MedicAid Terus Santuni Keperluan Perubatan Anak-Anak Miskin Kemboja

S
ebaik sahaja kenderaan yang membawa seramai 27 orang petugas sukarelawan Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan dan Perubatan Malaysia (MedicAid) masuk ke pekarangan Masjid Istiqbal Al’Azim, Kampung Takmo di sini, pelbagai reaksi terpancar di wajah sekumpulan kanak-kanak lelaki yang sedia menunggu di situ.

Ada yang duduk dan ada yang berdiri, sambil memegang kain sarung yang sudah lusuh. Mereka kelihatan gelisah, namun ada yang masih mampu tersenyum.

Masakan tidak, hari itu akan menjadi hari yang penuh bersejarah buat mereka kerana akan dikhatankan beramai-ramai di masjid berkenaan.

Aktiviti berkhatan secara percuma ini adalah antara program dalam misi perubatan dan kemanusiaan ‘Santunan Cambodia’ anjuran MedicAid yang berlangsung pada 29 Ogos hingga 3 September lepas dengan melibatkan 200 kanak-kanak lelaki berusia lingkungan tujuh hingga 15 tahun.

Selain Kampung Takmo, lokasi lain yang terlibat ialah Dakhel Abdolah Othman Al-Dakhel Center di wilayah Takeo, yang terletak 82.5 kilometer dari bandar Phnom Penh.

 

PELUANG KEEMASAN

Sebaik tiba, para sukarelawan MedicAid masuk ke dalam masjid bagi mencari tempat yang sesuai untuk menjalankan operasi khatan.

Di sebuah ruang kecil dipercayai dewan masjid berkenaan, terdapat sebanyak 20 buah meja dan bangku kayu berwarna coklat kekuningan yang masih kukuh.

Pelbagai reaksi di wajah sekumpulan kanak-kanak lelaki yang sedang menunggu giliran untuk dikhatankan.

“Ini adalah meja terbaik pernah kami dapat untuk operasi khatan sejak Medicaid melancarkan program ini enam tahun lalu,” kata Presiden MedicAid Dr Syariz Izry Sehat kepada Bernama.

Usai menyusun meja yang akan menempatkan kanak-kanak untuk proses khatan, barangan keperluan khususnya ubat-ubatan disusun rapi, alat perubatan dibersihkan dan dinyah kuman sebelum digunakan.

Beberapa orang sukarelawan dilihat mengagihkan belon berwarna-warni serta beg berisi makanan serta menayangkan filem kartun animasi melalui projektor sebagai usaha membantu kanak-kanak terlibat melupakan sejenak rasa gugup mereka sementara menunggu giliran untuk dikhatankan. 

Penulis berkesempatan mendekati dan menyapa seorang kanak-kanak yang sedang menunggu gilirannya.

“Saya mahu tunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim yang baik,” kata Salleh yang bapanya bekerja sebagai seorang nelayan dalam nada ceria dan teruja ketika ditanya perasaannya ketika itu.

Sifat berani Salleh, 12, nyata berbeza dengan ragam kebanyakan kanak-kanak lain di situ yang seusia dengannya kerana ramai yang menangis bahkan ada yang meraung, kemungkinan besar berasa takut untuk dikhatankan. 

Di sebalik situasi itu, apa yang lebih menyentuh perasaan penulis dan para sukarelawan ialah terdapat ibu bapa yang terpaksa ‘bertindak keras’ terhadap anak-anak mereka bagi memastikan mereka turut serta dalam program itu. 

Daripada pandangan mata kasar, perbuatan ibu bapa itu mungkin dilihat kurang wajar namun siapa tahu mungkin itu sahajalah peluang mereka untuk mengkhatankan anak-anak secara percuma.

Ini berikutan kos berkhatan di negara itu adalah sekitar Dolar Amerika Syarikat (USD) 80 hingga USD100 (kira-kira RM376 hingga RM469) bagi seorang kanak-kanak lelaki.

Menurut data Bank Dunia pada 2022, populasi penduduk di Kemboja dianggarkan berjumlah 16.8 juta dan 93 peratus daripadanya adalah penganut agama Buddha.

Komuniti Muslim di negara bekas jajahan diktator Pol Pot ini merangkumi sekitar dua hingga lima peratus sahaja, yang kebanyakannya berketurunan Cham selain Khmer dan Jawa. Mereka tinggal di perkampungan nelayan sekitar Tasik Tonlé Sap dan Sungai Mekong, selain di wilayah antaranya Takeo dan Kampot.

Masyarakat Muslim di sini menyara hidup dengan bekerja sebagai petani, berniaga sendiri, bercucuk tanam sayur-sayuran dan menternak haiwan.

Etnik minoriti ini hidup dalam keadaan serba miskin dan tidak mampu untuk membiayai kos perubatan termasuklah berkhatan.

Atas faktor keterbatasan itu, mereka amat mengharapkan khidmat khatan secara percuma daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang datang ke wilayah mereka dan berusaha sedaya upaya untuk hadir meskipun terpaksa menempuh jarak perjalanan yang jauh.

