B
agi kebanyakan wanita, apabila disahkan hamil, pastinya akan rasa teruja terutamanya bagi mereka yang bakal bergelar ibu buat kali pertama.
Namun, di sebalik rasa gembira sementara menantikan kehadiran “orang baharu” dalam hidup, ada banyak perkara yang perlu diberi perhatian kerana kehamilan merupakan satu proses yang akan mengubah keadaan biologi seseorang wanita.
Perubahan-perubahan yang berlaku berserta faktor-faktor lain seperti genetik, boleh menyebabkan bakal ibu mengalami kehamilan berisiko tinggi yang berpotensi menjejaskan kesihatannya dan juga kesejahteraan bayi dalam kandungan.
Justeru, bakal ibu perlu melengkapi diri dengan pengetahuan yang cukup agar dapat mengambil langkah-langkah penjagaan bagi memastikan dirinya serta kandungan berada dalam keadaan baik, seterusnya melahirkan bayi yang sihat.
TRIMESTER PERTAMA
Pakar Perunding Obstetrik dan Sakit Puan daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) Dr Nor Elyana Noordin berkata bakal ibu tidak boleh sekali-kali mengabaikan kesihatan kandungan dan perlu sentiasa peka dengan keadaan diri dan bayi.
Beliau berkata penjagaan kehamilan amat penting terutamanya semasa trimester pertama, kerana tempoh itu merupakan asas kepada kehamilan yang sihat selain memastikan janin berkembang dengan baik.
“Pada peringkat awal ini (trimester pertama), organ dan struktur bayi mula terbentuk, termasuk jantung, otak dan saraf tunjang. Trimester pertama merupakan tempoh yang sensitif dan akan memberi kesan besar kepada perkembangan bayi.
Penjagaan kehamilan amat penting terutamanya semasa trimester pertama. (Gambar SMVC)
“Selain itu, keguguran sering kali berlaku terutamanya pada trimester pertama kehamilan, iaitu dalam tempoh 12 minggu pertama, dan kajian menunjukkan kira-kira 10 ke 20 peratus kehamilan berakhir dengan keguguran (dalam tempoh itu),” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata keguguran mudah berlaku disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya genetik, ketidakseimbangan hormon ibu, gaya hidup dan persekitaran tidak sihat, struktur rahim serta jangkitan bakteria tertentu seperti rubella dan cytomegalovirus, yang boleh menjejaskan perkembangan janin dan menyebabkan keguguran.
Namun begitu katanya, kebanyakan keguguran berlaku secara rawak dan tidak berpunca daripada ibu semata-mata.
Selain itu kata Dr Nor Elyana, dalam tempoh trimester pertama juga biasa berlaku bayi meninggal dalam kandungan atau janin tidak berkembang dengan baik.
“Biasanya kes sebegini berlaku disebabkan oleh uri bermasalah seperti tidak dapat menyalurkan oksigen dan nutrien secukupnya kepada bayi. Keadaan ini menyebabkan janin tidak dapat berkembang dengan baik atau meninggal dalam kandungan.
“Masalah seperti placental insufficiency (uri tidak dapat memberikan cukup oksigen dan zat kepada bayi dalam kandungan) atau placental abruption (uri terpisah daripada dinding rahim lebih awal) juga perkara yang biasa terjadi pada tempoh ini,” tambahnya.
PENYAKIT KRONIK
Mengulas lanjut, beliau berkata wanita hamil yang mempunyai masalah kesihatan kronik seperti diabetes yang tidak terkawal, obesiti, tiroid, penyakit jantung dan tekanan darah tinggi, cenderung memberi kesan negatif terhadap perkembangan janin.
Jelasnya, wanita hamil yang disahkan mempunyai diabetes yang tidak terkawal pada peringkat awal kehamilan boleh menyebabkan kecacatan pada sistem saraf, jantung, organ pencernaan dan kecatatan fizikal lain kepada bayi.
‘’Jika tahap gula dalam darah ibu tidak dikawal dengan baik, ia juga boleh meningkatkan risiko masalah perkembangan janin seperti intrauterine growth restriction (IUGR), iaitu satu keadaan bayi membesar lebih perlahan dan lebih mudarat lagi ialah kematian bayi.
“Begitu juga dengan obesiti yang akan meningkatkan risiko kemungkinan bayi (bersaiz) besar sekali gus menyebabkan komplikasi semasa kelahiran,” katanya.
Menurut Dr Nor Elyana, obesiti turut dikaitkan dengan risiko kecacatan tiub saraf dan masalah jantung pada bayi berikutan ketidakseimbangan hormon dan metabolik yang akhirnya menjejaskan perkembangan janin.
“Penyakit jantung yang serius juga boleh menjejaskan bekalan oksigen yang disalurkan kepada janin. Bekalan oksigen yang kurang ini boleh menyebabkan perkembangan janin terhalang dan meningkatkan risiko IUGR.
Pakar Perunding Obstetrik dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) Dr Nor Elyana Noordin
“Ibu yang mempunyai penyakit jantung juga berdepan dengan risiko kelahiran pramatang yang meningkatkan kemungkinan masalah kesihatan pada bayi seperti perkembangan paru-paru yang tidak matang,’’ tambahnya.
Dalam pada itu, beliau berkata penyakit talasemia yang dihidapi oleh si ibu juga boleh mempengaruhi perkembangan kandungan.
