Di Sebalik Tegahan, Suara Wanita Muda Orang Asli Kian Lantang

E
liana Tan Beng Hui masih ingat ketika itu tangannya melekit dengan peluh selain rasa gementar yang menyelubungi diri. 

Dan, seperti yang biasa dialaminya apabila berdepan dengan rasa gemuruh, air matanya bergenang. Hampir tumpah.

Kakaknya Diana, yang setahun lebih tua, melihat keadaan dirinya dengan penuh rasa bimbang.

Eliana kentalkan diri. Sambil mengelap tangannya pada seluar jeans yang dipakai, dia bersama-sama dengan kakaknya mendekati wakil Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Air mata yang ditahan berjurai ketika dia menyerahkan dokumen serta video yang dihasilkan olehnya bersama-sama dengan Diana serta beberapa lagi wanita muda daripada suku Orang Asli Jakun dari Kampung Petoh, Rompin, Pahang kepada pegawai berkenaan.  

Mereka mengemukakan bantahan terhadap projek padi yang dicadangkan oleh kerajaan dilaksanakan di atas kawasan berpaya seluas 700 hingga 800 hektar berhampiran sungai di kampung mereka.

Eliana, 25, berkongsi kisah yang berlaku pada 2019 itu dengan Bernama, tentang bagaimana usahanya dan Diana - dibantu oleh para wanita muda daripada suku Jakun - berjaya menghentikan projek tersebut. Satu daripada detik paling penting ialah ketika mereka memaklumkan kerajaan, melalui video dan penceritaan, akan makna tanah serta hutan tersebut kepada mereka, kepada budaya, kepercayaan dan identiti mereka, serta bagaimana projek yang dicadangkan itu akan menyebabkan kampung mereka terdedah kepada risiko banjir.

“Itu kali pertama kami berjumpa pengarah Jakoa, dan semasa kami serahkan dokumen serta rakaman video itu saya menangis tetapi semangat membara, kerana ada sokongan komuniti dan kami rasa kami berjuang untuk komuniti… dan itu juga kali pertama kami berjuang demi tanah (adat),” katanya dalam temu bual yang berlangsung di Rimba Ilmu Botanic Garden, Universiti Malaya di sini.

Isu tanah adat melibatkan Orang Asli dan kerajaan serta syarikat bukan perkara baharu di negara ini dengan beberapa kes sedang dibicarakan di mahkamah.  

Projek padi itu membuka mata dua beradik berketurunan Jakun dan Cina berkenaan untuk turut terlibat dalam usaha mempertahankan tanah mereka daripada diambil alih oleh kerajaan bagi tujuan pembangunan.

“Kami fikir sudah tiba masa untuk kami buat sesuatu. Kami perlu lawan,” celah Diana.

Diana a/p Tan Beng Hui dari suku Jakun. --gambar ihsan

 

SINERGI 

Dulu, tidak ramai yang mendengar atau menyedari akan usaha Orang Asli untuk mendapatkan perakuan berhubung tanah adat mereka, kecuali mahkamah yang mengiktiraf hak mereka sekalipun tidak ada undang-undang khusus yang memperakui tuntutan itu. Malah, walaupun keputusan mahkamah memihak kepada mereka - dengan mendapati mereka berhak ke atas tanah berasaskan adat, tradisi dan pendudukan secara berterusan sekalipun tanpa geran - pengiktirafan masih diberikan berdasarkan kes.

Akan tetapi media baharu mengubah situasi itu.

Semasa mereka berusaha menghalang pelaksanaan projek padi itu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Freedom Film Network (FFN) yang menyediakan alat bagi meningkatkan suara komuniti yang berkenaan, sedang mencari wanita muda Orang Asli untuk berkongsi kisah mereka. FFN berhubung dengan EMPOWER, sebuah lagi NGO yang memperjuangkan kesaksamaan politik serta Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) yang seterusnya membawa mereka bertemu dengan dua beradik ini.

Menerusi usaha itu, Eliana dan Diana bertemu dengan wanita muda daripada suku kaum lain yang berkongsi fikiran, antaranya Rosdila Ngah Roslan, iaitu seorang daripada pengasas Apa Kata Wanita Orang Asli (AKWOA).

Pengarah dan Pengasas Bersama FFN Brenda Danker memberitahu Bernama bahawa program mereka bermula pada 2018 sebagai satu perkumpulan tidak rasmi, menghimpunkan wanita Orang Asli untuk berkongsi kisah masing-masing. Projek pertama ialah berkenaan pendidikan dan akses wanita Orang Asli kepada pendidikan.

