Herbarium DBKL Jadi "Arkib Hayat" Biodiversiti Ibu Kota, Simpan Lebih 5,000 Spesimen

T
ersorok di sebalik kesibukan ibu kota, Herbarium Taman Botani Perdana tidak begitu diketahui umum akan kewujudannya, meskipun arkib ini memainkan peranan besar dalam memastikan artifak alam semula jadi yang tumbuh di negara ini tersimpan kemas dalam lipatan sejarah, ketika pembangunan pesat kian menghimpit kawasan hijau.

Sejak beroperasi pada Mac 2017, arkib yang diuruskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ini menyimpan lebih 5,000 spesimen tumbuhan dari seluruh pelosok negara termasuk dari kawasan sejauh Long Banga, Marudi, Sarawak.

Dan hingga kini,  herbarium ini masih giat mengumpul spesies tumbuhan, baik yang jarang dijumpai atau masih belum dikenal pasti, dengan koleksi terbaharu diambil dari kawasan Bukit Dinding, Wangsa Maju di sini.

Berkongsi tentang institusi itu dengan Bernama, pegawai penyelidik Syazwani Azeman berkata setiap helaian tumbuhan kering yang dipamerkan bukan sekadar koleksi saintifik, tetapi bukti fizikal kewujudan spesies di sesebuah lokasi pada satu-satu masa.

“Kepentingan herbarium ini mungkin orang tidak nampak sekarang, tetapi untuk jangka masa panjang ia menjadi rekod bahawa tumbuhan itu pernah wujud di sesebuah kawasan.

“Mungkin 10 atau 15 tahun lagi spesies itu sudah tiada di habitat asal akibat pembangunan atau perubahan ekosistem, tetapi kita masih ada bukti fizikal untuk kajian generasi akan datang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

 

PROSES RAPI, SAINTIFIK

Memainkan peranan utama sebagai pusat rujukan saintifik, herbarium ini turut menjadi memori biodiversiti yang merekodkan perubahan landskap alam, khususnya di kawasan bandar yang pesat membangun seperti Kuala Lumpur.

Bercerita lanjut, Syazwani berkata setiap spesimen yang dikumpul, melalui proses panjang dan teliti sebelum disimpan secara kekal, bermula di lapangan hingga bilik penyimpanan.

Setiap helaian tumbuhan kering yang dipamerkan bukan sekadar koleksi saintifik, tetapi bukti fizikal kewujudan spesies di sesebuah lokasi pada satu-satu masa.

“Spesimen tumbuhan yang lazimnya dikutip adalah yang mempunyai bunga atau buah kerana akan memudahkan proses pengecaman spesies.

“Kalau spesimen lengkap, kita ambil yang ada bunga dan buah sekali. Kalau tiada, kita tetap kutip sama ada berbunga atau berbuah. Ada juga ‘voucher specimen’ (spesimen yang dikutip sekarang, dikenal pasti kemudian) untuk tujuan pendidikan dan rekod,” jelasnya.

Menurutnya, selepas dibawa pulang, sampel akan dibersihkan dan ditekan (pressing) sebelum melalui proses pengeringan dalam ketuhar khas pada suhu 55 hingga 65 darjah Celsius selama empat ke tujuh hari.

“Selepas itu, spesimen akan dibiarkan pada suhu bilik selama sehari sebelum melalui proses kuarantin dalam peti sejuk beku selama empat hingga tujuh hari bagi mengelakkan serangan serangga atau kulat,” jelasnya.

Seterusnya, proses pengecaman dilakukan sebelum spesimen dilabel lengkap dengan maklumat saintifik, lokasi kutipan, tarikh, habitat dan koordinat GPS, menyaksikan satu “sijil lahir” diberikan kepada setiap tumbuhan yang direkodkan.

Spesimen kemudian ditampal dan dijahit pada helaian khas  sebelum dikurasi, iaitu proses disusun mengikut keluarga tumbuhan dan abjad dalam sistem storan kompaktor, menyerupai sistem perpustakaan.

 

REKOD BERDEKAD, SUMBER ILMU GENERASI AKAN DATANG

Syazwani berkata spesimen di herbarium mampu bertahan puluhan hingga ratusan tahun jika diselenggara dengan baik, sekali gus menjadikan pusat itu sumber penting untuk penyelidikan jangka panjang.

Beliau mengambil contoh koleksi di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang masih dalam keadaan elok sekalipun sudah berusia ratusan tahun dengan hanya beberapa bahagian fizikal seperti kertas alas perlu diganti.

Proses pengecaman dilakukan sebelum spesimen dilabel lengkap dengan maklumat saintifik, lokasi kutipan, tarikh, habitat, dan koordinat GPS.

