D
i Sabah, manusia selalunya dilihat sebagai “penjahat” dalam konflik dengan gajah Borneo. Akan tetapi, apabila disoroti realiti, kedua-duanya - manusia dan gajah - merupakan mangsa yang masing-masing berjuang demi kelangsungan hidup. Artikel pertama daripada laporan khas dua bahagian ini mengupas realiti itu.
Kabus pagi masih tebal menyelimuti rimbunan pokok-pokok saka di tengah-tengah belantara pedalaman Sabah ini yang menjadi pentas kisah hubungan manusia dan alam semula jadi.
Sejak azali, lembangan yang dihidupkan oleh Sungai Kinabatangan ini menjadi habitat gajah Borneo, dan di sini juga diam Md Ismail Radzi, 45, iaitu penduduk Kampung Sukau yang tersepit antara tuntutan kelangsungan hidup dan pemuliharaan hidupan liar.
Kisah mereka menjadi bukti sebuah konflik yang wujud sejak sekian lama - antara petani daif yang bertungkus-lumus membanting tulang dengan gajah yang kehilangan habitat. Pertembungan kedua-dua spesies ini berakhir dengan air mata si petani menyaksikan jerih perih mereka hanya tinggal sisa.
“Setiap kali saya lihat haiwan ini melintasi kebun saya, hati saya terbelah dua. Mereka macam kawan lama yang kini menjadi tetamu tidak diundang. Bulan lepas mereka datang lagi… 10 batang anak pokok sawit saya musnah begitu saja,” keluh Md Ismail. Tangan yang berkematu menuding ke arah kebun sawitnya yang musnah.
Jabatan Hidupan Liar Sabah merekodkan 881 kes konflik manusia-gajah dalam tempoh 2022 hingga 2024. Tahun lepas mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 376, berbanding 248 pada 2023 dan 257 pada tahun sebelumnya.
Dalam tempoh tiga tahun itu juga jabatan berkenaan merekodkan kematian 97 ekor gajah Borneo dengan 38 ekor tahun lepas, 24 ekor pada 2023 dan 35 pada tahun sebelumnya. Kematian haiwan gergasi Borneo ini disebabkan oleh pelbagai faktor seperti terkena jerat; dilanggar kenderaan; terperangkap dalam pagar elektrik; jatuh ke dalam parit, lubang atau kawasan berlumpur; diracun, jangkitan; sakit; pemburuan haram; dan faktor-faktor semula jadi.
Dalam kisah dari Negeri di Bawah Bayu ini, tidak ada penjahat ataupun hero. Yang ada hanya mangsa, iaitu petani dan gajah Borneo, dengan kedua-duanya berjuang untuk kelangsungan hidup, terperangkap dalam kitaran yang hingga kini belum ada penyelesaian “menang-menang” untuk mereka.
SPESIES DILINDUNGI
Kisah Md Ismail bukan unik di pedalaman Borneo ini. Kebun kecil sawitnya yang berkeluasan lima hektar berserta tanaman jagung dan pokok buah-buahan, bukan saja menjadi sumber pendapatan keluarga tetapi juga melambangkan impian sejak bergenerasi untuk kehidupan yang lebih baik.
Namun, impian itu musnah dipijak oleh gajah Borneo, hidupan liar yang kian terancam dek habitat mereka semakin mengecil.
Ironi kejam yang difahami oleh semua.

Seekor gajah Borneo meragut rumput napier yang tumbuh liar di sepanjang Sungai Kinabatangan, yang merupakan laluan migrasi mereka ketika tinjauan baru-baru ini.
Gajah Borneo (Elephas maximus borneensis), subspesies gajah Asia terkecil dan hanya ditemukan di utara Borneo, diklasifikasikan sebagai terancam di bawah Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) sejak Jun tahun lepas. Spesies ini juga dilindungi undang-undang termasuk Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 Sabah.
Menurut IUCN, hanya terdapat 1,000 ekor gajah Borneo di habitat asal dengan 399 daripadanya ialah gajah dewasa yang matang untuk pembiakan. Majoriti haiwan ini ditemukan di Sabah, terutama di Kinabatangan yang terletak di pantai timur negeri, selain beberapa populasi turut terdapat di Kalimantan, Indonesia.
Namun bagi pekebun kecil seperti Md Ismail, status haiwan dilindungi itu bersifat diluah mati mak, ditelan mati ayah.
“Kami tidak akan sesekali mencederakan haiwan ini, kami menyayangi mereka sepenuh hati. Mereka warisan kami, pusaka untuk anak-anak kami. Akan tetapi, siapa yang akan melindungi mata pencarian keluarga saya dan masa depan anak-anak saya?” soalnya dengan suara yang sedikit tersekat.
