&
quot;广州欢迎您" atau "Welcome to Guangzhou" perkataan pertama yang penulis lihat ketika keluar daripada perut kapal China Southern Airlines selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun, Guangzhou pukul 12:55 pagi (waktu tempatan), 19 Ogos lepas.
Ketibaan rombongan 11 wakil media Sabah di ibu kota wilayah Guangdong itu terlewat daripada jadual asal apabila penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu yang sepatutnya berlepas pada pukul 7:20 malam ditunda ke 9:40 malam, berikutan cuaca buruk di Guangzhou.
Pegawai Kementerian Luar China di Guangzhou, Huang Huang dan pemandu pelancong Alan Lou yang menunggu ketibaan media memaklumkan hujan turun sejak tengah hari tanpa henti di metropolis itu.
Kami kemudiannya menaiki bas untuk ke hotel dan sepanjang perjalanan hujan sangat lebat dan kami akhirnya tiba di hotel sekitar pukul 4:00 pagi.
Kunjungan kami ke China selama enam hari itu adalah atas jemputan Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu untuk melawat Guangzhou, salah sebuah bandar utama di Kawasan Greater Bay Area Guangdong-Hong Kong-Macao dan dan Guilin di wilayah Guangxi.
Antara itinerari atau jadual perjalanan kami ialah lawatan ke ibu pejabat WeChat, syarikat iFLYTEK iaitu syarikat yang dikenali dengan teknologi kecerdasan buatan (AI), Menara Canton, Muzium Guangdong, Elephant Trunk Hill, Guilin Museum dan menaiki kapal persiaran di Sungai Li.
JALUR GEMILANG
Disebabkan kami hanya sampai di hotel pada awal pagi, atur cara kami untuk juga dilewatkan. Sepatutnya kami dibawa ke iFLYTEK pada sebelah pagi tetapi Alan yang memahami keletihan kami, membenarkan kami berehat. Penulis pula tidak melepas peluang untuk ‘meronda’ sekitar kawasan hotel.
Hujan yang lebat dan kemudiannya menjadi renyai-renyai gagal menurunkan suhu yang direkodkan antara 27-31 darjah Celsius, sekalipun baru pukul 10 pagi, kerana ketika itu China yang merupakan negara empat musim sedang mengalami musim panas.
Di sebuah pasar raya kelihatan Jalur Gemilang bersaiz kecil disusun berselang-seli dengan bendera China dan dipasang di bahagian atas pameran bahagian jualan buah-buahan dan kek bulan, sementara di sebuah premis lain, terdapat pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk durian, tembikai, bayam, timun, sawi dan jagung.
Jalan raya juga semakin sibuk apabila penduduk tempatan mula keluar, melakukan rutin harian. Satu perkara yang menarik ialah pengangkutan utama mereka iaitu skuter elektrik yang beroda kecil dan tanpa bunyi, sama ada yang disewa ataupun milik persendirian.
Lewat pukul 2 petang, kami memulakan itinerari dengan lawatan ke syarikat iFLYTEK dan semasa di dalam bas, Alan menerangkan bahawa kami berada di daerah Tianhe iaitu salah satu daripada 11 daerah di Guangzhou.
Di daerah Tianhe atau dikenali Sky River, katanya, terdapat Sungai Mutiara (Pearl River) yang panjangnya 2,214 kilometer, iaitu sungai ketiga terpanjang di China selepas Sungai Yangtze dan Sungai Kuning.
"Sewaktu musim hujan, tidak selamat untuk melakukan sebarang kegiatan sungai. Dan di Guangzhou, seperti yang anda boleh lihat, kebanyakan orang menggunakan basikal elektrik kerana ia amat sesuai. Jumlah penduduk di sini (daerah Tianhei) seramai kira-kira 20 juta orang," kata Alan.
BAYAR GUNA TAPAK TANGAN
Di syarikat iFLYTEK, kami mendengar penerangan yang disampaikan oleh seorang penterjemah mengenai peralatan gajet yang dibangunkan oleh syarikat itu pada tahun 1999, melibatkan seramai 18 guru dan pelajar daripada Universiti Sains dan Teknologi China.
Antara teknologi AI yang terdapat di syarikat itu ialah iFLYTEK Smart Translator yang boleh menterjemah lebih 60 bahasa dengan ketepatan sehingga 98 peratus, skrin yang boleh menterjemah, robot bermain catur dan papan lukis yang boleh mengubah lukisan dua dimensi kepada tiga dimensi (3D).
Setelah hampir sejam di situ, kami kemudian bergerak ke WeChat atau Weixin. Perjalanan mengambil masa hanya 15 minit, dan ketibaan kami disambut mesra oleh kakitangan aplikasi buatan China itu sebelum diberi taklimat mengenai sejarah dan perkembangan WeChat.
Menurut jurucakap WeChat, aplikasi itu boleh menggunakan tapak tangan untuk membuat pembayaran tetapi hanya boleh digunakan dipremis yang memasang mesin penghubung kepada akaun pengguna.
Kami turut diberi tunjuk ajar cara menggunakan program e-dagang iaitu memesan minuman melalui aplikasi berkenaan di kiosk yang terdapat di kawasan itu.
Sehingga kini, jumlah pengguna aplikasi itu diseluruh dunia mencecah sehingga 1.3 bilion dan dalam tempoh 433 hari sahaja, WeChat mampu mencapai seramai 100 juta pengguna, namun kaedah pembayaran menggunakan aplikasi itu hanya boleh digunakan di China sahaja.
