M
entari di Pulau Bum Bum memancar garang, bahangnya menyengat kulit setiap yang melangkah menghampiri sebuah rumah berona kuning cair di perkampungan nelayan, Look Melalom, kira-kira 10 kilometer dari pekan Semporna.
Tidak sedikit pun terasa kedinginan bayu pantai menyamankan pipi di sebalik teduhan topi ataupun payung, bahkan kipas mini yang dibawa seolah-olah bagaikan tidak mampu untuk menyegarkan suasana tengah hari di perkampungan yang hanya boleh diakses melalui jalan laut dan udara ini.
Dengan peluh menitik laju membasahi badan sehingga terasa begitu lekitnya, membuatkan ada mula mengeluh dan mahu kembali segera ke hotel, namun keindahan alunan gendang diiringi muzik gamelan tradisional Bajau Semporna berserta lenggokan ratu lepa mendendangkan tarian igal-igal, memaku pandangan ramai.
Terpukau dengan keunikan dan keistimewaan busana tradisi yang digayakan oleh ratu lepa lengkap dengan aksesori bertakhtakan mahkota dikenali sebagai ‘jabang’ dalam bahasa Bajau Semporna, tali pinggang atau kambut, terik mentari dan dahaga yang dirasai bagaikan hilang begitu sahaja.
(Ratu Lepa ialah gelaran yang diberikan kepada pemenang pertandingan Regatta Lepa atau pesta sukan air di Semporna - perayaan tradisional masyarakat Bajau.)
“Cantiknya, saya mahu cuba pakaian ini dan menari bersama-sama. Tidak pernah lagi saya tengok baju secantik ini dan saya mahu gayakan semua lengkap dengan mahkota. Apa nama pakaian ini?” celah Dr Ekaterina Rashidin, wanita Rusia yang boleh berbahasa Melayu teruja melihat busana tradisi penuh indah itu.
Dibeleknya satu persatu baju tradisi Bajau Semporna yang digantung kemas di satu sudut rumah sebaik selesai pertunjukan etnik itu, wanita Rusia yang kini menetap di Malaysia itu tidak sabar mempromosikan baju tersebut di media sosialnya untuk menarik perhatian pelancong global.
ANCAMAN TRADISI
Tersungging senyuman gembira dengan minat mendalam wanita Rusia yang turut serta dalam Jelajah Kraf Malaysia Semporna, Sabah baru-baru ini, pembuat baju tradisional itu, Narimah Tamjiji, 47, berkata busana tersebut mempunyai keunikan tersendiri berbanding etnik lain, bagaimanapun ia tidak begitu dikenali ramai.
“Baju tradisional bagi etnik Bajau Semporna ini dikenali sebagai 'Ala Bimbang'. Sepertimana baju tradisional etnik lain di negeri Borneo berwarna hitam, begitu juga dengan Ala Bimbang, cumanya ia telah dipelbagaikan warna mengikut cita rasa tika ini namun, hitam kekal menjadi keutamaan.
“Selain perhiasan manik pada baju, ia juga biasanya digayakan lengkap dengan 'bungkah' atau gelang berwarna keemasan serta sarung kuku atau ‘saling’ tika menari igal-igal bagi menonjolkan lagi lemah gemalai tarian tersebut manakala lelaki akan segak bertanjak,” katanya kepada Bernama.
Kekuatan dan kemegahan busana Ala Bimbang bagi masyarakat Bajau Semporna di daerah timur Sabah - kaya dengan keindahan pulau seperti Pulau Sipadan dan Mabul sehingga diiktiraf pelancongan terbaik Asia - bukan sahaja pada tradisinya tetapi juga simbol motif yang diwarisi etnik ini.
Laut sebagai sumber utama kehidupan etnik nelayan di sini, tidak menghairankan motif seperti kelolok atau corak pada perahu layar tiang tunggal atau lepa dalam bahasa Bajau, rumpai laut dan rekaan flora menjadi elemen utama menghiasi setiap jahitan manik busana tradisi ini.
Cenderung menggunakan manik berwarna terang bagi membangkitkan lagi penampilan serta pesona si pemakai, ibu kepada lima orang anak ini berkata busana Ala Bimbang sebelum ini hanya digayakan pada majlis tertentu seperti pesta keraian atau Regatta Lepa.
“Ketika pesta air Regatta Lepa, baju warisan ini memang ramai yang memakainya sebagai sambutan tradisi dan pertandingan busana. Namun peredaran masa, menyaksikan busana tradisional ini diminati bukan sahaja di Sabah tetapi di Semenanjung apabila saya turut mendapat tempahan.
“Sekarang saya tengah sibuk menyiapkan beberapa tempahan dari Semenanjung untuk digayakan pada Hari Kebangsaan. Biarpun gembira dengan situasi ini, saya juga bimbang apabila ada pihak tertentu terlalu memodenkan baju ini apatah lagi, pembuatnya tidak ramai,” katanya.
BUKAN TOLAK KEMAJUAN
Berpengalaman lebih satu dekad dalam penghasilan baju tradisional etnik ini, Narimah berkata penjahit baju legasi itu di perkampungannya di Pulau Bum Bum tidak lebih 20 orang dan kebanyakan mereka sudah berusia.
Setelah sekian tahun bersama-sama dengan perusahaan tekstil wanita ini, kesemua penjahit ini tekad mempertahankan keaslian busana tradisional Bajau Semporna - gusar sentuhan warisan itu hilang akibat pemodenan yang berlebihan.
“Ini bukan bermakna saya tolak kemodenan. Baju tradisional yang saya hasilkan, ada juga suntikan moden seperti mempelbagaikan jenis busana. Sebelum ini hanya kain baldu, ia disesuaikan mengikut kemampuan pelanggan.
