Guilin Bandar ''Penyejuk Mata' Pikat Ramai Pelancong Malaysia

J
arak antara Guangzhou dan Guilin ialah sekitar 295 kilometer, namun dengan menaiki kereta api berkelajuan tinggi sehingga 350 kilometer sejam, perjalanan ke destinasi itu hanya mengambil masa kira-kira dua jam.

Saya dan 10 orang wakil media lain sudah siap berkumpul di Guangzhou South Railway Station untuk menaiki kereta api ke Guilin, yang dijadual berlepas pada pukul 3:55 petang.

Guangzhou South Railway sangat besar seolah-olah masuk ke lapangan terbang dan untuk masuk ke dalam stesen itu, kami terpaksa berjalan kaki hampir 10 minit dari kawasan letak kereta kerana bas tidak dibenarkan menurunkan penumpang di pintu masuk stesen berkenaan.

Kami kemudiannya naik ke tingkat atas bangunan stesen itu dan perlu melepasi pemeriksaan keselamatan sebelum dibenarkan memasuki ruang menunggu yang kelihatan penuh sesak.

Sebelum berlepas, sekali lagi setiap penumpang perlu mengimbas pasport masing-masing (termasuk rakyat China) pada mesin khas tetapi bagi wakil media, kami perlu melakukan secara manual melalui kakitangan yang bertugas dipintu masuk.

Laluan Ghuangzhou Guilin High Speed Train yang kami naiki itu menghubungkan 12 buah stesen, antaranya Foshan West, Sanshui South, Hezhou, Gongcheng dan Yangshuo. 

Dari tingkap kaca kereta api, saya dapat melihat kawasan menjalankan aktiviti pertanian sejauh mata memandang, turut kelihatan petak-petak ditakungi air, kolam, kincir angin selain kawasan pembinaan.

Sesekali kereta api memasuki terowong yang gelap dan apabila keluar kelihatan binaan rumah bertingkat, bersaiz kecil, cat rumah tidak berwarna warni dan berlatar belakangkan bukit bukau.

Ketibaan kami di stesen terakhir, Guilin West Railway Station, disambut tiga orang pegawai wanita dari Kementerian Luar China iaitu Roy Shawn, 24, Li Qinyi, 30 dan Chen Bilan, 38.

Meskipun hari menjelang senja, sepanjang perjalanan ke hotel yang mengambil masa sekitar 45 minit, Guillin yang paling gah dengan gunung dan gua batu kapurnya, mempamerkan keindahan landskapnya, termasuk bukit seperti tiang batu berdiri antara satu sama lain.

Dengan pemandangan memukau itulah, menurut Chen, ramai pelancong Malaysia memilih ke Guilin, bandar penuh bersejarah yang terletak di selatan China. Untuk enam bulan pertama tahun ini (2024), lebih 50,000 orang rakyat negara ini berkunjung ke Guilin.

"Diharapkan lebih ramai pelancong dari Malaysia terutamanya dari Sabah akan datang ke Guilin memandangkan rancangan untuk menjadikan Guilin sebagai Bandar Kembar dengan Kota Kinabalu. 

"Keseluruhan penduduk Guilin seramai kira-kira 5.4 juta dan di pusat bandar, penduduknya seramai 900,000. Terdapat beberapa aktiviti utama di sini termasuk sektor organik serta farmasi di Guilin dan tidak dibenarkan membina rumah yang lebih tinggi daripada bukit," kata Chen.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christine Liew dipetik berkata, rancangan mewujudkan ‘Bandar Kembar’ (Guilin dan Kota Kinabalu) adalah usaha yang baik untuk mempromosi keunikan Sabah.

Menurut Liew, meskipun China adalah sebuah negara yang besar dengan banyak wilayah tetapi berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang Negeri Di bawah Bayu ini dan mahu menghantar pelajar mereka mempelajari kebudayaan Sabah.

