H
ari ini bukan lagi satu fenomena luar biasa untuk melihat kanak-kanak seawal usia dua tahun memegang telefon pintar, mata hampir tidak berkelip, ralit mengikut setiap pergerakan yang terpampang di skrin peranti itu.
Pada zaman serba digital ini, boleh dikatakan telefon pintar menjadi ‘peneman’ si cilik, baik di kedai makan, di pusat beli-belah, di dalam pengangkutan awam, malahan mungkin berlaku juga situasi, dari rumah kemudian masuk ke dalam kereta sehinggalah sampai di pintu pagar sekolah.
Internet pada dasarnya memberikan faedah yang besar kepada pengguna namun bagi kanak-kanak, mereka perlu terlebih dahulu melalui ‘proses asimilasi’ dengan teknologi yang menuntut peranan ibu bapa bagi memastikan ia digunakan seiring keperluan dan tidak menjadi ‘tuan’ kepada mereka.
Memetik kata-kata ahli sejarah Norway yang juga seorang pendidik Christian Lous Lange - “Teknologi adalah hamba yang berguna tetapi ‘tuan’ yang berbahaya”.
Ironinya, kemajuan teknologi seperti Internet dan platform media sosial bukanlah membawa keburukan kepada kehidupan manusia, sebaliknya sikap pengguna yang gagal mengendalikannya dengan baik sehingga menimbulkan pelbagai isu seperti tekanan psikologi, gangguan emosi dan komunikasi serta hubungan sosial.
Keadaan yang tidak terkawal ini seterusnya memberi kesan buruk kepada kehidupan seseorang individu tidak terkecuali kanak-kanak.
YOUTUBE GANTI IBU BAPA?
Mengulas perkara ini, Pakar Psikologi Kanak-kanak Universiti SEGi yang juga Presiden Majlis Pengasuhan Dan Pendidikan Awal Kanak Kanak Malaysia Prof Datin Dr Mariani Md Nor berkata, dalam teori ekologi Bronfenbrenner (1977), interaksi antara kanak-kanak dengan persekitaran boleh mempengaruhi proses perkembangan dan pertumbuhan mereka.
Prof Datin Dr Mariani Md Nor, Pakar Psikologi Kanak-kanak Universiti SEGi dan Presiden Majlis Pengasuhan Dan Pendidikan Awal Kanak Kanak Malaysia.
Dalam hal ini, sebarang informasi atau maklumat dari persekitaran, itulah yang akan membentuk minda dan personaliti seorang kanak-kanak.
“Pengaruh bukan sahaja daripada aspek autentik (kehidupan sebenar dalam dunia realiti) malah di alam siber termasuklah media sosial yang merupakan platform untuk kanak-kanak mendapatkan ilmu, kemahiran serta ramai kanak-kanak yang mencontohi tingkah laku suri teladan mereka.
“Perlu ada pemantauan dari aspek laman web apa yang dilayari, dibaca dan bahasa yang digunakan dalam perbualan mereka di Internet. Ini kerana apa-apa yang mereka lihat, dengar dan baca terutama dalam bentuk kata-kata mahupun lakon layar seperti kartun atau drama kanak-kanak, sedikit sebanyak itulah yang membentuk pemikiran malah menjadi ikutan mereka secara tidak langsung,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Proses perkembangan seseorang individu bermula sejak lahir sehinggalah dewasa, namun menurut Mariani, pengalaman yang berbeza membuahkan aspek perkembangan emosi dan mental yang berbeza, seterusnya menjadikan perkembangan psikologi juga berbeza.
Jelas beliau, peringkat umur enam tahun ke bawah adalah waktu paling mudah untuk kanak-kanak dipengaruhi, dibentuk dan diasuh minda serta kemahiran mereka kerana pada usia itu, mereka mudah ‘menyerap’ segala bentuk maklumat yang dihidangkan.
“Pada usia ini, sekiranya media sosial yang sentiasa bersama kanak-kanak, ibu bapa jangan marah jika dikatakan media sosial seperti YouTube dan TikTok itulah ibarat ibu bapa atau guru yang sedang mengajar mereka,” katanya.
