Pemain Industri Ambil Inisiatif Kurangkan Sisa Makanan

T
idak banyak perkara yang mampu menyatukan rakyat Malaysia sepertimana makanan, yang sejak sekian lama menjadi nadi kehidupan sosial masyarakat di negara ini, baik ketika bersama-sama dengan keluarga, rakan ataupun semasa menghadiri jamuan. 

Malah, makanan di negara ini juga  mencerminkan kekayaan warisan pelbagai budaya Malaysia dan menjadi antara tarikan utama pelancong dari seluruh dunia yang datang untuk menikmati kepelbagaian hidangan tempatan.

Namun, di sebalik kemeriahan budaya makanan ini, wujud satu kebimbangan yang kian menyerlah, iaitu pembaziran makanan.

Di Malaysia, dianggarkan sebanyak 17,000 tan metrik sisa makanan dihasilkan setiap hari, dan jumlah itu cukup untuk tiga juta orang makan sebanyak tiga kali sehari, sedangkan pada masa sama banyak isi rumah masih bergelut dengan kenaikan harga barangan dapur dan kos sara hidup yang semakin meningkat, khususnya ketika krisis bekalan global ini.

Masalah ini menjadi lebih ketara pada musim perayaan apabila majlis berskala besar seperti kenduri perkahwinan, majlis berbuka puasa, rumah terbuka, bufet dan bazar sering menyaksikan sejumlah besar makanan yang tidak habis dimakan atau dijual dibuang begitu sahaja.

Di Malaysia, dianggarkan sebanyak 17,000 tan metrik sisa makanan dihasilkan setiap hari

 

BUKU PANDUAN UNTUK HOTEL DAN SEKTOR F&B

Ketika Malaysia bergerak ke arah masa depan lebih mampan, cabaran yang dihadapinya kini bukan lagi setakat menghasilkan makanan mencukupi, tetapi memastikan makanan sedia ada dimanfaatkan secara bertanggungjawab dan tidak berakhir di tapak pelupusan sampah.

Untuk itu, beberapa perniagaan makanan dan minuman (F&B), pusat beli-belah serta institusi pendidikan di Lembah Klang mengambil inisiatif mengurangkan pembuangan lebihan makanan dengan mengubah sisa tersebut menjadi baja tanaman makanan, selain memupuk kesedaran dalam kalangan pekerja, pelanggan dan pelajar melalui kurikulum pendidikan.

Mereka bekerjasama menghasilkan dan melancarkan “Panduan Amalan Terbaik Pengurusan Sisa dan Perolehan Bertanggungjawab” yang pertama pada 30 April lalu. Garis panduan yang tersedia dalam talian ini bertujuan membantu penggiat industri serta generasi baharu tenaga kerja hospitaliti melengkapi diri dengan pengetahuan dan alat untuk mengintegrasikan elemen kelestarian dalam operasi harian serta proses membuat keputusan, khususnya dalam pengurusan sisa makanan.

Kerjasama itu melibatkan Kuala Lumpur Convention Centre Business Events Alliance (KLCCBEA) yang menyumbang amalan terbaik operasi, hasil daripada bengkel industri yang diadakan mereka; WWF-Malaysia yang menyelia pembangunan dan penerbitan garis panduan; serta Impact Hub Kuala Lumpur (kini dikenali sebagai KLBRTF World) yang menjalankan penyelidikan, analisis dan pembangunan kandungan.

Sementara itu, Sunway Resort Hotel dan The Westin Kuala Lumpur menyumbang pandangan praktikal industri yang membantu membentuk sumber rujukan tersebut.

Pengurus Besar KLCC John Burke berkata buku panduan itu menangani isu pengurangan sisa makanan melalui kajian kes berasaskan konteks Malaysia daripada hotel dan restoran yang berjaya melaksanakan amalan makanan lestari.

Beliau berkata ia turut memperkenalkan pendekatan Behaviour Centred Design (BCD) atau Reka Bentuk Berpusatkan Tingkah Laku. Kerangka ini menggabungkan sains tingkah laku dan pemikiran reka bentuk bagi membantu organisasi mengenal pasti punca utama tingkah laku yang menyebabkan pembaziran serta melaksanakan penyelesaian bersasar dan boleh diperluaskan.

