iBidan Perkasa Wanita Menerusi Penjagaan Selepas Bersalin, Bina Peluang Kerjaya

P
enjagaan ibu selepas bersalin ada kalanya dianggap bukan keutamaan bagi sesetengah pihak kerana perhatian mereka lebih kepada si kecil yang baru lahir.

Hakikatnya, aspek ini tidak boleh diabaikan dengan beberapa penambahbaikan boleh diambil bagi memperkukuh sokongan buat para ibu ketika mereka melalui fasa pemulihan fizikal, emosi dan keyakinan diri selepas melahirkan.

Antaranya perkhidmatan bidan untuk para ibu yang mengalami perubahan besar selepas bersalin terutamanya keletihan, sakit badan, kurang tidur, perubahan emosi dan kurang keyakinan diri sekali gus menjadikan perkhidmatan itu bukan lagi sampingan sebaliknya sebahagian daripada proses sokongan untuk mereka kembali pulih dan kuat.

Perkhidmatan bidan sebelum ini banyak bergantung pada pengalaman dan kemahiran tradisional secara individu. Mereka mempunyai ilmu dan pengetahuan namun kebanyakannya bergerak tanpa sistem yang tersusun apatah lagi profil profesional dan penilaian kualiti yang jelas.

 

SISTEM PROFESIONAL PEMULIHAN SELEPAS BERSALIN

Mempertaruhkan pengalaman hampir 20 tahun dalam bidang penjagaan wanita dan selepas bersalin, pengasas iBidan Shannon Eu berkata perkhidmatan iBidan yang ditawarkannya kini berkembang sebagai Postnatal Recovery Platform di Malaysia dan Singapura.

Menurut beliau, iBidan dibangunkan sebagai platform baharu bagi menyusun perkhidmatan pemulihan selepas bersalin dengan lebih profesional, sistematik, mudah diakses dan lebih dipercayai.

Pengasas iBidan, Shannon Eu.

“Idea penubuhan iBidan tercetus apabila kami melihat ramai ibu selepas bersalin sebenarnya memerlukan penjagaan yang lebih tersusun dan dipercayai, tetapi tidak semua ibu tahu bagaimana hendak mendapatkan khidmat bidan yang sesuai dengan keadaan dan keperluan mereka.

“Ramai bidan mempunyai pengalaman dan kemahiran yang baik, namun malangnya mereka tidak mempunyai platform yang cukup kuat untuk memperlihatkan kebolehan mereka secara lebih profesional.

“Di sinilah lahirnya iBidan yang masih mengekalkan nilai tradisional, tetapi dibantu dengan sistem yang lebih moden seperti pemilihan bidan, latihan, pemantauan kualiti, maklum balas pelanggan dan kadar pelanggan berulang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengulas lanjut, anak jati Muar, Johor itu berkata iBidan membina satu ekosistem lengkap pemulihan selepas bersalin di samping memperkasa peranan bidan agar mereka bukan sahaja dilihat sebagai penyedia perkhidmatan, tetapi turut menjadi sebahagian daripada sistem sokongan penting untuk ibu selepas bersalin.

“Kami membantu para bidan membina keyakinan, meningkatkan kemahiran perkhidmatan, memahami keperluan pelanggan, menjaga standard kerja dan membina profil profesional di samping mendapat peluang untuk berkembang melalui sistem, latihan, pemantauan kualiti dan pengiktirafan profesional.

“iBidan bukan menggantikan peranan hospital, doktor atau jururawat. Fokus utama kami ialah sebagai pelengkap ekosistem penjagaan ibu selepas bersalin, khususnya dalam membantu ibu melalui proses pemulihan dengan lebih tersusun dan yakin,” katanya. 

Eu berkata iBidan menyasarkan bidan yang mempunyai pengalaman, minat dan komitmen dalam bidang penjagaan selepas bersalin selain sanggup berkembang mengikut sistem yang lebih profesional.

 

KESEDARAN SEMAKIN MENINGKAT

iBidan kini mempunyai lebih daripada 500 bidan di Malaysia dan Singapura dalam rangkaiannya dengan lebih 100,000 perkhidmatan pemulihan selepas bersalin telah disediakan, sekali gus menunjukkan keperluan terhadap perkhidmatan yang lebih dipercayai dan sistematik semakin meningkat.

Menjelaskan setiap bidan perlu melalui proses saringan dan penilaian kemahiran sebelum diterima masuk ke platform itu, Eu berkata mereka kemudian diberi pendedahan berhubung cara menjaga standard perkhidmatan, berkomunikasi dengan pelanggan, disiplin kerja, keselamatan pelanggan dan pengalaman ibu selepas bersalin.

iBidan kini mempunyai lebih daripada 500 bidan di Malaysia dan Singapura dalam rangkaiannya dengan lebih 100,000 perkhidmatan pemulihan selepas bersalin telah disediakan.

Beliau berkata iBidan membantu bidan membina profil profesional melalui testimoni pelanggan, rekod perkhidmatan, kadar pelanggan berulang, pencapaian dan pengiktirafan, di samping mereka yang menunjukkan prestasi konsisten akan diberi peluang menerima pengiktirafan, membina reputasi dan berkembang ke tahap lebih tinggi.

Katanya, antara cabaran dalam membangunkan platform itu ialah membina kepercayaan dan standard dalam industri yang sebelum ini banyak bergantung pada pengalaman individu. 

“Kami bukan hanya membina sebuah syarikat, tetapi menyusun satu cabang bidang tradisional supaya dapat bergerak secara lebih profesional tanpa menghilangkan nilai asalnya.

“Kami perlu membina kepercayaan ibu, membina keyakinan bidan, memperkenalkan sistem baharu, menjaga kualiti perkhidmatan, dan pada masa yang sama memastikan bidan memahami bahawa perubahan ini penting untuk masa depan mereka.