 

PROGRAM KHATAN JULUNG KALI

Menurut hakam Masjid Istiqbal Al’Azim, Binyamin Yakkop, 60, ini merupakan julung kalinya NGO datang untuk menjalankan program berkhatan secara percuma.

“Sebelum ini, kebanyakan NGO yang datang menyampaikan sumbangan barangan dan pakaian harian. Namun ini kali pertama NGO datang buat program khatan percuma dan apabila penduduk kampung tahu mengenai program ini, mereka sangat gembira,” katanya yang berulang kali mengucapkan terima kasih kepada para sukarelawan MedicAid atas khidmat yang diberikan di kampung itu.

Presiden MedicAid Dr Syariz Izry Sehat (kanan, duduk) ketika program berkhatan secara percuma di Masjid Istiqbal Al’Azim, Kampung Takmo.

Sementara itu, penduduk Muslim di wilayah Takeo turut tidak melepaskan peluang untuk menyertai program berkhatan tersebut.

Lebih mengharukan, kira-kira 20 buah keluarga yang tinggal di 16 kampung di pulau di sekitar tempat program dijalankan iaitu di Dakhel Abdolah Othman Al-Dakhel Center sanggup menaiki bot yang memakan masa lebih satu jam bagi membolehkan anak-anak mereka dikhatankan.

Tidak dapat dibayangkan cabaran kanak-kanak itu yang perlu menempuh perjalanan jauh selepas berkhatan, namun sekali lagi, mungkin itu sahaja peluang yang mereka ada. 

Sebelum MedicAid ditubuhkan secara rasmi pada 2020, sekumpulan pengamal perubatan dari Malaysia datang ke Kemboja pada tahun 2017 bagi menyalurkan khidmat berkhatan buat kanak-kanak di sini tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Bagi Dr Syariz Izry, 47, yang mempunyai pengalaman luas dalam misi kemanusiaan sejak tahun 2015, antaranya di Syria, Turki dan Cox’s Bazar di Bangladesh, terdapat banyak ruang dan peluang untuk dirinya dan rakan membantu penduduk Muslim di Kemboja.

“Kalau kita lihat demografik Kemboja, ia sebuah negara yang amat ‘muda’ selepas pemerintahan Pol Pot, baru merdeka. Mereka ini memang hidup susah. Ada petani dan nelayan. Disebabkan itu, kami terpanggil untuk membantu mereka,” katanya yang berkhidmat sebagai  pakar bedah paediatrik di hospital swasta di Shah Alam, Selangor dan Kuala Lumpur.

 

PENGALAMAN BERHARGA

Sehingga kini, pihak MedicAid mengkhatankan lebih 1,000 orang kanak-kanak Kemboja di pelbagai wilayah negara itu.

Menurut Dr Syariz Izry, mereka melalui pelbagai keadaan lokasi operasi khatan, antaranya di atas meja yang sangat usang, berlantai tanah dan ketiadaan sumber elektrik yang kebiasaannya terjadi di madrasah kawasan pedalaman.

Sekumpulan penduduk Muslim di wilayah Takeo turut tidak melepaskan peluang untuk menyertai program berkhatan secara percuma.

Dalam situasi seperti itu, pihaknya perlu melakukan operasi khatan menggunakan headlight dan beberapa alatan lain.

“Ia antara pengalaman berharga yang dilalui oleh para sukarelawan MedicAid dan tidak sedikitpun membuatkan kami membezakan layanan terhadap kanak-kanak di lokasi berkenaan, sebaliknya terus memberikan khidmat terbaik dan layanan sama rata,” katanya.

Beliau menambah, bantuan pembedahan secara percuma bagi kanak-kanak di Hospital Beyond Boundaries (HBB) di Phnom Penh turut diberikan sejak tahun 2017 dan setakat ini, pihak MedicAid melakukan pembedahan ke atas lebih 100 pesakit khususnya yang menghadapi masalah hernia.

“Kami membayar kos pembedahan termasuk peralatan bedah, ubat-ubatan dan sewa bilik bedah di HBB. Meskipun kami membawa pakar bedah, pakar bius dan jururawat sendiri, kami tetap membayar sekitar USD150-USD200 (kira-kira RM704 hingga RM939) bagi setiap pembedahan kepada pihak HBB.

“Kami adalah satu-satunya NGO yang melakukan pembedahan secara percuma di negara ini yang kini masuk tahun keenam,” katanya.

HBB ialah sebuah hospital komuniti yang ditubuhkan oleh sebuah NGO Malaysia pada Mei 2022 bagi membantu golongan memerlukan di Kemboja mendapatkan penjagaan dan rawatan perubatan secara percuma.

Berkongsi antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan, Dr Syariz Izry dan rakan-rakannya pernah menjalankan pembedahan kes hernia di HBB ke atas seorang pelajar maahad tahfiz berumur 14 tahun yang sedang gugup ketika itu.