Kemusnahan bulan lepas amat memeritkan bagi bapa kepada empat orang anak ini. Sambil berdiri di tengah-tengah anak pokok sawit dan jagung yang lunyai, dia berkata sekawan gajah datang memusnahkan tanamannya dan juga pekebun lain, mengakibatkan kerugian ribuan ringgit dalam hanya satu malam.
Bagi pekebun kecil, kerugian itu amat besar - tanpa insurans yang menanggung dan ganti rugi dibayar oleh kerajaan juga tidak dapat menampung sepenuhnya. Kos penanaman semula boleh mencecah RM18 hingga RM20 sepokok. Gajah-gajah ini bijak - menyasarkan pokok kelapa sawit berusia kurang daripada lima tahun untuk mendapatkan umbut, iaitu akar muda yang lembut dan amat digemari mereka.
Mamalia gergasi ini hanya mengikuti laluan migrasi purba yang kini merentasi ladang tanaman. Laluan tanpa destinasi itu memburukkan lagi konflik dengan manusia. Jika haiwan gemalai ini dilindungi undang-undang daripada ancaman, lain pula nasib pekebun terbabit yang mata pencarian mereka dalam bahaya.
“Kadang-kadang kami berjaga sepanjang malam, cuba menakut-nakutkan mereka dengan lampu dan bunyi bising,” kongsi Md Ismail sambil menunjukkan dangau yang didirikan olehnya dan penduduk kampung.
Dalam dilema antara rasa sayang terhadap makhluk itu dan tanggungjawab terhadap keluarga, Md Ismail berkata: “ Tidak ada yang menang dalam pertarungan ini... yang ada cuma siapa yang terselamat.”
SUMBER REZEKI PENDUDUK
Kisah di Kinabatangan ini turut berlaku di daerah-daerah lain terutamanya di pantai timur Sabah, dari Tongod ke Lahad Datu, Telupid dan Kalabakan.
Tambah memeritkan, Kinabatangan, Tongod dan Lahad Datu tersenarai sebagai antara 10 daerah paling miskin di Malaysia dengan konflik manusia-gajah menyukarkan lagi usaha komuniti setempat untuk meningkatkan ekonomi mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut Datuk Masiung Banah.
“Pekebun tidak berdaya apabila gajah-gajah liar ini menceroboh ladang mereka. Kami tidak boleh tembak atau mencederakan haiwan ini kerana perbuatan itu satu kesalahan berat di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar negeri,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut Datuk Masiung Banah. (Kuamut ialah satu daripada kawasan dewan undangan negeri di bawah kerusi Parlimen Kinabatangan.)
Di Tongod, satu daripada daerah di bawah bidang kuasa beliau, situasi lebih menyedihkan. Pencerobohan gajah berlaku dengan kerap, memusnahkan hampir sepenuhnya kebun dan sawah padi milik penduduk.
“Petani kami bergantung pada tanaman padi dan kelapa sawit sebagai punca rezeki. Akan tetapi, belum sempat padi menguning, gajah tiba dulu. Begitu juga dengan kelapa sawit, tidak sempat berbuah, gajah datang dan tumbangkan,” kata Masiung, menambah serangan haiwan itu bagaikan rutin tahunan sejak empat tahun lalu.
Menurut Masiung, beliau telah beberapa kali membangkitkan isu mendesak itu di persidangan Dewan Undangan Negeri, mengusulkan agar bantuan diberikan kepada petani yang menjadi mangsa pencerobohan hidupan liar.
“Kita perlu wujudkan sistem subsidi bagi membantu pekebun-pekebun kecil ini yang berdepan bencana bukan kerana salah sendiri.
“Mereka hanya diajar untuk menghalau gajah-gajah terbabit, tetapi jika mereka mencederakan haiwan berkenaan, mereka boleh ditangkap. Kita mahu kerajaan tunjukkan keprihatinan sebenar dan sediakan subsidi buat mereka yang terkesan,” tambahnya.
AMAT MENGECEWAKAN
Sementara itu, bagi pesara renjer hidupan liar Hamzah Maulad, 68, isu pencerobohan gajah tidak boleh diselesaikan dengan hanya semudah memasang lebih banyak pagar elektrik.
“Kita perlu tangani isu ini dengan melihat pada kedua-dua pihak - gajah yang perlukan habitat (dan makanan) serta keperluan manusia pada mata pencarian lestari,” katanya ketika ditanya pendapatnya tentang penyelesaian yang boleh diambil dalam konflik itu.
