YSG Bioscape Perkasa Pertanian Melalui Teknologi Kultur Tisu

K
eterjaminan makanan merupakan antara agenda strategik negara yang sejak sekian lama amat bergantung pada import bagi menampung keperluan domestik.

Namun, cabaran seperti ketidaktentuan iklim dan gangguan rantaian bekalan global berisiko menjejaskan bekalan makanan negara dalam jangka panjang, menuntut pihak berwajib mengambil pendekatan yang dapat memastikan Malaysia mampu mengeluarkan makanan mencukupi untuk rakyatnya

Antara pendekatan yang dilihat berpotensi ialah bioteknologi pertanian, dan sebagai sebuah syarikat berstatus BioNexus, anak syarikat Yayasan Sabah, YSG Bioscape Sdn Bhd yang mempunyai kepakaran dalam teknologi kultur tisu tumbuhan, tampil menyahut cabaran.

(BioNexus adalah status khas yang dianugerahkan oleh Bioeconomy Corporation Sdn Bhd, sebuah agensi pembangunan industri berasasakan bio di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kepada syarikat bioteknologi tempatan dan antarabangsa yang layak.)

 

KLON INDUK

Mengulas perkara itu, Pengarah Urusan YSG Bioscape Dr Doreen K.S. Goh berkata teknologi kultur tisu tumbuhan merupakan antara pendekatan terbaik bagi menghasilkan tanaman berkualiti tinggi yang mampu menyokong pembangunan sektor pertanian negara.

Pengarah Urusan YSG Bioscape Sdn Bhd, Dr Doreen K.S. Goh

Beliau berkata teknologi itu bukan sekadar kaedah pembiakan tumbuhan, tetapi turut berupaya menghasilkan klon yang mempunyai ciri genetik sama seperti pokok induk.

“YSG Bioscape ditubuhkan dengan objektif menjadi pengeluar tanaman berkualiti tinggi melalui teknologi kultur tisu. Spesies yang dipilih untuk pembiakan adalah berdasarkan nilai komersial, permintaan pasaran dan potensi bekalan.

“Ketika ini kita memberi tumpuan kepada penghasilan pelbagai bahan tanaman klon termasuk pisang, nanas dan halia….dengan kapasiti pengeluaran sekitar 1.5 hingga dua juta anak pokok setahun,” katanya kepada Bernama.

YSG Bioscape yang ditubuhkan 25 tahun lalu, menyokong pembangunan bioteknologi dengan menghasilkan klon tanaman berkualiti tinggi untuk industri perladangan negara, menggunakan teknologi kultur tisu termaju.

Berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah, YSG Bioscape ialah pelopor dalam penghasilan klon pokok jati  (Tectona grandis) berkualiti tinggi menggunakan teknik itu. Malah,  syarikat tersebut turut membuktikan bahawa kepakaran bioteknologi tempatan mampu bersaing di peringkat global apabila berjaya mengeksport lebih sejuta klon anak pokok jati ke 25 negara termasuk Australia.

Kejayaan itu turut mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) yang menjadikan syarikat berkenaan sebagai rujukan dalam bidang bioteknologi perhutanan sejak 2010.

Kultur tisu tumbuhan merupakan pendekatan terbaik bagi menghasilkan tanaman berkualiti tinggi

Mengulas lanjut, Doreen berkata teknologi kultur tisu merupakan kaedah pembiakan tumbuhan yang dilakukan dalam persekitaran makmal dengan mengambil sebahagian kecil tisu tumbuhan seperti pucuk, daun, batang atau akar, sebelum dibiakkan dalam medium nutrien steril sehingga menghasilkan anak pokok baharu.

Teknologi itu katanya membolehkan saintis atau pengusaha pertanian menghasilkan ribuan anak pokok yang mempunyai ciri genetik sama seperti pokok induk dalam tempoh lebih singkat berbanding kaedah pembiakan konvensional.

