A
da yang belakangnya tiba-tiba dilanggar kerusi roda sementara yang lain kaki pula ditujah tongkat, namun masing-masing tidak mengaduh, sebaliknya setiap “insiden” yang berlaku di Bilik Orkid, Kelab Tasik Diraja pada tengah hari Ahad itu disambut jeritan kegembiraan ataupun pelukan penuh emosi.
Masakan tidak, masing-masing sudah bertahun tidak bersua wajah. Malah, ada yang berdekad tidak berjumpa sejak kali terakhir ketika masih bergelar penuntut di Maktab Perempuan Melayu (MGC) - sekolah berasrama penuh terulung untuk pelajar perempuan di Malaysia (ketika itu Malaya).
Berpakaian warna rasmi rumah (asrama kediaman) masing-masing, iaitu merah, biru, merah manggis, hijau dan kuning, kumpulan wanita berkenaan yang kebanyakannya berusia lingkungan 70-an dan 80-an, hadir di majlis perjumpaan semula dan pelancaran rasmi sebuah buku memperingati tahun-tahun mereka di sekolah tersebut. MGC dibuka pada 1947 di Damansara (kini Bukit Damansara) sebelum ditutup pada 1962 dan berpindah ke lokasi baharu di Seremban, Negeri Sembilan dengan nama baharu, iaitu Kolej Tunku Kurshiah (TKC)

Bekas pelajar MGC Puan Sri Fauzah Mohd Darus (kanan) bersama Sharifah Maimunah Syed Zain melancarkan buku ‘The Malay Girls College A Pioneering Story’ di Royal Lake Club baru-baru ini.
Pada majlis pelancaran buku baru-baru ini, Puan Sri Fauzah Mohd Darus, bekas Presiden Persatuan Murid-Murid Tua Maktab Perempuan Melayu/Kolej Tunku Kurshiah, berkata “Old Girls” - gelaran buat bekas pelajar MGC/TKC - penubuhan MGC membawa misi jelas, walaupun secara halusnya bersifat merendah-rendahkan, iaitu mendidik gadis Melayu daripada “keturunan baik-baik” menjadi isteri yang sepadan dengan anak muda daripada Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), sebuah sekolah berasrama penuh lelaki di Perak dan menjadi institusi pendidikan ramai “bakal pemimpin politik” negara sejak era penjajahan.
Dalam titah diraja bersempena dengan pembukaan MGC pada 1947, Sultan Selangor ketika itu Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah mengingatkan para pelajar baharu supaya menghargai peluang pendidikan serta pendedahan yang bakal diperoleh daripada sesama sendiri, selain menekankan kepentingan mempelajari "ilmu jahit-menjahit, masak-memasak, adab-adab tatatertib, urusan rumah tangga yakni domestic science (sains rumah tangga) termasuk pelajaran ugama (agama)” demi kebaikan diri, keluarga dan negara.
Kesemua gadis sunti berkenaan, kebanyakannya berusia 10 tahun ketika itu, mendengar, dan barangkali dalam diam memberontak, memutuskan yang mereka mampu menyumbang lebih besar kepada negara daripada sekadar belajar sains rumah tangga.
BAHASA SEBAGAI PENYATU UNGGUL
Seorang daripada mereka ialah Prof Emeritus Datuk Nik Safiah Karim, 86.
Ketika Malaya mencapai kemerdekaan pada 1957, beliau di tahun akhir di MGC. Namun beliau tidak dapat menyertai keraian yang berlangsung di Taman Tasik Perdana, kerana ketika itu “lebih banyak guru berbangsa Inggeris daripada orang Malaya di MGC”, dan mereka menganggap sambutan kemerdekaan tersebut tidak begitu penting untuk mereka membawa pelajar keluar pada waktu malam.
Sekalipun begitu, ada beberapa orang pelajar tetap menyelinap keluar menyertai sambutan itu, kongsi Nik Safiah dengan Bernama; nada suaranya sedikit rawan.
Pada 1960-an, beliau berpeluang menyumbang secara langsung kepada negara yang ketika itu baru berusia setahun jagung dan menghadapi pelbagai isu. Satu daripada isu itu ialah bahasa kebangsaan. Perlukah negara terus menggunakan bahasa Inggeris atau mengangkat satu bahasa yang dapat mendukung identiti baharu, maruah dan kemerdekaannya?
