D
eretan pokok jagung manis berusia dua bulan yang ditanam oleh Mariam Yajid hidup begitu subur dengan daun bukan sahaja lebar tetapi juga berwarna hijau pekat, dan rahsianya ialah sejenis “serbuk hitam” yang ditabur di atas batas tanaman itu setiap minggu.
“Jangan terkejut, tapi baja hitam ini sebenarnya biopepejal daripada najis manusia yang telah diproses menjadi kompos,” kongsi Mariam, 55, seorang daripada 20 peserta Insentif Pendapatan Rakyat, Koperasi Kebuniti Selangor Berhad (Kebuniti) kepada Bernama baru-baru ini.
Berpeluang berkunjung ke Kebuniti Agropark U1 di Shah Alam, Bernama mendapati kesemua tanaman di situ, seperti betik, terung, cili, kangkung, bayam dan peria hidup subur. Malah, menurut Mariam, tanaman bukan sahaja lebih cepat membesar tetapi hasil yang diperoleh juga lebih banyak.
"Mula-mula, apabila tahu najis manusia, memang terkejut, tetapi apabila tahu baja biopepejal ini selamat digunakan, fikiran saya berubah dan mula menggunakan baja ini untuk tanaman seperti pokok jagung dan terung,” katanya dan menjelaskan bahan kompos tersebut dicampur dengan baja NPK (nitrogen, fosforus dan kalium) sebelum ditabur di perdu tanaman.
PENGURUSAN SISA MASALAH BESAR
Beroperasi tanpa henti, sistem pembetungan negara membawa sisa kumbahan termasuk tinja manusia ke loji rawatan, dan seterusnya menghasilkan biopepejal yang sebelum ini dilupuskan di tapak pelupusan atau diuruskan sebagai sisa berisiko.

Deretan pokok jagung manis yang ditanam oleh Mariam Yajid hidup subur. Kredit foto Mohd Nasri Jamaludin
Namun ketidakcekapan kos, selain masalah tapak pelupusan dan pengurusan sisa yang kian meruncing, mendorong syarikat pembetungan negara Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) mencari kaedah lain bagi menguruskan biopepejal itu dengan lebih baik.
Hasilnya, pada 2022, IWK melaksanakan projek rintis memproses biopepejal menjadi baja organik.
Mungkin kedengaran agak menjijikkan atau menimbulkan rasa kurang selesa bagi sebahagian ahli masyarakat, akan tetapi menurut IWK, negara seperti China, Amerika Syarikat, Australia, Jepun dan beberapa negara Eropah telah lama memanfaatkan biopepejal daripada tinja manusia sebagai bahan perawat tanah, dengan penghasilannya tertakluk pada piawaian keselamatan yang ketat.
KAYA NUTRIEN
Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Operasi IWK Ir. Mohd Taufik Salleh berkata biopepejal berbeza dengan najis mentah kerana telah melalui beberapa peringkat rawatan termasuk pemisahan air, penguraian biologi dan rawatan mengurangkan patogen.
“Air sisa dirawat menggunakan proses biologi aerobik di loji rawatan kumbahan IWK. Proses rawatan ini akan menghasilkan produk hiliran yang dikenali sebagai enap cemar.

Baja organik IWK. Kredit foto IWK
"Enap cemar merupakan gabungan flok (sisa-sisa tidak terurai) dan mikroorganisma yang membantu menguraikan bahan pencemar organik yang akhirnya membentuk jisim termendap dan terpisah daripada air sisa terawat di dalam tangki pemendapan.
"Seterusnya enap cemar akan melalui beberapa peringkat rawatan lanjut termasuk pemekatan, penstabilan dan pengeringan. Proses ini bertujuan memastikan bahan akhir (biopepejal) stabil, tidak berbau dan selamat digunakan semula mengikut piawaian ditetapkan," katanya dalam satu jawapan bertulis kepada Bernama baru-baru ini.
Jelasnya, baja biopepejal ini kaya dengan bahan organik, nitrogen, fosforus dan mikronutrien yang penting untuk tanah dengan nilai NPK 1-1-6, sekali gus amat sesuai bagi tujuan pertanian, landskap, pemulihan tanah dan perhutanan.
“Sebelum inisiatif penggunaan semula biopepejal sebagai sumber baja organik, biopepejal yang terhasil daripada proses rawatan sisa kumbahan dilupuskan di tapak pelupusan sanitari atau tapak pelupusan biopepejal yang diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar. Proses ini melibatkan kos operasi dan logistik yang tinggi.
"Baja biopepejal atau baja organik IWK ini juga satu inisiatif yang didorong oleh keperluan untuk mengurus biopepejal secara lebih mampan, mengurangkan kebergantungan pada pelupusan akhir serta menyokong agenda ekonomi kitaran dan kelestarian alam sekitar,” tegasnya.
PELABURAN RM4 JUTA
Dengan pelaburan berjumlah RM4 juta, IWK bersama-sama dengan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan melaksanakan projek rintis untuk menghasilkan baja organik ini di Loji Rawatan Kumbahan Serantau Titiwangsa di Kuala Lumpur. Mereka juga bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia bagi melihat keberkesanan baja terhadap tanaman dan Universiti Teknologi MARA dari segi pemasaran.