“Sebagai Menteri Pelancongan, secara peribadi saya menyokong penuh program ‘Bandar Kembar’ ini,” kata Liew.

 

GUILIN MILIKI LANDSKAP ‘TERMAHAL’

Guilin terletak di wilayah Guangxi sangat popular dan terkenal kerana pemandangan semula jadinya yang menakjubkan, bentuk muka bumi yang unik kerana proses pembentukan batuan yang dikenali sebagai Karst.

Ia dikelilingi banyak bukit batu kapur yang unik, air sungai yang jernih seperti Sungai Li, gua dan mempunyai jalan berusia jutaan tahun malah turut kaya dengan sejarah dan budaya mereka. Guilin turut menjadi tempat persinggahan sebelum pelancong bergerak ke Yangshuo serta kawasan lain yang berdekatan.

Pada malamnya, penulis bersama rakan wartawan See Hua Daily News Teo Jinn Jiun, 34, menyelusuri pasar malam di Zhengyang Road yang berusia ribuan tahun.

Hampir 30 minit berjalan, kami tiba di kawasan Menara Xiaoyao dan sepanjang menuju ke menara itu terdapat beberapa monumen dan patung pembesar daripada zaman Tang Dinasti malah kami turut menemui tembok dan pintu gerbang kota purba di luar istana, Jingjiang Princes Palace.

Di kawasan Menara Xiaoyao, kelihatan ramai pengunjung wanita memperagakan pakaian tradisional yang disewa khas daripada butik yang terdapat di situ, kemudiannya bergambar dengan berlatarbelakangkan Menara Xiaoyao yang sangat menyerlah dengan warna lampu kekuningan.

Terdapat juga sebuah laluan pejalan kaki yang terbahagi kepada beberapa bahagian, antaranya menonjolkan budaya tradisional dengan bangunan lama, kawasan rehat, restoran, panggung wayang, gerai jualan cenderamata, pasar malam dan kedai pakaian.

Manakala di laluan bawah tanah pula terdapat pusat beli-belah termasuk butik, restoran serta hiburan dan ia juga digunakan sebagai jejantas. Waktu operasi perniagaan juga sama seperti di Malaysia dan menjelang pukul 10 malam, semua pusat beli-belah ditutup, hanya tinggal beberapa peniaga sahaja yang masih berniaga.

Di laluan bawah tanah ini juga pengunjung boleh membeli durian, makanan, aiskrim, rantai kunci dan kasut. Ada juga kedai yang membuat barangan daripada tanah liat.

 

ELEPHANT TRUNK HILL

Pada keesokan hari, kami dijadualkan ke Elephant Trunk Hill. Sebelum bertolak, Chen dengan nada berseloroh meminta wakil media memakai tali pinggang semasa berada di dalam bas. Selain mengeluarkan bunyi amaran yang sangat kuat, penumpang juga boleh dikenakan saman pihak berkuasa jika ingkar kepada arahan tersebut.

Hakikatnya, kerusi tempat duduk penumpang tu akan berbunyi kalau penumpang tidak mengenakan tali pinggang dan bunyinya semacam siren, memang membingitkan telinga.

Kami tiba sekitar pukul 8:30 pagi di kawasan Elephant Trunk Hill yang terletak di daerah Xiangshan, namun cuaca di Guilin terasa sangat panas.

Dari tebing Sungai Li, bukit itu (Elephant Trunk Hill) memang kelihatan seolah-olah seperti seekor gajah sedang minum air di sungai berkenaan kerana mempunyai bentuk kepala, belalai dan bahagian belakang gajah.

"Selamat datang ke Guilin. Inilah Elephant Trunk Hill, simbol bandar Guilin. Boleh lihat bentuknya seperti seekor gajah sedang minum air dari Sungai Li," kata Shawn yang menterjemahkan penerangan yang disampaikan oleh kakitangan pusat pelancongan itu.

