P
andemik COVID-19 yang berlarutan lebih dua tahun turut memberi tamparan hebat kepada industri pembinaan negara.
Bukan sahaja dihimpit isu kekurangan tenaga kerja, kenaikan kos bahan mentah dan isu modal atau kekangan kewangan bagi mendapatkan bekalan bahan binaan, ia juga meninggalkan kesan berpanjangan dengan penggantungan serta kelewatan projek pembinaan yang membawa kepada lambakan projek sakit dan terbengkalai.
Pemulihan peringkat demi peringkat dalam fasa endemik menyebabkan lonjakan dalam aktiviti pembinaan apabila semua tapak pembinaan boleh beroperasi tanpa prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 9 Ogos lepas, sektor pembinaan Malaysia terus berkembang pada suku kedua 2023, mencatatkan peningkatan sebanyak 8.1 peratus dengan nilai kerja pembinaan berjumlah RM32.4 bilion.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai kerja pembinaan dalam subsektor bangunan kediaman pulih semula kepada 6.9 peratus daripada negatif 2.2 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.
Beliau menambah, nilai kerja pembinaan bagi bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing berjumlah RM9.9 bilion (30.7 peratus) dan RM7.3 bilion (22.7 peratus).
PROSES AWAL HINGGA AKHIR
Mendepani cabaran itu, penggunaan teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) (ENG: Building Information Modelling) di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) antara yang turut membantu kepada kebangkitan industri pembinaan yang menyumbang sebanyak 8.7 peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2022.
BIM adalah proses penyediaan dan pengurusan model tiga dimensi (3D) berinformasi dalam kitar hayat pelaksanaan sesebuah projek dengan model digital ini digunakan oleh pelbagai pihak untuk tujuan tertentu bagi meningkatkan tahap keberkesanan pengurusan aset menyeluruh.
Ia berasaskan model 3D pintar yang memberikan maklumat untuk arkitek, kejuruteraan dan profesional pembinaan merancang, mereka bentuk, membina dan mengurus bangunan serta infrastruktur dengan cekap.
Teknologi BIM turut mengandungi maklumat dan data tertentu yang berkaitan menjadikannya lebih relevan berbanding kaedah konvensional. --Gambar ihsan CIDBEC.
Selain visual 3D berkeupayaan memberi perincian ke atas setiap infrastruktur dan item di dalamnya, penggunaan BIM mampu menjimatkan kira-kira 15 hingga 20 peratus masa merancang dan mereka bentuk, bergantung kepada reka bentuk dan pembinaan projek.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CIDB E-Construct Services Sdn Bhd (CIDBEC) Rofizlan Ahmad, banyak projek pembinaan mengalami masalah kekurangan tenaga kerja akibat sekatan perjalanan dan kebimbangan keselamatan sewaktu pandemik COVID-19.
“BIM membantu mengatasi cabaran ini dengan membolehkan kerjasama jarak jauh dan mengurangkan kehadiran fizikal di tapak pembinaan. BIM dapat memastikan kerja berjalan lancar walaupun dengan jumlah kehadiran staf yang terhad.
“BIM juga membantu dengan menyediakan data secara langsung mengenai ketersediaan bahan dan pilihan sumber alternatif sekali gus membolehkan syarikat pembinaan membuat keputusan berdasarkan maklumat dan meminimumkan kelewatan projek akibat gangguan dalam rantaian bekalan global,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Pada 26 Jun lepas, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebanyak 297 projek menggunakan kaedah BIM dan Sistem Binaan Berindustri (IBS) (ENG: Industrial Building System) sedang dilaksanakan oleh kementerian itu di seluruh negara setakat ini.
Menurut Nanta, kaedah penggunaan BIM dan IBS dalam projek jalan dan bangunan mampu meningkatkan kualiti dan produktiviti pembinaan kerana dapat menyeragamkan reka bentuk dan mempercepat tempoh pembinaan.
Beliau berkata, cadangan menggunakan BIM dan IBS secara maksimum dalam sektor pembinaan adalah satu strategi berimpak tinggi yang mampu mengurangkan kebergantungan sektor pembinaan kepada pekerja asing melalui pengukuhan kompetensi dan adaptasi teknologi.
