D
i sebalik maraknya api yang membakar berserta asap tebal menyelubungi sehinggakan yang bersisa cumalah arang serta abu, jangan disangka tiada bahan bukti tersembunyi dalam sesebuah kebakaran.
Kecanggihan teknologi forensik memungkinkan punca sesebuah kebakaran dikenal pasti, dan jika perbuatan khianat disahihkan, maka bukti yang dikesan membantu pendakwaan di muka pengadilan. Demikian tugas pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang mengambil alih tapak kebakaran selepas api dipadamkan oleh anggota Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat.
Kepentingan penyiasatan forensik kebakaran diperakui oleh kerajaan yang menubuhkan sembilan makmal pada 2004, iaitu masing-masing satu di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Kejayaan pasukan ini dalam menyelesaikan kes besar dalam masa singkat termasuk kebakaran tingkat dua Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada 25 Okt 2016 dan kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur pada 14 Sept, 2017.
API PADAM, TUGAS BERMULA
Berkongsi pengetahuannya tentang forensik kebakaran, Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata ramai yang tidak tahu tugas pasukan bomba tidak berakhir dengan kejayaan memadamkan kebakaran.
“Tugas selepas itu tidak kurang kritikalnya kerana menerusi penyiasatan forensik yang kami jalankan, kami dapat kenal pasti punca sebenar kebakaran, sama ada berlaku antaranya kerana kecuaian manusia, pendawaian, alat elektrik ataupun perbuatan khianat,” jelasnya kepada Bernama.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan Farhan Sufyan Borhan dalam temu ramah bersama Bernama baru-baru ini di Ibu Pejabat JBPM Kelantan di Tunjong.
Pernah bertugas di Bahagian Penyiasatan Kebakaran di Kuala Lumpur, Farhan Sufyan berkata antara yang paling mencabar dalam penyiasatan forensik kebakaran ialah kes melibatkan cecair hidrokarbon seperti petrol, diesel, pencair cat atau bahan mudah terbakar lain.
“Hidrokarbon ini sukar dikesan dengan mata kasar. Contohnya, jika petrol digunakan sebagai bahan untuk mempercepat kebakaran, ia akan terbakar sepenuhnya tanpa meninggalkan sisa cecair. Hanya analisis kimia makmal dapat mengesan molekul-molekul sisa yang melekat pada serpihan kayu, lantai, atau tanah di lokasi kebakaran,” katanya.
Menurutnya, untuk mengesan kehadiran hidrokarbon, mereka akan menggunakan teknologi seperti Gas Chromatography Mass Spectrometry (GCMS) di makmal forensik kebakaran.
“Tanpa analisis makmal, mustahil untuk dibuktikan di mahkamah bahawa suatu bahan mudah terbakar telah digunakan untuk memulakan kebakaran.
“Jika tiada pengesahan saintifik, kes arson boleh gugur di mahkamah kerana kekurangan bukti. Kita mesti ada laporan makmal yang sah untuk menunjukkan jenis bahan, kuantiti dan kemungkinan cara ia digunakan,” katanya.
KEBAKARAN ELEKTRIK PEMBUNUH SENYAP
Tenaga elektrik menjadi keperluan yang amat penting dalam kehidupan seharian, namun pada masa sama boleh menjadi pencetus tragedi apabila pendawaian untuk menyalurkan bekalan tenaga itu di sesebuah premis rosak atau pincang tugas.
Menurut Farhan Sufyan, 78 hingga 79 peratus daripada kes kebakaran di Kelantan berlaku disebabkan kegagalan sistem elektrik termasuk litar pintas, ‘overloading’ dan kerosakan perkakas elektrik.

Tenaga elektrik menjadi keperluan yang amat penting dalam kehidupan seharian, namun pada masa sama boleh menjadi pencetus tragedi apabila pendawaian untuk menyalurkan bekalan tenaga itu di sesebuah premis rosak atau pincang tugas.
“Ramai orang tidak sedar sistem elektrik yang sudah uzur, tidak diselenggara atau diubah suai tanpa pengiktirafan pihak berkuasa ialah ‘bom jangka’. Kadang-kadang satu sambungan plug tambahan sahaja boleh menyebabkan ‘overload’ dan mencetuskan kebakaran,” katanya.
Jelasnya, kebakaran elektrik mempunyai corak khas yang dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan struktur pendawaian serta corak kebakaran di lokasi kejadian. Satu daripada petunjuk utama ialah kesan “beading” merujuk kepada kesan lelehan atau titisan bahan (biasanya plastik, logam atau bahan sintetik) akibat pendedahan kepada suhu tinggi atau api pada wayar tembaga.
“Apabila wayar terlalu panas sebelum terbakar, tembaganya akan meleleh sedikit dan membentuk ‘beading’. Jika berlaku ‘arcing’ (arka), contohnya apabila wayar putus dan bercantum semula akan ada tanda lebur dan percikan mikro pada hujung wayar,” katanya.
Selain itu, pegawai forensik juga akan memeriksa corak kerosakan peralatan elektrik seperti soket terbakar, fius putus atau papan suis yang hangus pada titik sambungan utama. Semua ini memberi bayangan jelas kepada penyiasat bahawa kebakaran berpunca daripada sistem elektrik.
