B
ermula daripada kecederaan lutut yang menamatkan kerjayanya sebagai pemain bola sepak amatur pada 2003, Khairul Ikram Kamarul Bahrin mengalami masalah osteoartritis (OA) jauh lebih awal daripada kebiasaan, iaitu pada usia 35 tahun.
Ketika itu, keadaan lututnya yang sering bengkak berserta rasa sakit yang semakin serius, membuatkan dia berhenti daripada bersukan sekalipun masih mampu berjalan dan melakukan rutin harian lain.
“Saya putus ACL (ligamen krusiata anterior) semasa bermain bola. Buat pembedahan, tapi tidak lama selepas itu (ACL) koyak balik. Kali ini lebih teruk dengan rawan dan tulang pun rosak. Sejak itu, lutut saya memang tak sembuh… tak macam dulu,” kata jurutera perancang itu ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Menurutnya, pada 2020, dia menjalani imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) selepas keadaan lututnya bertambah serius, dan keputusan menunjukkan rawan lututnya haus teruk, iaitu gejala OA peringkat awal.
“Saya baru berumur 35 tahun pada masa itu, tapi doktor cakap lutut saya macam orang berumur 50 tahun. Saya sangat ‘down’. Nak solat pun kadangkala kena duduk atas kerusi. Sukan yang saya cintai kini sudah jadi sebuah mimpi ngeri,” kongsinya lagi.

Keadaan lutut Khairul Ikram Kamarul Bahrin yang sering bengkak dan sakit semakin serius, dan akhirnya pada 2020 MRI menunjukkan rawan lututnya haus teruk, iaitu gejala OA peringkat awal.
Hampir dua dekad menanggung derita, janji temu dengan pakar perunding ortopedik di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Badrul Akmal Hisham Md Yusoff pada awal 2022 mengubah keadaan Khairul Ikram yang kini berusia 40 tahun.
MASALAH UMUM, RAWATAN TERHAD
Osteoartritis lutut ialah penyakit sendi degeneratif yang sering berlaku dalam kalangan warga emas, tetapi kini semakin banyak dikesan pada golongan muda yang aktif secara fizikal. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 250 juta orang di seluruh dunia mengalami OA dengan lutut menjadi antara sendi paling kerap terjejas.
Di Malaysia, kajian tempatan menunjukkan hampir 10 hingga 20 peratus individu berumur 50 tahun ke atas menghidap OA lutut. Menurut kajian Global Burden of Disease Study 2019 pula, dianggarkan 33 juta individu berumur 30 ke 44 tahun mengalami OA lutut. Faktor penyumbang termasuk obesiti, kecederaan sukan, sejarah genetik serta penggunaan sendi yang berlebihan. Rawatan lazim termasuk ubat tahan sakit, fisioterapi, suntikan kortikosteroid atau asid hialuronik, dan dalam kes kronik, pembedahan penggantian sendi.

Osteoarthritis lutut adalah penyakit sendi degeneratif yang sering berlaku dalam kalangan warga emas, tetapi kini semakin menular dalam kalangan golongan muda. Kredit gambar free3d.com
Namun, bagi pesakit muda yang masih aktif dan tidak bersedia untuk pembedahan penukaran sendi lutut palsu, pilihan rawatan berkesan adalah terhad. Bagi yang menjalani pembedahan itu pula, mereka akan berdepan beberapa kekangan pergerakan seperti tidak dapat duduk bersila atau duduk di atas lantai, selain bagi yang beragama Islam perlu bersolat menggunakan kerusi. Namun, yang paling merisaukan ialah keperluan menjalani pembedahan kali kedua selepas 15 tahun bagi menggantikan sendi lutut palsu itu yang haus akibat penggunaan intensif. Semua itu menyebabkan rawatan jenis ini tidak begitu mendapat perhatian pesakit OA lutut.
Dari situ muncullah rawatan regeneratif seperti sel stem yang dirintis oleh Dr Badrul Akmal Hisham.
