Malaysia Hab Serantau Rawatan IVF Dan Kesuburan

P
elakon, pengacara televisyen dan usahawan Sarah Lian mula menimbang rawatan pemeliharaan kesuburan seperti pembekuan telur ketika usianya menghampiri lewat 30-an dan masih belum berkahwin.

“Seperti kebanyakan wanita hari ini, saya tidak begitu memikirkan soal kesuburan semasa berusia 20-an… hal itu bukan sesuatu yang difikirkan pada peringkat usia tersebut. Namun, apabila masa beredar dan umur kian bertambah barulah kita nampak isunya.

“Jadi, saya mahu beri diri saya peluang, agar, apabila saya bertemu dengan pasangan, kemungkinan untuk menjadi ibu tetap ada,” katanya pada sesi perbincangan panel GenPrime Everlink and The NextGen Journey anjuran GenPrime Everlink Fertility Centre, bersempena dengan pelancaran penjenamaan semula pusat itu, di sini baru-baru ini. 

Kini berusia awal 40-an dan menjalani kehidupan bahagia bersama-sama dengan suami,  Lian sedang menempuh realiti rawatan persenyawaan invitro (IVF), satu perjalanan yang digambarkannya sebagai penuh emosi, ketidaktentuan dan sangat peribadi.

“IVF bukan hanya tentang prosedur dan hasil, tetapi satu situasi baharu yang tidak pernah dilalui dan amat menakutkan,” akuinya.

Ada saat-saat yang penuh harapan, namun pada masa sama diselubungi ketidakpastian. Ada embrio yang gagal terbentuk,  bukan semua kehamilan berjaya tiba di garisan penamat dan tidak semua perjalanan berakhir seperti yang diharapkan oleh pesakit. 

Lian menggambarkan pengalamannya menjalani IVF sebagai sesuatu yang kadangkala membuatkan dirinya berasa terasing, sehinggalah dia menyedari yang dia tidak bersendirian.

Pelakon dan hos TV, Sarah Lian.

“Saya pernah dihubungi oleh beberapa wanita yang memberitahu mereka pernah nampak saya di klinik (kesuburan) dan mereka juga mengharungi perkara sama. Situasi ini menenangkan saya dan mewujudkan rasa kebersamaan,” katanya.  

Satu perkara yang Lian hargai tentang pengalamannya menjalani IVF ialah pendekatan yang diambil oleh doktor dan pasukan yang merawat. Mereka tidak tergesa-gesa memulakan kitaran rawatan, sebaliknya meneroka pelbagai pilihan yang ada bersama-bersama dengannya.

Sepanjang perjalanan itu, dia juga beroleh satu kebanggaan baharu, iaitu keupayaan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk rawatan kesuburan, yang kini aktif dikongsikannya dengan rakan-rakan di luar negara.

“Saya sentiasa menggalakkan rakan-rakan saya agar mendapatkan rawatan kesuburan di Malaysia kerana kita mempunyai kemudahan dan rawatan terbaik serta pada harga berpatutan,” tambahnya.

 

RAWATAN KESUBURAN DI MALAYSIA 

Umumnya, ketidaksuburan ditakrifkan sebagai ketidakupayaan untuk hamil walaupun selepas melakukan hubungan seksual tanpa perlindungan secara berkala dalam tempoh 12 bulan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan satu daripada enam individu akan mengalami masalah ketidaksuburan di sepanjang hayat mereka.

Hari ini, pusat kesuburan menawarkan pelbagai pilihan kepada pasangan yang mengalami kesukaran untuk hamil, termasuk IVF,  gamete intrafallopian transfer (GIFT), intrauterine insemination (IUI) dan intracytoplasmic sperm injection (ICSI).

Prosedur seperti pembekuan telur juga membolehkan wanita mengekalkan kesuburan mereka apabila keupayaan untuk hamil semakin menurun seiring dengan usia, manakala teknik seperti ujian genetik prapenempelan (implantation) membantu meningkatkan peluang kehamilan yang berjaya bagi wanita yang menjalani rawatan kesuburan.

