Agenda MSNR Lonjak Industri Getah Negara, Perkasa Pekebun Kecil

S
atu ketika dahulu, jenaka seorang menteri bahawa penoreh getah bercanda di balik pokok ala filem Hindustan dan bukannya menoreh, melukakan hati golongan tersebut yang pada ketika itu berdepan masalah dapur tidak berasap lantaran harga getah merudum.

Keadaan mereka bertambah sukar ketika musim tengkujuh kerana apabila hujan bererti mereka tidak dapat menoreh, justeru mewajarkan permintaan mereka agar kerajaan menimbang pemberian insentif demi kelangsungan hidup mereka. Susulan insiden itu, si menteri bukan sahaja meminta maaf tetapi turut membuka mata pihak berwajib tentang perlunya nasib penoreh dan pekebun kecil getah dibela.

Kini, selepas lebih dua dekad insiden di Dewan Negara itu berlaku, kerajaan telah melaksanakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sejak 2015 dan juga bantuan musim tengkujuh (BMT) kepada golongan ini, khususnya pekebun kecil, memberikan sedikit kelegaan kepada mereka.

Realitinya juga, industri getah negara yang sudah berusia lebih seabad dan pernah menjadi tulang belakang ekonomi negara, masih menjadi sumber pendapatan utama golongan pekebun kecil khususnya, dan mereka bertuah kerana di belakang mereka ada Lembaga Getah Malaysia (LGM) yang komited untuk terus membangunkan sektor ini.

 

PRODUK MAMPAN BERDAYA SAING

Di sebalik pelbagai cabaran termasuk persaingan daripada tanaman komoditi lain, industri getah terus relevan dengan mencatatkan pertumbuhan eksport purata sebanyak 5.8 peratus dari 1990 hingga 2023.

Bukan itu sahaja, nilai eksport industri getah negara bagi tahun 2023 menunjukkan industri ini kekal menjadi penyumbang ekonomi penting bagi Malaysia dengan sumbangan pendapatan (termasuk kayu getah) sebanyak RM37.2 bilion.

Nilai eksport industri getah negara bagi tahun 2023 menunjukkan industri ini kekal menjadi penyumbang ekonomi penting bagi Malaysia dengan sumbangan pendapatan (termasuk kayu getah) sebanyak RM37.2 bilion.

Namun begitu, peredaran zaman tidak terkecuali menuntut industri ini berubah. Lebih-lebih lagi dengan isu alam sekitar yang semakin mendapat perhatian negara pengeksport, belum lagi diambil kira persaingan getah sintetik atau tiruan yang lebih murah dan adakala mempunyai kualiti hampir setanding getah asli.

LGM sebagai agensi yang bertanggungjawab mengawal selia industri getah melalui pengeluaran lesen dan permit kepada penggiat industri selaras dengan Akta Lembaga Getah Malaysia (Perbadanan) 1996 (Akta 551) dan Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014, turut mengkaji dan menambah baik dasar, peraturan dan prosedur berkaitan.

Langkah ini selaras dengan pelaksanaan dasar liberalisasi pelesenan dan permit yang berkuatkuasa 1 Januari 2020 yang bukan sahaja bertujuan memantapkan tadbir urus dan pematuhan peraturan, tetapi juga memudahkan urusan perniagaan dan mengurangkan birokrasi sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam arena getah global.

LGM yang diterajui Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah melaksanakan beberapa inisiatif pembangunan mampan merentasi sektor huluan (pengeluaran), pertengahan (pemprosesan) dan hiliran (pembuatan/ pengilangan) bagi memastikan industri getah negara dapat memenuhi keperluan antarabangsa selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) 2030.

Menurut Ketua Pengarahnya Datuk Dr Zairossani Mohd Nor, antara inisiatif tersebut ialah membangunkan agenda nasional Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) yang bakal dilancarkan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani, pada 7 Oktober nanti di Baling, Kedah.

“MSNR merupakan pengiktirafan secara kawal selia dan penguatkuasaan yang diberikan kepada pemegang lesen dan permit LGM yang bertujuan memastikan getah yang dihasilkan dapat memasuki pasaran dunia sebagai produk mampan yang berdaya saing.

“Sejak 1 Julai lepas, LGM giat menjalankan pemeriksaan pematuhan MSNR terhadap pekebun kecil getah dan pemegang lesen LGM melalui kaedah bancian bersemuka serta pengumpulan maklumat lokasi kebun dan premis. 