Menurut Nik Safiah, sebagai pakar bahasa beliau berpendapat bahasa Melayu harus dijadikan bahasa kebangsaan negara yang baru beroleh kemerdekaan itu.

Buku ‘The Malay Girls College A Pioneering Story’.
“Apabila merdeka, sesebuah negara akan dapat bendera baharu, lagu kebangsaan, nama baharu negara dan seterusnya bahasa (kebangsaan) baharu. Kita tidak boleh hanya guna bahasa penjajah,” katanya.
Bercakap memang mudah. Pada 1960-an dan 70-an, bahasa Ingggeris digunakan di sekolah, mahkamah serta di Parlimen. Malah, penutur bahasa Melayu sendiri meragui kemampuan bahasa ibunda mereka untuk menjadi bahasa sains, undang-undang dan media moden.
"Ketika itu keyakinan terhadap bahasa kebangsaan hampir tiada, termasuk dalam kalangan penutur bahasa Melayu. Matlamat sebenar perjuangan pada masa itu bukanlah untuk mengembangkan bahasa , tetapi lebih kepada meraih penerimaan bahawa bahasa kita layak menjadi bahasa kebangsaan dan boleh berfungsi sebagai bahasa moden,” katanya.
Nik Safiah yang juga bekas Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, mengingatkan hal itu tidak bermakna rakyat Malaysia perlu mengutamakan satu bahasa berbanding bahasa lain.
“Memperjuangkan usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa moden bukan bermakna menolak sepenuhnya bahasa Inggeris. Sebaliknya, kedua-dua bahasa dikembangkan bersama-sama. Dasar pada ketika itu ialah menjadikan rakyat Malaysia dwibahasa, bukan hanya fasih berbahasa kebangsaan tetapi juga mahir bahasa Inggeris,” katanya.
Pada era 1960-an, Nik Safiah serta para aktivis dan rakan-rakan yang sehaluan, termasuk guru, pakar bahasa dan kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka, melobi agar bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar di sekolah.
Sebahagian daripada usaha itu melibatkan pembangunan kosa kata bahasa Melayu. Disebabkan oleh penjajahan British dan penggunaan bahasa Inggeris sebagai wadah utama interaksi, bahasa Melayu jarang digunakan dan amat jauh ketinggalan, sekali gus tidak lagi sesuai untuk zaman moden.
Tidak seperti bahasa lain yang mempunyai tempoh selama berdekad malah berabad untuk meminjam, menerima dan menyesuaikan bahasa lain dalam penggunaan umum sebelum diterima masuk ke dalam leksikon rasmi, Nik Safiah berkata mereka hanya mempunyai 30 tahun untuk mengemas kini bahasa Melayu dengan meminjam perkataan bahasa Inggeris dan Indonesia serta mencari kembali perkataan Melayu lama yang tidak lagi digunakan.
“Kita tidak boleh anggap kita berjaya sehinggalah kita tahu dan kita yakin bahasa itu dapat menzahirkan idea-idea saintifik,” katanya.
Kini, banyak kertas penyelidikan dan tesis ditulis serta dibentangkan dalam bahasa Melayu. Malah, bahasa kebangsaan menjadi bahasa pengantar utama media massa, mahkamah dan Parlimen. Bahasa Melayu juga digunakan dalam beberapa LLM (model bahasa besar) dan chatbot AI (kecerdasan buatan), selain menjadi bahasa yang diiktiraf dalam Chat-GPT dan Gemini.
MEMBINA ASAS TEKNOLOGI MALAYSIA
Jika Nik Safiah memberikan Malaysia suara kebangsaan, Shamsiah Ramli, 80, pula membantu memberikan negara ini suara teknologi selaku antara saintis komputer terawal di Malaysia, malah mungkin yang pertama.
Enam tahun selepas menamatkan pendidikan di MGC pada 1962, beliau ke United Kingdom.
“Ketika itu, saya sendiri tidak tahu apa itu sains komputer. (Saya ambil jurusan itu) kerana saya pandai matematik. Jadi, saya ke Brighton Polytechnic. Rupa-rupanya cuma dua orang saja yang mendaftar. Hah!” katanya.