Ketua Pegawai Operasi IWK Ir. Mohd Taufik Salleh. Pic IWK
Di bawah inisiatif itu, mereka membina sebuah kilang selain menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D). Setahun kemudian, pada 2023, mereka mulakan pengeluaran baja organik tersebut yang dihantar ke Kebuniti.
“Pada 2025, kilang ini memproses sekitar 100 tan metrik biopepejal yang menghasilkan kira-kira 60 tan metrik baja organik. Buat masa ini kami mengeluarkan kira-kira lima tan baja sehari, namun kapasiti penghasilan dapat ditingkatkan selari dengan keperluan dan permintaan,” kata Mohd Taufik.
Beliau berkata inisiatif itu juga berpotensi diperluas ke loji lain, tertakluk pada kesesuaian tapak, keperluan teknikal dan analisis kos faedah.
“Tujuan utama penggunaan baja organik daripada biopepejal ini adalah untuk menyokong kelestarian alam sekitar menerusi pengurusan secara mampan, mengurangkan sisa ke tapak pelupusan dan menutup kitaran sumber,” tegasnya lagi.
DARI LOJI KE KEBUN
Bagi menguji keberkesanan serta keselamatan baja di lapangan, IWK bekerjasama dengan rakan pelaksana, antaranya ialah Kebuniti, sebuah koperasi pertanian komuniti yang ditubuhkan pada 2020 bagi membasmi kemiskinan bandar serta melatih para peserta dan usahawan yang ingin menceburi bidang pertanian dan mempergiat ekopelancongan di Selangor.
Menggunakan baja organik IWK sejak 2023, Pengerusi Kebuniti Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor berkata di peringkat awal peserta berasa ragu-ragu tentang baja itu.

Pengerusi Kobuniti Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor melawat kebun yang diusahakan Mariam di Kobuniti Agropark U12 di Shah Alam baru-baru ini. Kredit foto Mohd Nasri Jamaludin
“Keraguan awal ialah dari segi syarak... bolehkah kita guna baja bersumberkan najis manusia? Lebih-lebih lagi dalam Malaysian Standard (MS), iaitu MS 1517 menetapkan baja organik boleh menggunakan semua jenis sumber kecuali najis babi dan manusia,” ujarnya.
(MS 1517 ialah piawaian kebangsaan Malaysia bagi baja organik yang menetapkan keperluan kualiti serta spesifikasi teknikal baja yang dihasilkan atau dijual di negara ini. Piawaian ini digunakan oleh pengilang untuk memastikan produk mereka memenuhi tahap keselamatan dan kualiti yang ditetapkan serta dijadikan rujukan oleh badan pensijilan SIRIM.)
Mengulas lanjut, Mohamad Roff yang juga bekas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), berkata usaha mendapatkan kelulusan MS 1517 telah dilaksanakan sejak lebih setahun lalu.
“Kita (IWK dan Kebuniti) telah membentangkan kajian dan dapatan berkaitan kepada Jabatan Standard Malaysia. Memang ambil masa (untuk kita keluarkan bahan najis manusia daripada senarai larangan sebagai baja organik),” jelasnya, namun menambah sejak peringkat awal Kebuniti telah menggunakan baja organik IWK untuk semua jenis tanaman di ladang mereka.
“Memang di peringkat awal peserta skeptikal tetapi setelah memahami proses penghasilan mereka bersetuju untuk mencuba. Menariknya, tidak seperti sangkaan awal, baunya tidak sekuat yang dibayangkan kerana telah melalui proses rawatan.
“Baja organik IWK berfungsi membaiki dan menggembur semula tanah, jadi tumbuhan mudah menyerap nutrien. Pertumbuhan pokok bagus dan hasil tinggi," katanya yang memaklumkan terdapat dua bentuk baja organik IWK, iaitu serbuk dan pelet.
MENGUBAH PERSEPSI
Walaupun hasil awal kelihatan positif, cabaran sebenar baja biopepejal bukan terletak pada teknologi, tetapi penerimaan awam, kerana bagi kebanyakan orang, penggunaan baja bersumberkan najis manusia mungkin menimbulkan rasa jijik selain kebimbangan dijangkiti kuman.
Mengulas perkara itu, Mohamad Roff berkata tanggapan orang ramai boleh ditangani sekiranya penggunaan baja organik IWK diperluas kepada petani menerusi kerjasama dengan agensi seperti Jabatan Pertanian dan Lembaga Pertubuhan Peladang.

