H
anya "saja-saja” menjalani pemeriksaan kesihatan, tanpa diduga menjadi “penyelamat” nyawa Tengku Nazeehah Tengku Mahmood selepas didiagnosis menghidap kanser kolorektal tahap tiga, kira-kira empat tahun lalu.
Dia yang tidak pernah mengalami sebarang masalah kesihatan apatah lagi gejala berkaitan kanser itu, tergamam namun pada masa sama bersyukur kerana dapat mengesan penyakitnya sebelum benar-benar terlambat.
Kini, suri rumah dan juga ibu kepada tiga anak itu merupakan pejuang kanser kolorektal dan aktif bersama-sama dengan Persatuan Penghidap Kanser Kolorektal Malaysia, selain menjadi jurumudi klinikal atau "peer support” terlatih untuk membantu pesakit termasuk memberi ceramah dan berkongsi pengalamannya.
TIDAK ADA SIMPTOM ATAUPUN KETURUNAN
Mengimbau pengalamannya ketika didiagnosis dengan penyakit itu, wanita asal Kuala Lumpur ini berkata dia sebenarnya tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang kanser kolorektal.
“Pada April 2021 saya buat janji temu untuk jalani kolonoskopi dan endoskopi mengenangkan umur yang sudah 40-an. Malah, saya juga langsung tidak tahu apa-apa tentang kanser kolorektal, justeru amat terkejut dan tidak percaya apabila dimaklumkan oleh doktor,” kongsi wanita berusia 46 tahun itu kepada Bernama.

Tengku Nazeehah Tengku Mahmood bersama keluarga tercinta.
Sambungnya, selepas menjalani kolonoskopi, doktor memaklumkan ada sumbatan (blockage) pada rektumnya dan perlu diambil sampel untuk biopsi.
“Saya kemudian diminta menjalani imbasan CT keesokan harinya dan apabila berjumpa semula dengan pakar gastroenterologi bersama-sama keputusan imbasan CT, saya disahkan menghidap kanser kolorektal tahap tiga.
"Ketika itu, perkara pertama terlintas di fikiran saya ialah bagaimana hendak beritahu ibu saya berita ini… saya ingat lagi, saya berpaling kepada suami yang kelihatan pucat dan sangat terkejut. Bagi kebanyakan masyarakat tahap tiga dan empat ini sudah dikira ' death sentence'," katanya.
Bagaimanapun, selepas rasa terkejutnya hilang dia menerima perkhabaran itu dengan perasaan positif dan mula menimba ilmu tentang kanser kolorektal serta mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Dia kini telah selesai menjalani semua rawatan dan prosedur yang diperlukan termasuk pembedahan, kemoterapi dan radioterapi.
"Sekarang saya hanya berjumpa pakar untuk rawatan susulan bagi kolorektal dan onkologi sekali dalam setahun, imbasan CT juga sekali setahun dan kolonoskopi setiap tiga tahun," katanya yang mendapat sokongan padu daripada keluarga.
KANSER KEDUA PALING LAZIM
Mungkin ramai tidak menyedari bahawa kanser kolorektal merupakan kanser kedua paling lazim di Malaysia selepas kanser payudara.
Pakar kanser kolorektal Dr Nurhashim Haron daripada Hospital KPJ Tawakkal Kuala Lumpur berkata kanser yang turut dikenali sebagai kanser usus dan kanser kolon itu berlaku di bahagian usus besar dengan kolorektal merujuk kolon dan rektum, iaitu usus besar dan dubur.

