NTC Perkukuh Sistem Transplan Negara, Tingkat Kesedaran Pendermaan Organ

A
rtikel terakhir daripada laporan tiga bahagian tentang pendermaan organ di negara ini menyentuh peranan Pusat Transplan Kebangsaan sebagai penyelaras dalam perawatan itu beserta cabaran serta langkah yang diambil oleh kerajaan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat.

 

Di Malaysia, pada hari ini, terdapat lebih 10,000 pesakit sedang menunggu dengan penuh harapan; bukan sekadar menanti rawatan, tetapi peluang untuk terus hidup menerusi organ baharu.

Mengalami kerosakan organ asal, mereka berdepan realiti getir dengan nyawa di hujung tanduk, kerana pemindahan organ hanya dapat dilakukan sekiranya ada penderma dan memenuhi semua kriteria yang diperlukan.

Justeru, dalam kebanyakan keadaan, ramai pesakit tidak sempat menerima organ baharu.

Menurut Pusat Transplan Kebangsaan (NTC), ada dua kategori utama penderma organ, iaitu penderma hidup yang mendermakan organ seperti satu daripada buah pinggang atau sebahagian hati; dan penderma selepas kematian yang melibatkan penderma meninggal dunia akibat kematian otak.

Setakat Mac 2026, terdapat 424,333 orang mendaftar sebagai pengikrar penderma organ di negara ini dan sepanjang 2025, sebanyak 89 kes pendermaan direkodkan, namun daripada jumlah itu hanya 10 peratus daripada pengikrar. 

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hampir 90 peratus daripada pengikrar penderma organ berpotensi tidak dapat berbuat demikian disebabkan oleh halangan keluarga atau waris.    

 

MENUNGGU LAMA

Mengulas lanjut, Pengarah NTC Dr Mohd Syafiq Ismail Azman berkata pendermaan organ tidak boleh berlaku secara automatik dan hanya dapat dilaksanakan dalam keadaan tertentu sekalipun melibatkan pengikrar yang mengalami mati otak.

Perkara itu tertakluk di bawah Akta Tisu Manusia 1974 yang memperuntukkan  kebenaran waris diperlukan sebelum organ boleh diambil daripada individu yang meninggal dunia.

Pengarah NTC Dr Mohd Syafiq Ismail Azman. Kredit gambar UKK KKM.

“Selain kesesuaian klinikal, pendermaan organ memerlukan keizinan waris sebagai penentu akhir, dan ini adalah cabaran besar yang masih kita hadapi hingga saat ini.

“Walaupun seseorang telah membuat ikrar sebagai penderma organ semasa hayat, keizinan waris masih tetap diperlukan bagi pelaksanaan pendermaan selepas kematian pengikrar tersebut,” katanya dalam temu bual secara bertulis dengan Bernama. 

Beliau berkata faktor-faktor tersebut antara yang menyebabkan ramai pesakit dalam senarai menunggu terpaksa mengharungi tempoh penantian yang panjang.

“Untuk organ jantung misalnya, ada yang terpaksa menanti selama 14 tahun dan buah pinggang pula sekitar 10 hingga 13 tahun,” jelasnya kepada Bernama.

“Tempoh (menunggu) ini bukan sahaja bergantung pada ketersediaan organ, tetapi juga membabitkan faktor kesesuaian kriteria klinikal seperti padanan jenis darah, saiz organ serta tahap kesihatan penerima itu sendiri.”  

Justeru, pemilihan penerima dibuat berdasarkan padanan klinikal yang ketat, bukan secara rawak.

Turut menyumbang ialah faktor geografi kerana sesetengah organ perlu ditransplan kepada penerima dalam tempoh tertentu.

“Sebagai contoh, buah pinggang hanya dapat bertahan selama 24 jam selepas dikeluarkan daripada tubuh penderma, serta perlu disimpan dalam cecair pengawet khas pada suhu tertentu sementara menunggu dipindahkan kepada penerima,” jelasnya lagi. 

Kelihatan pegawai perubatan membawa organ manusia ketika menaiki helikopter Unit Udara JBPM dalam penerbangan ihsan membawa empat organ untuk pesakit di IJN Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam konteks ini, sokongan agensi lain amat kritikal khususnya dari segi logistik, katanya yang menzahirkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat yang pernah membantu memudahkan urusan pengangkutan organ dalam beberapa kerjasama sebelum ini.

“Tanpa koordinasi pantas dan kemas sebegini, organ yang sepatutnya boleh menyelamatkan nyawa boleh rosak dan akhirnya menjadi sia-sia,” katanya.

 

PUNCA WARIS ENGGAN IZIN

Mengulas lanjut, Dr Mohd Syafiq Ismail berkata faktor-faktor utama yang menyebabkan waris tidak memberikan persetujuan termasuk ketidakpastian mengenai hasrat si mati, kebimbangan terhadap keadaan fizikal jenazah serta keinginan untuk mempercepat urusan pengebumian.