“Usaha ini bukan proses yang mudah, tetapi saya percaya jika ingin terus relevan, bidang perbidanan perlu disusun dengan lebih profesional, lebih telus dan lebih dipercayai,” katanya.

Beliau menambah iBidan turut membantu bidan menyesuaikan diri dengan keperluan semasa melalui sistem digital kerana, pelanggan kini bukan sekadar mencari perkhidmatan tetapi mahu melihat bukti seperti pengalaman bidan, testimoni, rekod perkhidmatan dan tahap profesionalisme.

“Justeru bidan akan dibantu untuk memahami kepentingan reputasi digital, komunikasi pelanggan, standard perkhidmatan dan penggunaan teknologi dalam membina kepercayaan.

“Selain itu, iBidan juga membangunkan pendekatan Traditional HealthTech, iaitu gabungan ilmu tradisional bidan dengan sistem moden dan penggunaan teknologi seperti ABE Technology secara berstruktur, supaya bidang ini dapat bergerak seiring dengan keperluan masa kini,” katanya.

 

PENCAPAIAN  IBIDAN YUNNAN EXCELLENCE JOURNEY 2026

Baru-baru ini, iBidan mencatat kejayaan tersendiri apabila berjaya membawa kira-kira 80 peserta dari Malaysia dan Singapura ke Yunnan, China bagi menghadiri iBidan Yunnan Excellence Journey 2026 dan iBidan Postnatal Excellence Recognition, sebuah platform penghargaan dan pembangunan profesional buat para bidan yang menunjukkan komitmen, disiplin dan menerima tahap kepercayaan pelanggan yang tinggi.

Program itu secara langsung membantu pembangunan kerjaya sekali gus menyuntik semangat mereka untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan, menjaga disiplin dan membina reputasi profesional.

“Perkhidmatan iBidan menjadi pelengkap kepada penjagaan ibu selepas bersalin melalui sebuah sistem dan platform yang lebih tersusun, dipercayai dan berfokus pada kesejahteraan ibu.

“Kami percaya, para ibu yang mendapat sokongan yang lebih baik selepas bersalin akan memberi kesan positif kepada keluarga, bayi dan masyarakat secara keseluruhan,” katanya, menambah iBidan akan terus memperkukuh sistem latihan dan pemantauan kualiti perkhidmatannya. 

 

MANFAAT PELUANG BINA KERJAYA STABIL

Sementara itu berkongsi pengalaman, seorang bidan Siti Fatimah Abd Aziz, 43, berkata iBidan membuka peluang besar kerana bukan sahaja menyediakan ruang pekerjaan malah membantu bidan untuk berkembang secara lebih profesional melalui sistem kerja dan sokongan berterusan.

Bidan Siti Fatimah Abd Aziz (Eima) (kanan) menerima pengiktirafan pada iBidan Yunnan Excellence Journey 2026.

Ibu kepada dua cahaya mata yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu berkata beliau sebelum ini mempelajari kemahiran urutan kesihatan serta penjagaan ibu selepas bersalin, namun bergerak secara solo sebelum menyertai beberapa syarikat yang menawarkan perkhidmatan sama.

“Pada 2021 saya menyertai iBidan selepas melalui proses temu duga dan ujian urutan. Melalui peluang kerja yang lebih konsisten, saya dapat membantu ekonomi keluarga, memberikan pendidikan yang lebih baik kepada anak-anak, membeli kereta pertama dan memiliki rumah sendiri hasil kerjaya sebagai bidan.

“Bagi saya, perubahan ini membuktikan bahawa profesion bidan mempunyai masa depan yang cerah apabila dibina dengan disiplin, sistem yang baik dan kepercayaan pelanggan,” katanya.

Beliau menerima pengiktirafan pada iBidan Yunnan Excellence Journey 2026 buat kali keempat sebagai pengiktirafan kecemerlangan bersama-sama dengan platform itu.

“Harapan saya agar profesion bidan terus dihormati dan diperkasa sebagai kerjaya profesional yang mempunyai ilmu, kemahiran serta tanggungjawab besar selain membantu lebih ramai ibu mendapat penjagaan selepas bersalin yang lebih berkualiti, tersusun dan penuh kasih sayang,” katanya.

Bagi Fazlina Tokaran, 37, beliau melihat profesion itu mengalami banyak perubahan berbanding dahulu yang lebih bergantung pada pengalaman tradisional seperti urutan, herba dan bertungku.

Beliau yang berasal dari Singapura, berkata melalui iBidan, bidan moden bergerak secara lebih profesional melalui latihan, standard kerja, komunikasi pelanggan serta penggunaan teknologi dan platform digital yang diterapkan.

“Menjadi bidan bukan sekadar menjaga tubuh ibu selepas bersalin, tetapi turut melibatkan sokongan emosi dan mental kepada wanita yang sedang melalui proses pemulihan. Kepercayaan pelanggan perlu dibina melalui kejujuran, disiplin, kesabaran dan layanan yang ikhlas terhadap setiap ibu yang mendapatkan perkhidmatan,” katanya yang berpengalaman 15 tahun dalam bidang itu.

Ibu tunggal yang mempunyai seorang anak berkeperluan khas itu berkata kerjaya yang stabil di IBidan kini membolehkan beliau memberikan sokongan dan terapi yang lebih baik kepada anaknya.

Fazlina juga merupakan antara penerima pengiktirafan iBidan Yunnan Excellence Journey 2026 yang disifatkannya sebagai penghargaan terbesar terhadap kerja keras dan pengorbanan sebagai seorang bidan.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang iBidan, boleh layari www.ibidan.com.my dan www.ibidan.com.sg

© 2026 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.