Malaysia Harus Manfaatkan COP16 Untuk Ketengah Usaha Pemuliharaan Biodiversitinya- Pakar

S
etiap dua tahun, pemimpin dunia akan berhimpun bagi membincangkan jalan dan kaedah memelihara biodiversiti serta membalikkan kemerosotan alam semula jadi yang berlaku.

Tahun ini, mesyuarat ke-16 Persidangan Pihak-pihak (COP16) Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) diadakan di Cali, Columbia dan telah berlangsung sejak 21 Okt lalu hingga 1 Nov ini, dengan kehadiran kira-kira 23,000 perwakilan daripada 196 negara termasuk Malaysia.

Delegasi Malaysia yang diketuai oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, merangkumi 18 wakil termasuk daripada Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia, Jabatan Biokeselamatan, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Pusat Biodiversiti Sabah dan Perbadanan Perhutanan Sarawak.

Mesyuarat ini adalah yang pertama sejak negara-negara pihak menerima guna pelan bersejarah - Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal (KMGBF) - di COP15 yang berlangsung pada 2022 di Montreal, Kanada, bagi melindungi 30 peratus daripada daratan dunia dan 30 peratus lautan menjelang 2030. 

Menurut laporan saintifik terkini, seperti yang diketengahkan oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dunia sedang berdepan krisis biodiversiti dengan sejuta spesies diancam kepupusan disebabkan oleh tanah kehilangan kesuburan dan sumber air yang mengering.

Presiden Columbia, Gustavo Petro ketika menyampaikan ucapan pembukaan COP16 di Cali (Gambar Ihsan UNCBD)

 

KOMITMEN MALAYSIA KEPADA KMGBF  

Pada 1 Okt lalu, Nik Nazmi berkata komitmen Malaysia dalam memulihara biodiversiti sudah terbukti apabila menjadi negara ASEAN pertama dan antara pihak terawal yang menggemblengkan KMGBF ke dalam Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (NPBD)  2022-2030.

Beliau berkata Malaysia juga antara segelintir negara yang telah menghantar pelan pemuliharaannya, iaitu Strategi dan Pelan Tindakan Biodiversiti Kebangsaan bagi melindungi 30 peratus daratan dan lautannya menjelang 2030.  

Menurut CBD, kebanyakan negara belum lagi menghantar pelan biodiversiti mereka walaupun masing-masing bersetuju untuk berbuat demikian menjelang bermulanya COP16. Setakat Jumaat lalu (18 Okt), hanya 31 daripada 195 negara pihak telah menghantar pelan masing-masing kepada sekretariat CBD.

Nik Nazmi Nik Ahmad

Sementara itu, pakar tempatan dan saintis yang dihubungi Bernama, berkata Malaysia harus menggunakan peluang ini untuk mengetengahkan perkembangan program pemuliharaan biodiversitinya di pentas dunia.

Pegawai penyelidik di Pusat Pembangunan Kelestarian Universiti Malaya Dr Azizi Abu Bakar berkata penyertaan Malaysia di COP16 merupakan peluang untuk memurnikan NPBD 2022-2030 dengan menyelaraskan dasar itu berbanding rangka kerja global.

“Menerusi fokus strategik ke atas pembangunan lestari dan pemuliharaan biodiversiti, Malaysia dapat menyumbang secara signifikan kepada agenda biodiversiti global sambil merealisasikan matlamat negara,” katanya menerusi e-mel kepada Bernama.

Beliau bagaimanapun berkata bagi menangani krisis berkembar - perubahan iklim dan kehilangan biodiversiti - peningkatan kerjasama merentasi pelbagai sektor dalam negara amat penting, khususnya dari segi melonjakkan kesedaran awam dan tindakan pemuliharaan.

Dr Azizi Abu Bakar

“Sebagai sebuah negara mega kepelbagaian, Malaysia memiliki keistimewaan dan juga memikul tanggungjawab, namun timbul ketidakpastian jika kesedaran umum dan tindakan yang diambil tidak memadai. Turut penting ialah memperkukuh perkongsian dengan negara lain, bukan kerana kebergantungan tetapi untuk meningkatkan impak kolektif kita,” katanya.

 Mengulas tentang sasaran KMGBF untuk melindungi masing-masing 30 peratus daratan dan lautan menjelang 2030,  Azizi berkata amat penting untuk semua negara menyedari bahawa ini bukan sekadar memenuhi angka yang ditetapkan, tetapi juga tentang perlunya perhatian pada kualiti dan integriti kawasan dilindungi.  