“Penguatkuasaan MSNR akan bermula 1 Januari 2025 dengan pemegang lesen dan permit LGM akan dikenakan syarat iaitu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) MSNR sekiranya ingin mendapatkan pengiktirafan MSNR daripada LGM,” katanya kepada Bernama dalam temubual eksklusif baru-baru ini.

 

LIMA PRINSIP MSNR

Mengulas lanjut Zairossani berkata terdapat lima prinsip dalam MSNR iaitu; Tiada Penyahhutanan Untuk Penanaman Getah, Penanaman Getah Berpandukan Kanun Tanah Negara, Kemampanan Alam Sekitar, Pematuhan Sosial dan Kebolehkesanan Rantaian Bekalan.

Prinsip pertama iaitu Tiada Penyahhutanan untuk Penanaman Getah merujuk kepada, penanaman getah baharu hendaklah dielakkan daripada dibangunkan di kawasan hutan selepas 31 Disember 2020.

Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM) Datuk Dr Zairossani Mohd Nor.

Beliau berkata, pengurusan, perancangan, perlindungan dan pembangunan kawasan hutan adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan ia adalah selaras dengan Dasar Perhutanan Malaysia, Dasar Perhutanan Negara 1992 dan Akta Perhutanan Negara 1984.

“Bagi prinsip kedua iaitu Penanaman Getah Berpandukan Kanun Tanah Negara bermaksud tiada penerokaan tanah secara haram dibuat untuk penanaman getah.

“Pemilik ladang getah perlu mempunyai dokumen pemilikan tanah yang sah di sisi undang-undang atau yang diiktiraf oleh pihak berkuasa berwajib sebagaimana yang disahkan di dalam sistem Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) yang dikeluarkan oleh LGM kepada pekebun kecil getah.

“Begitu juga dengan pengusaha, mereka perlu mempunyai dokumen kebenaran yang sah daripada pemilik tanah bagi mengusahakan sesebuah ladang getah,” katanya menambah penerokaan tanah secara haram tertakluk di bawah peruntukan Seksyen 425, Kanun Tanah Negara 1965.

Zairossani berkata, prinsip ketiga iaitu Kemampanan Alam Sekitar merujuk kepada tiada pembukaan kawasan penanaman getah baharu di kawasan tanah gambut selepas 31 Disember 2020 kerana pelepasan gas rumah hijau (GHG) berlaku paling tinggi semasa tempoh pembukaan tanah gambut.

Katanya, GHG yang dilepaskan semasa pembukaan tanah gambut boleh memudaratkan alam sekitar dan akan mengakibatkan pemanasan global seterusnya menyumbang kepada perubahan iklim.

Di samping itu juga, penanaman pokok getah perlu mengambil kira keperluan mewujudkan zon penampan (kawasan hijau yang bebas daripada sebarang aktiviti manusia) dan melaksanakan Amalan Pertanian Baik (GAP) yang dibangunkan oleh LGM.

“Prinsip keempat iaitu Pematuhan Sosial menerapkan tiga elemen iaitu tiada eksploitasi buruh kanak-kanak yang bekerja di ladang getah atau premis kilang getah; pekerja asing yang bekerja di ladang atau premis kilang hendaklah mempunyai permit kerja yang sah dan majikan yang menyediakan kemudahan penginapan kepada pekerja hendaklah mengikut syarat minimum standard kemudahan tersebut.

“Mengikut peruntukan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 (Akta 350) serta Konvensyen Umur Minimum Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 1973, tiada eksploitasi buruh kanak-kanak boleh dilakukan di mana-mana premis tempat bekerja termasuk kawasan ladang getah.

“Mengikut Akta 350, kanak-kanak ditakrifkan sebagai mereka yang belum mencapai umur 15 tahun, manakala orang muda ditakrifkan sebagai mereka yang berumur 15 tahun dan lebih tetapi belum mencapai umur 18 tahun. Kanak-kanak dibenarkan untuk melakukan kerja ringan yang sesuai dengan kapasitinya dalam perusahaan keluarganya dengan syarat telah berumur 13 tahun dan ke atas,” katanya.

Bagi prinsip kelima MSNR iaitu Kebolehkesanan Rantaian Bekalan, Zairossani berkata ia merujuk kepada kemampuan untuk mengesan asal-usul, proses, pergerakan dan pemantauan bahan atau produk sepanjang rantaian bekalan daripada perolehan bahan mentah hingga penggunaan atau pelupusan akhir. 