“Spesimen asal masih dikekalkan kerana ia penting untuk penyelidikan. Herbarium ini memang untuk jangka masa panjang,” katanya.

Menurutnya, institusi itu kerap dikunjungi oleh penyelidik dan pelajar yang ingin membuat kajian tentang sesuatu jenis tumbuhan.

Bukan hanya itu, herbarium ini juga berfungsi sebagai alat penting dalam usaha pemuliharaan biodiversiti bandar serta pemantauan perubahan ekosistem, ujarnya.

 

KOLEKSI BAHARU DARI BUKIT DINDING

Ketika tinjauan Bernama baru-baru ini, kakitangan herbarium itu sedang giat memproses spesimen dari Bukit Dinding yang dikumpulkan semasa kerja lapangan pada pertengahan Mei, melibatkan kira-kira 40 hingga 50 sampel tumbuhan.

Syazwani berkata ini merupakan antara usaha awal dokumentasi biodiversiti di kawasan tersebut memandangkan Herbarium Taman Botani Perdana belum mempunyai koleksi rasmi dari lokasi berkenaan.

Spesimen akan dibiarkan pada suhu bilik selama sehari sebelum melalui proses kuarantin dalam peti sejuk beku selama empat hingga tujuh hari bagi mengelakkan serangan serangga atau kulat.

“Kita belum pernah ada koleksi dari Bukit Dinding sebelum ini. Walaupun spesies sama pernah dikutip di tempat lain, kita tetap perlu rekodkan kerana lokalitinya berbeza,” katanya.

Kerja lapangan itu turut menemukan beberapa spesies menarik yang masih dalam proses identifikasi serta beberapa spesies halia liar berbunga merah.

Beliau berkata pihaknya akan menghantar laporan hasil kerja lapangan serta akan menghasilkan bahan penerbitan mungkin dalam bentuk poster, bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai kekayaan biodiversiti kawasan berkenaan.

Seiring dengan perkembangan teknologi, Herbarium Taman Botani Perdana kini dalam proses pendigitalan koleksi spesimen dengan kerjasama Malaysia Biodiversity Information System (MyBIS) yang dijangka bermula Julai ini, bagi memperluas akses kepada data biodiversiti untuk kegunaan penyelidik, institusi pendidikan dan orang awam.

 

SUARA DARI BUKIT DINDING

Sementara itu, Naib Presiden Friends of Bukit Dinding (FoBD) Inci Anggie Narina Syafruddin berkata kajian yang dijalankan secara bersama oleh pelbagai institusi mendapati kawasan tersebut merupakan antara lokasi biodiversiti penting di Kuala Lumpur.

Menurutnya, walaupun Bukit Dinding sebelum ini sering dianggap kurang mempunyai nilai biodiversiti kerana merupakan hutan sekunder, kajian terkini menunjukkan sebaliknya.  

Spesimen di herbarium mampu bertahan puluhan hingga ratusan tahun jika diselenggara dengan baik, sekali gus menjadikan pusat itu sumber penting untuk penyelidikan jangka panjang.

“Penilaian biodiversiti asas oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) yang dijalankan pada 2023 merekodkan 175 spesies tumbuhan, 92 spesies rama-rama, 81 spesies burung, 28 spesies herpetofauna (reptilia & amfibia), sembilan spesies odonata (pepatung) serta llima spesies mamalia di kawasan ini,” katanya.  

Inci Anggie berkata penemuan hidupan liar seperti kucing batu, musang, monyet, babi hutan, ular dan biawak turut memperlihatkan peranan Bukit Dinding sebagai habitat perlindungan hidupan liar bandar.  

“Dapatan asas 2023 menunjukkan banyak spesies dikenal pasti di kawasan itu, dan kajian ini diperkukuhkan lagi pada 2024 melalui kolaborasi dengan Sunway Centre for Planetary Health (SCPH) menggunakan kaedah bioakustik dan perangkap kamera,” katanya.  

Tambah beliau, data pergerakan pengunjung menerusi Strava Metro turut merekodkan lebih 360,000 kunjungan sepanjang 2024, walaupun angka sebenar dijangka lebih tinggi.

“Bukit Dinding ini unik kerana ia menjadi pusat komuniti bandar. Kepentingan kawasan ini bukan sahaja setakat spesies dan ekologi, tetapi juga sebagai ruang pendidikan, kesedaran biodiversiti dan hubungan masyarakat dengan alam semula jadi yang semakin jarang didedahkan kepada umum,” katanya.

Beliau juga berkata pihaknya akan menjalankan pengumpulan data empirikal baharu secara berterusan bagi memperkukuh pemahaman terhadap nilai ekologi serta kepentingan kawasan hijau bandar tersebut.

© 2026 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.