“Rekaan kami juga terbuka ikut kehendak pelanggan selain daripada motif tradisi seperti kelolok dan rumpai laut. Cuma kami bimbang apabila terlalu banyak unsur moden diterapkan pada busana tradisional, ia akan menghilangkan sentuhan aslinya,” kata anak kedua daripada sembilan beradik ini.
Mewarisi tradisi jahitan itu daripada neneknya, Narimah berkata setiap seni pada busana itu sama ada dari segi potongan baju, teknik lipatan, susunan motif serta aksesori, menyimpan 1,001 makna dan mesej tersendiri yang menjunjung simbol maruah Bajau Semporna.
Oleh sebab itu, terapan ataupun migrasi moden yang keterlaluan pada baju Bajau Semporna - begitu ketara sejak dua tahun kebelakangan ini khususnya ketika sambutan Reggata Lepa - disifatkannya perlu “ditegur” secara terbuka tetapi berhemah kerana berisiko mengancam kelangsungan busana tradisional.
“Penjahitnya tidak ramai, jadi kami risau apabila ada yang terlalu memodenkannya sehingga membuatkan generasi akan datang tidak tahu mana yang asli atau yang telah mengikut peredaran fesyen. Saya lihat baju tradisional kami ini disuntik elemen moden yang agak keterlaluan.
“Ada menjadikannya seperti gaun, lipatan kain pun jadi kembang sedangkan ia sepatutnya kemas di tepi dikenali sebagai 'lipatan tak jadi'. Bagi saya, tukang jahit baju tradisional seharusnya memainkan peranan sebagai duta budaya menasihati pelanggan agar mengekalkan busana tradisi asli,” katanya.
SEOLAH-OLAH HIDUP
Biarpun begitu, wanita ini bersyukur kerana kebanyakan pelanggan, tanpa mengira usia, masih cenderung memilih sentuhan asli yang dianggap menyerlahkan aura bagi wanita dan penampilan segak buat si lelaki.
Malah, sejak 2019 permintaan terhadap busana jahitan Narimah semakin memberangsangkan, terutamanya selepas rekaannya digayakan seorang penuntut universiti awam tular sekali gus menarik minat masyarakat di Semenanjung untuk turut menempah busana tradisional tersebut.
“Sebelum ini, saya mendapat tempahan hanya daripada rakan-rakan di Pulau Bum Bum, pekan Tawau, Semporna dan Kota Kinabalu. Tetapi, selepas video yang digayakan oleh seorang penuntut universiti, menyertai Kraftangan Malaysia pada 2020 dan mengikuti pelbagai promosi kraf, permintaan semakin meningkat.
“Saya tidak boleh lagi bekerja sendiri dan anak yang minat pun seorang sahaja iaitu anak perempuan sulung. Jadi, saya pun ajaklah orang kampung bersama-sama membantu perusahaan ini selain dapat meningkatkan pendapatan ibu tunggal, isteri nelayan, dan paling penting, memartabatkan baju tradisional,” katanya.
Ketika bergerak sendiri, wanita ini hanya mampu menyiapkan tiga busana dalam tempoh sebulan, namun dengan bantuan tenaga kerja seramai 12 orang - beroperasi di ruang tamu rumahnya - sekurang-kurangnya 10 baju tradisional berjaya dihasilkan dalam tempoh sama.
Dijual pada harga mencecah RM1,500 bergantung pada kerumitan jahitan motif, sulaman renda serta manik, Narimah berkata tugas menyiapkan sehelai baju itu diagihkan kepada beberapa orang, namun aspek kualiti tetap menjadi keutamaan.
“Ramai yang menyukai busana yang saya hasilkan kerana motif yang dihasilkan seolah-olah hidup selain kehalusan jahitan pada renda serta baju itu sendiri. Untuk memastikan motif itu seolah-olah hidup, saya menggunakan manik yang mahal serta saiznya dijahit mengikut alunan motif itu.
“Maksudnya, pelbagai jenis manik, warna dan saiz akan digabungkan sekali dalam sesuatu penghasilan motif bagi menampakkannya seolah-olah bernyawa dan menelusuri kehidupan laut. Bagaimanapun, ada tukang jahit yang nak siap cepat dan jahit semua manik dengan saiz besar, sebab itulah ia tidak ‘hidup’,” katanya.
BUKA BENGKEL
Selain mengharapkan pembabitan lebih ramai anak muda sebagai usaha memastikan kelangsungan busana tradisional, wanita ini turut menyimpan hasrat menubuhkan sebuah bengkel bagi membolehkan operasi dijalankan secara lebih teratur pada masa depan.
Ketika ini, beroperasi di ruang tamu rumahnya yang berkeluasan hampir 800 kaki persegi itu agak sempit dan kurang selesa jika kesemua penjahit berkumpul dalam satu-satu masa khususnya ketika musim perayaan seperti Regatta Lepa, Hari Kebangsaan dan Aidilfitri.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata kementerian melalui Kraftangan Malaysia sentiasa berusaha membantu usahawan kraf meningkatkan perusahaan mereka meskipun lokasinya jauh di pedalaman.
Katanya, antara usaha tersebut termasuk memberikan latihan, mempromosikan dan mengkomersialkan produk kraf Malaysia.
“Di samping itu, produk kraf ini juga ialah satu produk pelancongan sebenarnya. Pelancong datang untuk melihat produk kraf yang kita ada dan membelinya.
“Jadi, ini merupakan satu produk pelancongan yang kita perlu pelihara dan majukan selaras dengan usaha mengadakan Tahun Melawat Malaysia 2026 pada tahun depan,” katanya.