“Prinsip ini membolehkan penggiat industri termasuk pengguna, pihak berkuasa terlibat dan pengusaha mendapatkan maklumat terperinci berhubung asal-usul, kaedah pengeluaran dan impak alam sekitar, ekonomi atau sosial berkaitan sesuatu produk,” katanya menambah, antara isu utama yang dihadapi dalam industri getah di peringkat global ialah kekurangan elemen kebolehkesanan bahan mentah.

 

MANFAAT PEKEBUN KECIL GETAH

Menyifatkan MSNR mampu mengubah landskap industri getah negara dengan memberikan tumpuan kepada penghasilan getah berkualiti tinggi yang memenuhi piawaian antarabangsa, Zairossani berkata, pekebun kecil getah berpeluang menikmati pelbagai manfaat terutama dari aspek peningkatan sumber pendapatan.

Agenda nasional Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) pada masa sama turut memperkasa pekebun kecil dengan memberikan mereka akses kepada pasaran yang lebih luas dan harga getah yang lebih baik.

“Tidak dinafikan terdapat banyak isu melibatkan pekebun kecil getah antaranya harga getah yang rendah di pasaran. Kita ada ramai pekebun kecil tetapi ramai yang tidak menoreh (getah) atas faktor harga tadi yang dirasakan tidak berbaloi dengan susah payah mereka. 

“Kebanyakan penoreh getah tidak kiralah pemilik ladang ataupun pengusaha (yang menoreh di ladang pemilik dengan kebenaran) yang ada pada hari ini pun adalah mereka yang berumur lebih 50 tahun atau golongan veteran. Ada juga yang menoreh sebagai alternatif kepada sumber pendapatan utama mereka. Jadi bila harga getah rendah, mereka tak menorehlah,” katanya menambah setakat ini terdapat 239,000 pekebun kecil getah yang aktif.

Beliau berkata, fokus MSNR terhadap pengeluaran getah yang bukan sahaja berkualiti tinggi, lebih kompetitif di pasaran antarabangsa bahkan memenuhi keperluan industri global seterusnya membuka peluang kepada pekebun kecil untuk mendapatkan harga yang lebih baik.

“Pematuhan terhadap piawaian antarabangsa membantu menstabilkan harga getah di pasaran global. Dengan harga yang lebih stabil dan tinggi, pekebun kecil boleh merancang kewangan mereka dengan lebih baik, menambah nilai kepada hasil mereka dan menikmati pendapatan yang lebih konsisten.

“Secara keseluruhannya, MSNR bukan sahaja berfungsi untuk meningkatkan kualiti getah negara tetapi pada masa sama memperkasa pekebun kecil dengan memberikan mereka akses kepada pasaran yang lebih luas dan harga yang lebih baik.

“Pekebun kecil akan mendapat manfaat daripada latihan, pemeriksaan dan bimbingan yang disediakan oleh LGM untuk membantu mereka mematuhi MSNR, termasuk melalui kaedah bancian dan pengumpulan maklumat,” katanya.

 

EUDR CABARAN ATAU PELUANG?

Zairossani pada masa sama menyentuh mengenai Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR)- perjuangan global menentang penebangan hutan dan degradasi hutan dengan menangani kedua-dua penebangan hutan yang sah dan haram.

EUDR bertindak balas kepada komitmen yang dibuat oleh masyarakat antarabangsa untuk menamatkan penebangan hutan.

Pelaksanaan agenda nasional Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) peluang kepada negara memperjuangkan kos kemampanan getah asli yang perlu dibayar oleh pembeli atau pengimport selaras dengan usaha pematuhan kemampanan dan kebolehkesanan getah asli termasuk pematuhan Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

“Berdasarkan peraturan EUDR, produk yang dihasilkan mestilah dari kawasan yang bebas daripada penebangan hutan iaitu sebelum 31 Disember 2020. Ini bermakna, getah asli tidak boleh memasuki pasaran Kesatuan Eropah (EU) jika pengeluarannya adalah dari kawasan penebangan hutan selepas tarikh tersebut,” katanya menambah ketetapan itu selari dengan prinsip MSNR.

Menyifatkan pelaksanaan MSNR penting bagi mengekalkan penguasaan pasaran Malaysia sebanyak 10 peratus dengan nilai eksport getah asli ke Kesatuan Eropah (EU) sebanyak RM636.81 juta pada tahun 2023, manakala penguasaan pasaran produk getah di EU sebanyak 16 peratus iaitu RM3.235 bilion pada tahun yang sama.

