Api Membakar Tubuhnya, Namun Tidak Semangat Ahmad Nasri

K
eheningan subuh 18 Mei 2024 di Kampung Panjang Banggu, Binjai di sini, tiba-tiba direnggut jeritan seorang lelaki yang berguling-guling di atas tanah tatkala tubuhnya dilahap api.

Insiden itu menyaksikan Ahmad Nasri Anwar, 31, terlantar di Unit Rawatan Rapi  (ICU), Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian di sini selama 24 hari.

Ditemui Bernama ketika mendapatkan rawatan susulan di hospital tersebut baru-baru ini, bekas juruelektrik dan pendingin hawa itu berkata kejadian tersebut berlaku dalam sekelip mata selepas dia selesai mencuci enjin motosikalnya.

“Selepas mengelap enjin motosikal saya bakar sampah, dan tiba-tiba api menyambar kaki saya. Sekelip mata api merebak membakar tubuh. Dalam keadaan panik dan kesakitan yang teramat, saya hanya mampu menggulingkan badan di atas pasir,” katanya.

Insiden itu turut disaksikan oleh isterinya  Nik Nurul Fatihah Nik A Rasid, 30.

“Saya kurang pasti bagaimana kejadian itu boleh berlaku. Mungkin ada sisa petrol di kaki seluar ketika saya membersihkan enjin motor, menyebabkan api daripada pembakaran sampah menyambar,” tambah Ahmad Nasri.

 

TERBAKAR 45 PERATUS 

Api itu membakar 45 peratus daripada tubuhnya, iaitu kaki kanan, kedua-dua belah tangan, perut, dada, bahagian belakang serta mukanya.

Menurut Ahmad Nasri, tindakannya menggulingkan badan di atas pasir berjaya memadamkan api dan dia kemudian dibawa ke hospital oleh isterinya.

Proses rawatan pesakit melecur digambarkan seperti sebuah perjalanan panjang yang mempunyai pelbagai fasa pemulihan.

“Ketika itu saya dalam keadaan tidak sedar. Sebaik sahaja buka mata, tengok-tengok dah berada di ICU,” ujarnya. 

Disebabkan dia melecur teruk, Ahmad Nasri berkata doktor memutuskan agar dia ditidurkan bagi menstabilkan keadaan dirinya sebelum rawatan lanjut dijalankan.

Dengan sebahagian besar tubuh mengalami luka terbuka akibat kulitnya melecur, bapa kepada dua anak lelaki ini bukan hanya mengalami kesakitan fizikal tetapi juga mental.

“Masa ‘tidur’ (di ICU) memang tidak rasa sakit, tetapi apabila sedar sakitnya memang tidak dapat digambarkan, sehingga ada satu ketika saya berasa tidak sanggup lagi untuk teruskan (hidup),” akuinya.

 

SEMBILAN BULAN DALAM DUNIA BERTEKANAN POSITIF 

Dua hari selepas dibangunkan daripada “tidur”, Ahmad Nasri dipindahkan ke Unit Rawatan Kebakaran (URK) HPUSM, iaitu sebuah unit khusus yang menjadi rujukan utama kes melecur kritikal di kawasan pantai timur. 

Di situ, dia ditempatkan di bilik khas bertekanan positif bagi mengurangkan risiko jangkitan. Selama hampir sembilan bulan di situ, lelaki ini menjalani pelbagai prosedur rawatan termasuk cucian luka yang begitu memeritkan.

Luka bakar diklasifikasikan berdasarkan kedalaman kecederaan kebakaran, iaitu superficial (epidermal), superficial dermal, deep dermal dan full-thickness.

“Semasa cuci luka, sakitnya hanya Allah sahaja yang tahu, walaupun saya diberikan ubat tahan sakit,” kongsinya lagi.

Sepanjang tempoh di URK itu juga dia menjalani prosedur tampalan kulit bagi menutup kawasan luka terbuka yang luas, namun sekali lagi diuji apabila sebahagian daripada tampalan kulit tersebut mengalami komplikasi jangkitan kuman.

“Kesakitan semasa menjalani prosedur membuatkan saya serik dan tidak mahu meneruskan rawatan. Akan tetapi doktor pujuk dan tunjuk keadaan luka saya. Kata mereka, kalau saya berhenti menjalani rawatan, luka berisiko menjadi lebih teruk,” ujarnya.

Pada masa sama, sokongan keluarga termasuk dua anak lelakinya, Ahmad Aisy Mikhail dan Ahmad Aus Malik (masing-masing kini berusia empat dan lima tahun), membantunya mengharungi rawatan yang dijalankan.

 

PERJUANGAN DI LUAR WAD

Pada Februari 2025 dia dibenarkan keluar hospital. Namun lukanya masih belum sembuh dan dia perlu mengenakan pakaian bertekanan khas selama 23 jam sehari bagi mengawal pembentukan parut. 

