Kandungan Anggur: Risiko, Rawatan Dan Pemantauan Kehamilan Tidak Normal Di Malaysia

S
ebagai ibu kepada lima orang anak, wanita berusia 46 tahun ini menganggap pengalaman lalu sudah mencukupi untuknya mengharungi kehamilan kali keenam tanpa perlu menjalani pemeriksaan awal di klinik.

Tanpa diduga, ketika kandungannya memasuki trimester kedua (empat ke enam bulan) dia mengalami pendarahan yang banyak, memaksanya ke hospital. Imbasan ultrabunyi mendapati dia mengalami kehamilan anggur atau molar pregnancy yang berisiko mengancam nyawa.

Komplikasi pendarahan yang serius berserta keadaan rahimnya yang telah membesar menyebabkan pasukan perubatan tidak ada pilihan lain kecuali melakukan histerektomi, iaitu pembedahan membuang rahim, bagi menyelamatkan nyawanya.

Di Malaysia, prevalens kandungan anggur ialah 2.6 kes bagi setiap 1,000 kelahiran, jauh lebih tinggi berbanding hanya 0.8 hingga 1.2 kes untuk setiap 1,000 kelahiran di United Kingdom, dan menurut pakar, hamil pada usia lanjut meningkatkan lagi risiko seseorang wanita untuk mengalami kandungan anggur.

 

APA ITU KANDUNGAN ANGGUR?

Dinamakan kandungan anggur kerana berbentuk seperti gugusan buah anggur yang sebenarnya merupakan sista, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Columbia Asia Cheras, Dr Mastura Mat Yusof berkata kandungan anggur berlaku apabila sel plasenta berkembang secara tidak normal akibat ketidakseimbangan genetik atau kromosom semasa persenyawaan ovum.

“Terdapat dua jenis molar pregnancy iaitu complete mole dan partial moleComplete mole berlaku apabila ovum kosong disenyawakan sperma, menyebabkan hanya bahan genetik daripada pihak bapa terbentuk tanpa perkembangan janin. Jenis ini mempunyai risiko lebih tinggi untuk berkembang menjadi komplikasi serius.

Dr Mastura Mat Yusof, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Columbia Asia Cheras.

Partial mole pula berlaku apabila embrio terbentuk dengan bilangan kromosom yang tidak normal, biasanya disebabkan oleh dua sperma mensenyawakan satu ovum. Walaupun terdapat unsur janin, ia tidak mampu bertahan hidup. Namun begitu, risiko untuk berkembang menjadi komplikasi serius adalah jauh lebih rendah berbanding complete mole,” jelasnya ketika ditemui, baru-baru ini.

Beliau berkata bahaya kandungan anggur ialah risiko berkembang menjadi kanser yang dikenali sebagai Gestational trophoblastic neoplasia (GTN).

“GTN merujuk sekumpulan penyakit kanser yang berlaku apabila tisu kehamilan terus berkembang secara abnormal dan boleh berkembang menjadi satu bentuk kanser yang lebih agresif seperti choriocarcinoma yang akan merebak ke organ lain seperti paru-paru atau otak,” katanya.

Menurut Dr Mastura, GTN yang dikesan awal lazimnya dapat sembuh sepenuhnya jika pesakit menjalani rawatan kemoterapi.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan kandungan anggur bukan berpunca daripada pemakanan atau aktiviti harian seperti yang dipercayai ramai. Sebaliknya kata beliau, keadaan itu berlaku secara rawak akibat masalah genetik semasa persenyawaan telur.   

“Antara gejala utama kehamilan luar biasa ini ialah pendarahan faraj yang tidak normal, loya dan muntah teruk akibat paras hormon kehamilan terlalu tinggi serta rahim membesar lebih cepat berbanding usia sebenar kandungan.

“Dalam sesetengah kes, paras hormon Beta-hCG (human chorionic gonadotropin) yang terlalu tinggi juga boleh memberi kesan silang kepada kelenjar tiroid kerana strukturnya menyerupai hormon perangsang tiroid sehingga menyebabkan simptom hipertiroidisme,” jelasnya.

(Hormon Beta-hCG ialah hormon yang dihasilkan oleh plasenta sejurus selepas persenyawaan ovum dan bertindak menyokong awal kehamilan serta menghentikan haid.)

Sehubungan dengan itu, beliau berkata adalah amat penting untuk wanita hamil menjalani pemeriksaan awal dan pemantauan susulan.

 

RISIKO TINGGI SEIRING USIA DAN HISTEREKTOMI

Risiko kandungan anggur juga meningkat seiring dengan pertambahan usia wanita.

“Bila umur meningkat, kualiti ovum semakin menurun, jadi peluang untuk kes kandungan anggur berlaku lebih besar,” kata Dr Mastura, menambah risiko bertambah tinggi sekiranya wanita itu pernah mempunyai sejarah mengalami kandungan anggur.

Risiko kandungan anggur juga meningkat seiring bertambahnya usia wanita. Dengan Malaysia kini bergerak ke arah negara menua, lebih ramai wanita berisiko hamil pada usia lewat. Kredit gambar laman web PPTX.

Berhubung rawatan utama, beliau menjelaskan pakar biasanya akan menjalankan prosedur evakuasi rahim, iaitu prosedur khas untuk mengeluarkan tisu kehamilan tidak normal dari dalam rahim yang dijalankan di dewan bedah dengan persediaan sokongan darah.

Jelasnya, berbeza dengan keguguran biasa, tisu molar mudah berdarah, menyebabkan pesakit berisiko mengalami pendarahan lebih banyak, terutamanya jika lewat mendapatkan rawatan.