Dek tidak suka dengan jumlah pelajar yang tidak seberapa itu beliau mendaftar di Hatfield Polytechnic - kini University of Hertfordshire - yang mempunyai lebih ramai pelajar dalam program sains komputernya. Shamsiah satu-satunya gadis Melayu di dalam kelas dan beliau menamatkan pengajian pada 1972. Setahun kemudian, berbekalkan segulung ijazah dalam bidang sains komputer, beliau pulang ke tanah air ketika rata-rata rakyat Malaysia belum pernah melihat komputer.

Shamsiah Ramli
Menjelang 1974, beliau menyertai warga Institut Teknologi Mara atau ITM (kini UiTM - Universiti Teknologi Mara) sebagai pensyarah. Menurut beliau, pada masa itu jabatan sains komputer ITM tidak memiliki komputer sendiri sebaliknya menggunakan komputer yang dipinjamkan oleh IBM, dan beliau juga terpaksa berkongsi dengan pelajar.
Malah, jabatan sains komputer itu sendiri terdiri daripada ahli matematik dan jurutera - dan pada awalnya diletakkan di bawah bidang kejuruteraan - menjadikan Shamsiah saintis komputer bertauliah yang pertama di fakulti itu. Beliau merangka kurikulum sains komputer dan menetapkan piawaian kelayakan dalam pengambilan pelajar.
Pencapaian paling dibanggakan beliau ialah sebuah program yang ditulisnya bagi menguruskan pengambilan pelajar untuk pelbagai kursus di ITM, menggantikan proses manual yang tidak teratur dengan satu sistem fleksibel dan mampu beradaptasi mengikut keperluan yang berubah-ubah.
Kemudian, dalam tempoh 18 tahun mengetuai pusat komputer ITM, iaitu nama jabatan sains komputer ketika itu, Shamsiah membangunkan sistem rekod kakitangan dan pelajar, malah turut menggabungkan data untuk satu laporan kabinet yang digunakan bagi menyusun semula skim gaji di seluruh negara. Waktu kerjanya panjang. Ada masa beliau hanya meninggalkan pejabat pada 2 pagi, memandu pulang dari Shah Alam ke Petaling Jaya. Namun beliau tidak kisah kerana tugas itu penting buatnya.
“Apa sahaja berkaitan komputer, ibulah orangnya,” kongsi si anak Nur Suzeebaayah Jalani.
Shamsiah hanya ketawa apabila digelar “ibu kepada saintis komputer UiTM”, namun tetap berasa teruja apabila memikirkan impak yang mungkin beliau bawakan.
Apabila ditanya tentang idea dulu-dulu bahawa pelajar MGC dididik hanya untuk menjadi “isteri terpelajar”, beliau pantas menolak. “Saya tak faham bab itu. Itu pemikiran mereka pada waktu tersebut. (Saya ialah) diri saya sendiri,” ujarnya.
BUKAN SEKADAR “ISTERI BUDAK-BUDAK MCKK”
Perbezaan hasrat asal dengan hasil sebenar MGC cukup memberi inspirasi. Sekolah yang ditubuhkan berasaskan model institusi berasrama elit British itu bertujuan melahirkan teman hidup yang sepadan dengan bakal negarawan. Sebaliknya, yang terjadi ialah bekas pelajarnya sendiri muncul sebagai pemimpin berwibawa. Selama ini, baik ketika masih dikenali sebagai MGC dan kini TKC, ia telah melahirkan ramai tokoh wanita perintis termasuk ahli astrofizik pertama negara, timbalan perdana menteri wanita pertama dan ketua hakim wanita pertama.
Enggan menjadi stereotaip “wanita di sebalik setiap lelaki berjaya”, Nik Safiah dan Shamsiah sebaliknya menzahirkan penghargaan kepada suami masing-masing yang bukan sahaja tidak menghalang, malah menyokong mereka mengejar kejayaan dengan cara mereka sendiri, sesuatu yang belum tentu dapat dimiliki oleh semua wanita, waima hari ini.
Masing-masing tidak membina identiti melalui perkahwinan, sesuatu yang dilihat sebagai sifat radikal dalam diam pada era 60-an dan 70-an di Malaysia, serta menjadi contoh kepada wanita lain dan generasi seterusnya.
“Kita boleh lihat kembali apa yang dulu dianggap peranan kita dan boleh berasa gembira dengan pencapaian kita yang jauh melangkaui jangkaan itu.
“Saya rasa, kini tiada lagi persoalan tentang keupayaan gadis Malaysia.”