Persatuan Hotel Malaysia Datin Christina Toh (dua dari kanan), Pengurus Besar KLCC John Burke (kanan), Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif WWF-Malaysia Sophia Lim (tengah), Naib Canselor pro penglibatan global Universiti Taylor’s, Prof Madya Dr Anthony Ho Siong Hock (kiri) dan Dekan Fakulti Sains Gunaan Universiti USCI, Prof Madya Dr Crystale Lim Siew Ying pada pelancaran buku panduan tersebut.

“Di peringkat tempatan, pengetahuan dan sikap pekerja sektor hospitaliti terhadap pengurusan sisa makanan masih pada tahap sederhana, khususnya dalam aspek seperti pengkomposan dan audit dalaman sisa.

“Golongan profesional berpengalaman memerlukan alat praktikal yang mereka boleh gunakan di lapangan sekarang. Pada masa sama, kurikulum yang relevan perlu diwujudkan bagi melatih generasi baharu yang bakal memasuki pasaran kerja akan kepentingan pengurusan sisa makanan secara bertanggungjawab dan usaha memelihara sumber semula jadi yang terhad.

“Idea menghubungkan sektor hospitaliti dengan institusi akademik adalah untuk mendidik dan mempersiap generasi profesional akan datang. Kami mahu memberi mereka pendedahan dan pengetahuan supaya apabila mereka memasuki alam pekerjaan, mereka sudah mempunyai asas untuk memahami cabaran yang dihadapi serta bagaimana industri berusaha menangani (pengurusan sisa makanan),” katanya kepada Bernama selepas pelancaran buku panduan itu.

Burke berkata inisiatif sedemikian penting bagi memupuk kesedaran yang lebih tinggi tentang pengurusan sisa makanan dan amalan mampan dalam kalangan pemimpin industri masa depan, khususnya ketika sektor hospitaliti berusaha mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

“Dengan menyelaraskan cara kita melatih bakat dengan cara industri beroperasi, kita dapat mewujudkan keadaan yang membolehkan penambahbaikan yang lebih konsisten dan boleh diukur dalam pengurusan sisa makanan serta perolehan bertanggungjawab,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif WWF-Malaysia Sophia Lim berkata sisa makanan menyumbang kira-kira lapan hingga 10 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau global, sekali gus menjadikan masalah itu cabaran serius terhadap iklim dan alam sekitar.

“Cara kita mendapatkan sumber makanan mempunyai implikasi langsung terhadap biodiversiti, ekosistem marin dan keselamatan sumber. Bagi WWF-Malaysia, kerjasama ini mewakili pendekatan sistemik dan merentas sektor yang diperlukan untuk memacu perubahan ke arah sistem makanan yang lebih mampan di Malaysia,” katanya.

 Malah, buku panduan itu kini telah digunakan secara aktif dan menjadi rujukan utama bagi modul Sosiologi Makanan serta Perniagaan Hospitaliti, Makanan dan Pengurusan Rekreasi di  Taylor' University, manakala Universiti UCSI dijangka menggunakannya dalam masa terdekat.

Pensyarah kanan di Taylor's University Dr Jacqui Kong Huiyi berkata buku panduan itu memperkenalkan pendekatan BCD yang menggalakkan pengguna mengenal pasti punca utama tingkah laku pembaziran serta memberikan mereka inspirasi untuk mengamalkan penyelesaian bersasar dan boleh diperluaskan.

 

DARIPADA SISA MAKANAN MENJADI BAJA

Bagi tiga pusat beli-belah di bawah Pavilion REIT, iaitu Pavilion Kuala Lumpur, Pavilion Bukit Jalil dan Intermark Mall, mereka telah menjalankan pengumpulan sisa makanan daripada dapur penyewa sejak 2024.

Sisa-sisa berkenaan dimasukkan ke dalam mesin pengkomposan di Pavilion Bukit Jalil yang mampu mengubah setiap 1,000 kilogram (kg) sisa makanan kepada 200 kg baja dan 800 liter air yang boleh digunakan semula. 