“Bagi kebanyakan pesakit, prosedur evakuasi rahim sudah mencukupi sebagai rawatan. Histerektomi pula bukanlah rawatan standard untuk kes sebegini ataupun GTN, dan hanya akan dilakukan dalam keadaan tertentu, khususnya bagi wanita yang tidak lagi merancang kehamilan atau mereka yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi, sebagai prosedur menyelamatkan nyawa,” katanya lagi.

 

PEMANTAUAN BERKALA

Selesai rawatan evakuasi rahim, pesakit perlu menjalani pemantauan hormon Beta-hCG secara berjadual bagi memastikan tidak ada sisa tisu molar yang boleh berkembang menjadi GTN, jelas Dr Mastura. 

“Bagi kes complete mole, paras hCG biasanya akan terus dipantau setiap minggu sehingga normal, dan seterusnya secara bulanan hingga enam bulan. Sepanjang tempoh ini, pesakit tidak dibenarkan hamil kerana kehamilan baharu boleh mengganggu interpretasi bacaan hormon.

“Sekiranya bacaan hCG gagal menurun secara konsisten atau meningkat semula, pesakit akan dirujuk kepada pakar ginekologi onkologi untuk penilaian lanjut. Dalam keadaan tertentu, rawatan menggunakan single-agent chemotherapy sudah mencukupi, dengan kadar penyembuhan tinggi tanpa menjejaskan peluang kehamilan pada masa depan,” ulasnya.

Sepanjang tempoh pemantauan, pesakit disaran menggunakan kaedah perancang keluarga seperti pil hormon, suntikan atau kondom bagi mengelakkan kehamilan baharu.

“Namun begitu, IUCD, iaitu satu alat kontrasepsi yang dipasang di dalam rahim, walaupun tidak menjejaskan bacaan hCG, tidak boleh digunakan pada fasa awal pemantauan kerana berisiko menyebabkan pendarahan tidak normal serta boleh mencederakan rahim semasa proses pemasangan,” tegasnya.

Selain pemantauan rapi dan diagnosis awal, kesedaran awam mengenai kandungan anggur juga perlu dipertingkatkan lagi memandangkan masih ramai yang kurang tahu tentang masalah itu.

“Oleh itu, setiap wanita yang disahkan hamil disaran untuk menjalani imbasan awal bagi memastikan kandungan berada di dalam rahim dan bukannya di luar rahim, selain menilai adakah kandungan mereka berkembang dengan sihat,” nasihatnya.

 

PUSAT RUJUKAN DAN SISTEM PEMANTAUAN

Sementara itu, Pakar Obstetrik & Ginekologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Prof Dr Anizah Ali menegaskan keperluan mewujudkan pusat rujukan bagi kes kandungan anggur, agar kesinambungan rawatan dan pemantauan dapat dilaksanakan secara lebih teratur. 

“Pusat rujukan sebegini membolehkan pesakit yang berisiko tinggi mendapat rawatan tepat pada masanya, selain memastikan protokol pemantauan dilaksanakan secara konsisten,” jelas beliau, dan menambah kekuatan sesebuah pusat rujukan terletak pada fasiliti multidisiplin yang lengkap, merangkumi unit obstetrik dan ginekologi, patologi, radiologi, dewan bedah serta sokongan darah.

Prof Dr Anizah Ali, Pakar Obstetrik & Ginekologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) ketika ditemui Bernama.

Infrastruktur ini turut membolehkan pengurusan komplikasi dilakukan dengan lebih selamat dan terkawal. Sekiranya kes berkembang menjadi GTN, atau lebih teruk choriocarcinoma, akses segera kepada pasukan onkologi dan kemoterapi dalam sistem rujukan yang jelas dapat mempercepat intervensi serta meningkatkan kadar penyembuhan.

“Kerisauan kita adalah apabila kadar kes semakin meningkat. Kita tidak boleh terus bergantung pada rawatan episodik sahaja. Sistem pengesanan dan pemantauan perlu diselaraskan (antara hospital awam dan swasta), khususnya bagi kes berisiko tinggi dan pesakit yang tinggal jauh dari pusat pakar,” katanya, menambah HCTM merawat kira-kira tujuh hingga lapan pesakit GTN saban tahun.

“Angka ini nampak kecil, tetapi ia merujuk kes yang telah memasuki fasa komplikasi serius dan memerlukan rawatan onkologi khusus,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan kerajaan membangunkan satu registry pesakit molar di peringkat nasional, atau sekurang-kurangnya di peringkat negeri.

“Registry ini bukan sahaja memudahkan pemantauan rawatan susulan secara lebih sistematik, malah membolehkan pengumpulan data yang lebih efisien untuk tujuan audit klinikal dan penyelidikan, sekali gus memperkukuh pemahaman serta pengurusan penyakit ini pada masa depan,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa cabaran sebenar bukan pada rawatan awal, tetapi pada kesinambungan pemantauan susulan kerana ada pesakit yang tidak hadir semula untuk pemantauan paras hormon hCG, disebabkan faktor seperti kekangan logistik, kos perjalanan atau trauma psikologi selepas kehilangan anak dalam kandungan.

“Tanpa pemantauan rapi, risiko perkembangan kepada GTN mungkin tidak dapat dikesan pada peringkat awal. Dalam konteks ini, sistem panggilan semula yang berkesan, penggunaan rekod digital serta komunikasi aktif antara klinik primer dan hospital rujukan amat penting bagi memastikan pesakit tidak tercicir daripada pemantauan,” tegasnya.

 

© 2026 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.