Teater "Bermusim" Rencatkan Pemulihan Seni Persembahan Pascapandemik

S
eawal 10 pagi, Sakrani Shamsuddin, 56, sudah berada di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi melakukan kerja-kerja pentadbiran dan produksi, termasuk menyediakan alatan serta kostum satu pementasan teater yang dijadualkan  Oktober ini. 

Dibantu oleh beberapa kru persembahan, Presiden Persatuan Teater Malaysia ini biasanya sibuk dengan kerja tersebut dari awal pagi hingga petang sebelum mengikuti dan melihat perjalanan latihan intensif pelakon yang lazimnya berakhir pada lewat malam. 

"Beginilah rutin harian saya sejak pertengahan bulan Julai, sibuk dengan persediaan untuk pementasan teater bagi memastikan semuanya berjalan lancar. Sebelum ini kami sibuk dengan pementasan teater   monodrama Kopi Pangku yang dipentaskan pada Ogos lepas, dan sekarang dengan latihan teater Lantai T. Pinkie,” katanya kepada Bernama. 

Berperanan sebagai penerbit untuk dua pementasan teater tersebut, bapa kepada empat orang anak  ini mengakui rutin hariannya jauh berbeza jika dibandingkan lima bulan lepas ketika aktiviti pementasan teater agak lesu.

Selain tugas hakikinya, anak kelahiran Sungai Manila, Perak ini juga perlu menghadiri pelbagai mesyuarat berkaitan seni persembahan atau menjadi juri teater. 

"Bukan saya seorang sahaja yang sibuk. Awak tanyalah mana-mana pengamal teater, sama ada pelakon, kru, semuanya akan jawab mereka sibuk sejak pertengahan Jun hingga pertengahan Oktober ini kerana pelbagai aktiviti pementasan teater akan berlangsung sepanjang tempoh itu. 

"Rancaknya boleh diukur apabila berlumba-lumba pementasan teater diadakan setiap satu minggu. Berbanding awal Januari hingga Mei lepas, hendak lihat satu pementasan teater dalam sebulan pun susah. Memang lembab ketika itu, dan situasi sama akan berlaku selepas 15 Okt, dan kerana itu ada yang gelar pementasan teater ini 'bermusim’,” katanya. 

 

MENGAPA BERMUSIM?

Biarpun ketika ini kerancakan seni teater adalah secara bermusim, Sakrani yang sudah bergiat dalam bidang seni kreatif selama lebih 30 tahun, gembira dengan perkembangan positif itu yang mencerminkan proses pemulihan selepas terkesan teruk oleh pandemik COVID-19. 

Sebelum  ini dilaporkan industri kesenian dan kebudayaan merekodkan kerugian sekitar RM85 juta dalam tempoh setahun, dan pementasan teater antara yang turut terjejas disebabkan tiada sebarang pementasan boleh diadakan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal COVID-19.

Sekalipun begitu, beliau berasa bimbang akan sifat bermusim industri pementasan teater ini yang menurut beliau tidak akan mampu merangsang kembali sektor itu kerana tempoh kerancakan industri yang singkat.

“Ada sebab mengapa pementasan teater semakin rancak ketika ini. Kami mula mendapat dana Geran Sokongan Sektor Kebudayaan sejak tahun lepas yang diberikan dalam bentuk one-off  (sekali bayar) bagi mengadakan aktiviti persembahan. 

"Dana ini perlu dipohon setiap tahun dan biasanya persatuan teater atau syarikat seni yang berjaya akan mendapat dana sekitar bulan Mei dan aktiviti pementasan akan sibuk sepanjang Jun hingga 15 Okt. Syarat geran tersebut ialah pementasan teater tidak boleh diadakan selepas 15 Okt kerana pihak MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) inginkan laporan mengenainya,” kata beliau. 

Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) merupakan inisiatif kerajaan di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan MOTAC, bertujuan memastikan ekosistem kesenian dan kebudayaan di negara ini kekal berdaya saing dan diperkasa, selari dengan matlamat serta nilai teras Malaysia Madani 

Bersifat sekali bayar di bawah MOTAC, had maksimum geran sokongan tidak melebihi RM300,000 bagi badan bukan kerajaan (NGO)/pertubuhan bukan berasaskan keuntungan (NPO)/syarikat dalam tempoh satu tahun semasa.

Untuk tahun ini sahaja, MOTAC telah meluluskan peruntukan berjumlah RM9.675 juta melalui 127 permohonan GSSK. 

 

SUKAR DAPAT TAJAAN 

Ditanya tentang sebab pengamal seni teater terlalu bergantung pada geran tersebut serta kewujudan insentif lain bagi membolehkan pementasan dilakukan sepanjang tahun, Sakrani berkata walaupun ada insentif lain, permohonan adalah terhad selain jumlah yang boleh dipohon juga tidak tinggi.   

"Selain GSSK, pengamal seni teater boleh memohon dana daripada JKKN (Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara) tetapi agak terhad dan jumlah tidak melebihi RM15,000. Kami juga boleh mohon di bawah program Think City, iaitu peruntukan kerajaan diberikan kepada satu organisasi untuk pengamal seni memohon.

"Cumanya kriteria dan dokumentasi yang diminta agak tinggi sekali gus menyukarkan pengamal seni untuk memohon. Begitu juga dengan Yayasan Hasanah. Sebelum ini ada CENDANA, tapi untuk tahun ini ia fokus pada industri muzik, (jadi) mahu tidak mahu kami kena bergantung pada dana GSSK untuk bangkit kembali,” katanya. 

Sehubungan itu, Sakrani berharap syarat pementasan GSSK disemak semula agar persembahan dapat diadakan hingga akhir tahun yang secara langsung merangsang kembali pertumbuhan sektor kreatif tersebut.