Beliau berkata, destinasi utama pasaran eksport getah asli negara pada tahun 2023 adalah China (68%) diikuti EU (10%) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) (6%).

“Trend penggunaan produk getah pada masa kini menunjukkan permintaan yang tinggi terhadap barangan getah yang dihasilkan secara mampan. Keperluan terhadap pematuhan kemampanan adalah amat kritikal terutamanya dalam memenuhi syarat-syarat untuk dieksport ke luar negara. Sehubungan itu, inisiatif MSNR adalah sebagai persediaan bagi memenuhi keperluan ini.

“Pelaksanaan MSNR peluang kepada negara memperjuangkan kos kemampanan getah asli yang perlu dibayar oleh pembeli atau pengimport selaras dengan usaha pematuhan kemampanan dan kebolehkesanan getah asli termasuk pematuhan EUDR.

“KPK dan LGM sentiasa komited dalam merangka dasar dan strategi serta memberi keutamaan dalam pelaksanaan program flagship berimpak tinggi untuk meningkatkan daya saing industri getah negara bagi memenuhi keperluan dan permintaan pasaran antarabangsa, membuktikan kemampanan getah asli Malaysia, memastikan pengeluar getah asli Malaysia terus diterima di pasaran global serta pada masa sama membela nasib pekebun kecil getah,” katanya.

Beliau menambah, di peringkat antarabangsa, Malaysia akan terus meningkatkan kerjasama dengan negara-negara pengeluar utama getah di bawah platform International Tripartite Rubber Council (ITRC) dan The Association of Natural Rubber Producing Countries (ANRPC) bagi memastikan kedua-dua elemen kos pengeluaran dan kemampanan diambil kira dalam perdagangan getah.

 

RUANGAN SISI

LGM ditubuhkan pada tahun 1998, hasil gabungan tiga agensi utama yang bertanggungjawab bagi industri getah Malaysia iaitu Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM), Lembaga Penyelidikan dan Kemajuan Getah Malaysia (MRRDB) dan Lembaga Pasaran dan Pelesenan Getah Malaysia (MRELB).

Lembaga Getah Malaysia (LGM) giat menjalankan pemeriksaan pematuhan agenda nasional Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) terhadap pekebun kecil getah dan pemegang lesen LGM melalui kaedah bancian bersemuka serta pengumpulan maklumat lokasi kebun dan premis.

LGM berperanan memajukan dan mengekalkan kebolehupayaan industri getah melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D), sokongan khidmat teknikal dan bukan teknikal serta fungsi pengawalseliaan yang merangkumi sektor huluan (pengeluaran), pertengahan (pemprosesan) dan hiliran (pembuatan/ pengilangan).

Lebih membanggakan, penyelidikan getah Malaysia akan mencapai 100 tahun pada tahun 2025.

Industri getah negara terus diberi sokongan melalui pelbagai inisiatif termasuk beberapa dasar kerajaan seperti Strategi Lembaga Getah Malaysia (LGM) 2021- 2025, Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

LGM mempunyai sistem kebolehkesanan yang komprehensif di peringkat huluan, pertengahan dan hiliran yang bakal melonjakkan Malaysia sebagai peneraju dalam penghasilan getah asli dan produk getah mampan dunia melalui platform Sistem MSNR Trace yang diintegrasikan dengan sistem dalam talian sedia ada seperti PAT-G, RRIMniaga™, RRIMestet, e-Rubber Processor (e-RP) dan e-Rubber Product Manufacturer (e-RM).

Pemegang lesen dan permit LGM diwajibkan mengguna pakai sistem-sistem tersebut bagi mencapai objektif kebolehkesanan rantaian bekalan getah, selaras dengan syarat lesen yang dikenakan di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014.

Walaupun pelaksanaan kawal selia MSNR akan dijalankan di Semenanjung Malaysia, LGM berharap ia turut diguna pakai oleh pihak berkuasa di Sabah dan Sarawak bagi memastikan keseragaman pelaksanaan agenda nasional secara menyeluruh.

Pelaksanaan Program Kawal Selia MSNR menuntut kerjasama semua pihak terlibat terutama penggiat industri getah melalui promosi dan kempen, memastikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap negeri memantau premis yang dilesenkan mengamal dan mematuhi prinsip kemampanan serta menjalin kerjasama dari segi perkongsian data dan integrasi sistem berkaitan.

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.