Pemuliharaan Gajah Borneo Tarikan Ekopelancongan, Tangani Persepsi Negatif Barat

S
ebagai antara pengeluar minyak sawit terbesar dunia, Malaysia tidak terlepas daripada tuduhan pihak antarabangsa yang mendakwa negara ini tidak mengamalkan perladangan lestari dan memusnahkan alam sekitar.

Bersandarkan dakwaan itu, pihak-pihak berkenaan melancarkan kempen memboikot produk sawit dan berasaskan sawit dari negara ini yang sedikit-sebanyak menjejaskan industri komoditi tersebut.

Pada masa sama, pemain industri tempatan mengetengahkan pelbagai bukti bahawa dakwaan itu tidak berasas, antaranya seperti yang dilakukan oleh syarikat-syarikat perladangan di Sabah menerusi penggemblengan program pemuliharaan alam sekitar dan ekopelancongan.

 Pada pertengahan bulan lepas, Bernama diundang oleh Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit  Malaysia (MPOGCF) menyertai program lawatan media ke Negeri di Bawah Bayu, bagi melihat sendiri projek pemuliharaan alam sekitar dan hidupan liar yang dijalankan oleh beberapa syarikat perladangan di Sabah.

Sepanjang lawatan dari 12 hingga 16 Nov itu, wakil media dari Semenanjung dibawa meninjau Koridor Hidupan Liar Brumas, Kawasan Konservasi Sungai Pin dan Santuari  Gajah Borneo di Tawau, 

 

KORIDOR HIDUPAN LIAR

Ekspedisi kami bermula sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tawau pada 12 Nov, apabila kami langsung dibawa ke Koridor Hidupan Liar Brumas berkeluasan 1,067 hektar yang diusahakan oleh Sabah Softwood Berhad (SSB).

Ketibaan kami di situ selepas empat jam perjalanan menaiki bas, disambut oleh barisan kepimpinan syarikat yang kemudian memberikan taklimat sebelum membawa kami menyelusuri kawasan ladang tanaman semula SSB.

Deretan pokok kertas di sepanjang laluan ke tapak projek menyambut kenderaan pacuan empat roda yang kami naiki, dan di celah-celah pohon kurus meninggi itu pemandangan matahari terbenam memukau pandangan mata.  

Para media dibawa ke Koridor Hidupan Liar Brumas berkeluasan 1,067 hektar yang diusahakan oleh Sabah Softwood Berhad (SSB)

Menurut Pemangku Ketua Penanaman dan Pengurus Kelestarian SSB Mohd Hafizzul Samutu, syarikat itu yang mempunyai tanah seluas 41,500 hektar di Brumas, membangunkan koridor berkenaan pada 2014, membuka laluan hidupan liar di tengah-tengah hutan simpan kelas 1.

Koridor sepanjang 13.89 kilometer dengan lebar 400 hingga 800 meter itu menghubungkan Ulu Segama di utara dan Ulu Kalumpang di tenggara selatan, membolehkan haiwan liar bergerak bebas dalam kawasan lebih luas.

"Koridor ini yang diwujudkan dengan kerjasama Tabung Hidupan Liar Sedunia, merupakan strategi jangka panjang bagi mengurangkan konflik antara manusia dan gajah Borneo serta hidupan liar lain seperti orang utan dan beruang matahari di kawasan perladangan kelapa sawit, tanpa menjejaskan tanaman dan merosakkan harta benda komuniti. 

"Kami juga bekerjasama dengan MPOGCF dan Universiti Putra Malaysia melaksanakan projek rintis penanaman rumput Napier Taiwan di sepanjang koridor itu sebagai usaha mengayakan habitat bagi menarik lebih banyak hidupan liar menggunakan koridor tersebut. Usaha ini dijalankan dengan geran MPOGCF bernilai RM500,000,” jelas beliau.

Tambah beliau lagi, kerjasama itu turut meliputi pemasangan kolar gajah dan kamera perangkap serta penanaman 85,516 batang pokok kertas di sepanjang koridor sejak 2014 hingga Oktober 2024.