“Apabila kami berjumpa dengan dua beradik tersebut, mereka kata ‘Oh, kami sangat kreatif. Kami suka bercerita,” kata Danker, menambah pada masa itu Rosdila meluahkan hasrat untuk menjadi pencipta kandungan YouTube atau Youtuber. 

Rosdila yang berketurunan Temiar dari Perak, serta beberapa lagi wanita muda dalam perkumpulan itu kemudian membentuk  AKWOA pada 2020, selepas kumpulan tersebut menghasilkan tiga buah filem tentang kehidupan mereka.

“Sebelum itu, mereka sudahpun berkumpul. Mereka berkumpul untuk bengkel. Mereka berkumpul untuk makmal penceritaan … ia (cuma) menjadi lebih tersusun secara rasmi (pada 2020),” kata Danker.

Diana menyertai perkumpulan itu pada tahun sama, manakala Eliana pula pada 2021. Bersama-sama dengan Rosdila, 28, kini mereka bertiga berperanan sebagai penyelaras program sepenuh masa untuk platform tersebut, dengan akaun di YouTube, Facebook dan TikTok. Mereka juga mempunyai sebuah audio siar.

Mungkin disebabkan mereka berasal daripada budaya yang banyak bergantung pada tradisi lisan, mereka tidak kekok dalam menghasilkan dan memuat naik kandungan yang memfokuskan pada kehidupan dan isu-isu mereka.

Namun, datang daripada budaya yang rata-ratanya tidak meletakkan wanita dalam peranan kepimpinan, kelantangan suara dan ketegasan wanita muda terbabit ketika menyuarakan pendirian adalah sesuatu yang di luar jangkaan.

 

PATRIARKI

Budaya setiap suku kaum Orang Asli adalah berbeza antara satu sama lain. Terbahagi kepada tiga kumpulan utama, iaitu Negrito, Senoi (termasuk suku Semai dan Temiar) serta Melayu-Proto (termasuk Jakun), mereka bagaimanapun menetapkan peranan mengikut jantina, dan pada masa ini tidak ada wanita yang mengetuai mana-mana kumpulan Orang Asli tersebut.

Bernama dimaklumkan oleh wanita-wanita muda berkenaan akan kewujudan aspek patriarki dalam budaya mereka walaupun amalan dan sifatnya berbeza dengan budaya rakyat Malaysia arus perdana. Eliana berkata komunitinya terkejut apabila dia berkongsi pandangannya buat kali pertama pada mesyuarat komuniti.

“Masa tu saya sangat muda, (umur 18 tahun), dan saya beri pendapat saya dalam komuniti. Masa tu mereka gelak, pemimpin masyarakat gelak dan rasa pendapat saya sebagai seorang wanita dan muda (pula) tidak sah,” katanya.

“Macam kita tak tahu apa-apa. Tak payahlah (beri pendapat), tak naklah dengar kau bagi pendapat. Bukan penting pun, macam tu,” Rosdila mencelah, dan menambah keadaan itu berlaku walaupun wanita tersebut mempunyai pengetahuan tentang isu yang dibincangkan.

Rosdila Ngah Roslan (kanan), pengasas Apa Kata Wanita Orang Asli, memberi latihan storyboarding kepada penduduk yang berminat di Kampung Petoh, Pahang. --gambar ihsan

Kalau dulu, kaum wanita mungkin beralah dan duduk mendiamkan diri sambil memendam rasa. Kini, ketiga-tiga mereka membawa isu-isu tersebut kepada khalayak ramai. 

“Dalam masyarakat seperti Temiar, mereka sangat-sangat didominasi oleh lelaki. Jadi, untuk tampil ke depan dan melakukan perkara seperti ini sebenarnya satu pencapaian yang besar,” kata Dr Colin Nicholas daripada Centre for Orang Asli Concerns, sebuah NGO yang memperjuangkan hak Orang Asli.

Beliau khususnya kagum dengan penjelasan balas wanita-wanita ini secara dalam talian terhadap dakwaan baru-baru ini bahawa tanah adat Orang Asli tidak wujud. Ketika ini, kes saman melibatkan tanah adat antara suku Temiar dari Kampung Kelaik, Gua Musang, Kelantan dan kerajaan negeri serta syarikat perlombongan sedang berlangsung dengan perbicaraan dijangka bersambung pada Jun. 

