S
elepas sedekad, Malaysia kembali diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara atau ASEAN dengan sidang kemuncaknya dijadualkan di sini pada 6 dan 7 Mei depan.
Berbaki tidak sampai tiga bulan sebelum berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 itu, pelbagai saranan diketengahkan oleh pakar untuk dipertimbang oleh Malaysia dan dimajukan sebagai agenda utama mesyuarat 10 ketua kerajaan negara anggota perkumpulan yang ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 tersebut.
Sebagai sebuah negara yang diterajui oleh kerajaan perpaduan berpaksikan diplomasi dan toleransi, Malaysia kata mereka perlu menggunakan pendekatan itu untuk menjadikan perhimpunan ketua-ketua kerajaan ASEAN tersebut sebagai platform yang dapat merungkai kekusutan isu-isu rentas sempadan seperti penyeludupan manusia, jenayah penipuan dalam talian serta krisis kemanusiaan membabitkan pelarian Rohingya.
Kata mereka, perkumpulan ini juga sedang mendepani cabaran geopolitik serta geoekonomi yang semakin kompleks dan memerlukan kerjasama semua negara anggota bagi memastikan ASEAN kekal kukuh.
UTAMAKAN ISU KRITIKAL
Berkongsi pandangan, pensyarah kanan di Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Aizat Khairi berkata Malaysia perlu memanfaatkan peluang sebagai pengerusi untuk menekankan kesepakatan bagi menyelesaikan isu-isu kritikal membabitkan negara-negara anggota.
Dr. Aizat Khairi
“Memang benar, sejak penubuhannya pada 1967 hingga sekarang, ASEAN berpegang teguh pada prinsip tidak mencampuri urusan dalaman negara anggota serta membuat keputusan secara konsensus.
"Prinsip ini berjaya mengekalkan keamanan relatif di rantau ini tanpa tercetusnya konflik berskala besar. Namun, isu-isu semasa seperti ketegangan di Laut China Selatan, krisis pelarian Rohingya dan polarisasi politik serantau telah menguji ketahanan prinsip-prinsip tersebut.
"Walaupun ASEAN diakui sebagai contoh kejayaan kerjasama serantau, blok ini perlu lebih berani dalam menangani isu kemanusiaan tanpa mengorbankan semangat asal permuafakatan. Adaptasi terhadap cabaran baharu seperti keselamatan siber dan perubahan iklim juga perlu dilakukan dengan segera agar penyelesaian proaktif dapat dilakukan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menurut pakar dalam bidang Keamanan dan Konflik, Pelarian dan Migrasi, Keselamatan Rentas Negara (Kajian Sempadan) UKM itu, Malaysia juga harus menekankan kepentingan diplomasi proaktif dalam kalangan negara anggota bagi memastikan blok ini terus relevan dalam perebutan pengaruh antara kuasa besar Amerika Syarikat (AS) dan China.
"Pendekatan inklusif juga perlu diterapkan dengan melibatkan suara masyarakat sivil, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan generasi muda dalam proses membuat keputusan agar aspirasi ASEAN selari dengan keperluan semasa," katanya.
KRISIS MYANMAR
Mengambil krisis Myanmar sebagai antara isu kritikal yang perlu diutamakan, Aizat berkata isu kemanusiaan di negara itu ibarat duri dalam daging yang telah sekian lama menghantui ASEAN.
Katanya, isu itu jelas menunjukkan kegagalan tindakan kolektif ASEAN, dan Malaysia selaku pengerusi pada tahun ini perlu memanfaatkan peluang tersebut untuk memastikan pelaksanaan “Five-point Consensus” yang ditandatangani negara anggota pada April 2021.
“Kegagalan pelaksanaannya mendedahkan kelemahan dalam struktur prinsip ASEAN yang terlalu bergantung pada persetujuan semua pihak,” katanya.
Pelbagai saranan diketengahkan pakar untuk dipertimbang oleh Malaysia dan dimajukan sebagai agenda utama mesyuarat 10 ketua kerajaan negara anggota pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.--fotoBERNAMA.
Konsensus lima perkara itu merujuk gesaan agar junta Myanmar menghentikan segera keganasan ke atas negeri Rakhine; mengadakan dialog dengan semua pihak berkepentingan; pelantikan wakil khas bagi menyokong usaha damai dan dialog; membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan daripada ASEAN; serta membenarkan wakil khas ASEAN melawat dan berjumpa dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar.
Mengulas lanjut, Aizat berkata untuk menangani krisis itu, tekanan ekonomi secara kolektif perlu dikenakan ke atas rejim tentera Myanmar sambil memastikan bantuan kemanusiaan tiba kepada mangsa.
“Malaysia juga boleh mencadangkan ASEAN menimbang penubuhan pasukan pemantau neutral di sempadan negara jiran seperti Thailand dan Bangladesh untuk mengurangkan keganasan dan memudahkan proses pemulangan pelarian secara selamat,” katanya.
Berhubung usaha memperkukuh hubungan serantau, Aizat berpandangan langkah-langkah praktikal perlu diambil termasuk mempercepatkan integrasi ekonomi melalui pelaksanaan penuh Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang merangkumi pasaran lebih luas.
