Masyarakat Perlu Amal Etika Kebersihan Untuk Capai Tandas B.M.W

S
etiap kali melangkah masuk ke mana-mana tandas awam di sekitar ibu negara, Fadilah Ahmad, 64, pastinya akan mengeluh panjang melihat pelbagai kotoran, helaian tisu, tuala wanita yang berteraburan dan tidak dibuang dengan betul ke dalam tong sampah.

“Tidak pernah berubah,” getus hatinya. Bukan sahaja marah tetapi kesal dengan sikap pengotor segelintir masyarakat dalam soal penjagaan kebersihan tandas khususnya tandas awam.

Bersara daripada pekerjaannya sebagai tukang cuci di sebuah hotel bertaraf tiga bintang di Lembah Klang sembilan tahun lepas, Fadilah sudah begitu ‘masak’ dengan sikap mementingkan diri sebahagian besar pengguna apatah lagi jika tandas itu berbayar.

Mentaliti ‘ada tukang cuci yang mendapat gaji untuk membersihkannya’ membuatkan ramai tidak beretika dan bersikap tidak kisah termasuk untuk memastikan sampah dibuang ke dalam tong sampah, paip air ditutup,  tandas dipam selepas digunakan dan tidak membazirkan tisu tandas serta penggunaan air.

“Inilah masalah sikap segelintir masyarakat kita. Mereka fikir apabila sudah bayar untuk menggunakan tandas atau sudah menginap di sebuah hotel, ada pekerja yang boleh mencuci segala kekotoran yang mereka buat. 

“Saya pernah menegur seorang yang mengotor tandas di lobi hotel selepas menggunakannya tetapi dimarahinya pula saya dan mengatakan itu adalah tugas tukang cuci,” kongsinya dengan Bernama.

 

MASIH KE BELAKANG?

Pengalaman sama dikongsikan Rashid Shukri, pengurus tandas awam di salah satu lokasi tumpuan pelancong di Batu Caves Selangor. Beliau turut berhadapan dengan sikap pengunjung yang tidak mempunyai kesedaran sivik ketika menggunakan tandas awam.

Bukan sahaja kepala paip air di tandas awam jagaannya sering dicuri tetapi isu vandalisme turut berlaku seperti pintu tandas dirosakkan akibat disepak serta sikap pengguna yang membuang gumpalan tisu, seluar dalam dan tuala wanita ke dalam lubang tandas sehingga tersumbat dan rosak. 

Pintu tandas awam rosak dan tidak boleh ditutup dengan sempurna semasa tinjauan Bernama di salah sebuah masjid utama di Kuala Lumpur, baru-baru ini. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Isu kerosakan akan meningkat berkali ganda apabila tiba waktu puncak dan hujung minggu sehingga menyebabkan kami terpaksa menutup tandas bagi melakukan kerja baik pulih dan pembersihan. Ada kalanya, terpaksa membuka lubang kumbahan tandas untuk mengeluarkan sampah yang menyebabkan tandas itu tersumbat,” katanya.

Tinjauan Bernama di salah sebuah masjid utama di tengah-tengah ibu kota mendapati tandas di situ sering rosak dan kotor kerana menjadi tumpuan golongan gelandangan yang menggunakan tandas berkenaan untuk mandi dan mencuci pakaian.

Menurut wakil masjid yang tidak mahu namanya disebut, jumlah pengguna tandas di masjid berkenaan boleh mencecah 200 sehingga 500 orang setiap hari termasuk pelancong sehingga menyebabkan ada ketikanya imam dan bilal juga turun padang untuk memantau keadaan tandas.

“Apabila pengguna terlalu ramai, pelbagai insiden boleh berlaku seperti kes kecurian kepala paip air sehingga menyebabkan pihak masjid perlu segara menggantikannya. Sebenarnya, pihak masjid sudah banyak kali melakukan pembaikan fasiliti tandas yang rosak dan boleh dikatakan hampir setiap minggu,” katanya.