“Faktor emosi turut memainkan peranan besar. Apabila kematian berlaku secara tiba-tiba, ahli keluarga selalunya berada dalam keadaan terkejut dan bersedih, menjadikan mereka sukar membuat keputusan besar dalam tempoh singkat. 

Pendermaan organ amat digalakkan dalam kebanyakan agama, kerana ia boleh dianggap 'sedekah' dan perbuatan kebajikan besar khususnya terhadap golongan penerima organ dan keluarga mereka.

“Semua keadaan ini sebenarnya cukup selari dengan dapatan yang sering berlaku di peringkat hospital, di mana komunikasi dengan keluarga perlu dilakukan secara berhemah dan berperingkat,” katanya.

Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, beliau berkata KKM melaksanakan pelbagai kempen termasuk inisiatif Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi “Warisku, Hormati Ikrarku”.

Menasihati pengikrar penderma organ agar berbincang dengan keluarga, beliau berkata pada masa ini Malaysia mengamalkan sistem “opt-in”, iaitu individu berdaftar secara sukarela semasa hayat.

“Orang ramai yang ingin menjadi penderma organ boleh mendaftar melalui aplikasi MySejahtera dengan cara mengikuti arahan yang ditetapkan dalam aplikasi,” katanya, menambah pendaftaran melalui aplikasi itu cukup mudah dengan kad penderma organ disimpan secara elektronik.

 

PRINSIP SUKARELA

Dr Mohd Syafiq Ismail turut mengetengahkan salah faham masyarakat tentang pendermaan organ melibatkan kos yang tinggi dan menguntungkan hospital.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, beliau berkata selain Akta Tisu Manusia, pendermaan organ di negara ini turut tertakluk pada beberapa lagi akta termasuk Akta Perubatan 1971 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Pindaan 2022) yang membendung eksploitasi pendermaan organ.

Kadar persetujuan keluarga masih kekal rendah dengan Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi Pusat Transplan Kebangsaan (NTC) melaporkan hampir 90 peratus potensi pendermaan gagal disebabkan oleh penolakan keluarga.

Selain itu, menurut Perenggan 16 (13) Perintah Fi (Perubatan) 1982 pula, bil rawatan penderma di hospital kerajaan akan dikecualikan, iaitu penderma tidak dikenakan sebarang bayaran.

“Dalam amalan pendermaan organ, penerima juga tidak dibenar memberikan sebarang bentuk ganjaran kepada keluarga penderma, selaras dengan prinsip etika yang mengekalkan pendermaan organ sebagai tindakan sukarela tanpa unsur pengkomersialan,” jelas Dr Mohd Syafiq Ismail.

 

MEMBINA KEPERCAYAAN, TINGKATKAN KESEDARAN

Bagi meningkatkan kadar pendermaan organ, khususnya dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, Dr Mohd Syafiq Ismail berkata KKM sedang memperkukuh Program Pendermaan Organ dan Transplan Kebangsaan yang diumumkan tahun ini, sebagai langkah strategik untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa.

Inisiatif utama di bawah program itu termasuk penjenamaan semula Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC) kepada Pusat Transplan Kebangsaan (NTC), sebagai sebahagian daripada transformasi menyeluruh bagi mengangkat agenda pendermaan organ ke tahap nasional di bawah Program ini.

Selain Akta Tisu Manusia, pendermaan organ di negara ini turut tertakluk pada beberapa lagi akta termasuk Akta Perubatan 1971 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Pindaan 2022) yang membendung eksploitasi pendermaan organ. Kredit gambar Facebook KKM.

Selain itu, KKM turut merancang penubuhan Majlis Transplan Kebangsaan bagi memperkasa tadbir urus sektor ini, di samping mengoptimumkan sumber melalui kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta. Usaha semakan semula Akta Tisu Manusia 1974 juga sedang dilaksanakan bagi memperkukuh perlindungan terhadap penderma hidup serta menyeragamkan prosedur pendermaan dan transplantasi organ di negara ini.

Bukan itu, sahaja, beliau berkata pelbagai inisiatif lain termasuk kempen kesedaran, ceramah, pameran kesihatan serta kerjasama dengan institusi pendidikan, organisasi bukan kerajaan dan sektor swasta turut diperhebat.

“Pada 2025 sahaja, sebanyak 66 program kesedaran telah dilaksanakan di seluruh negara. Pelaksanaannya juga adalah bersifat berterusan serta berdasarkan jemputan daripada pelbagai pihak, selain turut memanfaaatkan pelbagai platform termasuk media massa, aplikasi mudah alih dan bahan cetakan,” tambahnya lagi.

Pihaknya juga memperluas usaha capaian melalui kerjasama dengan Pusat Darah Negara. Selain itu, pelbagai sesi libat urus telah diadakan dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan termasuk organisasi seperti Kiwanis dan pertubuhan transplan, sebagai usaha memperkukuh kerjasama strategik multiagensi secara berperingkat.

Kesemua usaha ini bertujuan memastikan masyarakat menerima maklumat yang tepat, sekali gus mengurangkan salah faham dan meningkatkan keyakinan terhadap sistem pendermaan organ, katanya.

© 2026 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.