TERPENGARUH ‘PENCERITAAN’ ALAM SIBER
Isu kanak-kanak stres dan mengalami masalah kesihatan mental, lari dari rumah termasuk ada yang meninggalkan keluarga kerana mengikut kekasih, mencederakan diri dan tidak kurang juga cubaan untuk membunuh diri, antara yang dikaitkan akibat pengaruh Internet dan media sosial.
Mengulas lanjut Mariani berkata, gejala negatif itu disumbangkan daripada ‘penceritaan’ yang dipaparkan di media sosial yang mempengaruhi kanak-kanak untuk bertindak tanpa memikirkan akibatnya tambahan pula pada usia mereka yang belum matang.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka yang berusia bawah 13 tahun tidak memiliki sebarang akaun media sosial seperti TikTok, Facebook, Instagram atau mana-mana akaun media sosial lain. MCMC mendapati kanak-kanak berusia di bawah 13 tahun tidak sesuai untuk menggunakan mana-mana media sosial di samping kebanyakan syarat platform itu juga tidak membenarkan golongan tersebut memiliki akaun media sosial.
“Penceritaan di sini merujuk kepada, jika apa yang dilihat di media sosial itu mendatangkan sesuatu yang bermakna atau memberi kelebihan untuk diri mereka, maka ia akan diikuti dan dicontohi sampai mereka dapat mencapai kepuasan dengan jangkaan kesudahan terletak pada diri mereka sendiri.
“Namun jika kesudahannya lain daripada yang dijangkakan, maka akan berlaku kekecewaan dan sebagainya. Tanpa nasihat, didikan dan tujuk ajar yang relevan dengan keadaan semasa, kanak-kanak akan mengambil jalan pintas untuk menyelesaikan sendiri masalah mereka meskipun bukan dengan cara sewajarnya,” katanya.
Menyentuh isu buli siber dalam kalangan kanak-kanak yang berisiko mengundang kepada isu yang lebih besar terutama menjejaskan aspek psikologi dan kesihatan mental, Mariani berkata, ia sememangnya boleh mengganggu-gugat kehidupan harian serta pemikiran mereka.
“Jika satu demi satu masalah atau cabaran yang mereka lalui tanpa ada kesudahan dan penyelesaian yang sepatutnya, ia akan menjadi beban. Akhirnya boleh menjejaskan kesihatan mental kanak-kanak itu apabila tidak dapat fokus pada pelajaran, tidak tahu untuk membuat keputusan, tidak dapat menjalani kehidupan dengan ceria dan gembira seperti yang sepatutnya seorang kanak-kanak patut lalui,” katanya.
Menekankan penggunaan peranti mahupun media sosial bukanlah suatu kesalahan kerana ia boleh dianggap sebagai satu keperluan pada hari ini, namun penggunaannya perlu dikawal bagi mengelak ketagihan sekali gus memberi impak negatif terhadap kehidupan seorang kanak-kanak.
“Perlu ada kawalan dari aspek batasan masa terhadap penggunaan peranti dan interaksi di media sosial. Selain itu, apa-apa sahaja yang dilayari oleh kanak-kanak termasuk di media sosial harus di bawah pemantauan ibu bapa terutama mereka yang di bawah umur tujuh tahun. Ia seharusnya lebih kepada yang bercorak pendidikan atau permainan yang boleh membentuk perkembangan kanak-kanak,” katanya.
GENERASI STRAWBERI
Ditanya mengenai ‘Generasi Strawberi’, julukan yang diberikan kepada kanak-kanak pada zaman ini yang mudah ‘rapuh’, tidak mempunyai daya ketahanan emosi, fizikal dan sosial yang kental kerana terlalu bergantung pada dunia siber terutama media sosial sekali gus membuatkan mereka jarang bergaul dengan rakan sebaya untuk pengalaman yang boleh membina ketahanan mental, Mariani berkata perkara itu perlu dicegah sejak awal.
Di sebalik manfaat capaian maklumat tanpa had, komunikasi tanpa halangan dan dunia tanpa sempadan melalui platform media sosial, ada cabaran atau ‘harga yang perlu dibayar’. Ini termasuklah isu seperti tekanan psikologi, gangguan emosi dan komunikasi serta hubungan sosial dalam kalangan kanak-kanak.