Pengerusi Kebuniti Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor
"Baja tahi ayam, tahi kambing apa beza dengan najis manusia? Sama sahaja.
"Mereka yang khuatir baja organik IWK ini ada penyakit, kita dah hantar analisis di makmal. Dari segi mikrob tidak ada dan logam berat juga tidak ada. Jadi, selamat untuk digunakan.
"Kajian toksikologi baja organik IWK juga telah dijalankan oleh SIRIM ke atas tikus makmal, dengan hasil kajian menunjukkan tiada kematian, tiada tanda ketoksikan atau perubahan tingkah laku, dan kesemua haiwan yang diuji kekal normal dengan pertambahan berat badan selepas didos dengan ekstrak baja organik," jelasnya.
Menurut beliau, Kebuniti juga memberi sampel baja secara percuma kepada para pengunjungnya, dan setakat ini mereka tidak menerima sebarang aduan daripada pengunjung berkaitan penggunaan baja organik IWK.
"Tiada yang tolak (baja organik IWK), ambil sahaja.
"Saya sendiri tiada masalah untuk makan sayur atau tumbuhan lain yang menggunakan baja organik IWK ini," katanya.
Kebuniti memanfaatkan 15 tan metrik baja organik IWK bagi tempoh enam bulan membabitkan kawasan pertanian seluas enam hektar, meliputi penggunaan ke atas pokok bunga, pokok hiasan, landskap dan sayur-sayuran.
Beliau juga yakin persepsi negatif terhadap baja organik IWK dapat ditangkis sekiranya rakyat diberikan pencerahan secara berterusan termasuk berkenaan proses rawatan serta aspek keselamatan.
HUKUM SYARAK
Dari sudut agama Islam pula, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama lslam Malaysia ke-126 yang bersidang dari 25 hingga 27 Feb 2025, berpandangan hukum menghasilkan dan menggunakan baja organik daripada biopepejal IWK yang selamat dan bermanfaat adalah diharuskan.
Majlis Agama Islam Pahang turut mengeluarkan fatwa membenarkan penggunaan biopepejal hasil rawatan kumbahan sebagai bahan penghasilan baja organik.

Biopepejal melalui beberapa peringkat rawatan termasuk pemisahan air, penguraian biologi dan rawatan mengurangkan patogen. Pic IWK
Menurut laman web rasmi Jabatan Mufti Negeri Pahang, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang Bilangan 02/2025, ahli mesyuarat telah bersetuju bahawa hukum menghasilkan dan menggunakan baja organik daripada biopepejal IWK yang selamat dan bermanfaat adalah diharuskan.
Namun, ahli mesyuarat jawatankuasa berpandangan sebarang hasil tanaman yang bersentuhan dengan baja tersebut hendaklah dibersihkan terlebih dahulu sebelum digunakan kerana baja tersebut bersifat najis.
Mengulas perkara itu, Mohd Taufik berkata pengiktirafan tersebut menandakan penerimaan positif terhadap inisiatif IWK dalam penghasilan baja biopepejal yang mematuhi garis panduan syariah serta standard keselamatan yang ditetapkan.
“Pengiktirafan ini amat bermakna buat IWK kerana ia bukan sahaja mengesahkan bahawa baja biopepejal kami selamat digunakan, tetapi juga dapat memberi keyakinan masyarakat, terutamanya dalam kalangan pengguna Islam terhadap usaha syarikat menguruskan sisa kumbahan secara mampan,” katanya.
ADA PASARAN ATAU SEKADAR PENYELESAIAN SISA?
Satu lagi persoalan penting ialah pasaran, sama ada baja daripada biopepejal ini berpotensi menjadi produk komersial atau sekadar penyelesaian dalaman untuk mengurangkan sisa loji kumbahan.
Buat masa ini baja itu belum dikomersialkan. Faktor seperti persepsi dan ketiadaan pensijilan khusus serta persaingan dengan baja kimia serta baja organik lain menjadikan laluan ke pasaran komersial tidak mudah. Namun, kos pengeluaran yang lebih rendah berbanding baja tahi ayam dan kambing, selain bekalan bahan mentah yang berterusan memberi kelebihan tersendiri.

Penggunaan baja organik IWK berpotensi membantu mengurangkan kebergantungan pada baja import. Kredit foto IWK
Dalam konteks pertanian bandar, landskap, tanaman hiasan dan pemulihan tanah terdegradasi, baja biopepejal mungkin mempunyai ruang tersendiri. Penggunaan baja organik IWK ini juga berpotensi membantu mengurangkan kebergantungan pada baja import, satu isu yang semakin ketara apabila harga baja global meningkat.
Untuk memastikan inisiatif ini berkembang secara selamat dan diterima, sokongan dasar amat diperlukan terutamanya berkaitan isu MS 1517.
Bagi IWK, isu biopepejal bukan sekadar soal inovasi atau menghasilkan nilai tambah, tetapi satu keperluan. Setiap hari, loji rawatan kumbahannya di seluruh negara menghasilkan sejumlah besar biopepejal yang perlu dilupuskan, dan mengambil kira kos, ruang serta risiko kepada alam sekitar, mengubah bahan biopepejal ini menjadi baja organik mungkin penyelesaian terbaik kepada semua.