Kesedaran mengenai kesuburan di Malaysia kini menunjukkan perubahan ketara, didorong oleh perubahan gaya hidup, perkahwinan lewat dan kerjaya apabila lebih ramai individu dan pasangan mula mengambil langkah proaktif untuk memahami kesihatan reproduktif mereka.

Sesetengah pusat kesuburan di negara ini mencatatkan kadar kehamilan hampir 80 peratus, sekali gus menarik minat warga asing untuk mendapatkan rawatan di Malaysia.

Malah, Malaysia kini menjadi destinasi utama di rantau ini bagi pasangan yang mendapatkan rawatan kesuburan; sebahagiannya disebabkan oleh kadar kejayaan yang tinggi serta kos rawatan jauh lebih rendah berbanding di negara asal mereka.

Naib Presiden Penjagaan Kesihatan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) Dr Sharifa Shahreen Syed Sultan Ahmed berkata Malaysia telah membina reputasi antarabangsa yang kukuh dalam pelbagai bidang perubatan, disokong oleh kepakaran klinikal, infrastruktur moden dan standard penjagaan yang konsisten tinggi.

Beliau berkata perkara ini dapat dilihat melalui pertumbuhan berterusan industri pelancongan kesihatan yang merekodkan hasil berjumlah sekitar RM3.34 bilion pada 2025, melepasi sasaran awal dan menunjukkan pemulihan kukuh serta permintaan berterusan.

“Pertumbuhan ini dipacu oleh keyakinan serantau yang tinggi, khususnya dari Indonesia yang kekal sebagai pasaran sumber terbesar Malaysia, selain peningkatan minat dari negara seperti China dan India,” katanya pada majlis pelancaran penjenamaan semula GenPrime Everlink Fertility Centre baru-baru ini.

Pengarah perubatan pusat tersebut Dr Mathi Arasu berkata Malaysia dianggap sebagai hab serantau bagi mereka yang menjalani IVF dan rawatan kesuburan lain.

“Saya dapat menyatakan dengan yakin Malaysia setanding, malah mungkin lebih baik daripada kebanyakan klinik IVF terkemuka di Eropah dan tempat-tempat lain di dunia.

“Daripada perkhidmatan makmal bersepadu hingga rangkaian klinikal rentas sempadan, kedudukan Malaysia sebagai pemain kompetitif dalam rawatan kesuburan kian mengukuh,” katanya, menambah kira-kira 40 peratus pesakit pusat itu adalah dari luar negara.

 

KEMAJUAN TEKNOLOGI

Berkenaan kadar kejayaan rawatan kesuburan, Dr Mathi berkata hal itu bergantung terutamanya pada usia wanita, diikuti oleh kualiti sperma dan keadaan rahim.

Beliau menjelaskan  telur, rahim dan sperma merupakan tiga faktor asas yang menentukan kebarangkalian untuk  implantasi dan kehamilan itu berjaya

Pengarah perubatan GenPrime Everlink Fertility Centre, Dr Mathi Arasu.

“Kemajuan teknologi berfungsi sebagai pelengkap (bukan pengganti) kepada tiga faktor ini, membantu meningkatkan kadar kejayaan.

“Ini termasuk pemilihan sperma, telur dan embrio dengan bantuan AI; ujian genetik untuk mengenal pasti keabnormalan kromosom dan genetik; serta teknik baharu yang bertujuan meningkatkan kualiti telur melalui sel stem, intervensi saintifik dan teknologi peremajaan yang kini tersedia di Malaysia,” katanya.

Beliau juga menjelaskan penggunaan teknologi serta intervensi baharu berupaya meningkatkan kadar kejayaan kepada sekitar 70 hingga 80 peratus, berbanding hanya 40 hingga 60 peratus tanpa penggunaan teknologi, namun hasil itu tidak terpakai pada semua kes.

Dr Mathi turut menegaskan antara salah faham terbesar tentang kesuburan ialah masalah itu dianggap sebagai isu wanita semata-mata, sedangkan lelaki juga terlibat.