Rofizlan pada masa sama menambah, impak COVID-19 turut memberikan penekanan terhadap langkah keselamatan dan kesihatan di tapak pembinaan.
“BIM membantu melalui kaedah visual untuk merancang langkah penjarakan sosial, mengenal pasti kawasan berisiko tinggi dan mengoptimumkan aliran kerja bagi memudahkan latihan, pemeriksaan keselamatan secara maya dan mengurangkan keperluan interaksi fizikal.
“Dari segi peningkatan harga bahan serta kos sesebuah projek, BIM membantu dengan menyediakan pengiraan kuantiti yang tepat, menganalisis implikasi kos perubahan reka bentuk dan mengoptimumkan penggunaan bahan di samping membantu dalam penjadualan projek serta penempatan sumber,” katanya menambah, penggunaan BIM mampu menjamin kelangsungan sesebuah projek seperti yang dirancang.
TEKNOLOGI INDUSTRI IR4.0
Berdasarkan Laporan Building Information Modelling 2021 oleh CIDB, penggunaan BIM di Malaysia adalah pada kadar 55 peratus sehingga 2021, berbanding negara maju seperti Amerika Syarikat (80 peratus-Global BIM Survey 2021) dan United Kingdom (73 peratus- NBS, UK BIM Report 2020).
Walaupun begitu, penggunaan teknologi BIM dalam industri pembinaan negara adalah lebih tinggi berbanding Jepun, China, Poland, Estonia, Republik Czech dan Rusia.
Ketua Pegawai Eksekutif CIDB E-Construct Services Sdn Bhd (CIDBEC), Rofizlan Ahmad. -- Gambar ihsan CIDBEC.
Rofizlan berkata, melalui BIM juga pemain industri pembinaan digalak mengurangkan kesan penggunaan tenaga selaras dengan amalan pembangunan mapan.
“BIM mampu mengurangkan penjanaan sisa tapak, membangunkan kecekapan dan standard Malaysia untuk spesifikasi pembinaan yang merangkumi keperluan teknologi hijau.
“Secara keseluruhannya, kemampuan BIM untuk menyediakan data yang tepat, pandangan menyeluruh sesebuah projek bagi membolehkan kecacatan reka bentuk dikesan, mengenal pasti potensi konflik pada awal proses pembinaan dan serta mengoptimumkan aliran kerja projek menjadikannya amat penting dalam memastikan kecekapan industri pada masa akan datang,” katanya.
Turut menyentuh mengenai Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0), Rofizlan berkata teknologi industri pembinaan akan terus mengalami perkembangan yang signifikan seiring tuntutan semasa.
Antaranya termasuklah penggunaan Internet Kebendaan (IoT) yang merujuk kepada peralatan atau peranti yang dihubungkan dengan Internet dan menyebabkan berlakunya pengumpulan dan perpindahan data melalui rangkaian.
Penggunaan IoT dari tapak pembinaan untuk memantau prestasi dan status projek secara real-time membolehkan pengurusan projek menjadi lebih efisien dengan pemantauan kualiti yang lebih baik.
“Dalam IR4.0, data yang dihasilkan oleh industri pembinaan juga akan menjadi semakin besar dan kompleks. Analisis Data Besar (Big Data Analytic) membantu untuk menyelidik dan menganalisis data sebagai contoh untuk mengenal pasti prestasi projek, mengoptimumkan penggunaan sumber dan meramalkan risiko.
“Selain itu, penggunaan realiti maya dan realiti yang ditambah (virtual reality and augmented reality) membolehkan pengguna untuk melihat dan berinteraksi dengan model bangunan dalam persekitaran maya atau sebenar. Ini memudahkan pemahaman visual reka bentuk, mempercepatkan proses pembinaan dan mengurangkan risiko kesilapan,” katanya.
Berhubung penggunaan teknologi robotik, Rofizlan berkata, ia dapat meningkatkan produktiviti dan keselamatan kerja manakala automasi pula membantu mengurangkan kerja manual yang berulang serta meningkatkan kecekapan operasi.
