Yayasan Restu Angkat Martabat Al-Quran Dengan Seni Tempatan

B
agi umat Islam, Ramadan bukan sekadar bulan untuk berpuasa dan meningkatkan ibadah, tetapi merupakan satu bulan yang membawa makna amat besar buat mereka, kerana pada 17 Ramadan berlaku peristiwa Nuzul al-Quran, iaittu turunnya wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW yang turut menandakan kerasulan baginda. 

Wahyu pertama itu ialah lima ayat Surah al-Alaq’ yang menjadi asas keimanan dan pendidikan umat Islam, yang antara lain membawa maksud manusia dituntut mengenali Allah melalui ciptaan-Nya dan memburu ilmu sebagai jalan mengenal Maha Pencipta.  

Bermula dengan peristiwa itu, al-Quran diturunkan secara berperingkat selama lebih 22 tahun kepada Rasulullah melalui malaikat Jibrail, untuk dijadikan panduan hidup umat Islam, dan kerana itulah orang Islam amat dituntut menjunjung dan mengangkat martabat naskhah suci tersebut.

 Di negara ini, usaha mengangkat martabat dan melindungi al-Quran daripada dicemari perbuatan jelik, direalisasikan menerusi perundangan dan juga agensi penguat kuasa serta organisasi-organisasi lain, antaranya Yayasan Restu yang berusaha menghasilkan mushaf atau penyalinan al-Quran dan terjemahan, bagi membantu umat Islam lebih memahami dan menghayati kandungan kitab suci itu.

   

MUSHAF YAYASAN RESTU

Mushaf, atau mashaf, merujuk jilid al-Quran bertulisan tangan, dan melalui inisiatif Yayasan Restu, al-Quran mushaf dengan ciri-ciri tempatan dihasilkan. 

Dalam satu temu bual dengan Bernama, Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu Datuk Dr Abdul Latiff Mirasa berkata idea penghasilan mushaf berciri tempatan itu tercetus pada 1987, apabila timbul persoalan besar mengapa Malaysia tidak mempunyai mushaf berciri tempatan.

Dalam satu temu bual dengan Bernama, Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu Datuk Dr Abdul Latiff Mirasa berkata idea penghasilan mushaf berciri tempatan itu tercetus pada 1987, apabila timbul persoalan besar mengapa Malaysia tidak mempunyai mushaf berciri tempatan.

Kebanyakan mushaf yang beredar dalam kalangan umat Islam pada  ketika itu dipengaruhi identiti Timur Tengah. 

Daripada persoalan itu, lahirlah idea untuk menghasilkan mushaf dengan motif Melayu dan seni Islam tempatan, tanpa menjejaskan ketulenan resam Uthmani, sekali gus menjadi titik tolak perubahan yang kini membanggakan negara.

Abdul Latiff yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran, menjelaskan bahawa proses penyalinan al-Quran memerlukan ketelitian tinggi dan latihan selama bertahun-tahun dengan anak muda tempatan dilatih secara sistematik.

Tidak setakat itu, manuskrip turut dibawa ke luar negara untuk dinilai oleh pakar kaligrafi dan imam besar bagi memastikan piawaian antarabangsa dipenuhi.

Hasilnya, pada 2000, mushaf Malaysia pertama dilahirkan, disalin tangan oleh rakyat tempatan, dihias dengan identiti budaya sendiri dan melalui proses “tashih” yang ketat, iaitu semakan dan pengesahan ketepatan ayat-ayat al-Quran oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN), sebelum dicetak secara rasmi.

 

SISTEM BERPASUKAN

Di Yayasan Restu, keunikan mereka bukan sahaja pada seni dan ketelitian mushaf, tetapi juga pada sistem berpasukan, dengan setiap individu mempunyai peranan khusus seperti menyalin, menghias, mewarna, meneliti motif, mengaplikasikan emas 24K pada ragam hias dan menguruskan kerja digital, menjadikan proses menghasilkan jilid al-Quran lebih tersusun dan berkesan.

“Tidak seperti tradisi lama, iaitu hanya seorang menyalin dan menghias mushaf, proses yang mengambil masa bertahun-tahun ini kadang-kadang hingga 16 tahun, berakhir tanpa kesinambungan.

Malaysia kini semakin dikenali sebagai pusat penerbitan dan terjemahan al-Quran, sekali gus menunjukkan bagaimana seni mushaf menjadi jambatan dakwah global.

“Yayasan Restu memilih jalan berbeza. Kami membina kumpulan pakar dengan setiap individu fokus pada kepakaran masing-masing, dan dengan pendekatan ini kepakaran tidak hilang, malah dipindahkan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya,” katanya yang turut memaklumkan Yayasan Restu kini mempunyai lebih 250 petugas dengan lebih 100 orang terlibat secara langsung dalam penghasilan mushaf.

Menurut beliau walaupun gaji mereka sederhana, kebanyakan petugas telah berkhidmat lebih 20 tahun dengan institusi itu kerana kecintaan dan dedikasi mereka terhadap al-Quran, bukan wang semata-mata, dan hasilnya karya mereka dihargai melangkaui sempadan Malaysia.