Pada 2016, penyelidik dan profesor di Fakulti Perubatan UKM ini memulakan usaha mengkaji penggunaan sel stem mesenkimal daripada tali pusat untuk rawatan penyakit ortopedik, khususnya OA lutut.
“Sel stem mempunyai potensi besar untuk merangsang pertumbuhan semula rawan yang rosak, sekali gus membantu membaiki fungsi sendi tanpa perlu melalui pembedahan penggantian sendi invasif,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.
PENCAPAIAN MEMBANGGAKAN
Kajian beliau meletakkan UKM sebagai institusi pertama di Malaysia yang berjaya menjalankan ujian klinikal rawatan regeneratif menggunakan sel stem mesenkimal ke atas enam pesakit dalam tempoh 2016 hingga 2018 dengan hasil yang sangat memberangsangkan.
“Kesemua pesakit yang terlibat dalam ujian klinikal ini menunjukkan pemulihan ketara, yang membolehkan mereka kembali menjalani kehidupan seperti biasa. Mereka tidak lagi perlu bergantung pada ubat penahan sakit dan dapat mengelakkan pembedahan penggantian sendi,” kata Dr Badrul Akmal Hisham.
Jelasnya, prosedur itu melibatkan pembedahan di bahagian lutut yang terjejas dan disusuli suntikan sel stem di bahagian tersebut selepas dua minggu pembedahan dijalankan.
“Tempoh pemulihan biasanya bergantung pada tahap kecederaan mereka. Jika terlalu serius, maka masa lebih lama diperlukan untuk sembuh,” jelas beliau.
Pencapaian itu menandakan kemajuan yang signifikan dalam bidang perubatan regeneratif di Malaysia. Penggunaan sel stem daripada tali pusat menawarkan alternatif rawatan yang berpotensi menggantikan atau menunda keperluan pembedahan penggantian sendi bagi pesakit osteoartritis lutut.
KEJAYAAN AWAL DAN POTENSI MASA DEPAN
HCTM, sebagai hospital akademik di bawah UKM, memainkan peranan penting dalam memperkasa inovasi rawatan sel stem bagi menyokong potensi pelancongan kesihatan, kata Dr Badrul Akmal Hisham.
Tambah beliau, hal itu juga seiring dengan misi HCTM untuk menyediakan rawatan berasaskan bukti yang selamat dan inovatif, selari dengan piawaian antarabangsa serta membangunkan pusat rujukan serantau dalam bidang perubatan regeneratif.

Ketua Pegawai Eksekutif KL Orthosports Sdn Bhd (KL Orthosports), Prof Madya Datuk Dr Badrul Akmal Hisham (empat, kiri) dan Pengarah Celler Therapeutics Sdn Bhd, Sasha Nordin (tiga, kiri)) bergambar semasa Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian (MoA) antara KL Orthosports Sdn Bhd dengan Celler Therapeutics Sdn Bhd serta pelancaran Malaysian Stem Cell Awareness Network di Kompleks HCTM.
“Melalui kerjasama strategik dengan institusi penyelidikan dan sektor swasta, HCTM komited memperkukuh kapasiti R&D. Visi HCTM ialah untuk menjadi peneraju dalam perkhidmatan kesihatan berteraskan inovasi, khususnya dalam rawatan sel stem serta muncul sebagai destinasi utama pelancongan kesihatan di peringkat serantau dan global," kongsinya.
Menurut beliau, komitmen itu diperkukuhkan lagi oleh UKM melalui kerjasama dengan KL Orthosports Sdn Bhd dan Celler Therapeutics Sdn Bhd, khususnya dalam perubatan regeneratif.
Selain itu, pelancaran “Malaysian Stem Cell Awareness Network” turut mencerminkan usaha untuk meningkatkan kesedaran serta pengetahuan masyarakat mengenai terapi sel stem.
Kejayaan ujian klinikal ini membuka peluang bagi peluasan akses rawatan sel stem kepada lebih ramai pesakit di Malaysia. Namun, untuk memastikan keberkesanan dan keselamatan rawatan ini secara meluas, aspek seperti kos rawatan, kelulusan regulatori serta infrastruktur perubatan perlu diambil kira.
