Jinping Didiami 'Model' Berusia Emas, Kekal Cergas Di Usia Lanjut

D
aerah Jinping yang terletak di Yunnan, selatan China, benar-benar menepati pengiktirafannya sebagai “Kampung Umur Panjang”.

Menerima sijil “umur panjang” (longevity) daripada Persatuan Gerontologi dan Geriatrik China pada 2020  berikutan jangka hayat purata penduduknya melebihi purata kebangsaan, iaitu 79.31 tahun, Jinping pada masa ini mempunyai 48 orang perabad (centenarian), iaitu mereka yang berusia lebih 100 tahun, demikian menurut Pejabat Hal Ehwal Luar Kerajaan Rakyat Wilayah Yunnan. 

Di sana, tidak sukar untuk bertemu dengan “model” berusia 60 tahun ke atas yang masih cergas dan langsing, seperti yang disaksikan oleh Bernama dan rakan-rakan sejawat pada November lalu, apabila kami dipersembahkan pertunjukan fesyen istimewa di sebuah kampung di Jinping.

“Model-model” tersebut yang kesemuanya warga emas, berjalan dengan penuh yakin memperagakan busana tradisional indah yang lazimnya dipakai oleh kumpulan etnik minoriti di China. Daya hidup mereka menjadi bukti nyata status Jinping sebagai “kampung umur panjang”.

Mengulas penampilan awet muda dan stamina penduduk, seorang pegawai daripada Kementerian Luar China yang mengiringi kami, memberitahu Bernama mereka semua merupakan petani dan masih aktif mengusahakan ladang hingga hari ini.

Penulis bersama salah seorang model warga emas.

Pada penghujung pertunjukan fesyen itu, para model turut mengajak kami naik ke pentas untuk menari bersama-sama, disambut sorakan penonton yang kebanyakannya terdiri daripada penduduk kampung.

Bernama kemudiannya mendekati beberapa model tersebut untuk mengetahui rahsia awet muda mereka. Melalui penterjemah, seorang daripada mereka berkata: “Pastikan anda mendapat tidur berkualiti setiap malam dan kekal aktif dengan terus bekerja tanpa mengira usia.”

(Penulis merupakan antara 22 wartawan dari 20 negara Asia Pasifik yang menyertai program Pusat Komunikasi Media Antarabangsa China [CIPCC] dari 18 Ogos hingga 15 Dis 2025. Dianjurkan oleh Persatuan Diplomasi Awam China, program ini berfungsi sebagai platform kerjasama praktikal antara organisasi media China dan negara-negara membangun, selain memberi peluang kepada wartawan asing untuk memahami masyarakat, pembangunan serta penglibatan antarabangsa China secara menyeluruh.)

 

PERSEKITARAN SEMULA JADI

Terletak di wilayah Honghe, status umur panjang penduduk di daerah Jinping dikaitkan dengan persekitaran semula jadinya yang sihat - kira-kira 70 peratus kawasan pergunungan di daerah itu diliputi kehijauan hutan dan tanaman selain memiliki kualiti udara yang baik. 

Sembilan kumpulan etnik minoriti membentuk 88 peratus penduduk Jinping, iaitu Miao, Yao, Dai, Hani, Yi, Han, Zhuang, Lahu dan Bulang.

Untuk ke daerah ini, kami menempuh perjalanan darat sejauh kira-kira 400 kilometer (km) dari Kunming, ibu negeri Yunnan. Perjalanan lebih enam jam melalui lebuh raya itu menyajikan pemandangan tanah tinggi menghijau dan sungai yang luas, selain melalui pelbagai terowong yang dibina menembusi bukit.

Selain Jinping, kami turut melawat beberapa kawasan lain di wilayah Honghe. Dalam perjalanan ke Kampung Jiwozhai, kami singgah di tebing Sungai Honghe yang berpunca dari kawasan pergunungan berhampiran Dali di Yunnan dan mengalir sejauh kira-kira 690 km dalam wilayah itu sebelum memasuki negara jiran, Vietnam.

Barisan model warga emas memperagakan pakaian etnik masing-masing pada pertunjukan fesyen yang dianjurkan di daerah Jinping.

Dari tebing dan jambatan yang merentangi sungai, para pelawat disajikan pemandangan memukau air sungai yang kemerahan, memberikan kontra kepada kehijauan bukit-bukau di sekelilingnya. Di kejauhan, kelihatan bendera Vietnam berkibar di tebing bertentangan.

Destinasi seterusnya ialah Kampung Jiwozhai yang didiami masyarakat etnik Yao sejak turun-temurun dan terletak di sempadan China-Vietnam. Kampung ini terkenal dengan penghasilan teh hijau, antara minuman yang dipercayai menyumbang kepada kesihatan baik komuniti di daerah Jinping.

 

AIR TERJUN BERTINGKAT

Difahamkan Jiwozhai mempunyai lebih 11,000 batang pokok teh berusia lebih 100 tahun. Pengeluaran dan penjualan teh membantu penduduk kampung meningkatkan taraf hidup serta keluar daripada kemiskinan.

Penduduk kampung menyambut kedatangan kami dengan pelbagai buah-buahan segar seperti delima, pisang, buah naga dan oren - hidangan sihat yang mencerminkan gaya hidup mereka yang sederhana.

Penduduk kampung Jiwozhai menyambut kumpulan wartawan Asia Pasifik dengan pelbagai buah-buahan.

Rombongan kemudian dibawa ke Air Terjun Biaoshuiyan yang memukau di Kampung Biaoshuiyan, yang turut diiktiraf sebagai “Kampung Umur Panjang”  oleh pihak berkuasa China.

Dalam bahasa etnik Hani tempatan, “biaoshuiyan” bermaksud “air suci kurniaan pari-pari dari kayangan”. Berdasarkan maklumat di lokasi, air terjun ini mempunyai ketinggian keseluruhan 262 meter dari puncak ke dasar. Bahagian tirai atas selebar tiga meter manakala tirai bawah mencapai 35 meter, dengan kedalaman air mencecah 40 meter ketika aliran deras.

Penulis mencuba pengalaman memproses teh untuk dijadikan air minuman teh hijau.

Destinasi seterusnya ialah Air Terjun Ladeng yang tersorok di dalam hutan di sempadan China-Vietnam. Untuk sampai di air terjun setinggi 60 meter itu, pengunjung perlu berjalan kaki selama lebih 30 minit merentasi hutan.

Namun, apabila berdiri di tepi air terjun yang mencurah deras, diselimuti kabus yang tercipta daripada percikan halus air dan ditemani bunyi deruan air yang berirama, rasa lelah berjalan kaki meredah hutan hilang begitu sahaja.

Penulis
5 May 2026
Artikel berkaitan

© 2026 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.