Kini, hampir dua tahun selepas kejadian, dia bersyukur kerana masih diberi peluang untuk hidup, walaupun masih perlu menjalani rawatan susulan. 

“Dulu memang hampir putus asa, tetapi kini saya amat bersyukur kerana masih bernafas. Parut yang masih jelas kelihatan ini juga jadi bukti yang saya pernah lalui detik paling sukar dalam hidup,” katanya.

Dia juga bersyukur kerana sebahagian besar kos rawatannya dibiayai oleh Majlis Agama Islam Kelantan selain bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Memandangkan keadaan dirinya yang masih belum sepenuhnya, Ahmad Nasri berkata dia kini menjalankan perniagaan dalam talian bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga.

 

RAWATAN KOMPLEKS PESAKIT MELECUR

URK HPUSM mula beroperasi pada 9 Sept 2004 dan pada masa ini dikendalikan oleh 21 petugas termasuk 13 jururawat.

Dr Siti Fatimah Noor Mat Johar selaku Penyelaras Unit Sains Rekonstruktif yang bertanggungjawab menyelia unit itu, berkata wad tersebut hanya ada tiga buah katil, dan ada masanya tidak berpenghuni.

Dr Siti Fatimah Noor Mat Johar, Penyelaras Unit Sains Rekonstruktif HPUSM.

Namun, unit itu turut mengendalikan kes pesakit luar yang mengalami kecederaan lecur.

“Luka bakar diklasifikasikan berdasarkan kedalaman kecederaan kebakaran, iaitu superficial (epidermal), superficial dermaldeep dermal dan full-thickness. Untuk pesakit ini (Ahmad Nasri), kami klasifikasikan sebagai tahap deep dermal,” jelasnya kepada Bernama.

Tambah beliau, pesakit melecur kritikal berdepan risiko jangkitan yang sangat tinggi kerana kehilangan fungsi kulit sebagai benteng pertahanan utama tubuh. Sehubungan dengan itu, pesakit yang sedemikian akan ditempatkan di bilik khas bertekanan positif bagi memastikan udara bersih kekal berada di dalam bilik, dan udara luar yang berpotensi tercemar ditolak keluar. 

Berkongsi lanjut, Dr Siti Fatimah berkata cabaran dalam merawat pesakit melecur bukan sahaja melibatkan risiko jangkitan, tetapi  juga proses pemulihan.

Mereka perlu menjalani rawatan merentasi pelbagai disiplin seperti fisioterapi, terapi cara kerja dan gangguan tekanan pascatrauma (PSTD), selain tempoh pemulihan mengambil masa yang panjang.                       “Ada pesakit yang masih teringat bunyi letupan atau api setiap kali menutup mata. Ada juga yang berasa rendah diri melihat perubahan pada tubuh mereka,” katanya, merujuk PSTD.

 

TEKNOLOGI RAWATAN MODEN

Bagi merawat bahagian yang melecur, URK menggunakan beberapa teknik pembedahan khusus termasuk kaedah Meek micrografting, iaitu satu teknik tampalan kulit yang dapat memaksimumkan kawasan litupan. 

Menerusi kaedah itu, sekeping kulit sihat dipecah-pecahkankan kepada kepingan kecil sebelum dikembangkan untuk menutup kawasan luka lebih luas.

“Teknologi ini memerlukan kos yang tinggi dan kepakaran khusus, namun hasilnya lebih baik dengan pembentukan parut yang lebih lembut dan berkualiti,” katanya.

Selain itu, URK turut menggunakan teknologi Cultured Epithelial Autograft (CEA) yang membolehkan sel kulit pesakit dibiakkan di makmal sebelum dipindahkan semula ke kawasan luka bagi membantu proses penyembuhan.

 

KEPENTINGAN PERTOLONGAN CEMAS

Dr Siti Fatimah berkata tindakan pertolongan cemas yang cepat amat penting dalam kes melecur.

Beliau berkata langkah paling asas ialah mengalirkan air paip pada bahagian tercedera sekurang-kurangnya selama 20 minit bagi menyejukkan kulit dan menghentikan proses melecur.

“Tindakan awal ini boleh membantu mengurangkan kedalaman luka serta mengurangkan kesakitan pada peringkat awal,” katanya.

Menyifatkan proses rawatan pesakit melecur seperti sebuah perjalanan panjang yang mempunyai pelbagai fasa pemulihan, beliau berkata setiap fasa penyembuhan perlu dilalui secara berperingkat oleh pesakit.

“Perawatan luka melecur umpama sebuah novel perjalanan hidup baharu. Setiap fasa penyembuhan dan pemulihan adalah seperti bab dalam sebuah cerita yang perlu dilalui pesakit satu demi satu hingga bab terakhir apabila mereka kembali sihat dan mampu menjalani kehidupan seperti biasa.

“Kebanyakan pesakit yang berjaya sampai ke bab terakhir ialah mereka yang mempunyai semangat yang cekal dan disiplin tinggi sepanjang rawatan,” katanya.

© 2026 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.