Irwann Cheng Bakal Sahut Cabaran Yokohama HRCS 2024 Dengan Jentera Canggih

R
asa tercabar apabila jentera majikannya yang dipamerkan di acara tahunan Yokohama Hot Rod Custom Show (HRCS), Yokohama, Jepun, kurang diberi perhatian oleh pengunjung, seorang anak muda bertekad untuk kembali ke pameran itu dengan jentera lebih canggih rekaannya sendiri.

Lapan tahun berlalu, impian Mohamad Irwann Mohd Azlan, 33, bakal menjadi realiti pada Disember ini selepas beliau terpilih mewakili Malaysia ke edisi ke-32 pameran itu, menyusuli kemenangannya di pameran Art of Speed (AOS) Malaysia 2024 pada penghujung Julai lepas.  

Anak jati Batu Gajah ini dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan AOS Invitational Bike Build Off 2024 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang, Selangor, menerusi jentera ciptaannya RXZ Twin Boss V2.

Mesra disapa Irwann Cheng, pemilik bengkel motosikal buatan khas FNG Works di sini, berkata pengalaman di HRCS pada 2016 selaku wakil majikannya ketika itu, mendorong beliau meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agar dapat membina jentera yang mampu membuatkan peminat terpaku.

Irwann Cheng bergambar bersama hadiah yang dimenanginya di AOS 2024 ketika ditemubual Bernama baru-baru ini.

"Agak terkilan pada masa itu kerana pengunjung kurang beri perhatian pada jentera kami, mungkin di mata mereka jentera dari negara lain lebih baik.

"Saya mahu buktikan ciptaan anak Malaysia setanding negara lain. Saya berikrar, jika diberi peluang, (saya mahu buat) pengunjung teruja sampai bertinggung memerhati hasil rekaan kita dan bukan sekadar melintas sahaja,” katanya ketika ditemui Bernama di bengkelnya baru-baru ini. 

 

ENJIN BUATAN KHAS

Bercerita tentang jentera buatannya itu, Mohamad Irwann berkata beliau mengambil masa kira-kira lima bulan untuk menyiapkan jentera tersebut yang merupakan motosikal dibina semula, menggunakan dua buah enjin motosikal Yamaha RXZ.

“Sebenarnya, enjin ini yang saya tambah baik daripada versi pertama. Sebelum ini, AOS minta saya bina sebuah jentera dengan dua enjin unik untuk dijadikan hadiah cabutan bertuah. Mereka bagi modal dan saya dapat siapkan jentera itu menggunakan dua enjin Yamaha RXZ.

Beliau akan mewakili Malaysia di 32nd Annual Yokohama Hot Rod Custom Show di Yokohama, Jepun Disember depan.

“Namun, untuk jentera itu, enjin tersebut masing-masing saya letakkan di depan dan belakang motosikal. Dari situ, timbul idea untuk gabungkan kedua-dua enjin menjadi satu, beroperasi sepenuhnya sebagai satu blok enjin seperti yang dikeluarkan oleh kilang,” kongsinya.

Kata beliau, proses membina enjin tersebut mencabar kemahirannya yang terlibat dalam kerja pembikinan enjin sejak 2009.    

“Proses itu amat kompleks dan melibatkan banyak aspek teknikal. Cuma, yang boleh saya katakan ialah biasanya satu enjin motosikal kita hanya guna satu omboh, tetapi untuk enjin ini ada dua omboh yang bergerak serentak.

"Alhamdulillah, hasil daripada kajian serta rujukan banyak pihak, saya berjaya gabungkan dua enjin pada satu aci engkol bagi menghasilkan RXZ Twin Boss V2 ini,” ujarnya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal daripada Universiti Teknologi Mara, kampus Shah Alam, Selangor.  

 

JUAL MOTOR

Bercerita lanjut, lelaki ini berkata beliau membelanjakan sekitar RM25,000 untuk membina jentera berkenaan.

"Penganjur AOS menghubungi saya bertanyakan sama ada saya mahu menyertai pertandingan AOS Malaysia 2024. Ketika itu saya langsung tidak ada modal dan terpaksa menjual motosikal. Saya tahu, inilah peluang untuk saya kembali ke (HRCS) Jepun sebab penganjur beritahu pemenang akan ditaja penginapan dan logistik, termasuk kos pengangkutan pergi-balik jentera.

Beliau mengambil masa kira-kira lima bulan untuk menyiapkan jentera tersebut yang merupakan motosikal dibina semula, menggunakan dua buah enjin motosikal Yamaha RXZ.

“Jika saya tidak ambil peluang ini maka impian akan berkubur,” sambungnya, menambah hasil bantuan keluarga, rakan-rakan dan syarikat permotoran, beliau berjaya membina jentera tersebut.

Jelasnya, pembinaan jentera itu menelan belanja yang tinggi kerana beliau melakukan pelbagai kajian dan ujian bagi memastikan enjin yang akan dibinanya bukan sahaja berfungsi dengan baik tetapi juga lain daripada yang lain.

“Saya kaji semua perkara sampai skru setiap jentera yang pernah menang anugerah di HRCS pun saya teliti kerana saya nak bina enjin yang benar-benar unik,” ujarnya.

 

BERMULA SECARA KECIL-KECILAN

Mengimbas penglibatannya dalam bidang itu, Mohamad Irwann yang bekerja sepenuh masa sebagai eksekutif operasi di sebuah pusat beli-belah di sini, berkata beliau mula berkecimpung dalam pembuatan enjin serta jentera buatan khas pada 2009 secara kecil-kecilan.  

Beliau kemudian bekerja dengan syarikat pembuat jentera Beautiful Machines di ibu negara, sebelum membuka bengkel sendiri FNG Works pada 2018. 

Menurutnya, beliau mula terbabit dalam AOS Malaysia selaku kru acara pada 2015 sebelum diminta membina motosikal serta kereta buatan khas untuk organisasi itu bermula  2017.

Beliau yang menjadi peserta buat pertama kali pada 2022 dan memenangi lima anugerah, bagaimanapun tidak menyertai AOS Malaysia 2023, sebelum kembali pada tahun ini dan muncul pemenang keseluruhan.

Berkongsi nilai-nilai yang menyumbang kepada pencapaiannya itu, Mohamad Irwann berkata adalah penting untuk terus mencabar diri sendiri serta bersiap sedia menyesuaikan diri dengan budaya dan persekitaran kerja yang berbeza.

Bagaimanapun kata beliau, sokongan orang sekeliling juga tidak kurang pentingnya, terutama daripada ahli keluarga. 

"Orang yang paling banyak berkorban ialah isteri saya, Haslinda Arof, 32, dan anak saya Thufeil Umar, 5, kerana sepanjang tempoh saya menyiapkan jentera ini boleh katakan saya hanya bertemu mereka 15 minit sahaja setiap hari. Malah, keadaan ini juga bukan sesuatu yang mudah bagi saya. 

"Selain itu, saya juga menerima sokongan daripada banyak pihak lain, baik dari segi kewangan, barangan, peralatan dan lain-lain lagi yang menyumbang tenaga serta kudrat untuk menyiapkan jentera ini," katanya. 

Menutup bicara, beliau berharap kisahnya itu akan membuka mata banyak pihak, khususnya dalam bidang jentera buatan khas, kerana industri tersebut masih dipandang sepi walaupun Malaysia mempunyai banyak pembina yang boleh bersaing di pentas antarabangsa. 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.