S
elepas berdekad diutarakan, akhirnya Majlis Media Malaysia (MMM) menjadi realiti.
Ia menjanjikan era baharu ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam landskap media negara menerusi kawal selia kendiri tanpa banyak campur tangan kerajaan.
Namun, penubuhan MMM pada 2025 berlaku ketika media dan juga cara orang awam “menghadam” berita telah melalui perubahan drastik berbanding ketika idea itu dicetuskan pada 1973 oleh Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein.
Sekali gus membawa persoalan: Adakah penubuhannya itu sudah terlambat?
Pada hari ini, rakyat Malaysia lebih banyak menatal TikTok dan Instagram berbanding menonton laporan berita di televisyen. Begitu juga dengan akhbar, hanya segelintir yang masih setia membacanya. Iklan yang sebelum ini merupakan sumber pendapatan utama media, kini bertumpu pada pelayar web dan media sosial, dan kebanyakan ahli masyarakat pula enggan membayar untuk berita-berita yang disiarkan menerusi sekatan berbayar (paywall).
Kandungan yang dihasilkan dan disebarkan oleh pempengaruh, kecerdasan buatan (AI) serta akaun awanama (tanpa nama), bukanlah wartawan bertauliah yang dipandu kod etika serta undang-undang yang mengawal selia kenyataan berunsur fitnah dan palsu.
PENANTIAN YANG PANJANG
Penubuhan MMM mengambil masa yang lama. Sejak 1973, idea itu telah beberapa kali dibangkitkan namun tidak diusahakan menjadi kenyataan - sampailah sekarang. Majlis itu ditubuhkan secara rasmi selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Majlis Media Malaysia 2024 pada 26 Feb. Akta itu diwartakan pada 13 Jun.
Akta Majlis Media Malaysia 2025 berkuat kuasa pada Sabtu (14 Jun) lepas, serentak dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di sini. Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang hadir pada sambutan HAWANA itu mengumumkan nama 12 ahli lembaga pengasas MMM.
Menurut akta itu, MMM akan mempunyai 21 ahli lembaga yang terdiri daripada, antaranya wakil organisasi media, pertubuhan sivil dan agensi kerajaan serta pengamal media. Majlis itu bertanggungjawab menegakkan tataetika, menyelesaikan aduan serta menambah baik kebajikan petugas media termasuk wartawan bebas dan digital.
Pakar media serta pihak berkepentingan menyambut baik penubuhan MMM yang disifatkan sebagai satu langkah positif bagi melindungi kebebasan media. Laporan protem MMM 2020 merangkumi objektif seperti “(menggalakkan) pembangunan kewartawanan yang baik, sambil mewujudkan mekanisme untuk akauntabiliti awam yang bebas daripada campur tangan kerajaan semasa”.
MMM juga boleh mencadangkan pembaharuan ke atas undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) serta Akta Rahsia Rasmi (OSA), memandangkan pengkritik menyifatkan undang-undang tersebut sebagai halangan kepada kewartawanan penyiasatan berkualiti di negara ini.
Pada Forum Media HAWANA Sabtu lepas, ahli panel yang membincangkan topik “Malaysian Media Council: Regulator or Media Protector?’ memberitahu hadirin bahawa MMM akan menyokong penggubalan undang-undang baharu seperti Akta Kebebasan Maklumat (FOI).

Majlis Media Malaysian (MMC) pengerusi jawatankuasa pro-tem Premesh Chandran. --fotoBERNAMA (2025) HAKCIPTA TERPELIHARA
“Kami menggesa penggubalan akta itu agar wartawan boleh memfailkan petisyen untuk kerajaan mendedahkan maklumat,” kata bekas Pengerusi Jawatankuasa Protem MMM Premesh Chandran kepada Bernama ketika ditemui kemudian.