Kroniknya isu tandas awam ini apabila rakan penulis turut berkongsi pengalaman sangat meloyakan semasa menggunakan tandas di sebuah medan selera di Kampung Baru yang mempunyai kesan muntah di  lantai sehingga menyebabkan berbau busuk selain paip air yang tidak berfungsi.

Sementara tong sampah pula dipenuhi dengan pelbagai sampah sarap yang melimpah serta tidak mempunyai kemudahan lain seperti sabun pencuci tangan, tisu dan pengering lantai.

 

MASIH MENJADI CABARAN

Hakikatnya, isu tandas kotor masih lagi terus menjadi cabaran buat Malaysia apabila pada tahun 2022 sahaja sebanyak 5,241 tandas awam atau 20 peratus daripada 26,081 tandas awam di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berstatus dua bintang dan ke bawah (kurang bersih dan kotor).

Jumlah berkenaan merangkumi tandas awam milik PBT dan swasta melalui Pemeriksaan dan Penarafan Bintang Tandas Awam di bawah Program Tandas Awam Bersih Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Peratusan itu meliputi semua kategori tandas awam seperti milik PBT, kedai makan/ restoran, pusat beli belah, stesen minyak, rumah ibadat, hentian awam, pejabat kerajaan, pusat pelancongan, sekolah menengah/rendah dan institusi pengajian tinggi.

Mentaliti ‘ada tukang cuci akan membersihkannya’ membuatkan ramai tidak beretika ketika menggunakan tandas awam. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Situasi ini tidak boleh dipandang remeh memandangkan tandas bertaraf B.M.W (Bersih, Menawan, Wangi) yang menjadi sasaran kerajaan masih lagi jauh untuk dicapai sekali gus pasti menjadi cabaran menjelang Tahun Melawat Malaysia 2025. Malaysia dijangka menerima  lebih 23 juta pelancong antarbangsa dengan unjuran pendapatan sebanyak RM76.8 bilion.

Isu tandas ini turut mendapat perharian Menteri KPKT, Nga Kor Ming yang membuat kenyataan meminta semua 155 PBT di seluruh negara mewujudkan unit pemantauan kebersihan tandas awam.

Pihak berkenaan juga diminta melaksanakan kerja penyelenggaraan mengikut jadual kerana kebersihan tandas awam berkait rapat dengan imej negara khususnya di destinasi utama pelancongan atau pintu masuk negara.

Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali dipetik berkata, setiap enam bulan sekali, JKT bersama PBT di seluruh negara akan menjalankan pemeriksaan dan penarafan bintang terhadap kesemua tandas awam di kawasan PBT.

Hasil pemeriksaan dan penarafan tersebut, pemilik yang mendapat skor dua bintang ke bawah perlu melakukan kerja pembersihan dengan segera atau melakukan penambahbaikan tandas mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Berdasarkan garis panduan yang digunakan, pengiktirafan bintang tandas awam dikategorikan bermula satu hingga lima bintang berdasarkan kepada lapan aspek seperti keadaan persekitaran, struktur dan penyelenggaraan kebersihan.

“Lima bintang merujuk amat bersih, empat bintang bersih, tiga bintang memuaskan, dua bintang sederhana bersih, satu bintang kurang bersih dan tiada bintang adalah kotor,” katanya sambil menambah sebanyak 20,840 tandas awam pada tahun 2022 adalah berstatus tiga bintang dan ke atas.

Setakat tahun 2021 sehingga kini sebanyak 334 tandas awam milik PBT dinaik taraf melibatkan kos sebanyak RM5.2 juta .

Semua pihak perlu berpadu tenaga bagi menjayakan visi Tandas Bersih, Menawan, dan Wangi (B.M.W) seperti mana disarankan KPKT. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menurut beliau, pendekatan ‘seluruh negara’ dalam memartabatkan kebersihan tandas awam perlu diamalkan oleh semua kementerian, agensi kerajaan dan swasta selaras dengan inisiatif tandas B.M.W KPKT dan juga matlamat Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) ke-enam yang digariskan semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) iaitu penyediaan air bersih dan sanitasi adalah untuk semua.