'TENGGELAM’ DI BEIJING ROAD
Kami kemudian meneruskan perjalanan ke Beijing Road, kira-kira sejam perjalanan dari WeChat. Tidak ada perbezaan waktu antara Malaysia dan China, namun sekiranya suhu pada pukul 6 petang di tanah air sudah berkurang panasnya, di sini lain ceritanya.
Ribuan manusia yang membanjiri Beijing Road sepanjang satu kilometer itu menambahkan lagi rasa panas.
Kawasan ini antaranya menempatkan pusat beli-belah, pelbagai restoran dan kafe, yang menjadi tarikan pelancong. Di sini juga terdapat tinggalan Dinasti Song 960-1279 dan Dinasti Ming 1368-1644 dalam bentuk lorong dan tapak bangunan purba. Menariknya, tinggalan sejarah ini dikekalkan bawah tanah seakan parit besar, dengan bahagian atas ditutupi kaca lut sinar bagi membolehkan orang ramai yang lalu-lalang melihatnya.
Di persimpangan Beijing Road pula terdapat skrin besar yang memaparkan video 3D, antaranya seekor gajah bersama-sama anaknya, yang seolah-olah berjalan keluar daripada skrin. Seperti hidup. Sungguh hebat!
MENARA CANTON
Pada keesokan hari, kami dibawa ke Menara Canton, menara tertinggi di China dengan ketinggian 600 meter (m). Ia adalah ketiga tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa, Dubai (828m) dan Tokyo Sky Tree (634m). Lawatan itu memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi penulis yang pertama kali melawat China.
Menurut Alan, untuk sampai ke tingkat tujuh menara itu hanya mengambil masa 90 saat sahaja dengan menaiki lif dan memberikan pandangan 360 darjah pemandangan daerah Tianhe. Namun sebelum dibenarkan naik, semua peralatan elektronik perlu melalui mesin pengimbas dan diperiksa oleh kakitangan menara itu.
"Dari sini (sambil menunjukkan peta) dan dari atas (tingkat 7), kita boleh melihat stadium untuk upacara pembukaan serta penutup Sukan Asia ke-16 yang berlangsung di Guangzhou, China pada tahun 2010. Bentuk stadium itu seakan sebuah bot atau feri. Kini ia digunakan untuk konsert atau kegiatan lain dan orang ramai masih boleh mengunjunginya," katanya ketika kami meninjau Menara Canton.
Dari atas, boleh dilihat dengan jelas Sungai Mutiara serta jambatan yang menjadi penghubung antara dua kawasan daerah Tianhe. Di tebing sungai kelihatan bangunan-bangunan tinggi dibina yang menempatkan hotel-hotel serta pusat beli-belah moden.
Menara Canton yang dibuka pada 1 Oktober 2010 dan menjadi kebanggaan Guangzhou, terletak di bandar baharu Ghuangzhou. Untuk ke situ, perjalanan akan melintasi Sungai Mutiara dan bangunannya menghadap Pulau Haixinsha dan Bandar Baru Zhujiang.
Di menara itu terdapat kafe, peta, teropong, sementara bahagian bawah iaitu Plaza Canton menempatkan beberapa buah kedai menjual cenderamata. Pameran lukisan menghiasi sepanjang laluan keluar dan masuk ke menara itu.
MUZIUM GUANGDONG
Seterusnya kami dibawa ke Muzium Guangdong. Di situ, beg-beg perlu melalui mesin pengimbas, proses yang pertama kali dilihat oleh penulis di sebuah muzium, namun ia menunjukkan bahawa pihak muzium mementingkan keselamatan pengunjung.
Apa tidaknya, muzium setinggi empat tingkat dengan keluasan pembinaan kira-kira 67,000 meter persegi pada ketika itu dipenuhi oleh pengunjung terdiri daripada golongan remaja dan ibu bapa yang masing-masing membawa anak.
Media dibekalkan dengan fon kepala yang membantu menerangkan dalam bahasa Inggeris tentang sejarah setiap artifak yang terdapat di muzium berkenaan. Dengan hanya berdiri berdekatan artifak itu, secara automatik alat itu akan berfungsi.
Antara artifak yang dipamerkan termasuk batu-batu jed berwarna hijau dan putih, daun-daun herba dan perubatan China, bot naga dan objek ikan paus seolah-olah di dasar laut tergantung di siling.
Konsep reka bentuk luaran Muzium Guangdong diperolehi daripada kotak lakuer zaman purba, sementara konsep space atau ruang, mengambil ilham sebuah bola yang diperbuat daripada ivory, sejenis kraftangan Guangdong. Namun idea keseluruhan adalah ‘bekas yang dipenuhi harta karun di atas riben hijau.
Muzium Guangdong ini yang juga antara kumpulan pertama muzium kelas pertama dan mercu tanda penting pelancongan budaya di Kawasan Greater Bay dan mempunyai koleksi lebih daripada 320,000 barangan (set) pameran.
Dengan berakhirnya lawatan ke muzium berkenaan, kami menamatkan lawatan di Guangzhou dan bertolak ke Guilin, sebuah bandar yang terkenal dengan pemandangan semula jadi yang menakjubkan di wilayah Guangxi, China, dengan menaiki kereta api.
Sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China, Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu menganjurkan lawatan warga media Sabah ke Guangzhou di Guandong dan Guilin di Guangxi.
Artikel pertama daripada laporan tiga bahagian ini adalah mengenai lawatan itu daripada perspektif wakil Bernama.
Disunting dan diterjemah oleh Melati Mohd Ariff