Gesaan agar dilakukan perubahan atau pemansuhan undang-undang seperti PPPA dan OSA semakin hebat, seiring dengan pelancaran MMM. Pada forum itu, Pengarah Eksekutif Centre for Independent Journalist (CIJ) Wathshlah G. Naidu berkata jawatankuasa protem MMM asal mengusulkan pemansuhan PPPA, namun “bahagian itulah yang pertama digugurkan” daripada draf akhir Rang Undang-Undang MMM.
Pada masa ini, hanya Selangor dan Pulau Pinang mempunyai enakmen FOI yang jangkauannya terhad. Di peringkat persekutuan, proses penggubalan akta FOI tidak mencatatkan perkembangan memberangsangkan.
ASAS TELAH BERUBAH
“Anda boleh lihat, setiap kali muncul teknologi baharu media akan berubah,” kata Premesh yang juga pengasas bersama Malaysiakini dan ahli pengasas MMM, di Forum Media HAWANA. “Jadi, apakah yang bakal datang? Teknologi baharu yang sedang berkembang hari ini ialah AI, dan ini sekali lagi akan menyusun semula keseluruhan landskap media. Bersama-samanya, model perniagaan media juga akan berubah.”
Sememangnya AI dan media sosial sudahpun mengubah cara rakyat Malaysia mendapatkan berita mereka. Walaupun saluran media arus perdana masih menjalankan tugasan berat dalam pelaporan asal, kandungan sering sampai kepada khalayak melalui cadangan algoritma, perkongsian tular atau ringkasan yang dijana AI. MMM tidak mempunyai bidang kuasa ke atas platform media sosial kerana perkara itu terletak di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Kajian terkini oleh Reuters Institute mendapati media sosial dan platform video merupakan sumber utama berita di Amerika Syarikat dengan lebih separuh (54 peratus) daripada responden menyatakan mereka dapatkan berita daripada Facebook, X (sebelum ini Twitter) dan YouTube. Sebanyak 50 peratus mendapatkan berita daripada laporan TV, sementara portal berita dan aplikasi lain pula 48 peratus.
Tinjauan itu juga mendapati tujuh peratus rakyat Amerika dengan 12 peratus daripadanya berusia bawah 35 tahun, menggunakan platform AI untuk mendapatkan berita. Pakar menjangka angka itu terus meningkat pada tahun-tahun mendatang. Sementara itu, ahli panel Forum Media HAWANA menyatakan sokongan pada AI dan komitmen mereka untuk menggemblengkan teknologi tersebut di bilik berita, namun MMM masih belum menggariskan sebarang strategi untuk memanfaatkan platform tersebut sebagai sumber berita.
Yang mereka tekankan ialah kepentingan mendidik dan memupuk kesedaran dalam khalayak umum tentang cara terbaik mendapatkan berita serta bagaimana hendak menanggapi salah maklumat daripada berita sahih.
Pada forum sama, Naidu menegaskan bahawa kuncinya ialah dengan membina keyakinan awam.
“MMM tidak boleh bersikap tertutup. Ia harus membina kepercayaan awam dan mendidik masyarakat agar mampu membuat pilihan yang bijak, kerana media sahaja tidak mampu menyaingi gema pendapat dan kandungan memecah belah yang tersebar melalui pelbagai platform.”
Namun begitu, penjanaan pendapatan kekal menjadi cabaran terbesar dalam menghasilkan kewartawanan berkualiti.
Selain isu etika dan peraturan, industri media kini bergelut dengan tekanan kewangan. Pendapatan iklan telah beralih kepada platform seperti Google dan TikTok. Organisasi media tempatan berdepan bilik berita yang semakin mengecil, gaji rendah dan penghijrahan bakat ke sektor yang menawarkan imbuhan lebih baik. Sesetengah wartawan bebas terpaksa menerbitkan sendiri kandungan mereka melalui Substack atau TikTok, semata-mata untuk kekal relevan.
Beberapa negara seperti Australia telah memperkenalkan undang-undang pembahagian hasil bagi platform yang meraih keuntungan daripada kandungan kewartawanan, namun Malaysia tidak menyusuli negara-negara berkenaan.
