Kehadiran Ikan Asing Ibarat Bom Jangka, Berisiko Hapuskan Hidupan Asal - Perikanan

R
asa gerun menyelinap ke sanubari penulis apabila melihat saiz ikan bandaraya dan keli Afrika yang dapat ditangkap oleh Kelab Slingshot Fishing Malaysia (SFM) di Sungai Klang di depan sebuah pusat beli-belah di sini baru-baru ini.

 Masing-masing sebesar lengan dan paha lelaki dewasa dengan berat purata enam dan 10 kilogram (kg), tidak dapat dibayangkan jika ikan bandaraya dan keli Afrika ini dibiarkan terus bermaharajalela dalam lembangan sungai kita.

Lebih-lebih lagi kedua-dua spesies ini hidup hingga berbelas tahun selain membiak dengan cepat dan dalam jumlah besar.

“Bagi saya ini bukan lagi isu sampingan tetapi isu negara. Saya merupakan pemancing tegar sejak 20 tahun lalu dan sepanjang tempoh itu, kami pemancing, dapati ikan domestik seperti toman, sepat dan haruan semakin sukar ditemukan, sedangkan dulu cukup mudah,” keluh Azahar Khalid, ahli SFM yang menyertai operasi pada hari berkenaan.

Malah katanya, pernah pada satu operasi sebelum ini kumpulan itu berjaya menangkap lebih 200 kg ikan bandaraya, tidak termasuk spesies invasif lain yang memenuhi sungai sama.

Berkekuatan 100 orang ahli, SFM yang ditubuhkan pada 2020 menangkap ikan terbabit menggunakan kaedah slingshot atau lastik "berpelurukan” damak atau dart yang lebih berkesan menembusi sisik  tebal ikan bandaraya, atau nama saintifiknya Hypostomus plecostomus, yang berasal dari Amerika Selatan itu.

"Kita gunakan kaedah ala tempuling ini kerana slingslot pastikan dart dapat capai jarak jauh dan dart itu pula diperbuat daripada besi khas yang dapat tembusi sisik ikan. Selepas itu, kita akan tarik dart berserta ikan,” jelas Azahar, menambah pengalamannya sebagai pemancing membantu beliau mengenal pasti jenis ikan hanya menerusi kilasan di permukaan air.

Tambahnya lagi, ikan invasif yang dapat ditangkap akan dijual kepada peraih, dilupuskan atau dijadikan baja kompos.

 

MUDAH BERADAPTASI

Menyifatkan dominasi ikan pendatang invasif sebagai bom jangka yang berpotensi menghapuskan populasi ikan asal sungai negara kita, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan (DoF) Datuk Adnan Hussain berkata masalah itu sukar diselesaikan kerana masih ramai yang tidak memahami impak kehadiran ikan terbabit ke atas ekosistem sungai negara.

Ahli SFM bergambar bersama ikan keli Afrika bersaiz gergasi yang berjaya ditangkap mereka baru-baru ini. Kredit gambar Muhammad Basir Roslan.

“Ikan pendatang merujuk ikan yang tidak berasal dari kawasan itu, tetapi dibawa masuk oleh manusia atas pelbagai tujuan, misalnya ikan tilapia dan keli Afrika sebagai sumber protein, ikan koi dan arapaima sebagai ikan hiasan. 

“Ikan gambusia (ikan longkang) pula digunakan untuk mengawal nyamuk. Selain itu, ada juga ikan pendatang yang masuk ke perairan kita secara tidak sengaja, contohnya melalui bahagian bawah kapal atau terlepas dari kepungan akuakultur,” jelasnya ketika dihubungi Bernama.

Menurut beliau, ada dua jenis ikan pendatang, iaitu spesies yang tidak membawa kesan buruk dikenali sebagai spesies naturalisasi, jenis ikan yang dijadikan sumber pendapatan kepada pengusaha seperti ikan lampam Jawa dan sepat Siam.

“Yang merosakkan ekosistem pula dikenali sebagai spesies invasif dan berisiko memberikan impak ekologi yang akhirnya mengancam keseimbangan ekosistem seperti yang berlaku dengan kes udang kara air tawar  (redclaw crayfish) yang mula berlambak dalam ekosistem kita selepas diperkenalkan lebih 15 tahun lalu,” katanya. 

Berdasarkan Kajian Ikan Asing di Perairan Darat Semenanjung Malaysia, dominasi spesies ikan asing yang ketara berasal daripada ikan ternakan komersial dan ikan hiasan seperti tilapia (Oreochromis mossambicus), keli Afrika (Clarias gariepinus), baung ekor merah (Hemibagrus wyckioides) dan ikan bandaraya.

Penyelidikan DOF melalui Institut Penyelidikan Perikanan Glami Lemi juga mendapat ikan bandaraya, udang kara air tawar dan ikan merak atau peacock bass cukup dominan di perairan Semenanjung.

Menurut Adnan, sekalipun data rasmi tentang kesan kehadiran ikan pendatang ini terhadap pendaratan ikan sungai tempatan masih dalam pengumpulan, DoF menerima banyak aduan daripada nelayan yang berdepan kemerosotan hasil tangkapan bernilai tinggi selain alat tangkapan dirosakkan oleh ikan invasif.

“Lebih membimbangkan, ikan pendatang mudah beradaptasi dengan persekitaran termasuk pencemaran sungai,” katanya.

 

MARABAHAYA

Mengulas lebih lanjut, Adnan berkata kehadiran ikan invasif dalam ekosistem sungai kita mewujudkan persaingan sengit dengan spesis tempatan dari segi makanan, ruang dan tempat pembiakan.