“Wanita sering menanggung beban emosi dan fizikal yang lebih berat disebabkan oleh sifat rawatan dan kehamilan itu sendiri.

“Satu lagi salah faham yang lazim ialah anggapan sihat maka secara automatik bermakna subur. Hakikatnya, sihat tidak semestinya subur. Perkara ini sering memeranjatkan pesakit, terutamanya mereka yang mengamalkan gaya hidup aktif dan menganggap semuanya berada dalam keadaan baik,” katanya.

Dr Mathi turut menekankan kepentingan mendapatkan rawatan kesuburan lebih awal, memandangkan hampir 40 peratus pesakit mereka berumur 40 tahun ke atas yang tergolong dalam kategori ibu usia lanjut dan berisiko memberi kesan besar terhadap hasil rawatan kesuburan.

“Usia ialah faktor yang tidak boleh kita undurkan. Semakin lewat pesakit mendapatkan rawatan, semakin terhad pilihan yang ada,” tambahnya.

Lian juga menggalakkan individu dan pasangan untuk mendapatkan perundingan  awal.

“Walaupun belum bersedia untuk mempunyai anak, pemeriksaan awal dapat memberi gambaran yang lebih jelas serta membantu anda membuat keputusan lebih tepat dan berasaskan maklumat,” katanya.

 

KESIHATAN SISTEM REPRODUKTIF WANITA 

Sementara itu, Dr Debbie Teh, pakar perunding sakit puan di Hospital Picaso, berkata pemeriksaan kesihatan reproduktif menyeluruh sebelum memulakan sebarang rawatan kesuburan adalah penting untuk mengenal pasti masalah asas, meningkatkan kadar kejayaan dan memastikan prosedur paling selamat.

Beliau berkata keadaan seperti endometriosis dan fibroid rahim merupakan antara punca biasa ketidaksuburan kerana berupaya mengganggu keperluan asas untuk persenyawaan, iaitu ovulasi yang sihat, tiub fallopio yang terbuka dan persekitaran rahim yang sesuai.

Dr Debbie Teh, pakar perunding sakit puan di Hospital Picaso.

“Fibroid ialah ketumbuhan bukan kanser dalam rahim, tetapi apabila ketumbuhan ini mengubah bentuk rongga rahim, ia berisiko menyukarkan proses implantasi. Embrio mungkin tidak dapat melekat dengan baik, terutamanya jika fibroid menjejaskan lapisan dalam rahim, iaitu tempat kehamilan bermula.

“Dalam sesetengah kes, fibroid juga boleh berada berhampiran tiub fallopio, sekali gus berpotensi menghalang laluan pertemuan antara telur dan sperma. Terdapat juga bukti bahawa bahan yang dihasilkan oleh fibroid boleh menjejaskan persekitaran sekeliling untuk persenyawaan,” katanya dalam temu bual dengan Bernama melalui Zoom.

Beliau berkata berita baiknya ialah ramai wanita masih dapat hamil selepas rawatan, khususnya apabila fibroid yang mengganggu rongga rahim dibuang. Apabila struktur rahim kembali kepada bentuk lebih normal, peluang kehamilan juga meningkat dengan ketara.

Dr Teh menambah akses kepada teknologi moden untuk merawat keadaan seperti endometriosis dan fibroid, diikuti rawatan kesuburan, merupakan faktor utama yang menarik lebih ramai pesakit serantau ke Malaysia.

“Malaysia menonjol di rantau ini kerana kita menawarkan kemajuan perubatan dengan kos berpatutan. Sama ada IVF, pembedahan atau intervensi lain, kos yang perlu dibayar pesakit selalunya bersamaan sebahagian kecil daripada kos di negara seperti Singapura, namun mereka masih menerima standard rawatan yang setanding.

“Kami menjalankan banyak pembedahan robotik untuk keadaan seperti endometriosis dan fibroid, iaitu prosedur invasif minimum yang membolehkan pemulihan lebih cepat dan hasil yang lebih baik, dan rawatan ini tersedia secara meluas di Malaysia,” katanya.

© 2026 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.