Mesin Kompos di Pavilion Bukit Jalil

Ahli Lembaga Pengarah Pavilion REIT Nor Rejina Abdul Rahim berkata pada 2025 sahaja, lebih 188 tan metrik sisa makanan berjaya ditukar menjadi kompos, mencerminkan komitmen pusat beli-belah itu terhadap pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab dan amalan kemampanan berteraskan komuniti.

“Dalam tempoh Januari 2024 hingga April 2026, mesin ini telah memproses 455,590 kg  sisa makanan dan menghasilkan 43,454 kg baja.

“Sebahagian daripada baja itu disalurkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk digunakan dalam kerja landskap di sekitar Bukit Jalil, manakala sebahagian lagi digunakan bagi tujuan penanaman herba kami.

“Kami juga mengagihkan baja tersebut kepada pengunjung pada setiap hujung minggu, dan mereka boleh mendapatkan bahan berkenaan secara percuma di Kaunter Concierge, Aras 1 Pavilion Bukit Jalil,” katanya.

Beliau berkata Pavilion Bukit Jalil turut mengusahakan taman herba di atas tapak seluas 635 kaki persegi sejak Disember 2021, di mana kebanyakan herba seperti cili padi, pandan dan daun kari ditanam menggunakan kompos yang dihasilkan oleh mesin tersebut sebelum tuaian dibekalkan semula kepada penyewa terpilih di pusat beli-belah berkenaan.

 

APLIKASI “WASTEWATCH”  

Sementara itu, penyedia perkhidmatan makanan dan pengurusan fasiliti, Sodexo, memperkenalkan sistem berasaskan data dikenali sebagai “WasteWatch” yang dikuasakan oleh Leanpath - satu penyelesaian berasaskan teknologi kecerdasan buatan - untuk menjejak dan mengukur sisa makanan, sekali gus meningkatkan kesedaran dalam kalangan kakitangannya akan cara mengelakkan pembaziran dengan lebih berkesan.

Penolong Pengarah Operasi Sodexo Malaysia Rhoni Dasril berkata program itu memberi pekerja mereka maklumat dan keupayaan untuk mengurangkan pembaziran makanan secara drastik setiap hari.

“Dulu, pengurusan sisa dapur banyak bergantung pada andaian selepas berdasarkan jumlah sisa. WasteWatch mengubah pendekatan itu kepada pengurusan operasi bersifat ramalan, sekali gus meletakkan kami di landasan untuk memenuhi komitmen mengurangkan sisa makanan sebanyak 50 peratus.

“Sejak dilancarkan di rantau Asia Pasifik pada 2018, sistem ini telah berjaya mengelakkan lebih 100 tan metrik sisa makanan dan 700 tan pelepasan karbon di Malaysia, bersamaan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang lebih 11,000 kali.

“Setakat ini, kira-kira 55 peratus lokasi perkhidmatan makanan Sodexo di Malaysia telah menggunakan WasteWatch,” katanya dalam temu bual melalui e-mel dengan Bernama.

Rhoni Dasri (Gambar Ihsan: Sodexo Malaysia)

 Beliau berkata teknologi memainkan peranan yang semakin penting dalam membantu organisasi mengurangkan sisa makanan melalui pemantauan lebih baik dan proses membuat keputusan berasaskan data.

“Daripada bergantung pada anggaran visual atau menimbang tong sisa bercampur pada akhir syif, pasukan kami menggunakan penimbang pintar dan sistem digital untuk mengkategorikan sisa makanan secara masa nyata.

“Ini membolehkan kami membezakan antara sisa penyediaan makanan, stok tamat tempoh dan lebihan makanan yang ditinggalkan pelanggan di pinggan,” katanya.

Beliau berkata data tersebut dimuat naik secara automatik ke platform analitik berasaskan awan, membolehkan pengurus mengenal pasti jumlah sebenar sisa yang dihasilkan, masa ia berlaku, kesan kewangan serta faktor operasi yang menyumbang kepada pembaziran itu.

“Sistem ini memberikan keterlihatan yang lebih baik dan membolehkan kami mengambil tindakan pembetulan dengan segera.

