad untuk berubah dan menjalani hukuman saya sebaik mungkin. Di penjara ada beberapa kegiatan untuk kami dan dari situlah saya tahu tentang program Sinar di Sebalik Tirai Besi ini,” katanya lagi.

Program Sinar di Sebalik Tirai Besi merupakan satu inisiatif baharu kerajaan yang digerakkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta Kementerian Dalam Negeri untuk banduan, dengan matlamat melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

 

TIDAK SIA-SIAKAN PELUANG

“Di bawah program ini, kami didedahkan kepada ilmu teori dan amali pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.  Antara aktiviti pembersihan yang perlu dilakukan ialah memotong rumput, pembersihan jalan dan longkang serta pembersihan sampah haram,” kata Muhammad Ali.

Peserta program akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Dua dan bakal diambil bekerja oleh syarikat konsesi apabila tamat tempoh hukuman penjara masing-masing.

“Sudah pasti kami menyambut baik inisiatif sebegini kerana kita semua tahu agak sukar untuk golongan seperti  kami ini diambil bekerja. Namun menerusi program ini kami juga dapat menjana pendapatan dan membantu keluarga,” ujarnya, menambah dia sendiri telah menerima surat tawaran bekerja sebagai operator pembersihan awam.  

Pada Jun lalu, lepasan program itu diraikan dalam majlis konvokesyen yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia, dan bagi Muhammad Ali, kenangan menyarung jubah konvokesyen tersebut akan kekal sebagai antara memori terindahnya.

Prospek perlu mempelajari latihan teori yang diajar pengajar SWTC dan latihan amali yang diberikan dan dipantau Wadar Penjara. Kredit gambar Jabatan Penjara Malaysia.

Turut berkongsi kegembiraan, Rajasamy (bukan nama sebenar) berkata program itu membuka matanya tentang pekerjaan dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

"Program ini menyedarkan saya bahawa tugas pembersihan ini merupakan satu tugas yang cukup mulia. Dulu saya selalu mengejek pekerja pembersihan. Bila difikirkan kembali, betapa buruknya layanan saya terhadap mereka ketika itu dan saya berasa amat kesal,” luahnya.

Berusia 31 tahun, bekas kelindan lori itu sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabitkan kesalahan membawa senjata berbahaya di tempat awam menurut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 pada 2021.

Menghitung hari pembebasannya tidak lama lagi, Rajasamy berkata ibunya amat gembira melihat perubahan dirinya sekarang yang bukan sahaja menjadi insan lebih baik tetapi juga berdisiplin. 

 

TINGKAT KEMAHIRAN 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman berkata kerjasama antara pihaknya dan Jabatan Penjara bermula pada Julai 2022.

“SWCorp menawarkan program Pensijilan Kemahiran Malaysia menerusi Pusat Latihan Solid Waste Training Centre (SWTC) sejak 2019 dan bekerjasama dengan pihak penjara untuk menjadikan bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam sebagai antara program latihan buat  ‘prospek’ (banduan berpotensi) mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman

“Program sebegini cukup penting agar kita dapat membantu lebih ramai prospek penjara menjalani kehidupan yang lebih baik apabila mereka selesai menjalani hukuman mereka,” katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, sebanyak 17 institusi penjara terlibat dalam program itu dengan pengambilan sesi pertama Jun 2023 menyaksikan 280 perantis didaftarkan.

Daripada jumlah itu, seramai 258 orang berjaya menamatkan latihan selama lapan bulan tersebut dan menerima SKM Tahap Dua. Bagi pengambilan kedua pada September ini, seramai 275 perantis telah didaftarkan.

Katanya, SWCorp menyasarkan untuk melatih 1,000 perantis menjelang 2030.

Beliau berkata antara cabaran utama yang dihadapi oleh tenaga pengajar ialah memahamkan perantis tentang cara kerja, Petunjuk Prestasi Utama dan etika keselamatan.

 

PEMBEKAL TENAGA KERJA 

Ahmad Husaini berkata kos latihan tersebut dibiayai menerusi dana yang diperuntukkan oleh kerajaan, dan sepanjang lapan bulan mengikuti program, perantis turut menerima insentif bulanan sebanyak RM500. 

"Setelah tamat latihan, setiap perantis akan menerima wang tunai berjumlah RM4,000. Sudah tentu wang ini dapat membantu mereka dan ahli keluarga masing-masing, khususnya bagi mereka yang kurang berkemampuan.

"Daripada 258 perantis yang berjaya menamatkan latihan baru-baru ini, seramai 137 orang telahpun ditawarkan pekerjaan di syarikat konsesi SWCorp setelah lulus proses temu duga dan memenuhi syarat parol ditetapkan Jabatan Penjara,” katanya, menambah perantis bagaimanapun bebas untuk bekerja dengan mana-mana syarikat yang mereka inginkan.