Setiap tahun, petugas Yayasan Restu dijemput ke luar negara untuk menyertai pameran dan program berkaitan mushaf, antaranya di Uzbekistan, Australia, Norway, Denmark, Itali dan Rusia.

 

TERJEMAHAN 

Daripada satu manuskrip, mushaf Malaysia kini tersebar ke pelbagai negara, di mana terjemahan al-Quran telah disiapkan dalam 30 bahasa, termasuk Mandarin, Jepun, Jerman dan Swahili, dengan perancangan untuk menghasilkan terjemahan dalam 30 bahasa lagi.

Katanya menerusi usaha itu, Malaysia kini semakin dikenali sebagai pusat penerbitan dan terjemahan al-Quran, sekali gus menunjukkan bagaimana seni mushaf menjadi jambatan dakwah global.

Manuskrip asal bersaiz A0 yang ditulis tangan sebelum dilukis, diwarna dan di tampal emas 24K dan seterusnya dicetak, semuanya hasil anak tempatan.

Perjalanan itu turut mendapat sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika melawat Yayasan Restu menyatakan ilham untuk Malaysia mencetak dan mengedar satu juta naskhah al-Quran ke seluruh dunia, sebagai respons bermaruah terhadap insiden pembakaran al-Quran di Sweden pada 2023.

“Setiap terjemahan memerlukan masa, kepakaran dan kerjasama antarabangsa. Yayasan bekerjasama dengan universiti dalam dan luar negara, termasuk Turki, Arab Saudi, Pakistan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia.

“Beberapa penterjemah antarabangsa juga secara sukarela datang ke Malaysia untuk menyerahkan terjemahan mereka, termasuk dari Rusia,” katanya.

Dengan sistem berpasukan yang tersusun, kepakaran yang dipindahkan daripada satu generasi kepada generasi lain dan kerjasama global, Malaysia kini menjadi pusat terjemahan al-Quran dunia, menyebarkan mushaf dan terjemahannya ke seluruh dunia sambil mengekalkan nilai seni dan budaya tempatan.

 

MUSHAF MADANI 

Dalam meraikan bulan Ramadan ini, Yayasan Restu bakal melancarkan mushaf ke-13 yang akan diperkenalkan dengan jenama Mushaf Malaysia MADANI dan kini dalam proses pencetakan selepas mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan KDN.

Keistimewaan mushaf itu ialah penggabungan fizikal al-Quran dengan teknologi digital, iaitu naskah dilengkapi kod QR pada setiap halaman dan pengguna boleh mengimbas kod tersebut untuk mendengar bacaan, membaca terjemahan dalam bahasa Melayu, Inggeris, Tamil dan Mandarin.

Antara contoh terjemahan Al-Quran dalam bahasa Jepun.

“Memegang mushaf al-Quran secara fizikal ini adalah sunnah dan tidak boleh dipisahkan daripada masyarakat, namun Yayasan Restu turut menyesuaikannya dengan zaman teknologi

“Selama lima tahun, pasukan penyalin menyiapkan manuskrip baharu ini sebagai simbol komitmen untuk menjadikan al-Quran  paksi pentadbiran dan kehidupan berteraskan al-Quran dan hadis,” katanya.

Dari segi pencetakan, Abdul Latiff berkata lazimnya mushaf baharu akan dicetak sekitar 5,000 hingga 15,000 naskhah pada peringkat awal, sebelum meningkat kepada 50,000 atau 100,000 bergantung pada permintaan.

Pengedarannya akan dibuat melalui kerjasama dengan JAKIM serta inisiatif infaq dan wakaf, selain orang ramai boleh menyumbang untuk membolehkan mushaf diedarkan secara percuma ke pelbagai tempat, sebagaimana usaha wakaf sejuta al-Quran yang sedang digerakkan oleh kerajaan.

Dengan pelancaran ini, Yayasan Restu berharap masyarakat akan lebih dekat dengan al-Quran dalam kehidupan seharian, selari dengan semangat MADANI yang ingin dibawa oleh Perdana Menteri.

 

QUDS

Melangkah ke depan, yayasan itu dengan kerjasama Nasyrul Quran, merancang pembangunan Quranic Discovery Science Centre (QUDS) di Putrajaya sebagai ruang interaktif yang menggabungkan seni bina Islam dan teknologi digital bagi membantu masyarakat memahami al-Quran dengan lebih mendalam.

“Konsepnya adalah untuk membawa pengunjung, khususnya generasi muda, meneroka isi kandungan al-Quran melalui pendekatan visual, eksperimen dan penceritaan berasaskan ilmu, bukan hanya melihat mushaf yang indah, tetapi memahami maknanya dalam kehidupan,” katanya.

Katanya kerajaan telah meluluskan peruntukan untuk projek berkenaan yang akan dibangunkan berhampiran Kompleks Nasyrul Quran di Putrajaya dengan perancangan dan reka bentuk sudah dimulakan, serta dijangka siap dalam tempoh kira-kira tiga tahun.

Menurut Abdul Latiff, QUDS bukan sekadar mendirikan bangunan, tetapi satu usaha menggerakkan ilmu dan masyarakat, sekali gus menjadi platform untuk Malaysia berkongsi kefahaman al-Quran dengan dunia.

© 2026 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.