Farhan Sufyan berkata dalam kebakaran jenis ini, analisis makmal jarang diperlukan kerana punca kebakaran boleh disahkan melalui pemeriksaan corak kebakaran di lokasi. Namun, ini tidak bermakna kes kebakaran elektrik boleh dipandang ringan.
PENTINGNYA MAKMAL
Mengulas lanjut, beliau berkata disebabkan Kelantan tidak mempunyai makmal forensik kebakaran sendiri, segala sampel yang diambil di lokasi kebakaran akan dihantar ke makmal terdekat seperti Terengganu.
"Ini bukan sahaja memakan masa, malah menambah jarak perjalanan bahan bukti yang boleh menjejaskan integriti sampel jika tidak diuruskan secara berhati-hati.

Pegawai makmal sedang menjalankan analisis menggunakan peralatan kromatografi moden bagi memastikan ketepatan data saintifik di Makmal Forensik Kebakaran.
“Dalam siasatan kebakaran, masa faktor kritikal. Setiap hari yang berlalu meningkatkan risiko degradasi sampel, terutamanya jika ia melibatkan bahan mudah meruap seperti petrol,” jelasnya, menambah situasi sedemikian secara tidak langsung menjejaskan siasatan.
Contohnya, kata beliau, dalam kes individu membakar rumah sendiri untuk mendapatkan pampasan insurans, siasatan di makmal dapat mendedahkan hal itu sekiranya si pelaku menggunakan petrol atau bahan pencair untuk mempercepat kebakaran.
“Tanpa bukti makmal, kes seperti ini sukar dibuktikan di mahkamah kerana bahan pembakar telah lama hilang bersama-sma asap dan api yang memusnahkan segalanya,” kata beliau yang berharap makmal tersebut turut dibina di Kelantan.
Beliau percaya bahawa dengan adanya makmal forensik kebakaran sendiri di Kelantan pada masa akan datang, siasatan kes melibatkan hidrokarbon dan perbuatan arson akan menjadi lebih cepat, tepat dan berkesan sekali gus meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang serta memberi keadilan kepada mangsa kebakaran.
14 HARI
Bagi pasukan forensik kebakaran, setiap minit yang berlalu adalah detik penting dalam menjejak kebenaran. Menurut Petunjuk Prestasi Utama (KPI) JBPM, setiap laporan siasatan kebakaran mesti disiapkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh kejadian, tidak kira sama ada insiden itu melibatkan kebakaran kecil di rumah kediaman ataupun kebakaran kompleks di kilang besar.
“Dalam masa 14 hari kita perlu keluarkan laporan lengkap berkaitan punca kebakaran. Kalau melibatkan kes rumit, contohnya kebakaran industri besar yang ada pelbagai bahan kimia, mungkin akan ambil masa lebih panjang. Tetapi secara dasarnya itulah KPI kami,” kata Farhan Sufyan.
Proses ini bukan semata-mata untuk melengkapkan rekod jabatan. Laporan siasatan kebakaran adalah dokumen penting yang akan diserahkan kepada pelbagai pihak berkepentingan. Bagi syarikat insurans, laporan itu menjadi asas kepada pembayaran pampasan; bagi majikan, ia adalah dokumen rujukan untuk menambah baik keselamatan premis manakala bagi agensi penguatkuasaan, ia menjadi bukti saintifik untuk menyokong siasatan kes.
Jika insiden kebakaran disyaki melibatkan unsur jenayah seperti arson, laporan itu akan menjadi dokumen kritikal yang digunakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak pendakwaan di mahkamah, bagi membuktikan punca kejadian serta mengaitkan bukti dengan suspek.
“Makmal forensik kebakaran berperanan besar dalam proses pendakwaan kerana mereka menjadi saksi profesional yang mengesahkan punca kebakaran dan bahan terlibat,” katanya.
ARSON, BUNUH DIRI DAN KERJASAMA STRATEGIK DENGAN PDRM
Walaupun Kelantan belum pernah merekodkan kes kebakaran berprofil tinggi yang memerlukan analisis makmal forensik secara besar-besaran, unit forensik mereka pernah berdepan dengan kes-kes yang meninggalkan impak mendalam, termasuk melibatkan kehilangan nyawa akibat arson (kebakaran sengaja) dan kes bunuh diri.
Farhan Sufyan berkata kes kebakaran sengaja biasanya akan menimbulkan suasana siasatan yang lebih mencabar kerana ia berkait rapat dengan unsur jenayah dan perancangan oleh individu tertentu.
“Kalau melibatkan mangsa bunuh diri seperti bakar diri, siasatan kebakaran akan diserah kepada PDRM untuk tindakan lanjut,” katanya, menambah tugas unit forensik JBPM cuma mengenal pasti punca kebakaran.
Pada 2018, satu Nota Persefahaman (NOU) telah dimeterai antara JBPM dan PDRM, menyaksikan JBPM diiktiraf sebagai badan penyiasat utama bagi menentukan punca kebakaran di Malaysia, sementara kes yang melibatkan unsur jenayah sepenuhnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut termasuk pendakwaan di mahkamah.
Kerjasama strategik ini bukan sahaja mempercepatkan proses siasatan tetapi juga meningkatkan ketepatan keputusan kerana setiap agensi berperanan mengikut kepakaran tersendiri.