D
i tengah-tengah kesibukan kafe itu, Dr Nur Afiqah Mohd Salleh duduk merenung di depan cawan kopinya yang kosong, menimbang soalan yang diaju kepadanya.
Adakah Malaysia akhirnya dapat mengadakan perbincangan terbuka tentang seks dan isu berkaitan, tanpa menumpukan semata-mata pada aspek menahan diri sebagai satu cara mencegah HIV/AIDS?
Nur Afiqah, seorang pensyarah kanan di Universiti Malaya (UM) dan naib presiden Majlis AIDS Malaysia, baru sahaja selesai memberitahu Bernama bahawa ramai remaja dan anak muda berkongsi panduan tentang seks dalam kumpulan sembang WhatsApp. Wajahnya bertukar pucat ketika menggambarkan perbualan yang dilihatnya itu.
"Sangat menggerunkan kerana aktiviti seks tidak selamat berlaku secara berleluasa,” katanya. “Saya terbaca perbualan bagaimana orang-orang ini menarik anak muda menyertai kumpulan WhatsApp dan mengajar pelbagai benda pelik.”
Kumpulan itu berbincang antaranya tentang aktiviti seks heteroseksual, biseksual dan homoseksual serta penggunaan dadah seperti amfetamina untuk membantu aktiviti seks.
Sebagai ahli fakulti Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan UM, Nur Afiqah mendapati bukan hanya orang muda tetapi kebanyakan rakyat Malaysia – 77.4 peratus pada 2020 – tidak begitu tahu tentang HIV/AIDS. Situasi ini membimbangkan kerana transmisi seksual menjadi penyumbang kebanyakan kes baharu di negara ini yang masih konservatif tentang seks.
Dr. Nur Afiqah Mohd Salleh, naib presiden Majlis AIDS Malaysia.
Kredit: Nina Muslim/BERNAMA
Beliau dan pakar kesihatan awam lain yang terlibat dalam kegiatan berkaitan HIV/AIDS, sedar memang sukar untuk membicarakan isu seks dan orientasi seksual secara terbuka di Malaysia, namun mereka tidak akan mengalah.
Oleh itu, mereka beralih kepada platform dalam talian termasuk memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) bagi menangani bantahan dan stigma ketika menyalurkan maklumat kepada komuniti berisiko.
MENGUBAH LANDSKAP HIV
HIV ialah virus yang menjangkiti sistem imun tubuh dan menjadikan sistem itu sebagai musuh diri sendiri, sementara AIDS pula merupakan peringkat akhir jangkitan apabila sistem imun tidak lagi berfungsi. Virus ini berjangkit menerusi cecair tubuh seperti darah, air mani dan susu badan. Tidak ada ubat yang dapat menyembuhkan HIV.
Sejak 2010, Malaysia menyaksikan peralihan dalam jangkitan HIV daripada pengambilan dadah menerusi suntikan (IDU) kepada hubungan seks. Pada tahun tersebut, kes HIV menerusi transmisi seksual merekodkan 48 peratus berbanding 47 peratus melalui IDU, sedangkan beberapa tahun sebelum itu kes mereka yang dijangkiti HIV melalui perkongsian jarum suntikan dadah meliputi 65 peratus daripada kes baharu. Pada 2022, kes HIV disebabkan oleh transmisi seksual mewakili 96 peratus daripada kes baharu.
Keadaan ini sememangnya dapat dijangka kerana kerajaan melaksanakan dasar pengurangan mudarat pada 2005 bagi mengekang penularan HIV dalam kalangan penagih yang berkongsi jarum suntikan. Kerajaan melaksanakan program pertukaran jarum suntikan dan membantu penagih heroin mendapatkan terapi metadon yang berupaya mengawal ketagihan.
Akan tetapi, lain kisahnya dengan transmisi seksual yang menumpukan pada program kesedaran berkaitan akhlak dan pendekatan menahan diri. Golongan rentan seperti pengamal seks sesama lelaki (MSM), transgender dan pekerja seks langsung tidak disebut. Pada 2022, hubungan homoseksual atau biseksual merangkumi 60 peratus daripada kes HIV menerusi transmisi seksual.
“Masyarakat secara umumnya masih menganggap seks sebagai isu tabu untuk dibicarakan,” kata aktivis transgender Nisha Ayub kepada Bernama melalui aplikasi Zoom. Beliau mula aktif menyalurkan maklumat tentang HIV/AIDS kepada pekerja seks dan komuniti transgender di Kuala Lumpur pada 2006.
Dianggap sebagai “penyakit akhlak” oleh kebanyakan ahli masyarakat, HIV/AIDS mencetuskan stigma dan diskriminasi kepada penghidap.