“JKT juga membangunkan aplikasi MyWC yang memudahkan orang ramai mencari lokasi tandas awam berpandukan petunjuk GPS selain turut dapat melihat penarafan bintang tandas awam. Pengguna juga boleh menilai kebersihan tandas untuk dijadikan panduan pengguna lain. Aplikasi MyWC dapat membantu memupuk sikap kebertanggungjawaban masyarakat terhadap kebersihan tandas awam,” katanya.

 

WAJIBKAN DI SEKOLAH?

Sementara itu, bekas Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Tuan R.Azraei Ramli mencadangkan supaya PBT dan pihak berkaitan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu menubuhkan skuad khas bagi memantau kebersihan tandas awam.

Beliau berkata, skuad ini perlu diberikan kuasa untuk mengeluarkan notis dan kompaun bagi mereka yang gagal menjaga serta menggunakan tandas awam dengan beretika.

Misalnya, jika skuad ini mendapati sesebuah tandas itu dalam keadaan sangat kotor dan terdapat fasilitinya rosak, mereka boleh mengeluarkan notis kepada pemilik atau penyelia tandas untuk menjalankan kerja pembersihan dan membaiki fasiliti yang rosak dalam tempoh masa tujuh hari.

Sekiranya gagal, pemilik atau penyelia tandas akan dikenakan tindakan kompaun dan operasi pengambilan alih kerja pembersihan serta pembaikan fasiliti tandas berkenaan dilaksanakan oleh skuad ini.

“Segala kos operasi akan dicaj kembali kepada pemilik atau penyelia tandas yang terbabit dan ini akan membuatkan mereka tidak lagi berani untuk membiarkan tandas awam dalam jagaan mereka kotor dan tidak terurus, ” katanya.

Keadaan tandas awam yang kotor di sebuah medan selera di Kampung Baru ketika tinjauan Bernama baru-baru ini. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bagi pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Syed Muhammad Syed Abdullah, etika menggunakan tandas awam perlu dididik sejak kanak-kanak lagi dan kerana itu beliau melihat ada keperluan untuk memasukkannya dalam mana-mana silibus pendidikan.

Buat masa ini, beliau berkata, masih belum ada sebarang silibus khusus berkaitan dengan etika penggunaan tandas dan kepentingan menjaga tandas awam dan ini yang perlu ditambah baik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Kebanyakan silibus pendidikan hanya menghuraikan skop kebersihan secara umum seperti kebertanggungjawaban kebersihan dalam masyarakat kecuali kurikulum Pendidikan Khas (masalah pembelajaran) dalam buku teks  Pengurusan Kehidupan Tahun Dua yang ada menyentuh kebersihan tandas.

“Penambahbaikan silibus pendidikan ini adalah keperluan memandangkan masih ramai lagi tidak beretika ketika menggunakan tandas awam biarpun amalan kebersihan tandas didedahkan sejak prasekolah lagi atau rumah,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah menegur isu kebersihan tandas di sekolah, berikutan kebanyakan tandas sekolah tidak terjaga dan dibaik pulih sepenuhnya sehingga beliau mengarahkan KPM memeriksa tandas berkenaan bagi memastikan setiap murid bertanggungjawab terhadap kebersihan.

Anwar juga turut mengingatkan murid sekolah untuk tidak mengambil mudah isu kebersihan serta keselesaan tandas dan menyarankan mereka dididik mencuci kemudahan berkenaan.

Malaysia mungkin boleh mencontohi sistem pendidikan di Jepun dan Korea Selatan yang menjadikan aktiviti membersihkan tandas sekolah sebagai antara salah satu aktiviti wajib murid sekolah bagi mendidik mereka untuk lebih bertanggungjawab dan berdisiplin ketika menggunakan tandas.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.