Pulau Banggi Benteng Negara Di Utara Sabah Teguh Dipertahan

T
erletak kira-kira 70 kilometer dari tanah besar Kudat, Sabah; Pulau Banggi yang berkeluasan 621 kilometer persegi bukan sekadar pulau semula jadi terbesar di Malaysia, tetapi juga berperanan sebagai barisan pertahanan hadapan kritikal di utara negara.

Dengan jarak dari sempadan laut Filipina cuma sejauh kira-kira 53 km, selain berdekatan laluan maritim antarabangsa, Pulau Banggi diletakkan dalam kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) di bawah pemantauan ketat Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), sekali gus menjamin kedaulatan perbatasan Malaysia daripada ancaman keselamatan dan pencerobohan anasir subversif termasuk jenayah rentas sempadan dan pendatang tanpa izin.

Justeru, lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pos Dogoton, iaitu pangkalan hadapan ketenteraan di Pulau Banggi, pada Mei lalu memberi isyarat akan komitmen kerajaan dalam meningkatkan pertahanan negara.     

 

   CABARAN GEOGRAFI DAN “TITIK BUTA”

Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata tahap ancaman di perairan Pulau Banggi dalam keadaan terkawal, dan tidak setinggi ancaman pantai timur Sabah seperti Semporna, Lahad Datu atau Tawau yang sebelum ini lebih terdedah kepada insiden penculikan.

Bagaimanapun, dalam temu bual dengan Bernama, beliau menegaskan ESSCOM tidak sesekali mengambil ringan keselamatan di Pulau Banggi dan perairannya. Sebaliknya kata beliau, mereka tetap memastikan “radar” keselamatan pada tahap paling optimum.

Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos.

"ESSCOM tetap mengekalkan tahap kesiapsiagaan tinggi kerana kedudukan Pulau Banggi yang berhampiran laluan laut antarabangsa boleh menjadi sasaran penyeludupan, pencerobohan dan kemasukan pendatang haram jika kawalan dilonggarkan.

"Walaupun Pulau Banggi jauh dari titik panas utama jenayah rentas sempadan, penjenayah sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menceroboh," tegas beliau.

Hakikatnya, memantau perairan seluas itu menuntut tindak balas yang pantas, namun faktor geografinya yang terasing menyukarkan urusan logistik dan pengurusan krisis.

Penolong Pegawai Daerah Kecil Pulau Banggi Jaslee Jaafar berkata status pulau sebagai sebuah daerah kecil menyukarkan pihak pentadbiran membuat keputusan pantas, memandangkan sebarang pengurusan darurat perlu merujuk pentadbir daerah Kudat.

"Tindak balas menjadi lambat kerana jawatankuasa pengurusan bencana contohnya, tidak boleh diwujudkan di daerah kecil," luahnya yang melihat isu birokrasi itu merencatkan masa bertindak dalam situasi kritikal.

Penolong Pegawai Daerah Banggi Jaslee Jaafar.

Lebih meresahkan, menurutnya, tugas mengawal keselamatan Banggi turut dibayangi "titik buta" komunikasi. Tanpa jaringan komunikasi yang stabil, agak mustahil bagi nelayan untuk bertindak sebagai mata dan telinga negara bagi melaporkan sebarang pergerakan bot mencurigakan di laut secara pantas.

"Seringkali kita terima aduan mengenai ketiadaan liputan talian telefon terutama di bahagian dalaman pulau. Ini talian telefon, bukan Internet. Jadi, kalau talian telefon pun sudah tiada, usah cerita pasal Internet," keluh Jaslee.

Kerapuhan asas sokongan logistik and komunikasi inilah yang merantai potensi pulau itu. Ahli Dewan Undangan Negeri Banggi Datuk Mohamad Mohamarin mengakui, selagi elemen keselamatan tidak diperkukuh, pelabur tidak akan berani datang ke pulau itu.

"Secara logik akal, saya sendiri sekiranya mahu melabur di sesuatu kawasan, perkara pertama yang akan saya lihat adalah soal keselamatan. Oleh itu, kalau kerajaan mahu membangunkan Banggi, soal keselamatan ini merupakan satu perkara pertama yang perlu diutamakan dahulu," katanya.

 

TAKTIK BERSEPADU, PEMERKASAAN ASET

Menyedari rintangan geografi dan kelicikan penjenayah rentas sempadan yang sentiasa mencari peluang, ESSCOM tidak hanya bergantung pada rondaan konvensional, sebaliknya merangka taktik pengoperasian yang komprehensif.

Strategi utama pasukan keselamatan itu kini tertumpu pada pendekatan penguatkuasaan bersepadu yang merangkumi pemantauan dan rondaan secara berterusan di segenap ruang meliputi laut, udara dan darat.

Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pos Dogoton, iaitu pangkalan hadapan ketenteraan di Pulau Banggi, pada Mei lalu memberi isyarat akan komitmen kerajaan dalam meningkatkan pertahanan negara.