Di sebalik ikrar kerajaan untuk mengurangkan stigma yang melingkari penghidap HIV/AIDS, aspek itu masih menebal, menurut data Kementerian Kesihatan. Separuh daripada 2,449 responden terlibat tinjauan dalam talian berkata mereka tidak akan membeli makanan daripada penghidap HIV, sementara 45 peratus lagi berkata kanak-kanak penghidap HIV tidak harus ke sekolah yang sama dengan kanak-kanak lain.
Dr. Rumana Akhter Saifi, sainstis pelaksanaan di Universiti Malaya, sedang berusaha membina AI untuk menggalakkan komuniti yang mudah terdedah ke HIV menguji status kesihatan mereka.
Kredit: Nina Muslim/BERNAMA
Saintis implementasi UM Dr Rumana Akhter Saifi memberitahu Bernama bahawa stigma dan diskriminasi terhadap orang yang dijangkiti HIV (PLHIV) merupakan perkara biasa, khususnya bagi komuniti rentan seperti MSM. Sains implementasi merupakan disiplin yang membantu adaptasi amalan dan penyelidikan saintifik dalam kehidupan seharian.
"Stigma dalam kalangan pegawai perubatan sangat tinggi. Anda akan terkejut betapa ramai, bukan sahaja doktor tetapi juga pelajar perubatan (mempunyai stigma ini),” katanya.
Amat penting untuk stigma ini ditangani bagi menggalakkan golongan berisiko menjalani ujian, mengambil langkah pencegahan seperti Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) dalam bentuk pil setiap hari bagi mencegah virus daripada menguasai sistem tubuh, serta mendapatkan rawatan untuk mengekang penularan. Justeru, amat penting stigma dalam kalangan penyedia perkhidmatan kesihatan dikurangkan dan ini dapat dicapai menerusi latihan dan terapi audio visual.
INTERVENSI BUKAN MANUSIA
Pada masa sama, rakyat Malaysia yang berisiko perlu mendapatkan bantuan tanpa menunggu para doktor “melihat” mereka sebagai manusia. Dalam keadaan ini, adakala perlu ketepikan aspek manusia dan gantikan dengan sikap pura-pura yang sebenarnya lebih membantu.
Sebuah pasukan penyelidik diketuai oleh Dr Rumana sedang bekerjasama dengan penyelidik daripada Yale University, membangunkan Chatbot AI yang dijanjikan dapat menyediakan “strategi pencegahan HIV yang disesuaikan dengan budaya” bagi meningkatkan ujian HIV. Buat kali pertama generasi AI seperti ChatGPT digunakan khusus untuk menggalakkan pengujian, demikian menurut kenyataan pasukan penyelidik itu.
"Mereka yang mengambil bahagian dalam kajian ini akan memuat turun Chatbot itu dan memperoleh maklumat tentang klinik mesra MSM serta pautan untuk penjagaan, di mana Chatbot akan memberikan jawapan,” kata Dr Rumana yang juga ahli Pusat Kecemerlangan bagi Penyelidikan berkaitan AIDS (CERIA).
Dr Rumana berkata Chatbot juga akan menyediakan kit ujian kendiri jika diminta, dan tambah beliau lagi, semua data tersebut adalah tanpa nama. Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tarikh pelancaran.
Selain daripada itu, terdapat pelbagai aplikasi kesihatan bagi menampung keperluan kumpulan terpinggir ini.
Majlis AIDS Malaysia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan, menyediakan pautan pada laman sesawangnya untuk penilaian HIV dan menempah atau membeli kit ujian kendiri menerusi inisiatif TestNow.
Ia juga mempunyai aplikasi dinamakan JomPrEP, menyasarkan MSM dan transgender, namun menumpukan pada penyediaan PrEP kepada mereka yang diuji negatif HIV tetapi terlibat dalam tingkah laku berisiko. Aplikasi ini sedang diuji dan hanya dapat diakses oleh peserta kajian.
Telefon pintar. Gambar hiasan.
Presiden Majlis AIDS Malaysia Prof Madya Raja Iskandar Raja Azwa berkata aplikasi itu yang diubah suai daripada aplikasi mudah alih kesihatan (mHealth), dibangunkan oleh University of Connecticut and Yale University, turut menyediakan senarai klinik dan kemudahan kesihatan yang mesra komuniti ini.
"Umumnya, bagi golongan rentan atau kelompok yang terpalit stigma, kita perlu mencari jalan di luar kebiasaan untuk sampai kepada mereka kerana golongan ini selalunya tidak pergi ke kemudahan tradisional berikutan ada kebimbangan kemudahan ini tidak mengalu-alukan kedatangan mereka,” katanya.