MENTAKRIFKAN KEWARTAWANAN
Satu cabaran utama MMM ialah menentukan siapa yang layak dipanggil wartawan dan adakah mereka termasuk di bawah bidang kuasa MMM.
“Wartawan warga bukan wartawan,” kata Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican, sarjana media di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
"Mereka cuma orang ramai yang memiliki telefon dan kamera yang hanya melaporkan (situasi di lokasi kejadian). Yang mengesahkan sesuatu berita atau memberikan kewibawaan kepada satu-satu kandungan ialah wartawan, bilik berita, organisasi berita dan media.”
Akan tetapi, ada yang berpendapat harus ada ruang untuk wartawan bebas dan wartawan digital - termasuk lepasan universiti yang baru menamatkan pengajian serta profesional terlatih yang diberhentikan kerja oleh media tradisional.
Premesh berkata sesiapa sahaja yang bersedia mematuhi piawaian dan kod etika yang akan ditetapkan oleh MMM, sama ada wartawan bebas ataupun daripada media tradisional, akan diiktiraf sebagai wartawan.
Tambahnya, MMM boleh menyediakan satu bentuk pensijilan sukarela bagi organisasi media bebas dan wartawan bebas yang komited kepada garis panduan etika yang ditetapkan. Namun, seperti yang dinyatakan oleh Premesh, ini juga memerlukan kesedaran awam dan kerjasama daripada platform berkenaan.
“Bagaimana kita mengurus atau menambah baik sebaran am agar orang ramai sedar berita itu datang daripada sumber berwibawa dan bukannya sumber tidak sahih. Dalam hal inilah majlis media boleh memainkan peranannya,” kata beliau.

Pengarah eksekutif Centre for Independent Journalism (CIJ) Wathshlah G Naidu. --fotoBERNAMA (2025) HAKCIPTA TERPELIHARA
PERMULAAN YANG BAIK
Amnya, penubuhan MMM merupakan satu langkah yang positif, walaupun landskap media kini telah banyak berubah sejak kali pertama ia dicadangkan oleh Tun Razak. Pemain industri daripada pelbagai peringkat menyambut baik penubuhan MMM sebagai satu langkah ke depan yang penting.
“Pastinya pentas HAWANA 2025 menjadi detik bersejarah buat kami warga media, untuk diraikan dengan senyuman kegembiraan apabila melihat majlis yang diimpikan akhirnya menjadi kenyataan,” kata Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah Datuk Lichong Angkui, seperti yang dilaporkan oleh Bernama.
Beliau berharap majlis itu tidak sekadar menjadi pengawal selia tetapi pelindung kebebasan media di Malaysia yang tidak terikat serta kuat. Harapan serupa turut diluahkan oleh Timbalan Pengerusi Persatuan Wartawan dan Pengamal Media Tawau Tamrin Jamil yang menyifatkan MMM sebagai “sistem sokongan penting” serta isyarat komitmen kerajaan terhadap pembaharuan institusi.
Kini, harapan itu perlu disusuli dengan tindakan bagi menangani kesan teknologi yang sedang berkembang, termasuk media digital dan AI Generatif, serta merangka garis panduan untuk pengamal media di Malaysia.
Ringkasnya, potensi MMM tidak dapat disangkal - ia boleh membina kepercayaan, melindungi wartawan dan mewujudkan asas etika yang seragam dalam industri dengan persaingan sengit ini, termasuk mencari jalan untuk menjana pendapatan bagi media tradisional, mengiktiraf bukan sahaja organisasi arus perdana tetapi juga suara bebas yang berwibawa, bekerjasama dengan pelbagai badan pengawal selia serta pemantau masyarakat sivil, dan secara aktif mendidik orang ramai tentang cara membezakan kewartawanan dengan “keriuhan”.
“Masalah kita tidak akan terus selesai sebaik sahaja majlis media ditubuhkan,” kata Premesh. “Tidak ada sesuatu pun yang dapat dibina dalam sehari. Yang penting ialah bagaimana kita gunakan peluang itu untuk capai apa yang kita mahu.”