Bagi menterjemahkan strategi tersebut di lapangan, Victor berkata ESSCOM memperhebatkan operasi khusus seperti Op Gasak Laut bagi membanteras secara habis-habisan aktiviti penyeludupan, kemasukan pendatang tanpa izin serta pergerakan kumpulan jenayah.

"Pemeriksaan bot, pemantauan laluan tikus dan penguatkuasaan perintah berkurung ESSZONE juga menjadi antara elemen penting dalam strategi keselamatan kita pada masa ini," kata Victor mengulas taktik kawalan berterusan di perairan tersebut.

Selain kekuatan operasi dalaman, ESSCOM turut mengaplikasikan langkah keselamatan proaktif dengan memperkukuh perkongsian risikan dengan agensi tempatan serta memantapkan jalinan kerjasama serantau.

“Ini termasuk melaksanakan rondaan bersama dengan pihak berkuasa negara jiran, khususnya Indonesia dan Filipina, di kawasan sempadan yang terbukti berkesan dalam usaha kita menjaga keselamatan secara bersama,” katanya.

Dari sudut kapasiti aset, Victor mengakui cabaran di Pulau Banggi menuntut pemantauan tanpa henti berikutan faktor keluasan perairannya yang dapat membataskan tindak balas pantas sekiranya hanya bergantung pada aset fizikal sedia ada seperti bot peronda.

Justeru, bagi merapatkan kelompangan dan kawasan titik buta, ESSCOM menyasarkan penggunaan teknologi pemantauan moden termasuk radar maritim, dron dan sistem pengawasan bersepadu sebagai perancangan jangka panjang agar setiap inci perairan terpencil itu dapat dipantau dengan lebih efektif.

 

KOMITMEN KERAJAAN

Komitmen taktikal di laut lepas itu tidak dibiarkan berdiri sendiri. Menyedari rintangan aset yang dihadapi pasukan keselamatan, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan menyalurkan peruntukan besar bagi memperkukuh prasarana pertahanan, terutamanya di barisan hadapan seperti Pos Dogoton.

Menurut Mohamad, Pulau Banggi telah menerima peruntukan difokuskan khusus untuk pembangunan serta pembaik pulih kemudahan keselamatan, termasuk kem-kem tentera dan pos kawalan penting.

Didiami oleh kira-kira 30,000 penduduk yang rata-rata bekerja sebagai nelayan, perancangan kerajaan dalam mempertingkat kemudahan di pulau itu disambut dengan tangan terbuka.

"Kerajaan persekutuan ada komitmen… malah pihak kontraktor juga sudah mula merancang membawa masuk bahan binaan bagi projek pembaikan kemudahan kita," ujar Mohamad memberikan gambaran usaha fizikal yang sedang rancak berjalan di lapangan.

Bagi melengkapkan rantaian logistik pertahanan tersebut, inisiatif memandirikan infrastruktur di darat turut digerakkan secara serentak dengan usaha menaik taraf rangkaian jalan dan pembinaan jambatan baharu di sepanjang pesisir pulau tersebut.

Langkah ini disifatkan sebagai satu anjakan penting kerana sebaik sahaja projek naik taraf jalan sepanjang pesisir itu siap kelak, ia akan menghubungkan kawasan padat penduduk bermula dari Kampung Damaran hingga Pos Dogoton di utara pulau.

Akses darat yang sebelum ini terputus sama sekali, kini bakal melancarkan pergerakan logistik dan tindak balas pantas pasukan keselamatan yang bertugas di barisan hadapan Pos Dogoton.

Komitmen pertahanan tersebut dikukuhkan lagi menerusi pengumuman perdana menteri yang meluluskan peruntukan khas keseluruhan lebih RM31 juta untuk Pulau Banggi baru-baru ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM1 juta diberikan bagi menaik taraf jeti di Kampung Dogoton untuk kegunaan bersama agensi penguat kuasa serta penduduk setempat, sekali gus membolehkan bot-bot ronda keselamatan digerakkan dengan lebih bersistem dan pantas.

Selain tumpuan di Dogoton, agenda keselamatan di bahagian lain pulau turut diperkasakan menerusi projek penambahbaikan Balai Polis Pulau Banggi serta pelaksanaan projek berkaitan keselamatan dan pertahanan negara di bawah Kementerian Pertahanan.

Melihat ke hadapan, pengurusan logistik pertahanan dari pusat pentadbiran ke pos barisan hadapan ini juga bakal dipermudahkan menerusi projek menaik taraf Jeti Awam Karakit kepada terminal feri yang lebih sistematik.

Pemerkasaan menyeluruh bermula dari pintu masuk utama Karakit hingga Pos Dogoton amat penting bagi memastikan kelancaran operasi kawalan sempadan negara kekal terpelihara pada setiap masa.