"Mekanisme respons krisis dengan segera perlu diwujudkan bagi menangani isu seperti migrasi paksa, bencana alam dan konflik bersenjata. Kerjasama keselamatan rentas sempadan juga harus diperkukuh, terutamanya dalam memerangi jenayah terancang seperti pemerdagangan manusia dan pengedaran dadah.
“Pendekatan kolaboratif ini bukan sahaja akan mengukuhkan daya tahan ASEAN tetapi juga meningkatkan kepercayaan antara negara anggota," katanya.
TINGKATKAN RELEVANSI ASEAN
Menyentuh peranan ASEAN di peringkat global, Aizat berkata Malaysia perlu mengambil peluang untuk mengembalikan kedudukan ASEAN sebagai blok serantau yang berpengaruh dalam era persaingan kuasa besar dan sistem dunia multipolar.
Untuk mencapai hasrat itu, beliau berkata Malaysia perlu menekankan prinsip ASEAN Centrality dengan bertindak sebagai mediator dalam isu-isu sensitif seperti pertikaian wilayah dan pelanggaran hak asasi manusia.
Selepas sedekad, Malaysia kembali menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN buat kali kelima.--fotoBERNAMA
"Selain itu, fokus kepada pembangunan ekonomi digital dan peralihan tenaga hijau boleh dijadikan teras utama dalam memperkukuh daya saing rantau ini.
“Pendekatan pragmatik dalam mengimbangi hubungan dengan kuasa luar seperti China, AS dan EU (Kesatuan Eropah) juga penting agar ASEAN tidak dilihat terikat dengan mana-mana pihak, seterusnya dapat menentukan hala tuju ASEAN dengan baik," katanya.
Aizat berkata tema “Keterangkuman dan Kemampanan” yang dibawa Malaysia selari dengan cabaran global semasa seperti perubahan iklim, ketidaksamaan ekonomi dan hal ehwal demokrasi.
"Sebagai pengerusi kelima sejak 1977, Malaysia perlu menterjemahkan tema ini ke dalam pelan tindakan secara konkrit. Contohnya, memperkenalkan inisiatif pendidikan serantau yang menekankan kesedaran alam sekitar dan inklusiviti sosial. Di peringkat ekonomi, kerjasama dalam projek tenaga boleh baharu dan teknologi hijau perlu dipergiat.
"Tema ini juga harus mencerminkan komitmen ASEAN untuk tidak meninggalkan mana-mana negara anggota dalam arus pembangunan, terutamanya negara kurang maju seperti Laos dan Kemboja," katanya.
Aizat turut mengharapkan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 menghasilkan keputusan yang memberi impak secara langsung kepada rakyat, antaranya penubuhan Pasukan Tindakan Kemanusiaan ASEAN yang mampu bertindak pantas dalam situasi bencana atau krisis.
Beliau berkata pengukuhan peranan Suruhanjaya ASEAN untuk Wanita dan Kanak-kanak (ACWC) juga penting dalam menangani isu gender, migrasi paksa dan perlindungan kanak-kanak.
"Di samping itu, kerjasama teknologi dengan rakan strategik seperti Jepun dan EU boleh membantu pembangunan kapasiti tempatan berskala besar.
“Forum Pemuda ASEAN pula perlu diinstitusikan secara tetap bagi memastikan suara generasi baharu diintegrasikan dalam dasar serantau, terutama bagi bidang pembangunan sosioekonomi dan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)," katanya.
TANGGUNGJAWAB BESAR
Sementara itu, Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa,Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dr Hussain Yusri Zawawi melihat kepengerusian ASEAN itu bermakna tanggungjawab besar dipikul oleh Malaysia dalam memperkukuh peranan perkumpulan sebagai sebuah organisasi yang berlandaskan keadilan, kemanusiaan dan hak asasi manusia.
Selain itu, ASEAN juga perlu dipastikan kekal relevan dalam menghadapi cabaran geopolitik serantau dan global seperti ketegangan di Laut China Selatan, isu Myanmar dan ketidaktentuan dalam hubungan kuasa besar China dan Amerika Syarikat.
“ASEAN perlukan kepimpinan yang cekap bagi mencari pendekatan seimbang dan inklusif dalam mendepani isu-isu tersebut.
“Justeru, Malaysia selaku pengerusi pada tahun ini, harus memastikan ASEAN kekal sebagai entiti yang bersatu dan tidak gentar dalam menyuarakan kepentingan serantau di pentas antarabangsa,” katanya kepada Bernama.
Dr. Hussain Yusri Zawawi
“Sebagai negara yang mempunyai kedudukan strategik dalam perdagangan antarabangsa, Malaysia perlu memanfaatkan peluang ini untuk mempercepat pelaksanaan inisiatif seperti Rangkaian Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), Pelan Tindakan Ekonomi ASEAN 2025 selain memperkukuh kerjasama dalam sektor tenaga dan teknologi hijau," tambah beliau.
Pakar itu berkata secara keseluruhannya tanggungjawab Malaysia selaku pengerusi ASEAN bukan sekadar tugas formal tetapi satu amanah untuk memastikan ASEAN terus berkembang sebagai sebuah organisasi yang berdaya saing, inklusif dan mampu menangani cabaran semasa.