“Kaedah ini membolehkan penghasilan klon daripada pokok induk yang mempunyai ciri-ciri terbaik, sekali gus menghasilkan tanaman yang lebih seragam dari segi pertumbuhan, hasil, ketahanan terhadap penyakit dan kemampuan menyesuaikan diri dengan persekitaran.

“Berbanding pembiakan secara konvensional menggunakan biji benih, teknologi kultur tisu menawarkan kelebihan dari segi kepantasan, keseragaman dan kebolehramalan hasil tanaman,” tambahnya.

 

HASIL TANAMAN LEBIH STABIL

Beliau berkata dalam landskap pertanian moden yang sering berdepan peningkatan kos pengeluaran serta ancaman penyakit, keupayaan menghasilkan tanaman yang berkualiti dan bebas penyakit menjadi faktor penting dalam memastikan produktiviti ladang terus meningkat.

Menurut beliau, penghasilan tanaman berasaskan teknologi kultur tisu berupaya membantu petani memperoleh hasil yang lebih konsisten dan berkualiti, selain mengurangkan risiko kehilangan tanaman akibat serangan penyakit.

“Tanaman kultur tisu yang bebas penyakit ternyata dapat membantu petani meningkatkan kadar kelangsungan tanaman, mengurangkan kerugian serta menjana hasil yang lebih stabil.

“Dalam jangka panjang, teknologi ini berpotensi memperkukuh rantaian bekalan makanan domestik dan menyokong agenda keterjaminan makanan negara,” katanya.

Selain itu katanya, pengeluaran klon tanaman makanan seperti pisang, nanas dan halia mempunyai nilai ekonomi tinggi serta permintaan yang konsisten dalam pasaran domestik dan antarabangsa.

Teknologi kultur tisu tumbuhan berupaya menghasilkan klon yang mempunyai ciri genetik sama seperti pokok induk

Doreen berkata akses kepada bahan tanaman berkualiti, membolehkan petani meningkatkan hasil pengeluaran pada kos yang lebih kompetitif kerana risiko serangan perosak dan penyakit dapat dikurangkan.

Situasi itu secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan pada import makanan selain memperkukuh rantaian bekalan makanan domestik.

“Apa yang lebih penting ialah teknologi kultur tisu membolehkan pengeluaran hasil tanaman dilakukan sepanjang tahun tanpa terlalu bergantung pada musim atau keadaan cuaca tertentu.

“Dalam keadaan perubahan iklim yang semakin memberi kesan kepada sektor pertanian global, keupayaan menghasilkan bekalan tanaman secara konsisten dilihat menjadi satu kelebihan strategik kepada negara,” katanya.

Bagaimanapun, Doreen berkata teknologi kultur tisu menuntut komitmen yang tinggi kerana melibatkan pelaburan besar dalam aspek penyelidikan, kemudahan makmal, tenaga kerja berkemahiran serta pematuhan pada prosedur kawalan kualiti yang ketat.

Beliau berkata selain berdepan tekanan kos, teknologi itu turut menghadapi cabaran dari segi penerimaan pasaran memandangkan masih terdapat petani yang belum memahami sepenuhnya kelebihan bahan tanaman kultur tisu berbanding kaedah pembiakan konvensional.

“Teknologi kultur tisu menawarkan banyak manfaat kepada sektor pertanian, namun usaha meningkatkan kesedaran dan keyakinan petani terhadap teknologi ini perlu diperkukuh bagi memastikan potensinya dapat dimanfaatkan secara lebih meluas

“Bagi saya, apabila pendekatan teknologi ini berjaya dioptimumkan, ia mampu menghasilkan tanaman dalam kuantiti besar dalam tempoh yang lebih singkat, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi dan mewujudkan skala ekonomi yang lebih baik,’’ katanya.