 

PENDUDUK LEGA

Didiami oleh kira-kira 30,000 penduduk yang rata-rata bekerja sebagai nelayan, perancangan kerajaan dalam mempertingkat kemudahan di pulau itu disambut dengan tangan terbuka.

Seorang penduduk, Idris Hassan, 61, yang ditemui Bernama baru-baru ini, berkata  fasa perubahan keselamatan di pulau berkenaan membawa kelegaan amat besar kepada golongan nelayan tradisional seperti dirinya.

"Dulu, setiap kali turun ke laut lepas, hati kami sentiasa diselubungi bimbang. Kedudukan pulau kita ini terlalu dekat dengan sempadan antarabangsa, jadi risiko bertembung dengan bot asing atau anasir mencurigakan itu memang sentiasa ada, tambahan pula di kawasan yang tiada isyarat telefon.

"Sejak kebelakangan ini, dengan rondaan kerap pasukan keselamatan dan pengumuman peruntukan jeti baharu di Dogoton, kami berasa lebih dilindungi. Jeti itu nanti bukan sahaja memudahkan pihak berkuasa bergerak pantas, malah memberi keyakinan kepada nelayan kampung untuk mencari rezeki tanpa rasa takut," katanya.

Idris turut meluahkan harapan agar projek jalan pesisir dan kemudahan komunikasi yang dirancang dapat disegerakan demi keselamatan menyeluruh penduduk pulau.

"Harapan saya, biarlah hubungan antara orang kampung dan abang-abang askar atau polis terus akrab. Apabila jalan raya sudah siap nanti, maklumat dapat disampaikan dengan lebih cepat dan tiada lagi kawasan yang terpinggir daripada kawalan," katanya.

Seorang lagi penduduk, Sunny Daniel, 52, berkongsi pandangan akan kepentingan pembangunan infrastruktur yang berjalan seiring dengan pengukuhan aspek keselamatan di pulau itu.

Bagi pengusaha kereta sewa itu, kelulusan dana khas yang diumumkan perdana menteri membuktikan rintangan geografi Pulau Banggi kini mendapat perhatian serius Putrajaya.

"Bagi kami yang tinggal di kawasan ini, keselamatan dan ekonomi adalah dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Kehadiran perdana menteri memberi isyarat jelas bahawa keselamatan nyawa kami di sini sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

"Apabila jeti di Kampung Dogoton dinaik taraf dan Balai Polis Pulau Banggi dibaik pulih, ia membina sistem benteng lebih tersusun. Bot peronda boleh digerakkan pada bila-bila masa dengan cekap, sekali gus menutup terus ruang laluan tikus yang sering digunakan oleh penjenayah rentas sempadan," kata Sunny.

Tambahnya, komitmen berterusan daripada pihak kerajaan dan ESSCOM diharapkan dapat mengekalkan status Pulau Banggi sebagai zon yang aman untuk didiami serta berpotensi menarik pelaburan luar pada masa depan.

"Kami di sini sedia menjadi mata dan telinga untuk menyalurkan apa sahaja maklumat mencurigakan di laut. Harapan kami cuma satu, biarlah ketenangan yang kami nikmati sekarang berkekalan demi masa depan anak cucu di Pulau Banggi ini," ujarnya.

 

KERJASAMA KOMUNITI

Di sebalik kecanggihan radar dan keteguhan prasarana di Pos Dogoton, tembok pertahanan utara ini memerlukan sokongan paling berharga, iaitu mata dan telinga komuniti maritim sendiri.

Bagi ESSCOM inilah sebenarnya yang paling diperlukan, iaitu  komuniti Pulau Banggi, terutamanya golongan nelayan, adalah aset strategik yang tidak boleh dipisahkan daripada ekosistem keselamatan perairan utara Sabah.

Victor berkata memandangkan kawasan laut yang perlu dipantau setiap hari adalah terlalu luas, penglibatan aktif penduduk kampung merupakan kunci utama bagi melengkapkan rantaian rondaan pihak berkuasa.

"Komuniti pesisir perlu menjadi ‘mata, telinga dan sahabat' pasukan keselamatan kerana mereka paling arif mengenai pergerakan di laut dan perubahan aktiviti di kawasan masing-masing," kata Victor.

Maklumat awal yang disalurkan oleh para nelayan inilah yang sering menjadi talian hayat penting untuk pihak berkuasa menghidu, mengesan dan menumpaskan sebarang cubaan menceroboh atau menyeludup sebelum bertukar menjadi ancaman lebih serius.

Biarpun jauh di hujung mata, pulau terbesar di Malaysia ini membuktikan kedaulatan sesebuah watan tidak sesekali diukur berdasarkan jaraknya dari ibu kota, tetapi daripada keazaman tanpa berbelah bahagi sebuah negara yang nekad melindungi setiap inci tanah airnya dan setiap nyawa rakyatnya.

© 2026 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.