"Malaysia perlu menggunakan peluang ini untuk memimpin ASEAN ke arah matlamat yang lebih mampan dan progresif, sejajar dengan aspirasi negara-negara anggotanya. Dengan pengalaman dan kepakaran diplomasi yang dimiliki, Malaysia diyakini mampu menggalas tanggungjawab ini dengan jayanya," katanya.
ANCAMAN SIBER
Merujuk cadangan yang dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar ASEAN menubuhkan Pasukan Petugas Jenayah Siber ASEAN yang mirip Interpol, Hussain Yusri berkata cadangan itu perlu dimajukan pada sidang kemuncak dan ditimbang secara serius oleh blok serantau tersebut.
“Penubuhan pasukan itu bertepatan dengan keperluan semasa dan harus dipertimbangkan secara serius oleh ASEAN berikutan rantau ini mengalami peningkatan serangan siber yang menyasarkan individu, syarikat dan institusi kerajaan.
"Tanpa mekanisme penyelarasan yang berkesan, negara-negara anggota menghadapi kesukaran dalam menangani ancaman ini secara kolektif. Dengan penubuhan pasukan petugas ini, ASEAN dapat memperkukuh keselamatan siber melalui kerjasama yang lebih erat dan efektif.
"Jenayah siber sering melibatkan pelaku yang beroperasi merentasi sempadan negara. Oleh itu, keperluan untuk pertukaran maklumat yang pantas dan sistematik antara negara anggota menjadi semakin kritikal. Pasukan petugas ini dapat berfungsi sebagai platform bagi negara-negara ASEAN berkongsi data, laporan insiden dan strategi pencegahan dengan lebih cekap," ulas beliau.
Sudah tentu sidang kemuncak ASEAN kali ini membawa harapan besar bagi negara-negara anggota dalam memastikan kestabilan serantau serta memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang.--fotoBERNAMA
Hussain Yusri berkata satu daripada cabaran dalam menangani jenayah siber ialah perbezaan dalam perundangan dan prosedur penguatkuasaan di setiap negara anggota, dan pasukan petugas ini boleh membantu menyelaraskan dasar-dasar berkaitan jenayah siber serta mempercepat tindakan penguatkuasaan terhadap pelaku jenayah rentas sempadan.
"Walaupun ASEAN mempunyai komitmen terhadap keselamatan serantau, terdapat jurang besar dalam sistem perundangan setiap negara. Sesetengah negara mungkin mempunyai undang-undang yang lebih ketat manakala yang lain mungkin lebih longgar dalam menangani jenayah siber. Penyelarasan ini memerlukan usaha berterusan agar setiap negara dapat mencapai kesepakatan bersama.
"Perkongsian maklumat berkaitan keselamatan siber memerlukan tahap kepercayaan yang tinggi antara negara-negara anggota. Namun kebimbangan terhadap kerahsiaan dan kemungkinan penyalahgunaan maklumat boleh menjadi penghalang kepada kerjasama yang efektif. Oleh itu, ASEAN perlu membina rangka kerja yang telus dan meyakinkan semua pihak untuk bekerjasama secara erat," jelasnya.
Pada masa sama, beliau mengetengahkan bahawa keupayaan teknologi di setiap negara tidak sama, sekali gus memberikan masalah dalam menangani ancaman siber berikutan kekurangan sumber manusia, kewangan dan infrastruktur yang diperlukan.
Justeru katanya ASEAN perlu memastikan bahawa setiap negara mendapat sokongan teknikal dan latihan yang mencukupi.
HARAPAN
Sementara itu, Hussain Yusri berkata isu keadilan, kemanusiaan dan hak asasi manusia masih membelenggu negara-negara ASEAN, dan Malaysia sebagai sebuah negara yang sentiasa memperjuangkan keadilan dan kesejahteraan rakyat, perlu memastikan nilai-nilai tersebut menjadi teras pada setiap dasar dan keputusan yang diambil ASEAN pada sidang kemuncak berkenaan.
"Isu hak asasi manusia merupakan perkara utama yang perlu diberikan perhatian, terutamanya dalam menangani soal pelarian, pekerja migran serta kebebasan bersuara di rantau ini.
“Malaysia boleh memainkan peranan sebagai pemangkin perubahan dengan menggesa negara-negara anggota meningkatkan perlindungan terhadap hak-hak individu serta mengukuhkan mekanisme penguatkuasaan bagi memastikan prinsip itu dihormati," katanya.
Beliau berkata ASEAN juga perlu mempergiatkan lagi usaha meningkatkan kesepaduan ekonomi dengan memastikan pelaksanaan Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) berjalan lancar, selain negara-negara anggota juga perlu mengurangkan halangan perdagangan serta mempercepat pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) bagi merangsang pertumbuhan ekonomi serantau.
"Dengan mengambil langkah proaktif dan membaiki aspek yang masih lemah, ASEAN mampu mencapai matlamatnya sebagai sebuah blok yang kukuh dan dihormati di peringkat antarabangsa," katanya.