“Dengan kejayaan ini, kami berharap dapat memberikan akses kepada lebih ramai pesakit yang memerlukan sambil terus memantau perkembangan kajian bagi memastikan kesan jangka panjang rawatan ini,” katanya.
Beliau turut berkongsi visi pihaknya untuk bekerjasama dengan lapan universiti awam termasuk universiti perubatan dan Konsortium Hospital Universiti Awam Malaysia (KHUAM) bagi menjalankan ujian percubaan pelbagai pusat dengan memfokuskan pada sekitar 500 pesakit.
"Berdasarkan kerjasama ini, kita berpendirian dalam tempoh kurang lima tahun lagi, rakyat Malaysia khususnya, bakal menikmati rawatan sel stem ini melalui universiti-universiti ini atau KHUAM," harapnya.
Pada masa sama beliau turut menekankan bahawa walaupun menunjukkan keputusan yang menggalakkan bagi pesakit dengan osteoartritis tahap awal hingga sederhana, rawatan itu bukanlah penyelesaian untuk semua kes.
“Walaupun rawatan ini menjanjikan kesan positif bagi banyak pesakit muda seperti dalam kes Khairul Ikram, kami perlu berhati-hati dalam memilih kes yang sesuai. Kejayaan rawatan bergantung pada tahap kerosakan sendi dan komitmen pesakit terhadap fisioterapi serta gaya hidup sihat selepas rawatan,” jelasnya.
PERLU TERUS BERINOVASI
Menurut Dr Badrul Akmal Hisham lagi, HCTM kini dalam proses menjalankan lebih banyak kajian klinikal untuk mengkaji keberkesanan rawatan itu dalam jangka panjang dan untuk pelbagai tahap kerosakan sendi.
“Ini adalah rawatan yang sangat berpotensi dan kami berharap ia dapat membantu lebih ramai pesakit di masa depan untuk mengelakkan pembedahan invasif yang lebih besar dan lebih berisiko,” tambah beliau.
Baginya, rawatan sel stem merupakan antara cabang inovatif dalam bidang perubatan regeneratif yang menunjukkan potensi besar bukan sahaja dalam merawat pelbagai penyakit kronik dan degeneratif, malah sebagai pemangkin kepada perkembangan sektor pelancongan kesihatan di Malaysia.
“Oleh itu, harapan utama kami agar rawatan ini dapat menjadikan Malaysia sebagai hab rawatan sel stem terkemuka di rantau Asia Tenggara, menarik pelancong kesihatan dari negara jiran dan antarabangsa yang mencari rawatan berteknologi tinggi pada kos yang kompetitif,” tambah beliau lagi.
Kemajuan dalam teknologi sel stem dijangka dapat meningkatkan lagi reputasi negara sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia, sekali gus merangsang keyakinan pelabur dan pelancong. Di samping itu, pertumbuhan dalam sektor ini akan memberi sumbangan ekonomi secara langsung melalui peningkatan jumlah pelancong kesihatan serta secara tidak langsung melalui penciptaan pekerjaan dan peningkatan kapasiti penyelidikan tempatan.
JANGAN MUDAH PUTUS ASA
Bagi Khairul Ikram pula, kejayaan rawatan itu bukan sekadar membolehkan dia kembali bersukan, bahkan sebenarnya turut memulihkan semangat dan keyakinan diri yang lama hilang.
“Bola sepak bukan sekadar hobi, tapi sebahagian daripada hidup saya. Bila saya tak boleh main, saya rasa sedih sangat. Tapi selepas rawatan ni, saya rasa macam diberi peluang kedua, dan saya tidak pernah berhenti bersyukur,” ujarnya.
Kepada mereka yang masih bertahan dengan kesakitan atau belum mendapatkan rawatan, dia menitipkan nasihat: “Ramai anggap sakit lutut tu normal bila umur makin meningkat. Tapi kalau kita masih muda dan aktif, dan lutut dah mula sakit, maka ketahuilah itu petanda awal. Lagi cepat kita dapatkan rawatan, lagi besar peluang untuk pulih sepenuhnya,” ujarnya.