Matanya merenung jauh ke barisan pokok-pokok yang suatu ketika dulu menjadi kawasan gajah merayau dengan bebas.
Mengasaskan pendapat beliau pada pengalamannya selaku renjer selama berpuluh tahun, Hamzah berkata usaha pemuliharaan yang berkesan memerlukan pendekatan menyeluruh.

Gajah Borneo atau Elephas maximus borneensis diklasifikasikan sebagai "terancam" dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) pada Jun tahun lepas disebabkan populasi kecil dan berkurangan.
“Apabila orang bercakap pasal penyelesaian, mereka selalunya tumpukan pada gajah semata-mata. Akan tetapi, bagaimana dengan pekebun? Bagaimana dengan masa depan anak-anak mereka? Kita perlukan alternatif ekonomi, skim pampasan yang berkesan, dan mungkin boleh ubah cabaran ini menjadi satu peluang.
“Selagi kita tidak jumpa keseimbangan itu kita akan terus menyaksikan pertembungan menyedihkan antara pekebun dan gajah ini. Kedua-duanya berjuang untuk hidup dan mereka berhak hidup. Namun, nak dapatkan keseimbangan itulah cabaran sebenar kita hari ini,” tambahnya sambil mengeluh.
Pada masa sama, selagi konflik ini berterusan, renjer akan terus menemukan bangkai gajah Borneo yang mati dalam keadaan mencurigakan.
Mengimbau kembali detik hitam dalam sejarah pemuliharaan gajah di Sabah, Hamzah berkata insiden di Hutan Simpan Gunung Rara pada 2013 menghantuinya hingga sekarang.
“Apabila kami jumpa 14 ekor gajah - 10 betina dan empat jantan - mati dalam tempoh empat minggu, kami rasa seolah-olah kami telah gagal. Bedah siasat mendapati haiwan terbabit mengalami pendarahan yang teruk dan ulser pada saluran gastrousus selain pendarahan dari mulut dan dubur.”
Gajah-gajah berkenaan disyaki diracun menggunakan bahan kimia yang ada kaitan dengan kegiatan perladangan.
Mengimbas tragedi yang lebih terkini, Hamzah berkata pada Januari tahun ini, bangkai seekor gajah ditemukan dalam keadaan dikerat di tepi jalan Kalabakan-Sapulut.
“Kepala dan anggota tubuh dipotong,” katanya.
Kemudian pada awal April, seekor lagi gajah Borneo dijumpai dengan kepala dipotong berhampiran jalan Tibow-Sapulut, berdekatan dengan Tawau. Kedua-dua kes dikaitkan dengan kegiatan penyeludup bahagian tubuh hidupan liar. Tidak ada tangkapan dilakukan berhubung kedua-dua kes.
BERSATU HATI
Sementara itu, pakar pemuliharaan gajah terkenal Dr Nurzhafarina Othman berkata pemuliharaan bukan tentang hidupan liar semata-mata, tetapi juga manusia.
“Kita boleh tengok (dan mengagumi) haiwan ini sepanjang hayat kita, tetapi kalau kita abaikan apa yang diberitahu oleh mereka yang berkongsi ruang dengan gajah-gajah ini, kita tidak akan nampak gambaran sebenar,” kata pakar berusia 41 tahun itu.

pakar pemuliharaan gajah terkenal Dr Nurzhafarina Othman.
Turut dikenali sebagai “pawang gajah” dalam kalangan rakan-rakan sekerja, wanita ini menghabiskan dua dekad dalam kerjayanya mengkaji gajah Borneo.
Nurzhafarina, pensyarah kanan di Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan, Universiti Malaysia Sabah, menerima anugerah berprestij Whitley Award 2025 (juga dikenali sebagai Oscar Hijau) daripada Whitley Fund For Nature yang berpangkalan di United Kingdom, sebagai perhargaan atas kerja-kerja yang dilakukan oleh beliau dalam melindungi gajah Borneo serta memupuk cara hidup bersama antara gajah dan komuniti setempat. Berserta anugerah itu beliau menerima geran £50,000 (kira-kira RM287,000).
Bercakap kepada Bernama tentang kerja pemuliharaan gajah yang dilakukannya, Nurzhafarina yang berasal dari Kota Sarang Semut, Kedah, berkata manusia ialah pemain utama dalam usaha tersebut.
“Kita tidak boleh tumpukan pada gajah semata-mata. Sebenarnya haiwan ini lebih senang untuk dipelajari. Mereka tidak mudah menukar fikiran, jadi senang untuk difahami.
“Lain pula kisahnya dengan manusia yang boleh menyokong hari ini dan bertukar fikiran keesokannya. Namun mereka bukan pemerhati, sebaliknya pemain utama… justeru, kita cuba imbangi kedua-duanya demi pemuliharaan yang bermakna.”