AKWOA  menghasilkan video mengenai pencemaran di Kampung Kelaik dan kawasan sekitarnya.

Kata mereka, sebahagian besar tumpuan diberikan kepada isu tanah adat kerana hal itu sangat penting buat wanita yang selalunya bertanggungjawab mengusahakan tanah - menjaga kebun sayur serta mencari herba ubat-ubatan di hutan. Wanita juga lazimnya menjadi penjaga warisan budaya sesebuah suku kaum. Selain itu, mereka turut mengetengahkan pengalaman wanita Orang Asli dalam aspek pendidikan, kesihatan dan diskriminasi.

Kumpulan wanita muda itu berkata komuniti mereka kini menyokong usaha yang dilakukan walaupun masih terdapat beberapa kekurangan dari segi kesedaran.

Walaupun mudah untuk menuding jari kepada patriarki, pakar dalam budaya Orang Asli berpendapat faktor usia muda mereka, selain jantina, juga menjadi halangan.

Tijah Yok Chopil, mentor dan seorang daripada pengasas JKOSM, memberitahu Bernama dulu tidak begitu. Walaupun perkembangan seperti kolonialisme mungkin meletakkan lelaki sebagai pemimpin de facto dalam suku Orang Asli, beliau berkata banyak suku Orang Asli pada masa lalu menganggap wanita mempunyai kedudukan yang setara dengan lelaki.

Menjelaskan yang beliau hanya boleh menggunakan warisan budaya suku Semai dan pengalamannya sebagai contoh, wanita itu berkata: “Kalau suku Semai, dulu lelaki dan perempuan berada bersama-sama dalam satu institusi yang kita panggil The Elders Institution (Majlis Orang Tua-tua). Dalam institusi ini bukan hanya ada lelaki tetapi juga perempuan. Kenapa? Kerana orang perempuan juga merupakan bomoh atau dukun,” katanya.

 

KEKAL  AUTENTIK

Sejak FFN memulakan perkumpulan tidak rasmi itu pada 2018 sebagai platform untuk wanita muda Orang Asli menceritakan kisah mereka, keahliannya semakin berkurangan. Pada awal penubuhan, kumpulan itu mempunyai 18 ahli dan mencapai kemuncak 25 orang pada  2020. Kini, hanya empat ahli yang aktif menyumbang secara tetap sementara yang lain pula menyumbang apabila berpeluang. Namun begitu, Eliana, Diana dan Rosdila tidak berhasrat untuk berhenti.

Bukan sahaja berkongsi cerita tentang kehidupan mereka itu penting, bahkan maklum balas daripada penonton juga dapat memberikan mereka kepuasan.

Diana meluahkan rasa kagum terhadap reaksi orang ramai berhubung penahanan 21 penunjuk perasaan Orang Asli pada Februari lalu dengan 17 daripada mereka adalah wanita. Mereka yang mendiami Kampung Jemeri di Rompin, Pahang membantah pencerobohan tanah adat mereka oleh pemaju ladang kelapa sawit.

“Itulah kuasa media. Dari situ kita boleh tengok banyak yang marah dengan penahanan tersebut. Ramai netizen cakap Orang Asli bukan penjenayah. Baguslah (orang tahu). Kami beritahu apa yang berlaku pada komuniti Orang Asli,” katanya.

Mereka bukan sekadar membincangkan isu yang membelenggu komuniti mereka tetapi turut mengetengahkan aspek budaya dan identiti kepada penonton, termasuk di peringkat antarabangsa.

Di saluran YouTube mereka, terdapat siri video berkaitan bahasa yang mengajar penonton frasa asas, selain perkongsian cara memasak hidangan tradisional mereka.

Eliana memberitahu Bernama mereka terkejut apabila mengetahui ada peminat di Korea Selatan yang cuba memasak beberapa hidangan yang dikongsikan di saluran YouTube mereka. Katanya, walaupun berdepan pelbagai cabaran, hanya mereka yang dapat menyampaikan kisah sebenar tentang komuniti mereka dari sudut pandang ahli masyarakat itu sendiri.  

“Dalam kalangan kami pun ada yang tidak mahu dengar pendapat wanita muda. Apatah lagi orang luar. (Tapi) kalau kami tak buat, siapa lagi yang akan buat?”

 

© 2026 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.