Teknologi kultur tisu berupaya membantu petani memperoleh hasil yang lebih konsisten dan berkualiti

Doreen turut berkata, sokongan ekosistem daripada Bioeconomy Corporation secara tidak langsung membantu membuka ruang lebih luas kepada syarikat bioteknologi seperti YSG Bioscape untuk berkembang.

Sebagai syarikat berstatus BioNexus, YSG Bioscape menerima sokongan kerajaan melalui Bioeconomy Corporation, termasuk dari aspek bimbingan pembiayaan, pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan, nasihat pasaran serta peluang kolaborasi industri.

“Status BioNexus membantu mengukuhkan kredibiliti YSG Bioscape sebagai syarikat berasaskan bioteknologi. Ia juga memberi pendedahan yang lebih luas kepada potensi kolaborasi, peluang pembiayaan dan platform pembangunan industri yang menyokong pertumbuhan serta inovasi syarikat,” ujar Doreen.

 

PENYELESAIAN KETERJAMINAN MAKANAN

Menurut Doreen, usaha memperkukuh keterjaminan bekalan makanan negara memerlukan pendekatan menyeluruh dan bersepadu, merangkumi pelaksanaan dasar yang komprehensif, penerapan teknologi moden, sokongan berterusan kepada petani serta pengukuhan rantaian bekalan makanan domestik.

Dalam konteks itu katanya teknologi kultur tisu tumbuhan dilihat sebagai antara inovasi yang berpotensi menyokong pembangunan sektor agromakanan menerusi penghasilan tanaman berkualiti tinggi bagi memenuhi keperluan industri pertanian negara.

Tambahnya, keupayaan teknologi itu dalam menghasilkan tanaman berkualiti tinggi dan bebas penyakit bukan sahaja membantu meningkatkan produktiviti pertanian, malah mengurangkan risiko kerugian akibat serangan penyakit serta gangguan pengeluaran.

“Teknologi kultur tisu menunjukkan bagaimana inovasi bioteknologi mampu diterjemahkan, iaitu daripada secebis tisu tumbuhan yang diproses di makmal akhirnya dapat menghasilkan jutaan anak pokok berkualiti tinggi bagi memenuhi keperluan industri.

“Pendekatan ini bukan sahaja membantu meningkatkan produktiviti dan kecekapan pengeluaran pertanian, malah menyokong usaha memperkukuh kelestarian dan keterjaminan makanan negara pada masa-masa akan datang,” katanya.

Pembiakkan pokok klon dibuat sesuai dengan persekitaran iklim tropika di Malaysia

Mengulas lanjut, Doreen berkata menerusi teknologi kultur tisu, pembiakan pokok klon dibuat sesuai dengan persekitaran iklim tropika di Malaysia.

Beliau berkata langkah itu bukan sahaja meningkatkan daya tahan tanaman terhadap cabaran cuaca, malah menyumbang kepada pemeliharaan biodiversiti serta mengekalkan produktiviti tanah untuk jangka panjang.

“Pada masa sama pengeluaran hasil pertanian akan lebih optimum meskipun berada dalam kawasan tanah atau lokasi berskala kecil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata dengan kemudahan makmal sedia ada, YSG Bioscape merancang untuk memperluas portfolio tanaman kepada padi, herba, buluh serta pelbagai variati hortikultur yang mempunyai nilai ekonomi tinggi.

Usaha itu selari dengan aspirasi Dasar Bioteknologi Negara 2.0  yang menekankan penggunaan bioteknologi bagi menyokong pembangunan pertanian mampan, sekali gus menyokong Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030.

“Perancangan itu penting kerana padi berkait rapat dengan makanan ruji rakyat Malaysia, manakala buluh pula berpotensi menyokong industri biomas.

‘’Selain itu, pembiakan klon ini penting bukan sahaja bagi memastikan tanaman berkualiti dan konsisten untuk pembangunan ladang malah ia juga mengurangkan tekanan penuaian terhadap alam semula jadi serta menyokong amalan perhutanan mampan,’’ tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.