Beliau berkata kajian keratan rentas mendapati hampir kesemua MSM menggunakan atau ada akses kepada telefon pintar dengan 99 peratus daripada mereka mengakses Internet setiap hari menggunakan telefon pintar.
“BERSEMBUNYI”
Sikap masyarakat yang keberatan untuk membincangkan seks menyukarkan pihak berkuasa mendidik dan menggalakkan penggunaan kondom sebagai pencegah HIV dan penyakit kelamin. Tambahan pula, penggunaan kondom membawa pelbagai masalah termasuk kadar pematuhan yang rendah.
PrEP pula lebih mudah diamalkan oleh orang ramai, menjadikannya lebih berkesan. Kajian efikasi oleh Yong et al pada 2024, mendapati terapi itu dapat mengurangkan risiko transmisi lebih 90 peratus. Meskipun begitu, penggunaan terapi ini tetap mengundang kecaman.
Awal tahun ini, terdapat bantahan terhadap tindakan pihak berkuasa kesihatan membekalkan PrEP secara percuma atau berbayar kepada komuniti berisiko. Mufti daripada Pulau Pinang dan Selangor masing-masing berkata pemberian terapi itu kepada orang yang memerlukan, akan menggalakkan kegiatan homoseksual yang dilarang dalam Islam.
Bagaimanapun isu itu reda selepas Jabatan Mufti Perlis mengeluarkan kenyataan menyokong penggunaan PrEP dengan berkata “ mereka berpendapat mudarat penyebaran HIV yang boleh berjangkit secara meluas adalah lebih besar berbanding mudarat penyalahgunaan PrEP untuk menggalakkan perbuatan seks songsang.”
Sekalipun begitu, setiap kecaman dan kritikan mendorong kelompok ini “bersembunyi”, dan walaupun intervensi dalam talian mungkin dapat mengesan mereka, ahli komuniti ini mungkin berasa tidak selesa berkongsi perihal seksual dan tabiat menagih dadah mereka dengan aplikasi atau penyedia penjagaan kesihatan masing-masing.
Walaupun pengambilan dadah secara suntikan hanya mewakili sebilangan kecil kes HIV, bahan terlarang itu masih menjadi penyebab. Bukan untuk khayal, tetapi mereka menyalahgunakan bahan jenis amfetamin (ATS) seperti ecstasy, syabu, yaba atau pil kuda bagi membantu mereka melakukan rutin harian dan aktiviti seks.
Kit ujian kendiri HIV. Gambar hiasan.
Nur Afiqah menemukan isu ini dalam data yang diteliti beliau, dan bahawa MSM, yang secara tipikalnya mengutamakan kesihatan, melaporkan kadar penggunaan dadah lebih rendah daripada jangkaan.
"Kumpulan MSM kurang cenderung untuk bercakap tentang penggunaan dadah kerana terdapat banyak implikasi undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan dadah. Dalam kelompok MSM ini terdapat ramai profesional dan disebabkan mereka golongan profesional (maka kesan yang akan diterima mereka lebih besar),” katanya.
Beliau berkata akan timbul masalah jika mereka yang inginkan bantuan HIV tidak dapat memaklumkan penyedia penjagaan kesihatan tentang penggunaan dadah mereka, kerana pengambilan ATS berpotensi mengganggu terapi atau rawatan mereka, sama ada dari segi pematuhan atau peningkatan kelakuan berisiko.
Di bawah undang-undang Malaysia, doktor perlu melaporkan penyalahgunaan dadah kepada pihak berkuasa kesihatan. Pakar tidak berpuas hati dengan undang-undang ini kerana ia tidak menjelaskan perbezaan antara penggunaan dadah secara rekreasi dan eksperimen (cuba-cuba) serta ketagihan.
Hanya mereka yang sukarela menawarkan diri ke pusat pemulihan tidak akan mempunyai rekod jenayah.
Pengarah Program Dasar Dadah Yayasan AIDS Malaysia Palani Narayanan berkata pendekatan jenayah dan hukuman melibatkan dadah, menjejaskan usaha HIV/AIDS.
"Apabila anda menjadikan dadah sebagai jenayah, maka anda turut menjadikan orang yang menggunakan dadah itu sebagai penjenayah,” katanya.
“Justeru, apabila mereka lihat diri mereka sebagai penjenayah dan boleh ditangkap serta dipenjarakan, maka sudah pasti sukar untuk mereka tampil dan dapatkan bantuan,” tambah beliau.