'Xie Xie Guilin', Kenangan Terindah Buat Media Sabah

M
elangkah masuk ke Muzium Guilin seolah-olah dibawa meneroka kehidupan di zaman purba, dengan pelbagai replika rumah dahulukala dan lebih daripada 30,000 artifak peninggalan budaya tradisi masyarakat China di Guilin dipamerkan.

Sungguh teruja melihat peralatan seperti pasu yang diperbuat semasa pemerintahan Dinasti Ming (1368-1644), baju-baju etnik masyarakat China, barangan hiasan masyarakat di Selatan China yang terdiri daripada beberapa etnik, antaranya etnik Zhuang, Miao, Yao, Hui, Dong dan Han. Malah di muzium itu juga boleh dilihat pakaian masyarakat muslim di China yang indah berwarna-warni dengan sulaman termasuk di bahagian dada dan lengan.

Tidak ketinggalan dipamerkan untuk tatapan pengunjung barangan kemas serta perhiasan kaum wanita diperbuat daripada perak seperti rantai leher, subang, penyepit rambut dan gelung leher daripada Dinasti Ming dan Qing.

Di dalam sebuah replika rumah yang agak besar, disusun kemas kerusi kayu berukir, teko serta cawan kecil diletakkan di atas meja manakala pada dindingnya dihiasi lukisan, menambahkan seri rumah. Malah ada juga replika manusia yang menjalankan perniagaan di ruang depan kedai.

Media kemudian dibawa ke convergence media center iaitu bangunan yang menempatkan stesen-stesen radio dan televisyen di Guilin, dan diberi taklimat berkenaan pusat media itu yang berpusat di New York.

Pusat media berkenaan dilengkapi skrin pintar sepanjang dua meter yang memaparkan berita-berita tempatan termasuk berita berkaitan agensi kerajaan. Kami turut dibawa melihat beberapa bilik studio, antaranya studio berita dan pusat siaran luar televisyen.

 

MI BERAS GUILIN 

Sempena lawatan ini, kami turut diraikan dalam satu majlis makan malam yang dihoskan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pablisiti, Jawatankuasa Guilin CPC (Director General of Publicity Department of CPC Guilin Committee) Li Jun.

Dalam ucapan beliau (dibuat menerusi penterjemah), Li mengalu-alukan kedatangan delegasi media Sabah ke Guilin.

Beliau menyebut Guilin adalah salah sebuah bandar budaya dan bersejarah pertama dengan keunggulan sejarah berusia lebih 2,100 tahun dengan reputasi memiliki ‘pemandangan paling indah di luar syurgawi’.

“Guilin adalah juga salah sebuah bandar China pertama yang membuka pintunya kepada pelancongan dan landskap gunung batu kapur ‘karst’ dan Terusan Linggu di Xing’an, masing-masing disenaraikan sebagai Warisan Semula Jadi Dunia dan Warisan Kejuruteraan Pengairan Dunia

‘Sungai Li, yang dipuji sebagai salah satu sungai tercantik dunia merupakan destinasi pelancong terkemuka, disyorkan oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia,” tambah Li.

Menurut Li, pada masa ini Guilin sedang berusaha untuk menjadi sebuah bandar pelancongan bertaraf dunia, dengan keseluruhan sasaran mempunyai wawasan global, piawaian antarabangsa, stail China, berciri Guangxi dengan daya tarikan Guilin.

Kami turut berpeluang menikmati makanan tradisi tempatan iaitu mi beras Guilin, seakan mi laksa yang dihidangkan bersama kacang tanah, daun bawang dan daging.

Mi ini sedikit kenyal dan istimewanya, kuah tidak dimasukkan bersama dengan mi dan hanya dimasukkan setelah mee itu hampir habis dimakan. Hidangan ini dikatakan snek tempatan yang popular, yang disajikan pada waktu pagi, tengah hari dan malam.

 

EMPAT JAM DI SUNGAI LI

Wakil media juga berkesempatan menaiki kapal persiaran untuk menyelusuri Sungai Li (Lijiang). Untuk ke sana, kami bertolak sekitar pukul 8:00 pagi dari bandar Guilin ke Jeti Zhujiang yang mengambil masa kira-kira 45 minit perjalanan. 

Pelayaran dari  Jeti Zhujiang ke Jeti Shui Dongmen di Yangshuo mengambil masa sekitar empat jam dengan jarak antara kedua jeti, kira-kira 83 kilometer. Landskap di kiri dan kanan Sungai Li sangatlah indah, dengan tembok batu yang di’selimuti’ tumbuhan hijau. Udara pagi begitu segar dan sungai kelihatan bersih daripada sampah-sarap, meskipun ia berhampiran penempatan penduduk.

Dalam kapal persiaran dua tingkat itu, pelbagai kemudahan disediakan untuk keselesaan penumpang termasuk makan tengahari, kafe dan tandas. Terdapat ruang untuk bersantai yang terletak di tingkat atas bagi membolehkan penumpang menangkap gambar malah sambil menikmati makan tengahari.

Kami turut dihiburkan dengan muzik daripada petikan sebuah instrumen tradisional instrumen dikenali sebagai "Guzheng" yang dimainkan oleh seorang pemuzik wanita.

Menurut Pegawai Kementerian Luar China Li Qinyi, 30, ada beberapa syarikat yang menawarkan perkhidmatan kapal persiaran di Sungai Li itu dan biasanya beroperasi hanya sekali sehari sahaja memandangkan ia memakan masa empat jam untuk sampai ke Yangshuo.