“Kami tidak memasang pagar, apatah lagi pagar elektrik, kerana hasrat kami ialah membenarkan gajah berkeliaran bebas dalam kawasan ladang. Hingga kini, kami tidak menerima sebarang laporan serangan gajah ke atas manusia di kawasan itu.

“Malah, dalam tempoh 2014 hingga tahun lepas, kami berjaya mengurangkan kerugian yang diakibatkan oleh haiwan liar daripada RM500,000 setahun kepada RM5,000 sahaja,” katanya.

Pemangku Ketua Penanaman dan Pengurus Kelestarian Sabah Softwood Berhad, Mohd Hafizzul Samutu (Gambar Ihsan MPOGCF)

Mohd Hafizzul berkata kini SSB membuka kawasan itu kepada pelancong bagi mendidik masyarakat tentang kejayaan projek pemuliharaan yang dilaksanakan syarikat, selain menepis dakwaan pihak Barat bahawa perladangan kelapa sawit di Sabah memusnahkan alam sekitar dan biodiversiti.

Selain itu, SSB juga menjalankan pelbagai aktiviti bagi menarik kedatangan orang ramai, antaranya Brumas Wildlife Run yang dimulakan pada tahun lepas, melibatkan larian merentasi kawasan ladang dan akan dijadikan acara tahunan.

 

SANTUARI GAJAH BORNEO 

Pada hari ketiga lawatan, kami dibawa ke Santuari Gajah Borneo (BES) Kinabatangan yang merupakan pusat pemuliharaan gajah Borneo atau nama saintifiknya Elephas maximus borneensis.

Turut dikenali sebagai gajah pygmy, spesies terkecil dalam kalangan gajah Asia ini hanya ditemukan di Pulau Borneo dan tersenarai sebagai hidupan terancam.

Ketibaan kami di santuari ini disambut oleh Pegawai Hidupan Liar Daerah Kinabatangan Sylvia Alsisto serta pakar gajah yang juga pesara Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jibius Dausip. 

Menurut Sylvia, pada masa ini terdapat tujuh ekor gajah pygmy di BES yang kebanyakannya diselamatkan dari ladang kelapa sawit dan petempatan pekerja ladang, termasuk terpisah daripada kawanan.

“Berkeluasan 1,214 hektar, santuari ini merawat dan melindungi gajah-gajah tersebut, sekali gus memastikan kelangsungan generasi seterusnya,” jelas Sylvia.

Santuari Gajah Borneo (BES) di sini yang merupakan pusat pemuliharaan gajah Borneo, kini menempatkan tujuh ekor gajah pygmy yang kebanyakannya diselamatkan dari ladang kelapa sawit dan petempatan pekerja ladang, termasuk terpisah daripada kawanan. (Gambar Ihsan MPOGCF)

Berkongsi lanjut, beliau berkata penubuhan santuari itu dicetuskan oleh Datuk Patrick Andau selaku Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah pada 2007, dan pembinaan bermula pada 2012 meliputi pembinaan kandang, kuarters kakitangan dan bangunan stor yang siap sepenuhnya setahun kemudian. 

Setakat ini BES hanya dibuka kepada sekolah dan jabatan tertentu bagi tujuan lawatan sambil belajar. 

“Kami masih tidak dibuka kepada orang ramai demi keselamatan gajah-gajah yang diselamatkan dan ditempatkan di sini," jelasnya.

Usai taklimat, kami dibawa berinteraksi dengan dua ekor gajah paling muda, iaitu Agatis - satu-satunya gajah betina di santuari itu - dan Amuak.

 Kedua-duanya diberi nama berdasarkan lokasi mereka diselamatkan, iaitu Agatis di Ladang Agatis, Tawau, manakala Amuak pula ditemukan di Kampung Karamuak di daerah Telupit, Sandakan, kira-kira 100 hari sebelum kedatangan kami.

Menurut Jibius, ketika diselamatkan, Agatis yang berusia kira-kira setahun dua bulan, berada dalam keadaan tidak keruan. 