Penghidap talasemia berisiko mengalami anemia (kekurangan sel darah merah) semasa mengandung dan mereka berkemungkinan berdepan kesukaran sepanjang tempoh sembilan bulan kehamilan.
“Talasemia ialah penyakit genetik yang menjejaskan penghasilan hemoglobin. Sekiranya ibu atau kedua-dua ibu bapa adalah pembawa talasemia, risiko bayi mendapat penyakit ini lebih tinggi sehingga menyebabkan janin mengalami anemia serius, yang seterusnya boleh menjejaskan perkembangan dan kesihatan bayi dalam kandungan.
“Dalam kes talasemia major atau talasemia yang serius, janin boleh mengalami hydrops fetalis, di mana terdapat pengumpulan cecair yang berlebihan dalam badan bayi. Keadaan ini sering membawa risiko kematian janin dalam kandungan,” jelas beliau.
KECACATAN BAYI
Mengulas lanjut, Dr Nor Elyana berkata wanita yang melalui kehamilan berisiko perlu diberi perhatian khusus kerana mereka berdepan dengan komplikasi kecacatan janin serta kematian bayi dalam kandungan.
Katanya, wanita yang dikenal pasti melalui tempoh kehamilan berisiko perlu mendapatkan pemeriksaan antenatal yang dikendalikan pakar perubatan.
“Wanita yang kurang berisiko kebanyakannya terdiri daripada kelompok usia 20 hingga 35 tahun, tidak obes dan tiada sejarah penyakit terdahulu.
‘’…dan bagi kes kecacatan bayi, kecacatan jantung adalah yang selalunya ditemukan termasuk kes berkaitan lubang di antara dinding jantung, masalah dengan injap jantung atau pembuluh darah yang tidak normal.”
Kecacatan lain yang direkodkan katanya, termasuklah kecacatan tiub saraf (seperti Spina bifida dan Anencephaly), sindrom down, sumbing bibir dan lelangit, cerebral palsy, sistem pencernaan dan kecacatan pembentukan anggota badan.
Selain itu, pendedahan ibu kepada bahan kimia serta pengambilan ubat terlarang semasa kehamilan juga menyebabkan kecacatan fizikal dan mental bayi.
“Kes berkaitan kecacatan bayi ini tidak terkecuali juga kepada wanita hamil yang merokok dan mengambil alkohol. Tindakan mereka ini memberikan kesan mudarat dan implikasi negatif kepada janin, termasuklah dari segi perkembangan janin serta kelahiran bayi pramatang,” katanya.
NASIHAT DAN PEMERIKSAAN
Sehubungan itu, Dr Nor Elyana menyeru wanita hamil agar mendapatkan nasihat pakar perubatan untuk penjagaan kesihatan yang sesuai bagi mengelakkan sebarang risiko kehamilan, bukan sahaja kepada ibu malah juga bayi.
Beliau berkata dengan mendapatkan nasihat awal, wanita hamil terutamanya daripada kumpulan mereka yang berusia, boleh merancang diet yang betul, senaman serta pengambilan suplemen untuk menyokong kesihatan mereka dan perkembangan bayi.
Wanita kehamilan berisiko perlu diberi perhatian khusus kerana berdepan dengan komplikasi kecacatan janin. (Gambar SMVC)
“Wanita berusia 35 tahun ke atas mungkin berisiko tinggi untuk mengalami pelbagai masalah kesihatan semasa kehamilan seperti darah tinggi, diabetes serta pelbagai lagi komplikasi penyakit lain.
‘’…dan berdasarkan rekod juga wanita yang hamil pada usia lebih tua dilihat berisiko tinggi untuk melahirkan bayi dengan kecacatan genetik seperti sindrom down dan kelainan kromosom lain. Ini kerana peluang mutasi genetik meningkat seiring dengan peningkatan usia ibu,” katanya.
Beliau berkata menerusi pemeriksaan pranatal, pakar perubatan boleh mengesyorkan ujian saringan tambahan termasuk non-invasive prenatal testing (NIPT) bagi mengesan sebarang kecacatan genetik.
Jelasnya, ujian itu boleh dilakukan seawal minggu ke-10 kehamilan dengan menggunakan sampel darah ibu bagi mengesan masalah yang mungkin timbul sepanjang fasa kehamilan tersebut.
“Ujian darah dapat mengenal pasti faktor risiko yang mungkin menunjukkan kehadiran kecacatan, termasuk penanda genetik seperti trisomi 21 (sindrom down).
“Ibu-ibu perlu menghadiri semua janji temu pemeriksaan pranatal yang telah ditetapkan supaya doktor boleh mengesan sebarang masalah yang mungkin timbul pada peringkat awal kehamilan,” katanya.
Beliau berkata pemakanan yang seimbang dan pengambilan nutrien penting seperti asid folik, zat besi dan kalsium adalah kritikal untuk perkembangan janin.
“Apa yang penting ibu-ibu juga memerlukan sokongan emosi daripada orang sekeliling mereka. Berkongsi perasaan dan kebimbangan sepanjang proses kehamilan sehingga kelahiran berupaya membantu mengurangkan tekanan para ibu, sekali gus memberikan pengalaman kehamilan yang terbaik buat mereka,” ujarnya.
-- BERNAMA