“Apabila kita bagi ubat bedah untuk spinal, under conscious, baru ubat sedentasi akan diberi. Tapi sepatutnya bila dah beri ubat memang tak akan sedar tapi dia tetap membaca ayat-ayat al-Quran. It’s a very subconcious level. Kalau orang biasa memang tak akan sedar langsung tapi dia masih teruskan bacaan dengan sempurna.

“Menariknya, ketika sampai pada satu ayat tu, dia ada tersilap sebut sikit dan salah seorang daripada kami membetulkannya. Satu tajwid silap. Dia betulkan balik. Jadi kita dapat tahu di dalam hati dan jiwanya memang (dipenuhi ayat) al-Quran,” katanya.

 

BANTU ‘PINDAH’ KEMAHIRAN

Pada misi kali ini, pihak MedicAid berjaya mencapai sasaran kutipan dana berjumlah RM68,000 yang digunakan bagi keperluan pembedahan, berkhatan, agihan 150 pek makanan kepada asnaf bernilai USD30 (RM141) setiap satu.

Di samping itu, bantuan beras bernilai USD500 (kira-kira RM2,348) serta sumbangan wang tunai dengan nilai sama turut diberikan untuk membantu kelangsungan hidup 400 pelajar dan tenaga pengajar di Madrasah An Nikmah Al Islamiah di Phnom Penh.

Berhasrat untuk menyumbang ilmu pengetahuan dalam bidang perubatan kepada masyarakat Kemboja, Dr Syariz Izry berharap masyarakat Islam di negara itu terus berkembang dan membangun. 

Ahmad Muhsin Al Amin Zakir Hussein, 9. (kanan) dibawa oleh ibunya seorang sukarelawan MedicAid, Dr Anis Siham Zainal Abidin menyertai misi kemanusiaan itu.

“Masyarakat Muslim Kemboja baru nak membangun. Sebelum ini enam tahun lepas, masa saya datang ke sini, seorang pun tak pandai nak buat khatan. Tapi selepas kami dah datang ke sini berulang kali, beri latihan kepada mereka dan kita bantu juga dari segi alatan perubatan yang diperlukan (dah pandai buat khatan). Itu adalah pemindahan kemahiran yang mudah.

“Untuk kemahiran tahap tinggi, contohnya saya menjalankan pembedahan terhadap kanak-kanak di sini dan apabila sampai ke satu peringkat, ada yang boleh saya latih (pelajar perubatan), dan mereka kemudian boleh melatih penduduk di sini,” katanya yang berpengalaman selama 13 tahun sebagai doktor pakar bedah.

Menyentuh mengenai sukarelawan MedicAid, Dr Syariz Izry menetapkan kriteria tertentu bagi seorang sukarelawan untuk membantu dirinya dan pegawai perubatan lain ketika melaksanakan operasi perubatan seperti pembedahan dan berkhatan.

“Saya perlukan orang untuk membantu kami dan bersifat lebih memilih mereka yang mempunyai pengalaman dan bekerja dalam bidang perubatan kerana mereka tahu apa yang perlu ‘diberikan’.

 “Contohnya, kita akan khatankan 100 kanak-kanak. Jadi saya perlu paling kurang empat orang yang boleh lakukan kerja khatan. Untuk empat orang ini, kita perlukan pembantu untuk mereka iaitu sekurang-kurangnya empat lagi jururawat. Kemudian, kita perlukan lagi orang untuk membantu jururawat ini supaya proses seterusnya berjalan lancar seperti mencuci dan menyahkuman alatan perubatan,” jelasnya.

 Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya sentiasa memberi ruang dan peluang kepada individu yang berminat menyertai NGO itu atas faktor pendedahan dan pengalaman.

“Ya, kita suka beri mereka peluang. Tetapi disebabkan kelompok utama itu kita perlukan, jadi ruang untuk jadi sukarelawan kami menjadi kecil. Kalau tidak, kumpulan ini tidak boleh berfungsi,” katanya menambah ketika ini terdapat kira-kira 60 hingga 70 sukarelawan MedicAid. 

Turut berkongsi pengalaman, sukarelawan yang juga pakar perunding unit jagaan rapi paediatrik di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, Selangor Dr Anis Siham Zainal Abidin berkata, beliau mula terlibat dalam aktiviti sukarelawan dalam dan luar negara sejak tahun 2012 sebelum menyertai pasukan Dr Syariz Izry pada tahun 2017 untuk operasi khatan di Kemboja.

“Kebanyakan program berkhatan memang sangat memenatkan sebab kita bertugas dari pagi sampai habis (tamat program). Yang seronoknya bila kita pergi ke luar tu kita tak tahu apa yang kita akan hadapi, orang di sekeliling itu macam mana, tempat tinggal pun kita tak tahu macam mana kerana setiap kawasan yang kita pergi adalah tempat yang berlainan.

“Tapi di sini (MedicAid) kita ada kawan yang bersama-sama hadap (lalui) dan terima sahaja apa yang ada dengan gembira selain semangat setia kawan,” katanya yang turut membawa bersama anak lelakinya Ahmad Muhsin Al Amin Zakir Hussein, 9.

 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.