Setiap kanak-kanak, katanya, perlu diasuh untuk mengukuh serta meningkatkan daya ketahanan mental mereka.
Beliau menambah, akibat terlalu bergantung pada teknologi, generasi ini cenderung menjadi tidak sabar dan sukar menangani masalah yang kompleks sebagai contoh menjadikan Internet dan media sosial sebagai ‘jalan keluar’ daripada masalah tanpa melihat kepada alternatif lain yang ada di sekeliling mereka.
“Kanak-kanak perlu didedahkan dengan pengalaman bermain dan belajar bersama dengan rakan sebaya agar mereka dapat menggarap semua kemahiran insaniah yang perlu untuk ketahanan mental. Jalan pintas memberikan peranti kepada kanak-kanak tanpa kawalan yang dianggap banyak membantu ibu bapa sebaliknya membuahkan kebimbangan termasuk isu kesihatan dan sebagainya.
“Generasi strawberi berdasarkan kajian lazimnya datang dari gaya ‘keibubapaan helikopter’, yang merujuk kepada sikap ibu bapa itu sendiri yang terlalu mengawal anak mereka sehingga tidak ada ruang untuk kanak-kanak itu bebas berfikir, meluahkan emosi dan melalui pengalaman peribadi dalam kehidupan mereka sesuai dengan umur.
“Sikap ibu bapa yang terlalu mengawal anak dalam semua hal ini mengakibatkan kanak-kanak tidak dapat menguasai kemahiran insaniah yang fokus kepada sikap bertolak ansur, mengambil giliran, boleh membuat keputusan, boleh menerima pendapat orang lain termasuk bersedia menerima kekalahan kerana dalam hidup ini tidak semestinya menang,” katanya.
KEKELIRUAN BAHASA
Sementara itu, turut berkongsi pandangan, pensyarah bahasa di Universiti Multimedia Malaysia Maswanhizzly Masri berkata, dalam dunia serba digital hari ini, media sosial memainkan peranan besar dalam membentuk cara kanak-kanak berkomunikasi di samping bahasa yang digunakan.
Menurut beliau, penggunaan bahasa kasar, berbentuk penghinaan dan perilaku toksik dalam interaksi di media sosial disertai pula kandungan dan komen yang bersifat merendah-rendahkan, mengejek dan mengancam boleh mempengaruhi bahasa yang digunakan oleh kanak-kanak dalam kehidupan seharian mereka.
Maswanhizzly Masri, pensyarah bahasa Universiti Multimedia Malaysia.
“Penggunaan bahasa slanga atau singkatan, terikut-ikut trend serta yang terkini bahasa Gen-Z atau generasi Z yang semakin hari semakin kompleks turut menjadi cabaran. Tidak dinafikan bahasa singkatan umpamanya, mampu memudahkan interaksi namun tanpa disedari ia boleh mengurangkan kemahiran berbahasa formal dan berstruktur serta menjejaskan kemurnian serta keaslian bahasa itu sendiri.
“Penggunaan bahasa yang kurang tepat malah salah, boleh mempengaruhi pencapaian akademik kanak-kanak dan aspek komunikasi rasmi mereka atas faktor mungkin terbiasa dengan penggunaan bahasa di media sosial bersama rakan-rakan di alam siber,” katanya.
Berpendapat isu kerancuan dan pencemaran bahasa juga boleh berlaku terhadap perkembangan sosio masyarakat di negara ini, beliau berkata, antara risikonya, masyarakat mungkin hilang identiti bahasa kebangsaan.
Tambah beliau, dalam konteks Malaysia yang kaya dan cukup terkenal dengan pelbagai etnik dan bahasa, pendedahan kepada media sosial mengundang kepada penggunaan bahasa yang cenderung lebih global atau mengikut trend yang berasal dari negara luar terutama negara barat.
“Sebagai contoh, penggunaan bahasa Inggeris yang terlalu dominan atau percampuran bahasa yang tidak teratur atau kita sebut sebagai bahasa rojak di media sosial yang berleluasa, boleh menjejaskan penggunaan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan.