Nurzhafarina, pengasas pertubuhan tidak berasaskan keuntungan Seratu Aatai (bermakna hati yang bersatu dalam bahasa Orang Sungai), berkata matlamat utama inisiatif beliau ialah membina sokongan terhadap usaha pemuliharaan dalam kalangan komuniti yang terjejas pencerobohan gajah.
“Gajah-gajah Borneo ini amat perlukan sokongan,” katanya, menambah di Kinabatangan berbaki kira-kira 250 ekor sahaja lagi.
“Orang takut dan tidak tahu nak buat apa apabila haiwan ini datang. Bukan haiwan calang-calang, tetapi gajah yang besar datang ke tempat kita, dan pokok kelapa sawit - sumber rezeki kita - merupakan ‘bufet’ kegemaran mereka,” katanya.
BUKAN PERTARUNGAN EPIK
Bagi beliau, pemuliharaan gajah Borneo bukan isu kerajaan atau inisiatif NGO semata-mata, tetapi tanggungjawab semua orang, terutama yang tinggal berdekatan dengan haiwan itu.
“Semua ini ialah tentang membantu penduduk kampung melihat gajah sebagai sebahagian daripada komuniti mereka,” tegasnya.
"Orang membincangkan konflik manusia dan gajah ini seolah-olah satu pertempuran besar, tetapi kami sedang berusaha mengubah tanggapan itu. Tidak cukup kalau sekadar meningkatkan kesedaran, kita perlu menyelami kehidupan komuniti, belajar bersama-sama mereka dan benar-benar memahami cabaran yang mereka hadapi."
Beliau berkata program Seratu Aatai membantu masyarakat memahami gajah dengan lebih baik selain pergerakan, kelakuan serta bagaimana untuk hidup bersama-sama haiwan ini dengan selamat.
“Ini bukan tentang melepaskan tanggungjawab kepada orang lain, tetapi tentang setiap orang bertanggungjawab terhadap penyelesaian (bagi meminimumkan konflik manusia-gajah),” katanya.
Di sebalik itu, kajian yang sedang dijalankan oleh Nurzhafarina dan pasukannya mendapati rakyat Sabah benar-benar mengambil berat tentang gajah Borneo.
Namun begitu, apabila mamalia gergasi ini muncul berdekatan kediaman mereka, penghargaan secara teori itu bertembung dengan realiti pahit.
“Yang diperlukan oleh komuniti ini ialah sokongan praktikal, iaitu peralatan dan sumber bagi perlindungan. Namun, buat masa ini mereka sedang bergelut untuk menangani (pencerobohan hidupan liar berkenaan),” katanya.
MEMAHAMI GAJAH
Menjelaskan punca gajah menceroboh wilayah manusia, Nurzhafarina sekali lagi menegaskan gajah bukan penceroboh sebaliknya penduduk asal kawasan tersebut.
“Haiwan ini telah wujud di situ sejak sekian lama, sebelum kedatangan manusia lagi mereka telah ada di situ. Kawasan tersebut ialah ‘medan selera’ tinggalan nenek moyang mereka. Mereka bukan merayau secara rambang, tetapi kawasan tersebut tempat mereka cari makan sejak dahulu kala dan telah terpahat dalam ingatan kolektif mereka.
“Apabila mereka muncul (di satu-satu kawasan), mereka cuma mengikut laluan yang diwarisi, mencari makanan di kawasan yang dahulunya ialah wilayah mereka. Memang pahit, kerana makhluk yang mengagumkan ini menjadi tetamu tidak diundang di tanah warisan mereka sendiri,” katanya.
Jelas Nurzhafarina, gajah bukan hanya bergerak secara berkumpulan tetapi turut mewujudkan jaringan sosial yang canggih. Mereka membentuk kumpulan-kumpulan strategik, khususnya di kawasan berisiko tinggi, dan setiap ekor gajah membangunkan pendekatan sendiri bagi mendepani cabaran.
Di Kinabatangan, katanya, koridor hutan yang dahulunya laluan gajah sejak zaman-berzaman, kini diganggu oleh perladangan kelapa sawit yang luas serta perkampungan manusia, memaksa haiwan itu meredah kebun pisang dan ladang jagung di kawasan yang suatu ketika dahulu merupakan tempat makanan warisan nenek moyang mereka.
“Gajah jantan biasanya mempamerkan kelakuan berisiko tetapi menarik. Mereka cukup berani mengambil risiko demi mendapatkan makanan kerana mereka perlu membina jisim badan dan meningkatkan paras testosteron untuk tujuan mengawan.