Dr Nurhashim Haron,
"Kanser atau barah merupakan satu penyakit yang berlaku apabila sel-sel abnormal tumbuh dan membiak tanpa kawalan di hampir mana-mana bahagian tubuh. Kebiasaannya sel-sel yang tumbuh dalam badan kita akan hidup dalam dua hingga tiga minggu, bergantung pada tempat sel itu tumbuh.
"Jadi, perlu kita faham bahawa dalam badan kita sentiasa ada sel yang tumbuh, kemudian mati dan luruh sendiri. Begitu juga dengan dinding usus ini akan terdapat sel-sel yang tumbuh. Kebiasaannya sel tersebut akan hidup dalam tempoh dua atau tiga minggu kemudian sel itu mati. Namun ada juga sel yang tumbuh tetapi tidak mati dan itu penyebab berlakunya kanser," jelas beliau.
Menurut Dr Nurhashim, dalam tempoh lima tahun dari 2017 hingga 2021, jumlah kes kanser kolorektal dalam kalangan lelaki ialah 18.8 peratus berbanding 14.8 peratus bagi tempoh 2012 hingga 2016.
“Jumlah kes dalam kalangan wanita pula sebanyak 13.7 peratus (2017-2021), berbanding 11.1 peratus dalam tempoh 2012 hingga 2016,” katanya memetik statistik Majlis Kanser Nasional.
GEJALA
Berkenaan gejala, beliau berkata ada kalanya penyakit itu tidak menunjukkan simptom, terutama di peringkat awal.
“Namun begitu, lazimnya pendarahan dari dubur merupakan gejala utama. Selain itu, berlakunya perubahan ketika membuang air besar. Contohnya, jika individu itu selalunya tiap-tiap hari buang air besar sekali sahaja, tetapi sejak kebelakangan ini berubah menjadi dua atau tiga kali sehari.
"Satu lagi perubahan... selalu normal setiap hari kita dapat membuang najis tetapi sekarang selepas dua atau tiga hari baru dapat membuang air besar. Maka perubahan corak pembuangan najis ini perlu dicakna dan ambil peduli, dan sekiranya berlaku situasi di atas segera bertemu doktor," nasihat beliau.

Kanser kolorektal tidak menunjukkan simptom, terutama di peringkat awal.--fotoBERNAMA
Gejala lain yang menandakan seseorang itu berisiko mendapat kanser kolorektal ialah sakit perut secara konsisten dan berulang kembali selepas dua atau tiga minggu kemudian.
"Tanda seterusnya berlaku perubahan pada najis. Jika sebelum ini elok sahaja ‘membuang’ tetapi sekarang agak sukar, sembelit, najis juga seakan tahi kambing, iaitu kecil-kecil, najis berdarah atau berlendir," katanya.
Dr Nurhashim yang juga Presiden Persatuan Pakar Bedah Kolorektal Malaysia berkata tanda yang berlaku pada tubuh seseorang itu pula ialah kehilangan berat badan dan tidak ada selera makan sehingga menjadi kurus secara tiba-tiba.
Ditanya siapa yang berisiko mendapat kanser itu, Dr Nurhashim berkata mereka yang berumur 45 tahun ke atas serta yang keturunannya ada sejarah menghidap kanser.
"Jika 10 tahun sebelum ini golongan berumur 50 tahun ke atas lebih berisiko namun trend terkini menunjukkan mereka yang berusia 45 tahun juga boleh mendapat penyakit ini." katanya, menambah di Malaysia kira-kira 4,000 ke 4,500 kes kanser kolorektal baharu direkodkan setahun berbanding sekitar 3,500 kes kira-kira sedekad lalu.
Selain kumpulan usia berkenaan, pakar itu berkata mereka yang memiliki sejarah genetik berpotensi tinggi menghidap kanser ini termasuk golongan remaja.
“Lebih membimbangkan, kebanyakan kes kanser kolorektal dikesan ketika sudah berada di tahap tiga dan empat,” katanya.
PENTING UJIAN SARINGAN
Sehubungan dengan itu, Dr Nurhashim menggalakkan masyarakat untuk membuat ujian saringan kesihatan menyeluruh secara berkala.
"Saringan atau ‘screening’ merupakan ujian terbaik untuk mengesan kanser daripada ‘menunggu’ kemunculan gejala, kerana melalui saringan kita dapat kesan lebih awal sekalipun tanpa gejala,” tegasnya.

