Wajibkah Hidangan Mewah Ketika 'Makan Besar'?

M
asyarakat Cina di seluruh dunia bakal menyambut ketibaan Tahun Ular pada Rabu ini dan acara yang paling ditunggu-tunggu oleh seisi keluarga sudah semestinya “makan besar” yang diadakan pada petang sebelum ketibaan tahun baharu.

Acara ini dianggap paling penting kerana ketika itu kesemua ahli keluarga, jauh atau dekat, akan pulang ke kampung halaman untuk menikmati makan malam bersama-sama.

Bagi kebanyakan keluarga Cina, tradisi ini tidak boleh dibuat ala kadar kerana bukan mudah untuk menghimpunkan semua ahli keluarga pada hari-hari lain, terutama bagi yang tinggal jauh di perantauan, selain sibuk dengan kerjaya dan keluarga masing-masing.

Lebih-lebih lagi makan besar juga membawa makna yang mendalam, iaitu lambang perpaduan yang mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Namun, mengambil kira semua aspek itu, apakah perlu disediakan hidangan mewah pada acara berkenaan?

Acara 'makan besar' tetap bermakna setiap tahun sama ada di restoran ataupun di rumah

MAKNA DI SEBALIK MAKAN BESAR

Bagi Pengurus Bersama Bai Chuan Management Sdn Bhd yang menguruskan Kwai Chai Hong di Jalan Petaling, Zeen Chang,  tradisi makan besar sangat dititik berat oleh keluarganya, terutamanya nenek di sebelah ayahnya. 

"Jika keluarga kaum Cina itu mempunyai anak lelaki sulung, kesemua ahli keluarga akan berkumpul di rumahnya untuk acara makan besar. 

"Tanggungjawab anak lelaki sulung, sama ada bujang ataupun sudah berkeluarga, adalah sebagai hos untuk menguruskan menu-menu yang bakal dihidangkan pada makan besar dan acara-acara sampingan sementara menunggu detik 12 tengah malam yang kita namakan sebagai 'Shou Shui' (menanti umur baharu). 

"Jika kita memilih untuk makan di restoran pula, kebiasaannya anak lelaki sulung akan belanja namun bagi kami sekeluarga selalunya akan mengambil giliran untuk tanggungjawab itu setiap tahun," katanya yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik. 

Cef Eksekutif Sunway Resort Hotel Peter Lee pula berkata makan besar merupakan tradisi turun-temurun yang harus dititikberatkan kerana ia merupakan acara sekali setahun.

Lebih-lebih lagi katanya bukan mudah untuk mengumpulkan kesemua ahli keluarga di sebuah meja makan kecuali pada acara-acara tertentu sahaja. 

Oleh itu, kebanyakan keluarga Cina mengambil berat  menu yang akan dihidangkan untuk makan besar dan tidak kisah berbelanja lebih bagi acara tersebut. 

"Contohnya pada tahun ini, kami menawarkan 'nine-course reunion dinner' merangkumi yee sang yang merupakan menu wajib 'starter', sebelum menghidangkan lapan menu lain seperti ikan masak stim, udang galah, sup ayam dan abalone serta 'poon choi' (sayur dalam periuk). 

"Setiap menu yang dihidangkan mempunyai makna tersendiri seperti ikan yang melambangkan keberkatan dan rezeki yang melimpah serta yee sang sebagai 'starter' untuk simbol kemewahan, kekayaan, kebahagiaan dan kemakmuran, supaya seisi keluarga dapat merasa tuahnya pada tahun baharu selepas makan besar " katanya kepada Bernama. 

Cef Eksekutif Sunway Resort Hotel, Peter Lee

 

PENYEDIAAN MAKAN BESAR 

Bagi usahawan yang juga pengasas bersama Jamboo Concept Store, Jenny Yeo, acara makan besar bukan hanya tertumpu pada berkumpul beramai-ramai dan makan bersama-sama, tetapi juga dari segi penyediaan makanan turut diberi perhatian.

Katanya, waktu menyiapkan hidangan juga dimanfaatkan untuk mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga. 

Yeo, 28, yang berketurunan Teochew  dari Muar, Johor  berkongsi pengalamannya membantu ibu menyediakan 'Hakka Lei Cha' yang melibatkan proses rumit dan memerlukan tenaga kerja yang ramai. 

"Proses penyediaan makan besar bersama ahli keluarga juga merupakan 'reunion' kerana ia melibatkan kerja berpasukan  ketika memasak beramai-ramai di dapur. 

"Sambil menyediakan bahan-bahan masakan dan berbual-bual merapatkan silaturahim, bekerja secara beramai-ramai juga menjadikan makanan dapat disediakan lebih cepat," katanya. 

Bagi kebanyakan 'makan besar', acara' Lao Sang' iaitu menggaul hidangan 'Yee Sang' sambil menyahut kata-kata berkat merupakan tradisi turun-temurun

Bagaimanapun bagi Teoh Yee Shen, 34, tradisi makan besar bukan hanya terletak pada menu dan lokasi tetapi juga makna di sebaliknya. 

"'Reunion dinner' boleh dilakukan di kedai mamak ataupun warung-warung tepi jalan. Tidak kisah makanan Cina ataupun Melayu ataupun lain-lain, asalkan kami sekeluarga dapat berkumpul beramai-ramai. 

"Lagipun 'reunion dinner' tidak semestinya perlu diadakan pada malam sebelum Tahun Baharu Cina, malah sepanjang 15 hari sambutan tahun baharu juga boleh diadakan  'reunion dinner' asalkan kesemua ahli keluarga berkumpul membuat sesuatu beramai-ramai. 

"Jika pulang ke kampung halaman, kami sekeluarga berkumpul dan membersihkan rumah bersama-sama beberapa hari sebelum sambutan. Itu pun boleh dikira sebagai 'reunion' juga kerana makna di sebalik 'reunion' itu sebenarnya berkumpul sekeluarga dan melakukan sesuatu secara bersama-sama'," katanya yang berasal dari Muar, Johor. 

Bagaimanapun menurut pekerja sektor swasta itu, tidak semua keluarga Cina berpandangan sedemikian kerana masih ramai, terutamanya generasi tua, yang sangat menitikberatkan tradisi makan besar sehinggakan wajib berbelanja besar. 

"Walaupun demikian, jika boleh, berbelanjalah secara berhemat dan bersederhana kerana makan besar bukan terletak pada makanan mewah dan lokasi seperti hotel dan restoran terkemuka, tetapi makna di sebalik acara itu," katanya. 

© 2025 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.