“Sebagai contoh, jika data menunjukkan sesuatu hidangan sentiasa disediakan secara berlebihan pada hari-hari tertentu, kami dapat dengan segera menyesuaikan jadual pengeluaran dan pelan perolehan untuk meminimumkan pembaziran,” katanya.

Menurut Rhoni, penggunaan data masa nyata bukan sahaja membantu mengurangkan sisa makanan dan kos operasi, malah menggalakkan budaya ketepatan, ketelusan dan akauntabiliti dalam operasi perkhidmatan makanan.

Beliau berkata Sodexo turut melaksanakan penyelesaian pengkomposan di lokasi operasi bagi memastikan semua sisa makanan yang tidak dapat dielakkan tidak berakhir di tapak pelupusan sampah.

“Sisa makanan yang dikumpulkan diproses menjadi kompos kaya nutrien, yang kemudiannya ditukar kepada baja dan digunakan di taman komuniti, sekali gus menyokong pendekatan kitaran yang lebih baik dalam pengurusan sumber.

“Dengan menggabungkan pencegahan pembaziran makanan melalui WasteWatch dan amalan pemulihan sisa yang bertanggungjawab, inisiatif ini menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12: Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab, selain menyumbang kepada komitmen Sodexo untuk mengurangkan sisa makanan dan mempromosikan sistem makanan berasaskan ekonomi kitaran.

“Selain manfaat alam sekitar, ia turut mewujudkan nilai positif kepada komuniti setempat dengan menukar sisa menjadi sumber yang menyokong kawasan hijau dan pertanian mampan,” katanya.

 

MENGURANGKAN SISA MAKANAN DI KAMPUS

Sementara itu, Universiti Malaya dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), berganding bahu  memanfaatkan semula sisa makanan dan air buangan yang terhasil daripada aktiviti dapur. Bahan-bahan tersebut bukan sahaja digunakan untuk aktiviti pengkomposan, malah dijadikan bahan mentah bagi projek penyelidikan yang sedang dijalankan oleh para penyelidik universiti sejak Januari 2026.

Penyelaras Kempen Sifar Sisa UM Dr Archina Buthiyappan berkata antara dapatan utama inisiatif itu ialah pengasingan sisa makanan yang berkesan dapat dicapai jika disokong oleh infrastruktur bersesuaian, program kesedaran dan penglibatan aktif semua pihak berkepentingan.

“Pada masa ini, kira-kira 3,000 kg sisa organik dikumpulkan setiap bulan daripada pelbagai sumber di seluruh universiti, termasuk kolej kediaman, kafeteria, premis makanan, acara kampus dan kemudahan universiti yang lain.

“Projek ini menunjukkan sebahagian besar sisa makanan boleh dilencongkan dari tapak pelupusan sampah dan ditukar menjadi sumber yang bernilai menerusi inisiatif pengkomposan serta pemulihan sumber,” katanya kepada Bernama.

Stesen Asingan Sisa Makanan yang diwujudkan di bawah Kempen Sisa Sifar Universiti Malaya (Gambar Ihsan UM)

Beliau berkata selain mengurangkan jumlah sisa, inisiatif itu turut meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar, kakitangan dan pengusaha makanan tentang amalan penggunaan lestari serta pengurusan sisa yang bertanggungjawab.

“Ini membuktikan sisa boleh ditukar menjadi sumber bernilai yang menyokong penyelidikan, inovasi dan kelestarian alam sekitar.

“Dapatan ini mengukuhkan potensi universiti untuk berfungsi sebagai makmal hidup bagi amalan ekonomi kitaran dan operasi kampus yang mampan,” katanya.

Ketika Malaysia terus memperkukuh agenda kelestariannya, inisiatif seperti ini menunjukkan usaha menangani pembaziran makanan memerlukan lebih daripada sekadar kesedaran. Ia menuntut kerjasama, inovasi dan komitmen bersama bagi memastikan makanan memenuhi tujuan asalnya, iaitu menyuburkan manusia, bukannya berakhir di tapak pelupusan sampah.

 

Artikel ini bersempena dengan Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada setiap 5 Jun.

© 2026 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.