“Kami tidak pasti kenapa ia ditinggalkan oleh kawanannya. Ketika diselamatkan anak gajah ini berlari tidak tentu arah dan mengalami luka, namun bukan disebabkan serangan haiwan lain. Biasanya dalam kes-kes sebegini, kita akan cuba kembalikan anak gajah itu kepada kumpulannya, namun kami tidak ada pilihan kerana Agatis perlukan rawatan,” katanya.

Kehadiran kami di kandang gajah berkenaan seolah-olah dialu-alukan oleh haiwan tersebut yang menghampiri kami sambil melibas telinga.

Kata Jibius, gajah di BES sudah dijinakkan dan dilatih untuk mesra dengan manusia.

Berpengalaman lebih 37 tahun dalam melatih dan mengurus gajah, pesara berusia 61 tahun itu berkata walaupun pernah mengalami pelbagai kecederaan akibat dipijak dan disepak oleh haiwan tersebut, beliau tidak serik.

“Gajah Borneo begitu istimewa kerana ini satu-satu spesies di dunia. Walaupun saya dapat kecederaan, saya masih suka dengan gajah,” katanya.

Jibius Dausip, pakar gajah di BES (Gambar Ihsan MPOGCF)

 

PERLINDUNGAN GAJAH BORNEO 

Pegawai Eksekutif Pemuliharaan MPOGCF Daniel Pamin berkata pihaknya memperuntukkan RM2.7 juta kepada BES untuk membina klinik veterinar dan kandang baharu bagi menampung lebih banyak gajah Borneo yang diselamatkan.

"Bermula tahun depan, kapasiti mungkin bertambah dan doktor haiwan di bawah Jabatan Hidupan Liar Sabah akan bertugas sepenuh masa di sini, manakala pakar gajah berada di lapangan untuk memasang kolar pengesan dan melakukan pemindahan gajah pygmy,” katanya, menambah projek peluasan fasiliti itu akan mengambil masa tiga tahun.

“Kami juga akan cadangkan agar kawasan ini dijadikan tempat perlindungan untuk anak-anak gajah, selain menimbang kemungkinan menambah fasiliti pada masa akan datang.”

Agatis, satu-satunya gajah betina yang menjadi penghuni BES (Gambar Ihsan MPOGCF)

Selain itu, Daniel berkata MPOGCF turut membelanjakan RM1.2 juta untuk menjalankan survei populasi gajah pygmy dan orang utan, bertujuan menyediakan data yang dapat membantu usaha menyelamatkan spesies tersebut daripada kepupusan.

  "Kami mahu memastikan hidupan liar, khususnya di sekitar kawasan hutan simpan dan bergerak ke kawasan ladang kelapa sawit, boleh hidup bersama-sama manusia yang seterusnya menggalakkan usaha pemuliharaan pelbagai pihak, termasuk menerusi ekopelancongan," katanya. 

 

TEPIS DAKWAAN BARAT 

Sementara itu, Pengurus Besar MPOGCF Hairulazim Mahmud berkata pihaknya sentiasa berusaha membersihkan imej Malaysia yang didakwa oleh negara Barat sebagai tidak lestari dalam mengusahakan sektor perladangan, khususnya industri sawit.

"Mereka (negara Barat) mendakwa kononnya kita tidak menjaga kelestarian alam, melakukan penebangan hutan dan tidak melindungi hidupan liar.

"Oleh itu, menerusi ekopelancongan, terutamanya di sekitar kawasan ladang sawit, para pelancong dapat melihat sendiri usaha pemuliharaan oleh kerajaan-kerajaan negeri dengan kerjasama syarikat sawit serta pelbagai pihak, yang mampu mengubah persepsi negatif dengan menampilkan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kelestarian alam. 

Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud

"Lebih-lebih lagi ekopelancongan di Sabah, di mana mereka mempunyai keunikan tersendiri disebabkan ada  'hubungan' antara industri minyak sawit, kawasan hutan dan hidupan liar di sini," katanya. 

Beliau berkata penglibatan pelbagai pihak dalam pemuliharaan hidupan liar dan pelaksanaan ekopelancongan memberi gambaran bahawa industri kelapa sawit Malaysia bersedia memenuhi piawaian kelestarian global, termasuk pensijilan seperti Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO) dan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) untuk menarik sokongan pengguna dan pasaran antarabangsa. 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.