“Apabila kanak-kanak lebih cenderung menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa rojak, ia boleh memberi kesan kepada penguasaan bahasa Melayu mereka, terutama dalam konteks bahasa formal.
“Hal ini berisiko melemahkan daya tahan bahasa kebangsaan dalam kalangan generasi muda yang akhirnya boleh memberi impak kepada identiti budaya dan sosial negara ini,” katanya menambah, faktor kebebasan bersuara di media sosial turut menyumbang kepada perkara itu.
HENTI NORMALISASI BAHASA KASAR
Dalam masa yang sama, tindakan mana-mana individu yang melontarkan pandangan termasuk menyebarkan bahasa yang mengelirukan, tidak tepat dan salah, boleh mengakibatkan salah faham dalam komunikasi sosial serta mengurangkan keupayaan masyarakat untuk berfikir secara kritis dan menganalisis maklumat dengan tepat.
Isu jenayah dalam talian, masalah scam dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam negara tidak boleh dibenarkan terus berlarutan dan susulan itu, MCMC telah mengeluarkan surat arahan kepada sejumlah platform media sosial untuk mendapatkan maklum balas berkaitan.
“Walaupun peranti adalah alat yang berguna untuk tujuan pendidikan, ibu bapa harus lebih proaktif dalam memastikan anak-anak mereka mengakses kandungan yang sesuai. Kita perlu sedar yang kanak-kanak adalah peringkat usia mereka sedang mencari identiti sendiri dan pada zaman ini, mereka terdedah dengan trend di media sosial.
“Mereka mungkin menganggap cara berkomunikasi dengan bahasa kasar adalah sesuatu yang normal, mengikut trend, diterima dalam pergaulan malah lebih ‘cool’. Tapi kita bimbang apabila kanak-kanak mula menggunakan kata-kata kasar, menghina orang lain atau berkelakuan kurang sopan hasil daripada apa yang ‘diserap’ daripada media sosial,” katanya.
Berkongsi dapatan kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2019 berhubung kesantunan bahasa di media sosial dalam kalangan remaja di negara ini, terdapat perbezaan yang ketara apabila mereka berinteraksi di media sosial berbanding gaya bahasa diamalkan dalam pertuturan seharian.
Kajian ini juga mendapati, di media sosial sebanyak 2,220 unit perkataan lucah yang diungkapkan oleh 120 remaja dan wanita melalui hantaran Facebook yang dimuat naik dan perkataan kesat ini juga digunakan oleh semua kaum di Malaysia.
“Selain itu kajian Telenor Group yang diterbitkan pada tahun 2017 berjudul Digital Parenting: The Challenges and Opportunities of Raising Children in the Digital Age mendapati, lebih daripada 70 peratus remaja di Malaysia menggunakan media sosial dan beberapa kajian tempatan menunjukkan mereka cenderung untuk menggunakan bahasa kesat dalam perbualan dalam talian, terutama apabila berinteraksi dalam ruang yang lebih tidak formal seperti WhatsApp atau Facebook.
“Walaupun tidak ada statistik yang tepat berapa banyak yang menggunakan kata-kata kasar secara kerap, kajian menunjukkan bahawa penggunaan bahasa yang agresif dan provokatif semakin meningkat,” katanya.
Beliau menambah, media sosial bukan sahaja menjadi sumber hiburan dan interaksi sosial bahkan perlu dijadikan sebagai platform untuk tujuan pendidikan termasuklah menguasai kemahiran bahasa serta ruang menjana pendapatan.
“Platform seperti YouTube boleh digunakan untuk belajar kemahiran bahasa dan ada juga kandungan (content) pendidikan lain yang boleh diakses dan dimanfaatkan.
“Sebenarnya banyak kandungan ilmiah yang boleh dijadikan rujukan oleh kanak-kanak untuk membantu meningkatkan prestasi akademik mereka namun tanpa bantuan, kawalan dan kerjasama ibu bapa mereka lebih cenderung memilih kandungan sebaliknya,” katanya.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff