P
ada 2018, tular klip video yang membawa impak agak besar dalam perjuangan aktivis buruh paksa di negara ini.
Klip video itu memaparkan sekumpulan lelaki dengan ada yang duduk dan ada yang berdiri. Rimbunan semak-samun di sekeliling mereka memberi bayangan bahawa kumpulan lelaki terbabit berada dalam hutan.
Mata mereka melingas, memerhati sekeliling, namun sekali-sekala terarah kepada seorang anak muda yang berada di tengah-tengah.
Bertindak sebagai jurucakap, lelaki muda bertubuh kurus dengan kulit yang agak gelap serta berambut kerinting itu memandang tepat ke arah kamera.
Bertutur dalam bahasa Tamil, dia yang tidak memperkenalkan diri kedengaran berkata: “Kami tidak ada makanan, tidak diberikan gaji serta tidak ada tempat untuk tidur.
“Kami juga tidak boleh melarikan diri. Gerak-geri kami sentiasa diperhati,” sambungnya, demikian menurut penterjemah.
Tambah anak muda itu, majikan mengancam untuk membelasah mereka berserta ungkapan mati.
Kumpulan lelaki berkenaan adalah sebahagian daripada 48 orang warga India yang didakwa dipaksa bekerja tanpa gaji di sebuah tapak pembinaan di tengah-tengah hutan di Bentong, Pahang, di mana menara pencawang elektrik didirikan.
Syot layar daripada video di mana 48 pekerja dari India merayu bantuan, mendakwa buruh paksa. --Nina Muslim/Bernama
Dalam satu lagi video, seorang lelaki, bermisai dan memakai baju merah jambu, kedengaran meminta setiap individu yang menonton klip video itu menyebarkan rakaman berkenaan agar kumpulan pekerja terbabit dapat pulang ke Tamil Nadu, India Selatan. Lelaki itu mengakhiri rakaman dengan kata-kata bahawa mesej tersebut mungkin komunikasi terakhir mereka.
Selepas membuat rakaman video itu, mereka berjaya melarikan diri beberapa hari sebelum sambutan Deepavali 2018. Mereka kemudian diselamatkan dan ditahan oleh pihak berkuasa untuk didokumentasikan sebelum dihantar pulang ke India.
Lima tahun berlalu, kes mereka belum bernoktah.
Hingga kini mereka masih belum menerima gaji bagi dua bulan terakhir - September dan Oktober 2018 - kerana majikan enggan membayar upah mereka. Gaji bulanan mereka berjumlah antara RM1,346.46 dan RM3,334.34 masing-masing selain elaun makan harian berjumlah RM150.
Akan tetapi, berbeza dengan kebanyakan kes melibatkan warga asing dan kecurian gaji, iaitu bentuk buruh paksa dan perhambaan moden paling lazim, kisah mereka ini menghampiri penghujung yang turut membawa harapan tentang hak pekerja, dan akan mempunyai implikasi antarabangsa.
Menurut pakar hak pekerja, berbeza dengan kes lain, kumpulan buruh ini beroleh akses kepada sistem perundangan di Malaysia. Bagaimanapun masih banyak yang perlu dilakukan bagi memberi bantuan guaman kepada golongan tersebut.
Pekerja bertugas membuat penyelenggaraan dan pemasangan bebola penanda udara (Aerial Marker Ball) pada kabel elektrik. Gambar hiasan. --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA
BAGAIMANA USAHA ITU BERMULA
Menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) yang memetik angka Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), terdapat sekitar 2.2 juta tenaga kerja asing berdaftar di Malaysia pada 2022. Anggaran tidak rasmi pekerja asing tidak berdaftar atau pendatang tanpa izin adalah antara 1.2 juta dan 3.5 juta orang.
Pekerja asing lebih mudah terdedah kepada eksploitasi, terutama buruh paksa. Sekalipun undang-undang di Malaysia telah dikemas kini bagi melindungi semua pekerja, kunci kejayaan biasanya bergantung pada mahkamah, bukan penguatkuasaan.
Kes 48 pekerja yang diketuai oleh Poosai Pandian Gunasekaran tersebut tular dan tiba di pengetahuan ahli politik yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sabai ketika itu, D. Kamache.
Berdasarkan laporan berita dan dokumen mahkamah, pekerja terbabit berjaya melarikan diri dari tapak kerja mereka pada 3 Nov 2018, ekoran ketiadaan pengawal yang pulang bersempena dengan cuti umum Deepavali.
Mereka kemudian dibantu oleh orang awam yang membawa mereka ke sebuah kuil Hindu di Batu Caves, Selangor untuk berlindung sementara dan di situ mereka bertemu Kamache.
Bernama menghubungi bekas ADUN itu serta Poosai beberapa kali bagi mendapatkan kenyataan mereka, namun gagal memperoleh sebarang maklum balas.
Pemegang amanah Kuil Sri Subramaniar Swamy di Batu Caves, Datuk N. Sivakumar, ketika ditemui wartawan Bernama Nina Muslim, baru-baru ini. Kuil di Batu Caves kerap menerima dan melindungi pekerja asing dalam kes buruh paksa. --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA
Datuk N. Sivakumar, pemegang amanah Kuil Sri Subramaniar Swamy di Batu Caves, memberitahu Bernama mereka membantu pekerja terbabit selepas diminta oleh Suruhanjaya Tinggi India, dan menurutnya, pada tahun itu mereka banyak membantu melindungi pekerja migran.
“Mereka dijanjikan sesuatu, justeru mereka datang, tapi lain pula yang berlaku. Janji tidak dikotakan. Setidak-tidaknya bayarlah gaji mereka,” kata beliau.
Suruhanjaya Tinggi India enggan mengulas tentang laporan ini.
Menteri Sumber Manusia pada ketika itu M. Kulasegaran memberitahu Bernama bahawa beliau telah mengarahkan pegawainya melakukan siasatan sebaik sahaja beliau dapat tahu kisah pekerja terbabit melalui Kamache dan media sosial.
“Saya ambil tindakan itu kerana saya nampak ada unsur buruh paksa dalam kes tersebut,” katanya menerusi WhatsApp.
Menurut Indeks Perhambaan Global 2022, sekitar 202,000 orang di Malaysia hidup dalam persekitaran perhambaan moden. Ada masa buruh paksa turut merangkumi pemerdagangan manusia, dan amnya ditakrifkan sebagai “semua bentuk kerja atau perkhidmatan yang dituntut daripada seseorang menerusi ancaman, dan dilakukan oleh individu itu tanpa kerelaannya.”
Antara indikator buruh paksa ialah penipuan, seperti janji upah yang tinggi dan kerja berbeza, ikatan hutang, iaitu pekerja dipaksa berhutang untuk dapatkan kerja serta kecurian gaji, iaitu apabila majikan menahan upah bagi kerja yang dilakukan.
Pada 2021, Parlimen meluluskan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran. Sebelum ini, undang-undang mensyaratkan sekatan fizikal sebagai ciri penentu pemaksaan. Akta semasa memperluas takrifan itu.
Pada tahun berikutnya, Malaysia meratifikasi Protokol 2014 kepada Konvensyen Buruh Paksa 1930, sekali gus menjadi negara ke-58 dunia serta negara ASEAN kedua yang meratifikasi protokol berkenaan.
M. Kulasegaran, bekas Menteri Sumber Manusia dan Ahli Parlimen Ipoh Barat. --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA
HASIL
Mahkamah Buruh mendengar kes 48 pekerja warga India itu pada 19 Dis 2018. Bagaimanapun, semasa prosiding, mereka sendiri yang menyukarkan keadaan mereka.
Kesemua mereka yang sudah menganggur selama sebulan, memberi keterangan bahawa mereka tidak dibayar gaji untuk bulan September dan Oktober. Akan tetapi, mereka juga berkata mahu menarik balik tuntutan dan meluahkan hasrat untuk kembali ke India secepat mungkin.
Peguam yang mewakili majikan, AJN Energy Sdn Bhd, pantas menggunakan peluang itu memohon mahkamah agar menolak petisyen kumpulan pekerja terbabit kerana mereka telah menarik balik tuntutan. Peguam itu juga berkata pekerja terbabit telah melarikan diri, sekali gus melanggar syarat kontrak, justeru tidak layak dibayar gaji.
Mahkamah bagaimanapun memerintahkan agar AJN Energy membayar gaji kesemua pekerja terbabit seperti yang digariskan dalam kontrak, iaitu berjumlah RM95.617.01. Penolong Pengarah Tenaga Kerja Bentong yang mendengar petisyen itu turut mengenakan kadar faedah lapan peratus setahun sebagai penalti sekiranya majikan gagal membayar gaji tersebut.
Majikan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi pada 6 Dis 2019 yang kemudian mengetepikan keputusan Mahkamah Buruh. Dalam penghakimannya, Mahkamah Tinggi memutuskan demikian disebabkan oleh para pekerja terbabit telah menarik balik petisyen mereka, sekali gus tidak ada lagi asas bagi tuntutan itu.
Pada masa itu, kumpulan pekerja terbabit telah meninggalkan Malaysia.
Datuk Seri M. Ramachelvam. --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA
“Biasanya dalam keadaan sedemikian, majikan akan terlepas. Jika tidak ada peguam mewakili pekerja berkenaan, siapa yang mahu layan jika tuntutan perseorangan hanya berjumlah RM2,000 atau RM3,000, dan anda juga tidak ada sumber atau cara untuk meneruskannya,” ujar Datuk Seri M. Ramachelvam yang mewakili pekerja dalam kedua-dua prosiding tersebut.
Peguam yang mewakili Poosai dan serta rakan sekerjanya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan yang kemudian mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi serta mengekalkan perintah terdahulu pada Januari tahun ini.
Mahkamah memutuskan pegawai yang mendengar prosiding di Mahkamah Buruh berhak meneruskan siasatan sekalipun pekerja telah menarik balik tuntutan mereka. Mahkamah Rayuan juga memutuskan majikan bertanggungjawab membayar gaji di bawah Akta Kerja sekalipun tuntutan telah ditarik balik.
“(Mahkamah Rayuan) memutuskan penarikan balik (tuntutan) itu sebagai samar-samar, tidak jelas,” kata Ramachelvam.
“Memang tidak masuk akal kalau saya failkan tuntutan gaji yang tidak dibayar dan kemudian saya kata saya tidak mahu gaji itu. Keadaan ini membuka ruang untuk siasatan lanjut oleh Jabatan Tenaga Kerja,” tambah beliau.
Keseluruhan proses itu mengambil masa, sukar serta menelan belanja yang tinggi.
KOS
Aktivis dan pakar hak pekerja berkata kebanyakan pekerja asing rentan kepada eksploitasi dan kecurian gaji kerana amat sukar untuk mereka memperoleh akses kepada sistem perundangan. Usaha memperjuangkan hak mereka selalunya mengambil masa serta memerlukan kos yang bukan sedikit.
Segelintir mereka yang bernasib baik biasanya dibantu secara pro bono (percuma) oleh badan bukan kerajaan seperti Our Journey dan Tenaganita.
Pengasas dan Pengarah Our Journey Sumitha Shaanthinni Kishna memberitahu Bernama bahawa jaminan bantuan guaman itu amat penting dalam menjaga hak pekerja.
“Tidak ramai yang mampu membawa kes mereka ke mahkamah. Dari mana nak dapatkan wang? Kalau ke mahkamah sekalipun, kena tunggu. Semua ini adalah satu proses yang panjang,” katanya.
Bukan setakat mahal, boleh dikatakan mustahil untuk pekerja asing ini tinggal di Malaysia bagi menyelesaikan pertikaian mereka dengan majikan atau menunggu perkembangan proses undang-undang yang diambil mereka.
Mereka boleh tinggal di Malaysia jika ada Pas Khas daripada Jabatan Imigresen yang dikenakan caj RM100 untuk sebulan. Akan tetapi, pas itu hanya boleh diperbaharui maksimum tiga bulan. Mereka yang memegang pas ini tidak dibenarkan bekerja, dan selalunya desakan hidup membuatkan pekerja asing terbabit pasrah dan rela berputih mata.
Itupun jika pekerja terbabit tahu akan hak mereka dan sedia membuat tuntutan rasmi. Kalaupun mereka berbuat demikian, mereka lebih rela menyelesaikan kes itu secara senyap-senyap dengan majikan, berbanding melalui sistem mahkamah seperti yang dinyatakan dalam laporan Majlis Peguam Malaysia tentang akses pekerja migran kepada keadilan yang dikeluarkan pada 2019.
Malaysia memerlukan pekerja asing untuk kerja yang dikategorikan 3D (bahaya, kotor, sukar). Gambar hiasan. --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA
Aktivis hak pekerja menggesa agar tenaga kerja asing yang mempunyai pertikaian dengan majikan di mahkamah dibenarkan bekerja maksimum selama tiga tahun atau sehingga kes mereka selesai. Turut disyorkan setiap pekerja menjalani orientasi sebelum berlepas dan juga setelah tiba di sini, agar mereka tahu tentang hak mereka serta cara mendapatkan bantuan. Aktivis turut mencadangkan akses bantuan guaman dipermudahkan bagi semua pekerja.
Dalam kes Poosai dan rakan-rakan sekerjanya, peguam mereka memberitahu Bernama tidak ada ruang untuk syarikat itu mengelak daripada membayar gaji yang dituntut.
“Mereka belum bayar. Kami telah ke Mahkamah Buruh semula untuk daftarkan perintah dengan Mahkamah Majistret. Selepas perintah itu didaftar, kami boleh ambil tindakan penguatkuasaan,” kata Ramachelvam, menambah mereka akan terus berusaha sehingga kesemua pekerja terbabit menerima gaji masing-masing.
AJN Energy enggan mengulas semasa dihubungi Bernama.
Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat, berkata amat penting bagi Malaysia mengambil pendirian tegas berhubung kes buruh paksa kerana isu itu mempunyai kesan antarabangsa.
Pada 2021, sejumlah 4.68 juta sarung tangan getah bernilai RM2.85 juta yang dikeluarkan oleh subsidiari Top Glove Corporation Berhad, disita oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) semasa dalam penghantaran ke Kansas City. Dalam kenyataannya, CBP berkata ia menerima laporan bahawa sarung tangan terbabit dibuat menggunakan buruh paksa.
“Hal ini seolah-olah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Pendek kata, kita rugi besar,” kata Kulasegaran.
(Laporan ini dihasilkan dengan bantuan Thomson Reuters Foundation)