Mengulas lanjut, beliau berkata program itu berpotensi tinggi untuk menjadi pembekal sumber tenaga manusia secara konsisten kepada industri pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

"Saya katakan demikian kerana realiti industri pembersihan awam di tujuh negeri menyaksikan jumlah pekerja asing yang agak tinggi, iaitu 8,910 orang ataupun 30 peratus daripada keseluruhan 27,345 pekerja di seluruh negara.

“Kewujudan program sebegini mampu meningkatkan lagi penyertaan warga tempatan dalam bidang yang disifatkan sebagai sukar, berbahaya dan kotor atau 3D,” katanya yang percaya sistem itu boleh ditambah baik menerusi program parol.

“Syarikat boleh mengikat kontrak dengan prospek sepanjang tempoh parol sebelum mereka diserap sebagai pekerja tetap selepas tempoh parol tamat,” jelasnya, menambah langkah itu juga dapat menangani masalah kadar pusing ganti tenaga kerja yang dihadapi oleh syarikat konsesi.

Program ini juga tercatat dalam Malaysia Book of Records sebagai The First Government Agency To Provide Solid Waste and Public Cleansing Management National Dual Training System.

Mengulas lanjut, beliau berkata syarikat itu komited dalam memenuhi sasaran kerajaan untuk mencapai 35 peratus tenaga kerja mahir warga tempatan menjelang 2030.

 

TAPISAN KETAT

Sementara itu, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan & Koreksional) Jabatan Penjara Malaysia  Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata pihaknya melakukan tapisan ketat sebelum seseorang prospek dibenarkan menyertai program anjuran 36 Badan Peneraju Industri (ILB) termasuk SWCorp, di dalam institusi penjara. 

Jelas beliau, antara syarat pemilihan ialah prospek bukan pesalah jenayah berat seperti merompak, berumur bawah 50 tahun, ada kemahiran asas membaca, menulis dan mengira, lulus ujian psikometrik serta Ujian Kecergasan Jasmani Kebangsaan.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan & Koreksional) Jabatan Penjara Malaysia Datuk Abdul Aziz Abdul Razak (kiri, berbaju uniform hitam)

"Tapisan ketat ini perlu agar dapat memberi keyakinan kepada syarikat konsesi untuk mengambil prospek bekerja kelak. Kalau boleh, kita ingin pertingkatkan semua jenis kemahiran yang diperlukan industri kerana kita ada kira-kira 28,000 banduan berpotensi dijadikan tenaga kerja dan mereka juga berpeluang besar dibebaskan awal,” katanya.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 85,000 banduan sedang menjalani hukuman penjara di negara ini.

“Antara peranan institusi penjara ialah melengkapi mereka dengan ilmu yang diperlukan, kerana kita lihat masih wujud stigma terhadap banduan, sedangkan Jabatan Penjara amat menitikberatkan program berbentuk pemulihan dan koreksional, agar mereka dapat diterima bekerja dan menjalani kehidupan biasa dalam masyarakat,” sambungnya.

Ulas beliau lagi, langkah itu juga sejajar dengan pendekatan baharu Jabatan Penjara, iaitu “pulih dan rawat", berbanding pendekatan sebelum ini, “tahan dan hukum". 

“Kerajaan mahu kami laksanakan pendekatan holistik yang mampu memulihkan prospek dari segi mental, fizikal dan sahsiah selain melengkapkan mereka dengan kemahiran tertentu yang boleh dimanfaatkan untuk mencari kerja,” jelas beliau.

Malah katanya, inisiatif sedemikian juga berjaya mengurangkan kesesakan di dalam penjara seperti yang dapat dilihat di negara maju.

Mengulas tentang kelebihan mengikuti program latihan sedemikian, beliau berkata selain menerima sijil, prospek berkelayakan turut dikurniakan parol dan pembebasan awal jika ILB dan syarikat konsesi berpuas hati dengan prestasi kerja mereka.

“Setakat ini kita dapati semua prospek kita amat berdisiplin dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh penganjur program,” katanya, menambah mereka yang didapati terbabit salah laku ketika latihan akan diberikan amaran selain perintah parol ditarik balik dan mereka dihantar kembali ke penjara. 

Katanya, selain program kerjasama dengan ILB, Jabatan Penjara juga melaksanakan program Peluang Kedua Anda (PEKA) yang dijalankan dengan industri pembinaan.

"Justeru, pihak industri tidak boleh memandang rendah kebolehan prospek yang kita ada, kerana kita telah bekalkan mereka dengan pelbagai kemahiran termasuk mengendalikan jentera dan mesin.  Oleh itu, Jabatan Penjara berharap dapat menarik lebih banyak kerjasama strategik dengan pelbagai pemain industri untuk menjadikan prospek kita sebagai pekerja mahir mereka," katanya.

Menurut beliau, program-program yang dijalankan jabatan itu juga berjaya memulihkan banduan kerana insiden pengulangan kes jenayah selepas dibebaskan cuma kira-kira 0.4 peratus.

“Kami juga berharap bekas banduan dapat menggunakan ilmu yang diberikan menerusi program ini untuk menjana pendapatan, dan seterusnya meningkatkan imej bekas banduan selepas keluar penjara,” tambah beliau.

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.