Dengan jadual yang sangat padat, wakil media Sabah kemudian dibawa ke Jingjiang Princes Palace iaitu kediaman seramai 14 putera semasa zaman Dinasti Ming antara tahun 1368 – 1644. Ia meliputi kawasan seluas hampir 200,000 kilometer persegi.

Hari ini, istana berkenaan adalah sebahagian daripada kampus Guangxi Normal University dan sebagai tarikan pelancong.

Semasa Dinasti Qing (1644 – 1912), tempat itu diubah menjadi ‘Guangxi Examination House’, digunakan sebagai dewan peperiksaan akhir untuk mereka (lelaki sahaja) sebelum dilantik menjadi pegawai kerajaan.

 

MEDIA ‘DUDUKI’ PEPERIKSAAN

Dalam keadaan hujan lebat, wakil media diberi peluang untuk merasai pengalaman mengambil peperiksaan dengan menjawab kertas soalan yang diberikan dan duduk di sebuah ruangan kecil.

Kemudian kami dibawa ke sebuah bilik, setiap seorang diberi sehelai kertas yang dimasukkan dalam pencetak yang mempunyai ukiran dalam tulisan Chinese yang bermaksud ‘Fu’ sebelum disapu dengan serbuk warna merah menggunakan kain sutera.

Secara tradisionalnya, inskripsi berwarna Guilin melibatkan tiga peringkat iaitu membersihkan perkakas, penggunaan kertas dan mewarna.

Menurut masyarakat China, kraftangan perkataan ‘Fu’ membawa makna sebagai berkat serta kemakmuran dan kami dibenarkan membawa pulang kertas berkenaan.

Selesai menduduki ‘peperiksaan’, kami bergerak ke Reed Flute Cave atau dikenali sebagai ‘Istana Seni Semula Jadi’ yang terbentuk terbentuk melalui proses stalagmit dan stalaktit sejak 180 juta tahun lalu.

Masuk ke dalam gua itu seperti berada di alam fantasi kerana terdapat pelbagai bentuk batuan yang terhasil daripada proses stalaktit dan stalagmit yang menjadikan tiang batu, tirai batu, burung, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan bentuk manusia yang hiasi dengan lampu berwarna-warni.

Batuan itu diberikan nama, antaranya seperti ‘pines in the snow’, ‘snowman’, ‘transparent rock’, ‘a mushroom hill’, ‘dragon pagoda’, ‘sky-scraping twin’, ‘virgin forests’ dan ‘red curtain’. Setiap bentuk mempunyai kisahnya yang tersendiri.

Terdapat sebanyak 77 inskripsi puisi dan ‘travelog’ di dalam gua itu, yang menunjukkan betapa popularnya gua berkenaan semasa zaman purba. Yang tertua boleh dikesan dihasilkan sewaktu Dinasti Tang (792 AD) .

Dengan suhu 17 hingga 19 darjah selsius, suasana agak gelap dan pemandu pelancong menggunakan lampu suluh apabila menunjukkan setiap satu bentuk dalam gua berkenaan.

Red Flute Cave yang terletak lima kilometer ke barat laut pusat bandar Guilin, dengan kedalaman 250 meter dan 500 meter panjang, kelihatan begitu indah, diserikan dengan pencahayaan berwarna-warni.

Pelancong masuk ke dalam gua dan kemudiannya mengikuti laluan berbentuk U untuk membolehkan  mereka menghayati pelbagai tarikan.

Kami beruntung kerana turut berpeluang menikmati lagu gunung - lagu tradisional dalam bahasa China di panggil 山(mountain)歌(song) - yang disampaikan oleh kakitangan pusat pelancongan berkenaan sebelum keluar daripada gua itu.

 

Disunting dan diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

 

Sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China, Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu menganjurkan lawatan warga media Sabah ke Guangzhou di Guandong dan Guilin di Guangxi.

Artikel kedua daripada laporan tiga bahagian ini adalah mengenai lawatan itu daripada perspektif wakil Bernama.

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.