Beliau berkata Malaysia telahpun mengekalkan sekitar 54.58 peratus daratannya di bawah liputan hutan, termasuk taman negara, hutan negeri, hutan simpan kekal dan kawasan perlindungan hidupan liar.

“Bagi melakukan perubahan sebenar, usaha pemuliharaan perlu berpandukan pendekatan berasaskan hak asasi manusia, memastikan Orang Asli dan komuniti setempat diupayakan bagi memainkan peranan selaku pemimpin, kerana komuniti ini mempunyai pengetahuan berharga dan merupakan bahagian penting dalam melindungi biodiversiti. 

“Keberkesanan strategi pemuliharaan Malaysia ditentukan oleh kewujudan keseimbangan di antara kualiti dan kuantiti kawasan dilindungi,” tambah beliau.

 

MEMPERKUKUH PEMULIHARAAN HIDUPAN LIAR 

Mengulas tentang pemuliharaan hidupan liar, Ketua Pegawai Eksekutif Bring Back Our Rare Animals Datuk Dr John Payne berkata Malaysia harus mengambil tindakan lebih tegas dalam usahanya menguruskan pemuliharaan spesies terancam, yang dikatakan beliau sebagai “ketinggalan".

Beliau memberitahu Bernama bahawa menangani pembiakan pemangsa adalah penting dalam mencegah kepupusan harimau Malaya dan mengurangkan konflik manusia-harimau.

Katanya,  meningkatkan populasi rusa dan babi hutan di kawasan dikenal pasti sebagai habitat harimau merupakan langkah penting yang dapat dilaksanakan ke arah pemuliharaan  spesies. 

Ketua Pegawai Eksekutif 'Bring Back Our Rare Animals', Datuk Dr John Payne

Menurut beliau lagi, peningkatan pengiktirafan berhubung status seladang sebagai spesies terancam telah mewujudkan “masa terbaik untuk meningkatkan usaha menguruskan populasi haiwan itu di dalam kurungan dan juga di habitat semula jadi”.

Tambah Payne, program pembiakan banting Borneo  (lembu hutan) di Sabah yang telah lama dirancang juga mempunyai potensi besar dalam usaha pemuliharaan haiwan itu, namun “hingga kini kita masih menunggu program ini dimulakan.”

Sementara itu, Kolektif Iklim, sebuah pertubuhan belia Malaysia yang menumpukan pada tindakan tentang iklim dan biodiversiti, telah menjalankan inisiatif bagi meningkatkan kesedaran tentang COP16 dengan cara mendidik orang awam berhubung perkembangan persidangan selama dua minggu berkenaan.

Dua ahli pertubuhan itu, Aidil Iman Aidid dan Pravena Sreetharan berkata mereka telah melancarkan COP16 Tracker sebagai kempen media sosial bagi menonjolkan persidangan tersebut.

“COP16 Tracker ini akan memaklumkan pengikut kami tentang perkembangan terkini di Cali, seperti keputusan yang dicapai dan rundingan yang berlangsung, dengan berkongsi hantaran tentang COP16 serta kaitannya dengan Malaysia.

“Memang ada peningkatan kesedaran jika kita tengok kegiatan yang dilakukan oleh Sarawak Eco Warriors mutakhir ini menerusi advokasi belianya terhadap KMGBF, dan kami berhasrat menyokong pembentukan kesedaran tentang COP16 ini dengan mendidik masyarakat berhubung perkembangan di sana,”  kata mereka dalam kenyataan kepada Bernama. 

Ahli 'Kolektif Iklim' yang juga pengasas 'Jejak Liar', Aidil Iman Aidid (dua dari kiri) bersama Duta Besar Colombia ke Malaysia, Alejandro Rosselli (tengah) dalam satu pertemuan bersama aktivis iklim belia baru-baru ini. (Gambar Ihsan Aidil Iman Aidid)

Apabila ditanya tentang penglibatan belia dalam memperjuangkan pemuliharaan biodiversiti di Malaysia, Aidil Iman yang juga pengasas Jejak Liar, iaitu inisiatif pemuliharaan yang dipimpin oleh belia, berkata semakin ramai belia bandar yang didapati berminat dalam usaha itu.

“Ada potensi yang sangat besar dalam memanfaatkan minat orang muda terhadap isu ini kerana mereka boleh menyumbang kepada proses perundangan dan penggubalan dasar, pembangunan kerjaya dan pembentukan komuniti.

“Malah, terdapat banyak pertubuhan belia yang memperjuangkan pemuliharaan biodiversiti di Malaysia seperti Youths United for Earth, Sustainable Ocean Alliance dan Sarawak Eco Warriors,” tambahnya.

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.