B
ermula dengan cetusan idea Perdana Menteri pertama (Almarhum) Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, pembinaan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) mengambil masa kira-kira 15 tahun untuk siap, menggunakan kepakaran dan konsep yang tersedia pada ketika itu.
Kini berusia lebih empat dekad sejak dibuka kepada umum pada 1 Julai 1982, jalan yang menghubungkan Gerik, Perak dengan Jeli, Kelantan, dibina sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya serta dianggap satu pencapaian besar jabatan tersebut memandangkan ia tidak mempunyai banyak pengalaman dalam pembinaan lebuh raya sebesar itu.
Merentasi dua banjaran, iaitu Bintang dan Titiwangsa, jalan raya ini sarat dengan liku dan selekoh tajam serta laluan sempit dan berbukit, memberikan cabaran tersendiri kepada pengguna. Justeru, tidak menghairankan jika saban tahun ada sahaja kemalangan maut berlaku di jalan raya ini.
Namun, nahas ngeri yang meragut 15 nyawa anak muda dalam perjalanan pulang ke kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak pada 9 Jun lepas, membuka mata banyak pihak yang menggesa agar JRTB segera ditambah baik dan dinaik taraf.
REKA BENTUK TIDAK LAGI SESUAI
Menyifatkan struktur dan reka bentuk laluan itu tidak lagi memenuhi piawaian keselamatan jalan raya moden, Prof Madya Ng Choy Peng berkata memandangkan lebuh raya berkenaan dibina pada era 1970-an dengan aliran trafik rendah, struktur sedia ada tidak mampu menampung pertambahan kenderaan dan beban muatan semasa.
Justeru, pensyarah kejuruteraan awam daripada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia itu mengesyorkan agar keseluruhan reka bentuk JRTB diteliti semula dengan mengambil kira kemerosotan struktur akibat faktor alam semula jadi, peningkatan trafik termasuk kenderaan berat serta keperluan pengguna.

Kenderaan melalui Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dalam keadaan gelap dan sunyi berikutan kekurangan lampu jalan ketika tinjauan Bernama baru-baru ini.
“Bilangan kenderaan serta muatan semakin bertambah sekarang, dan reka bentuk asal JRTB yang dibina lebih lima dekad lalu tidak lagi mampu menampung keperluan semasa ini, justeru perlu dibina lebih banyak laluan mendaki serta lorong perlahan.
“Selain itu, di bahu jalan bersesuaian, bina lorong tambahan atau lebarkan lorong sedia ada bagi mengurangkan tekanan terhadap struktur asal jalan raya,” katanya kepada Bernama.
Beliau juga mengesyorkan pembinaan kawasan rehat dan rawat (R&R) tambahan di lokasi strategik bagi memberikan kemudahan kepada pengguna.
Pada masa ini hanya terdapat sebuah R&R di laluan tersebut, iaitu R&R Titiwangsa.
GANDINGAN TEKNOLOGI DAN INFRASTRUKTUR FIZIKAL
Sementara itu, pensyarah kanan di Jabatan Kejuruteraan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Nur Izzi Md Yusoff berkata penggunaan teknologi seperti sistem amaran awal cuaca dan navigasi pintar boleh membantu mengurangkan risiko kemalangan di JRTB.
"Sistem amaran awal dapat memberi makluman segera kepada pemandu tentang hujan lebat, kabus tebal, tanah runtuh atau jalan licin, sekali gus membolehkan pengguna menyesuaikan kelajuan dan tingkah laku pemanduan.
"Sistem navigasi pintar yang mengintegrasikan data trafik dan keadaan jalan semasa pula boleh mencadangkan laluan alternatif atau memberi amaran tentang selekoh tajam dan cerun curam lebih awal," katanya.

Kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersadai di bahu Jalan Raya Timur-Barat (JRTB).
Mengambil contoh laluan Arthur’s Pass di New Zealand dan Blue Ridge Parkway, Amerika Syarikat, beliau berkata kedua-dua laluan tersebut berbukit dan berhutan, namun langkah-langkah yang dilaksanakan berjaya mengurangkan kadar kemalangan.
"Laluan Arthur's Pass mempunyai sistem amaran tanah runtuh dan cuaca buruk secara masa nyata, serta cermin keselamatan di selekoh buta selain penghadang jalan yang kukuh di sepanjang cerun curam. Di Blue Ridge Parkway, mereka gunakan pendekatan pendidikan pengguna secara aktif melalui papan maklumat dan aplikasi navigasi interaktif yang membantu pengguna lebih bersedia memandu di kawasan berisiko.
"Kedua-dua negara ini juga menguatkuasakan had laju lebih rendah, rondaan berkala oleh pihak berkuasa dan penyelenggaraan jalan secara konsisten. Pendekatan bersepadu antara teknologi, kejuruteraan dan pendidikan ini boleh dijadikan rujukan dalam menambah baik keselamatan di laluan seperti JRTB Jeli-Gerik," katanya.
Senada, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Law Teik Hua berkata Malaysia juga boleh mencontohi teknologi yang digunakan di negara seperti Switzerland, Jepun dan Norway.
"Sebagai contoh, sistem ‘fog detection‘ yang digunakan di Alpine, Switzerland adalah untuk mengesan kehadiran kabus di atas jalan atau lebuh raya secara automatik dan mampu mengurangkan kadar kemalangan hingga 30 peratus.
"Menerusi sistem ini, kehadiran kabus tebal yang dikesan akan dipaparkan di papan tanda elektronik dan kadar had laju diturunkan, sementara pemandu diberikan amaran menerusi aplikasi atau sistem navigasi,” katanya, menambah sistem navigasi sedia ada di negara ini boleh ditambah baik untuk tujuan itu.
Penggunaan terowong alternatif untuk kenderaan berat turut membantu mengurangkan kesesakan dan risiko di jalan utama, katanya.
"Sementara itu, di Jepun pula, laluan Iroha-Zaka yang merentasi kawasan pergunungan Nikko menghadapi cabaran serupa dengan JRTB. Pihak berkuasa Jepun menyelesaikan masalah ini dengan memasang cermin cembung gergasi di setiap selekoh berbahaya, sistem lantai getaran dan lampu amaran automatik.
"Kombinasi penyelesaian fizikal dan teknologi ini berjaya mengurangkan kemalangan sebanyak 35 peratus sejak 2015. Pendekatan holistik ini menunjukkan bagaimana integrasi antara infrastruktur dan sistem amaran boleh meningkatkan keselamatan secara signifikan," katanya.
Beliau berkata di Norway, negara itu terkenal dengan laluan Trollstigen, iaitu sebuah jalan pergunungan yang curam dan berselekoh tajam, namun jalan yang dibina dengan bentuk “S” memaksa pemandu mengurangkan kelajuan secara sendiri.
Ciri keselamatan di laluan itu pula diperkuat dengan sistem saliran yang canggih bagi mengelakkan permukaan jalan licin selain pemasangan penghadang keselamatan telus pandang.
"Hasilnya, laluan itu hanya mencatatkan purata dua kemalangan serius dalam setahun. Pengalaman Norway membuktikan bahawa reka bentuk jalan yang bijak disertai penyelenggaraan berkualiti boleh menghasilkan transformasi keselamatan yang ketara," katanya.
JRTB PERLU DIBERI KEUTAMAAN
Sebelum ini, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya telah merancang penambahbaikan JRTB melibatkan peruntukan RM55 juta tahun ini, termasuk pemasangan 385 lampu jalan dan penandaan garisan jalan.
Beliau berkata kementerian juga telah mengenal pasti jalan yang berada dalam keadaan teruk melalui pangkalan data sedia ada dan kerja baik pulih dibuat mengikut keutamaan.

Keadaan JRTB yang tidak mempunyai garisan putih dengan jelas di selekoh merbahaya di beberapa lokasi ketika tinjauan Bernama baru-baru ini.
Nanta berkata kerja penilaian turut dibuat menggunakan kaedah Penilaian Keadaan Turapan (PCA) yang membantu menentukan lokasi memerlukan tindakan segera.
Mengulas langkah yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan dalam masa terdekat itu, Nur Izzi daripada UKM berkata antara saranan penambahbaikan dari sudut kejuruteraan ialah menaik taraf sistem saliran, memasang pagar keselamatan di lokasi cerun curam, menambah pencahayaan di kawasan berisiko tinggi serta meningkatkan kualiti permukaan jalan dengan bahan turapan berprestasi tinggi yang tahan cuaca ekstrem.
"Di samping itu, pemasangan sistem amaran elektronik untuk cuaca buruk, papan tanda amaran selekoh tajam dan zon perlahan di lokasi berbahaya boleh membantu mempertingkat keselamatan.
"Dari sudut keselamatan pula audit jalan raya mestilah dilakukan secara berkala untuk menghapuskan potensi bahaya yang terdapat di jalan tersebut," katanya.