Pada masa sama, beliau turut mengharapkan dana GSSK diberikan dalam bentuk jangka panjang, misalnya untuk tempoh lima tahun, bagi membolehkan sektor kreatif ini stabil dan meraih pulangan yang seterusnya boleh dimanfaatkan untuk mengerakkan industri. 

"Kebimbangan kami juga ialah kerana dana ini bermusim, sebab sekarang ini kita tidak tahu sama ada tahun depan akan ada lagi atau tidak. Apatah lagi jumlah dana GSSK telah dikurangkan daripada RM500,000 sebelum ini kepada tidak lebih RM300,000. 

"Kalau ada yang tanya mengapa tidak dapat tajaan, sebenarnya agak sukar untuk teater (bahasa) Melayu memperoleh tajaan  berbanding teater berbahasa Inggeris,” katanya, menambah teater berbahasa Inggeris lebih mudah menerima tajaan disebabkan oleh konsep persembahan yang lebih bebas dan tidak terikat dengan  Dasar Kebudayaan Negara.

Teater berbahasa Melayu pula perlu mengikut laras tertentu termasuk penggunaan bahasa yang betul, khususnya apabila dipentaskan di DBP, jelas beliau. 

 

BERI DANA LEBIH AWAL 

Bagi Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Norzuraina Mohd Nor, beliau berharap kerajaan dapat mengeluarkan dana sokongan lebih awal setiap tahun selain menawarkan alternatif lain bagi membantu nasib anak seni teater. 

"Apabila geran hanya keluar pada bulan Mei, maka pementasan rancak menjelang Jun hingga Oktober sahaja,  menyebabkan berlaku lambakan aktiviti pementasan sepanjang minggu.

“Keadaan ini walaupun positif, sebenarnya telah memecahkan bilangan penonton ke satu-satu pementasan. Apatah lagi bukan semua orang minat menonton teater dan biasanya orang yang sama akan menonton teater,” kata aktivis teater yang terkenal dengan nama pena Ayudez Zuraina itu.

Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Pendidikan Sultan Idris Dr Norzuraina Mohd Nor

Tegas aktivis itu, bagi menjadikan sektor pementasan teater kembali mendapat tempat serta rancak seperti dahulu,  bantuan dana secara berkala kepada aktivis dan penggiat harus diberikan, antaranya gaji atau honorarium yang setimpal agar mereka dapat bergerak aktif sepanjang masa. 

Selain itu, beliau melihat ada keperluan bagi pihak berkaitan menyediakan infrastruktur yang bersesuaian di samping latihan berkala untuk penggiat, misalnya dengan menubuhkan klinik pengurusan seni bersistematik.

Melihat perkembangan positif teater, beliau turut menjangkakan masa depan seni kreatif itu semakin bersinar berdasarkan beberapa faktor, antaranya sokongan kerajaan menerusi Dasar Kebudayaan Negara 2021 (DAKEN 2021) yang dilancarkan pada 2021.

Apatah lagi masyarakat ketika ini dilihat semakin berminat untuk menonton pementasan teater berbanding sebelum ini yang hanya diterima oleh peminat seni kreatif tersebut.

Bantuan dana secara berkala kepada aktivis dan penggiat seni harus diberikan bagi membolehkan mereka bergerak aktif sepanjang masa. Gambar oleh Dr Norzuraina

"Faktor promosi juga menjadi penyumbang kepada pertumbuhan apabila teater mula mengorak langkah dengan pelbagai inovasi dan pendekatan baharu dalam pementasan seperti gabungan pelbagai elemen seni dalam sesebuah pementasan.

"Selain  itu, pelbagai bentuk teater sudah muncul seperti eksperimental, teaterikal dan sebagainya. Malah, aktivis mula memikirkan strategi promosi untuk menggalakkan kedatangan penonton dengan melibatkan penyertaan artis arus perdana (televisyen dan penyanyi)," katanya.

Beliau berkata gabungan anak muda yang berpelajaran dan aktivis berpengalaman telah menghasilkan persembahan berkualiti tinggi dan menjadi titik tolak dalam menyiapkan seni kreatif ini sebagai sebuah industri berdaya saing. 

 

PENDIDIKAN AWAL

Sementara itu, Ketua Program Ijazah Sarjana Muda Teater (Pengarahan) Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Mohd Shahrul Mizad Asari berkata pendidikan awal dari sekolah merupakan langkah penting bagi menyuburkan sektor seni persembahan teater.

"Pendedahan perlu dibuat (lebih awal) demi kelangsungan generasi dan pelopor seni akan datang. Seni jangan dipandang dari sudut hiburan tetapi penerapan ilmu seni mampu melatih kreativiti, daya fikir, membentuk keperibadian dan nilai positif," katanya.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan perlu memainkan peranan penting dalam menyemai minat anak-anak muda terhadap dunia seni tersebut, dan ini boleh dilakukan oleh guru sekolah dengan pendekatan kreatif dan menyeronokkan. 

Selain itu, beliau berkata usaha kerajaan memperuntukkan RM127 juta dalam Belanjawan 2023 untuk sektor industri kreatif, seni dan budaya menerusi JKKN, merupakan satu langkah positif namun perlu ada penyelarasan lebih efektif dan sama rata.

"Langkah tersebut perlu disokong dengan melonggarkan syarat serta mengurangkan cukai bidang kesenian. Industri teater perlu diberi perhatian kerana teater itu sendiri adalah satu alat pendidikan dan tidak hairanlah jika dikatakan teater itu sebenarnya ‘memanusiakan’ manusia," katanya.

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.