Kanser kolorektal bermula dengan ketumbuhan kecil dipanggil polip di dalam usus.
"Kanser ini bermula dengan ketumbuhan kecil dipanggil polip di dalam usus. Sekiranya ada satu polip kebarangkalian 30 hingga 40 peratus akan tumbuh menjadi kanser.
“Apabila doktor menjumpai polip, mereka akan membuang ketumbuhan kecil itu sekali gus dapat mencegah kanser daripada berlaku," katanya menambah polip dapat dikesan semasa ujian saringan.
Memperincikan saringan yang dilakukan, Dr Nurhashim berkata paling mudah ialah ujian najis atau FOBT (Faecal Occult Blood Test), bertujuan mengesan kehadiran darah tersembunyi dalam najis yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
"Ini ujian saringan awal untuk kanser kolorektal dan boleh dilakukan di rumah atau klinik dengan mengumpul sampel najis. Jika keputusan FOBT positif, ujian lanjutan seperti kolonoskopi diperlukan untuk diagnosis lanjut," katanya, menambah mereka yang mempunyai sejarah keturunan serta golongan berumur 45 tahun ke atas disarankan membuat ujian saringan itu.
Bagi rawatan kanser kolorektal, Dr Nurhashim berkata terdapat dua cara, iaitu pertama menerusi pembedahan dan kedua melalui kemoterapi.
TABU
Di sebalik bahaya penyakit itu, Dr Nurhashim berkata masyarakat masih berpegang pada tabu apabila melibatkan soal najis.
"Rakyat kita bila bercakap mengenai najis mulalah malu-malu. Ini faktor yang menyumbang kepada peningkatan kanser usus kerana kurang mendapat perhatian. Kadang-kadang apabila seseorang itu mempunyai gejala di bahagian usus atau dubur, mereka malu dan takut hendak beritahu orang, hendak pula pasal najis, “ katanya yang mengesyorkan agar kempen kesedaran kanser usus diperhebat dan dibincang secara terbuka.
Selain itu katanya kekurangan pengetahuan juga menyebabkan ramai masih keliru antara gejala kanser usus dengan buasir.
"Buasir satu keadaan lain tetapi buasir juga boleh berlaku pendarahan, berlendir. Cuma buasir tidak berbahaya namun pesakit selalunya keliru mereka ingat dia sakit buasir tetapi sebenarnya menghidap kanser usus," jelasnya.

Antara kaedah merawat kanser kolorektal ialah menerusi pembedahan.--fotoBERNAMA
Memberi contoh satu kes kendaliannya, beliau berkata seorang pesakit lelaki berumur 60 tahun mengalami simptom najis berdarah namun apabila dia memberitahu rakan-rakannya, mereka mengatakan dia hanya mengalami buasir.
Malah kata Dr Nurhashim, si rakan turut menasihati lelaki itu agar tidak berjumpa doktor kerana “doktor akan bedah dan menyebabkan rasa sakit bertambah".
"Hampir setahun pesakit tadi membiarkan situasi najis berdarah itu dan hanya mengambil ubat hasil nasihat kawannya. Akhirnya, suatu hari pesakit itu mengalami pucat dan tahap hemoglobin yang rendah, dan apabila saya merawatnya didapati pesakit mengalami kanser usus," katanya.
Jelasnya, jika seseorang itu membiarkan gejala yang dialaminya untuk tempoh lama, pesakit berisiko mengalami kembung perut, tidak boleh membuang air besar ataupun kentut dan akhirnya menyebabkan saluran usus pecah.
"Jika situasi di atas berlaku, dan pada masa itu baru hendak datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan, pembedahan kecemasan akan dilakukan, kerana apabila usus sudah pecah dan keluar najis, keadaan itu boleh membawa maut,” tegasnya.
Beliau juga berkata menghidap kanser kolorektal bukanlah “hukuman mati” kerana penyakit itu masih boleh dirawat sekiranya pesakit cakna gejala dan datang berjumpa doktor secepat mungkin.
"Amalkan gaya hidup sihat dengan melakukan senaman, tidak merokok, tidak minum alkohol serta jangan sampai obesiti. Bagi mereka yang ada sejarah keluarga (hidap kanser) buatlah pemeriksaan berkala, dan jika ada gejala seperti najis berdarah, berlendir, perubahan buang air besar segera bertemu doktor,” katanya.