Salah satu yang menarik perhatian penulis ialah melihat beberapa orang nelayan menggunakan burung untuk membantunya menangkap ikan di Sungai Li.

Difahamkan memancing menggunakan burung jenis Kormoran ini adalah satu teknik memancing tradisional yang diwarisi turun-temurun.

 

 

AVATAR DI SUNGAI LI

Salah satu tarikan menarik untuk pelayaran ini ialah sebuah lokasi yang sangat-sangat dinantikan oleh setiap penumpang iaitu bermula di Yangdi dan berakhir Xingping kerana pemandangan di kawasan itu sama seperti yang terdapat pada duit kertas 20 Yuan.

Pemandangan yang tertera pada duit kertas itu menunjukkan seorang nelayan di atas rakit bambu di Sungai Li berlatarbelakangkan gunung ‘karst’ di Guilin.

Selain itu, bentuk sembilan kuda pada dinding gunung di kawasan itu juga menjadi tarikan utama kepada pelancong untuk mencarinya kerana ia memerlukan ketajaman mata dan imaginasi untuk melihatnya.

Pengunjung pastinya tidak akan terlepas peluang kerana kakitangan kapal persiaran itu akan memberi taklimat di samping menggunakan bahasa tempatan sambil menunjukkan gambar 20 Yuan dan sembilan ekor kuda itu sebagai panduan.

Kami juga melihat banyak rakit kecil diperbuat daripada bambu menggunakan tenaga elektrik membawa pelancong ke kawasan berkenaan dan sesekali kapal persiaran membunyikan hon apabila jarak antara kapal-kapal itu menghampiri antara satu sama lain

Rombongan media bersama pelancong lain juga tidak melepaskan peluang untuk mengabadikan kenangan bergambar di kawasan itu dan masing-masing berlumba-lumba mencari  sembilan kuda pada dinding gunung di laluan itu.

Di sebelah kanan laluan itu, dari kejauhan, dapat dilihat air terjun seakan menerpa keluar dari celah-celah batuan manakala di kiri pula banyak jeti-jeti kecil dan penulis dimaklumkan terdapat juga kampung di kawasan berkenaan.

Apabila melihat pemandangan kiri, kanan dan atas Sungai Li, penulis dapat merasakan seperti melihat filem ‘Avatar’ apabila gunung yang kukuh berdiri diselubungi kabus kerana ketika itu hujan renyai-renyai seperti menonton cerita berkenaan.

Hampir pukul 1 tengah hari, rombongan media tiba di Jeti Shui Dongmen sebelum berjalan kaki ke West Street iaitu jalan purba yang bersejarah berusia lebih 1,400 tahun lalu.

Di West Street sepanjang 2,000 meter itu terdapat pelbagai jenis kedai menjual barangan seperti pakaian, topi, kafe, restoran, hotel, kedai kraft dan cenderahati.

Bagaimanapun, media hanya diberi masa sejam untuk menerokai West Street sebelum dibawa ke Jiwodu Village, salah satu kawasan tarikan pelancong di Yangshuo.

 

PERSEMBAHAN IMPRESSION SANJIE LIU

Malam terakhir di Guilin, media dibawa menyaksikan persembahan outdoor teater ‘Impression Sanjie Liu’ yang menggabungkan tarian, muzik dan nyanyian lagu-lagu asli yang menggunakan Sungai Li sebagai pentas utamanya.

Dengan berlatarbelakangkan 12 puncak gunung yang memantulkan cahaya ke permukaan Sungai Li, suasana itu menambahkan lagi pesona persembahan yang bermula pukul 8:00 malam namun pada musim sejuk, persembahan akan dimulakan awal antara pukul 7 hingga 7:30 malam kerana memerlukan cahaya.

Pada malam itu, meskipun dalam keadaan hujan renyai-renyai, penulis bersama media lain tidak berganjak menonton persembahan selama sejam itu.

Persembahan yang bertenaga dengan kesan khas lampu, kostum baju-baju tradisional yang dipakai, peralatan nelayan seperti perahu dan bot yang dipasang lampu, jaring-jaring ikan berwarna merah sungguh mengujakan.

 Melibatkan 600 pelakon termasuk lelaki serta wanita, antara watak yang dimainkan ialah nelayan yang tinggal disepanjang Sungai Li. Persembahan itu terbahagi kepada tujuh bahagian iaitu pembuka tirai  - legenda pemandangan; persembahan lagu-lagu rakyat; lagu-lagu cinta; taman - pencerapan hijau; pencerapan keemasan-cahaya tangkapan ikan; persembahan besar pembukaan majlis dan elipog - karol syurga dan bumi.

Teater itu diarahkan oleh Zhang Yimou, seorang pengarah filem terkenal yang juga individu yang mengarahkan teater untuk majlis pembukaan dan majlis penutup Olimpik Beijing 2008.

Menariknya, persembahan Impression Sanjie Liu sangat mendapat tempat di hati penduduk tempatan kerana tiada satu pun kerusi kosong, membuktikan betapa masyarakat di Yangshuo memberi sokongan kepada industri pelancongan mereka.

 

Artikel ini yang terakhir daripada laporan tiga bahagian lawatan media Sabah ke Guangzhou dan Guilin, China sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-Chinam menjejak banyak lokasi menarik di Guilin, terletak di selatan China dan terkenal dengan landskap pergunungan batu kapur.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

 

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.