Ahli Kelab SFM antara kelab penangkap ikan pendatang yang cukup aktif membantu negara membasmi isu ikan pendatang. Kredit gambar Muhammad Basir Roslan.

“Ikan invasif lebih agresif selain cepat berkembang biak, sekali gus boleh mengurangkan populasi spesies tempatan. Selain itu, yang jenis pemangsa pula akan memburu spesies ikan asal menyebabkan ketidakseimbangan populasi.

“Antara ikan pemangsa ialah baung ekor merah yang berpotensi mengancam populasi ikan tempatan seperti temoleh, kelah, sepat dan udang galah. Ikan ini juga membesar dengan cepat, meningkatkan lagi ancaman ke atas ikan tempatan,” tambahnya.

Selain itu katanya, ada ikan invasif yang mengorek tebing sungai untuk dijadikan habitat serta tempat bertelur, sekali gus mengubah struktur habitat, mempengaruhi kualiti air dan merosakkan ekosistem akuatik secara tidak langsung. Bahkan, ikan pendatang boleh membawa penyakit atau parasit baharu yang mampu merosakkan spesies tempatan,” tegas beliau.

Menurutnya, antara penyakit yang biasa dibawa oleh ikan pendatang ialah Edwardsiellosis (boleh menyebabkan kerosakan hati dan pankreas ikan), Columnaris (penyakit yang menyerang kulit ikan hingga berlaku pembusukan tisu) serta White spot syndrome yang mengancam spesies tempatan.

Pada masa sama, jika dibiarkan, spesies invasif berpotensi memberi impak negatif kepada industri perikanan, akuakultur serta pelancongan, sekali gus menyebabkan kerugian ekonomi kepada negara.

 

TINGKATKAN PENGUATKUASAAN

Bagi menangani masalah itu, Adnan berkata pihaknya telah melaksanakan beberapa program termasuk menjalankan kajian dan pemantauan berkala bagi mengetahui status semasa perairan yang terjejas dengan kehadiran spesies ikan pendatang.

Ketua Pengarah DOF Datuk Adnan Hussain (kanan, bertopi biru). Kredit gambar DOF.

Aktiviti inventori ini dijalankan sepanjang tahun dengan kerjasama pejabat perikanan negeri, dan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), DoF telah melaksanakan 74 aktiviti inventori di seluruh negara.

“DoF juga aktif menjalankan program mitigasi menerusi program pemburuan ikan asing dengan kerjasama pelbagai pihak seperti pemburuan ikan bandaraya dan baung ekor merah. Sejak 2022 hingga kini, kami telah menjalankan 15 program sedemikian, melibatkan kerajaan negeri, komuniti tempatan, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan, syarikat swasta dan universiti,” katanya.

Selain itu, DoF turut mengadakan kempen kesedaran untuk pelbagai lapisan masyarakat yang menunjukkan hasil positif apabila semakin ramai rakyat yang membantu mengurangkan populasi ikan pendatang terbabit,

“Program bersama komuniti dan kerjasama syarikat di Sungai Kuyoh, Selangor misalnya, menampakkan hasil yang boleh dibanggakan apabila berlaku penurunan ketara dari segi tangkapan ikan pendatang, iaitu daripada 600 kg  pada satu ketika kepada 159 kg (terkini),” katanya.

Menurut beliau, dari segi penguatkuasaan undang-undang pula, Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-peraturan Perikanan mempunyai peruntukan yang melarang import, menjual, memelihara, menyimpan atau mempamer spesies ikan larangan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan.

Mereka yang mahu berbuat demikian perlu mematuhi beberapa syarat dan pelanggaran akta membolehkan mereka dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya.

Lambakan ikan pendatang yang ditangkap biasanya akan diproses untuk dijadikan baja kompos tanaman. Kredit gambar DOF.

"Sebelum ini, jabatan melakukan pemeriksaan dan memberi amaran sahaja kepada pemilik premis yang memiliki ikan larangan agar memohon kebenaran secara sah daripada Jabatan.

“Bermula 2022, jabatan mengambil tindakan lebih tegas setelah mengambil kira ruang dan peluang yang telah cukup sebagai kesedaran diberikan dengan melakukan rampasan ikan larangan tersebut,” katanya menambah, sepanjang tahun ini setakat November, DoF telah merampas ikan larangan pelbagai genus dan spesies berdasarkan Jadual 2, Peraturan, bernilai kira-kira RM24,552.

 

DEMI MASA DEPAN

Adnan berkata pihaknya juga mengambil pelbagai langkah bagi mengekalkan kelangsungan spesies tempatan seperti patin buah, kelah dan udang galah menerusi pembenihan dan pelepasan semula ke habitat liar.

Sebanyak 13 santuari ikan asli telah diwujudkan untuk melindungi habitat spesies ikan terbabit dan sepanjang RMK12 sebanyak 23.9 juta benih ikan telah dilepaskan ke perairan asal dengan peruntukan berjumlah RM1.5 juta.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga menjalinkan kerjasama dengan pihak universiti bagi mendapatkan input daripada penyelidik yang terlibat dalam kajian ikan asing atau invasif. 

“Jabatan Perikanan juga bekerjasama dengan NGO dan komuniti setempat untuk memulihkan habitat, meningkatkan kesedaran dan mendidik generasi akan datang. Melalui usaha-usaha murni ini, jabatan berharap ekosistem sungai dapat dipulihkan dan kembali menjadi rumah yang subur dengan kehidupan, menawarkan sumber rezeki yang lestari dan keindahan alam yang tak ternilai untuk dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya.

 -- BERNAMA

Untuk video tangkapan ikan pendatang oleh ahli kelab SFM, boleh layari:

 

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.