“Dorongan ini memacu mereka mencari peluang, sekalipun dalam situasi berbahaya,” jelasnya, menambah memahami corak yang ditunjukkan itu amat penting dalam pengurusan interaksi manusia-gajah.
Tidak seperti “sepupu” mereka di India yang akan menceroboh ketika musim menuai, gajah Borneo bergerak merentasi landskap dengan rentak berbeza. Mereka sentiasa bergerak dan makan apa sahaja yang ditemukan di sepanjang perjalanan itu.
Menurut Nurzhafarina, gajah mempunyai GPS mental yang mengagumkan, bank memori yang tidak dapat ditandingi waima telefon pintar.
“Namun, sepertimana orang tempatan yang tahu di mana lokasi makanan sedap, gajah ialah haiwan praktikal. Mengapa perlu merayau jauh sedangkan semua yang diperlukan ada di depan mata, di kampung-kampung dan ladang kelapa sawit berdekatan?”
KISAH SANDI
Nurzhafarina kemudian berkongsi dengan Bernama kisah “anak murid” kegemarannya bernama Sandi, seekor gajah Borneo yang beliau jejaki dan kaji selama bertahun-tahun.
“Di tengah-tengah ladang kelapa sawit di sini yang dilindungi pagar elektrik, saya saksikan sesuatu yang luar biasa,” imbas beliau, matanya bersinar dengan semangat yang hanya dapat dilihat pada mereka yang menemui matlamat hidup.
Menggambarkan Sandi sebagai pejuang yang penuh dengan luka pertempuran dan menjadikan ladang kelapa sawit di Kinabatangan sebagai “kerajaannya”, Nurzhafarina berkata semasa pertemuan pertama mereka pada 2017, gajah jantan tersebut baru berusia pertengahan 20-an, namun tubuhnya sarat dengan kesan-kesan kehidupan.
Ekornya putus, telinga koyak serta tubuh pula penuh parut termasuk akibat ditembak dengan senapang guli - memantulkan kisah pertembungannya dengan manusia.
“Akan tetapi ini bukan gajah biasa yang suka ceroboh tanaman. Ia jadikan ladang kelapa sawit itu sebagai ‘rumahnya’ dan kami gelar ia pemastautin tetap. Yang paling menarik, gajah ini juga tidak pernah mengganggu sesiapa. Santai saja, macam tidak ada apa-apa.”
Selama bertahun-tahun memerhati Sandi, suatu hari Nurzhafarina sedar bahawa gajah jantan itu bukan setakat mandiri, tetapi juga menjadi guru. Ia mengajar dua ekor gajah muda cara melepasi pagar elektrik.
“Sandi tidak rempuh pagar elektrik dengan kekuatannya, tetapi ia mencipta satu teknik. Ia akan menggulung belalainya ke dalam mulut, angkat kabel pagar dengan gadingnya, tunggu beberapa detik dan kemudian dengan lemah-lembut ibarat mahaguru seni mempertahankan diri, dia angkat kakinya satu demi satu (melepasi kabel pagar).
“Dua ekor gajah muda itu pula macam anak murid, memerhati guru mengajar. Pada mulanya, mereka cuba masuk dengan menerjah kepala dulu… bayangkan haiwan seberat beberapa tan cuba menari limbo di bawah kabel pagar elektrik,” ujarnya, tergelak kecil.
“Namun Sandi guru yang sabar dan tunjukkan cara betul. Lama-kelamaan dua perantis itu dapat menguasai kemahiran tersebut. Ini bukan sekadar mengadaptasi tetapi si pintar menunjukkan kebijaksanaannya.”
Sandi mati pada 2021. Walaupun punca kematiannya tidak dapat dipastikan, haiwan itu yang hidup lebih 40 tahun, meninggalkan satu legasi yang memberi inspirasi kepada manusia dan juga gajah lain.
Mengimbau saat-saat akhir gajah itu, Nurzhafarina berkata Sandi memilih satu tempat yang sunyi di dalam sungai untuk berbaring. Dua ekor gajah lain datang menjenguknya. Beberapa jam kemudian, Sandi menghembus nafasnya yang terakhir.
“Bagi saya,” sambungnya, matanya berkaca, “Sandi melambangkan ketabahan gajah. Makhluk hebat ini dipaksa menyesuaikan diri dalam dunia yang dicipta bukan untuknya, namun tetap dia tempuhi dengan tabah.
“Sandi ialah bukti kemampuan luar biasa haiwan ini untuk menyesuaikan diri dan bertahan dalam dunia hari ini yang kian hilang sisi ‘liarnya’ dan semakin kurang toleransi.”