“Dalam IR4.0, kelestarian dan kecekapan tenaga menjadi keutamaan. Teknologi hijau seperti penggunaan bahan binaan mesra alam dan tenaga boleh diperbaharui adalah diutamakan. Penggunaan sistem pengurusan tenaga pintar dan teknologi hijau membantu mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar dan meningkatkan kecekapan tenaga.
“Selain itu teknologi blockchain pula digunakan untuk meningkatkan kebolehpercayaan serta kecekapan dalam industri pembinaan. Melalui teknologi blockhain, setiap transaksi dan dokumen penting dapat disimpan secara selamat sekali gus mengurangkan risiko penipuan dan menjamin aspek ketelusan proses pembinaan sesebuah projek,” katanya.
DASAR SEBELAH PENAWARAN
Sementara itu pensyarah kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM) Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata, galakan kerajaan agar lebih ramai kontraktor menggunakan IBS dan BIM dalam usaha meningkatkan produktiviti sektor pembinaan di samping penyediaan insentif turut menyumbang kepada peningkatan standard keselamatan dan hasil yang lebih produktif sesebuah projek pembinaan.
BIM ialah teknologi 3D yang diguna pakai dalam membentuk model bangunan sebenar bermula daripada proses reka bentuk, membangunkannya sehinggalah tamat kitaran hidup sesebuah bangunan. -- Gambar ihsan CIDBEC.
Mengulas mengenai perkembangan sektor pembinaan untuk kembali ke landasan selepas pandemik, beliau berkata, sinergi antara Kementerian Kerja Raya (KKR), CIDB dan institusi berkaitan penting dalam mencorakkan pertumbuhan lestari termasuk untuk pelaburan subsektor kediaman.
Beliau berkata, ia juga boleh dilaksanakan melalui dasar sebelah penawaran yang merujuk kepada dasar pengembangan fiskal kerajaan melalui pencukaian dan galakan pelaburan bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran, menyumbang kepada peningkatan penawaran agregat dan pertumbuhan KDNK.
“Dasar sebelah penawaran ialah dasar kerajaan yang merangsang kegiatan ekonomi dari segi mengurangkan beban regulasi dan menggalakkan pertumbuhan teknologi dengan meningkatkan keupayaan pengeluaran dalam ekonomi. Contoh dasar sebelah penawaran ialah insentif pengurangan cukai kepada pengeluar dan dalam bentuk subsidi bagi mengimbangi kos pengeluaran.
“Dasar ini akan meningkatkan penawaran agregat walaupun sumbangan minimum kepada KDNK. Sebagai contoh kerajaan melalui suntikan pengembangan fiskal menekankan dasar mewajibkan pembinaan rumah mampu milik atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) dalam semua projek perumahan yang diluluskan di Kuala Lumpur.
“Langkah ini memberi keyakinan kepada pemaju untuk memulakan pembinaan subsektor kediaman. Selain itu, beberapa inisiatif Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memajukan beberapa projek perumahan sakit dan terbengkalai juga turut menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembinaan,” katanya.
Menyifatkan pembinaan bangunan khususnya kediaman mapan, selesa dan memenuhi kualiti hidup masyarakat bandar harus dijadikan keutamaan, Muhammad Ridhuan berkata, masalah yang kerap berlaku seperti banjir terutama di kawasan Lembah Klang akhir-akhir ini serta isu bandar rendah karbon yang sukar dicapai adalah antara yang perlu diberi perhatian.
Beliau berkata, perubahan iklim yang menyebabkan keadaan cuaca sukar diramal serta perbandaran dan migrasi yang menyebabkan kepadatan penduduk bandar semakin meningkat menuntut perancangan dan regulasi secara bersama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“KKR perlu meluaskan kerjasama dengan beberapa pemegang taruh seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Cabaran perbandaran semakin meningkat dengan perubahan demografi seperti isu penuaan dan tuntutan generasi muda memerlukan kesepakatan antara institusi serta pandangan pemegang taruh termasuk ahli akademik bagi mencapai hasil yang terbaik,” katanya.
-- BERNAMA