Lima Dekad Penubuhan, JAWI Terus Mantap Fungsi Dan Operasi

B
ermula dengan nama Urusetia Majlis sebelum ditukar nama kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), tempoh hampir lima dekad menyaksikan pengukuhan peranannya sebagai peneraju pengurusan hal ehwal Islam di bawah pentadbirannya.

Sambutan Jubli Emas JAWI pada 1 Februari 2024 pastinya juga mengimbau pelbagai kejayaan serta cabaran yang dihadapi dalam mentadbir ketiga-tiga cawangannya, bermula dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, diikuti Cawangan Labuan (16 April 1984) dan Cawangan Putrajaya (1 Ogos 2001).

Pendekatan konsep Khaira Ummah atau kesejahteraan ummah yang dijadikan slogan rasmi institusi ini sempena Jubli Emas depan bukan sahaja mendambakan sebuah masyarakat yang mencapai kemajuan daripada aspek fizikal dan kebendaan semata-mata, sebaliknya harus dipandu dengan akhlak dan nurani selaras dengan membangunkan Malaysia Madani.

Penyebaran agama Islam pada masa kini juga ternyata semakin mudah dengan perkembangan teknologi yang membolehkan maklumat disampaikan melalui pelbagai platform termasuk di media sosial.

Biarpun demikian, ledakan maklumat dalam era dunia tanpa sempadan ini dibimbangi dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menggunakan medium berkenaan untuk menyebarkan ajaran yang bertentangan dengan akidah umat Islam.

Ini kerana, platform itu tidak hanya digunakan untuk meluaskan pengaruh dan ajaran sesat mereka, namun ada juga yang berniat jahat menyebar informasi mengelirukan, sekali gus memberi cabaran hebat kepada institusi agama di negara ini termasuk JAWI.

Menyedari ancaman baharu itu, JAWI juga tidak ketinggalan memanfaatkan sepenuhnya platform media sosial bagi menangkis penyebaran ajaran yang bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah serta menjadikannya sebagai medan dakwah yang berkesan kepada masyarakat, sesuai dengan perubahan zaman.

“JAWI sebagai agensi pengurusan hal ehwal Islam turut mengambil bahagian dalam platform media sosial melalui kandungan kreatif seperti poster, infografik dan video pendek di Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube termasuklah menubuhkan Radio JAWI dan Jamek FM.

“Selain itu, JAWI juga manfaatkan platform TikTok dengan kandungan ilmu dan pendekatan dakwah yang lebih santai agar mesej dakwah dapat disampaikan bagi mengimbangi lambakan pelbagai jenis kandungan sedia ada,” Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail memberitahu Bernama dalam satu wawancara eksklusif baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, di sebalik pelbagai langkah yang diambil, JAWI sentiasa memantau penyebaran ajaran yang bertentangan dengan syariat dan akidah Islam dengan merangka Pelan Tindakan Menangani Isu Akidah di media sosial.’

Menerusi pelan berkenaan, JAWI bertindak memberi kefahaman jelas kepada masyarakat sekali gus mengurangkan penyebaran isu-isu yang boleh mengancam akidah umat Islam.

Beliau berkata, sepanjang tempoh penubuhan JAWI, banyak kejayaan yang amat signifikan dicapai, antaranya membanteras penyebaran ajaran sesat seperti Millah Abraham yang difatwakan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam.

JAWI yang juga pelaksana kepada dasar yang diputuskan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), kata beliau, percaya platform di media sosial wajar dimanfaatkan sepenuhnya dan segala inisiatif mahupun penambahbaikan yang dilaksana akan mengambil kira dasar pendigitalan kerajaan dan tata kelola yang baik dalam aspek penyampaian supaya tidak ketinggalan berbanding agensi lain.

 

KEJAYAAN JAWI

Hakikatnya, JAWI yang bernaung di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam melaksanakan peranannya sebagai agensi pentadbiran dan peneraju pengurusan hal ehwal Islam di ketiga-tiga wilayah persekutuan.

Kerencaman cabaran ini menuntut kematangan institusi agama berkenaan termasuklah ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19 yang turut dianggap antara cabaran terbesar sepanjang 50 tahun penubuhannya.

Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail.

Mohd Ajib yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam hal ehwal Islam di negara ini berkata, antara kesukaran yang dihadapi ketika itu (pandemik) adalah menetapkan keputusan berkaitan dengan solat Jumaat.

“Keputusan yang diambil adalah tiada solat fardu Jumaat dalam tempoh tertentu disebabkan dua faktor iaitu keuzuran umum dan bilangan jemaah kurang daripada 40 orang.

“Bukan itu sahaja, kita juga menguruskan jenazah mereka yang meninggal dunia akibat COVID-19 selain menyampaikan beberapa bentuk sumbangan makanan ketika negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Malah, JAWI juga, katanya menjadi rujukan ketika berhadapan dengan beberapa tragedi besar yang mengemparkan negara seperti kebakaran Maahad Tahfiz Ittifaqiyah di Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada 14 September 2017 yang mengorbankan 21 pelajar dan dua guru.

JAWI yang mengetuai kumpulan pengurusan jenazah mangsa menguruskan 23 jenazah dalam masa tiga jam 15 minit. Purata masa untuk menguruskan seorang jenazah hanya mengambil masa lebih kurang lapan minit dan semua selamat dikebumikan sebelum pukul 10 malam di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

Tidak sekadar itu, pelbagai lagi kejayaan lain dilakar jabatan agama ini sepanjang tempoh kewujudannya termasuklah membangunkan Kompleks Darul Hidayah yang dibina MAIWP dengan menyediakan pelindungan sementara serta pusat bimbingan dan pendidikan mualaf yang beroperasi pada 2017. 

Bagi memastikan kesucian al-Quran terpelihara, JAWI juga menubuhkan Darul Kalam iaitu sebuah pusat yang menyediakan perkhidmatan untuk melupuskan  teks atau bahan Al-Quran yang rosak berlandaskan panduan syarak.

JAWI turut membangunkan tujuh buah Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah (TPIRS), berkonsepkan kubur dalam taman serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan mesra pengguna serta sistem carian lot kubur secara dalam talian yang dikenali sebagai e-pusara.

Tidak terhenti di situ, kata beliau, bagi menyantuni kebajikan masyarakat dalam mendekati dan memahami denyut nadi rakyat, JAWI Food Bank merupakan antara inisiatif terbaharu yang diperkenalkan selain program ‘Street Raya’ yang menuntut keterlibatan agensi serta institusi agama turun padang bagi menterjemahkan mesej ajaran Islam yang inklusif.

 

PERANCANGAN JAWI

Menurut Mohd Ajib, seiring dengan moto JAWI untuk ‘Sentiasa Dicontohi’, kakitangan JAWI harus sentiasa berinisiatif dalam membawa perubahan ke arah yang lebih baik dengan menekuni dan melazimi usaha dalam  meremajakan, memastikan kepantasan, kualiti dan integriti bagi memastikan kelangsungan kemaslahatan masyarakat dapat dipelihara.

Berhasrat untuk melihat jabatan kerajaan ini terus kukuh dan setanding dengan swasta, beliau berkata satu Pelan Strategik JAWI 2021-2025 dirangka meliputi tujuh teras iaitu dakwah, pendidikan, tadbir urus masjid dan surau, penguatkuasaan undang-undang syariah dan kekeluargaan Islam, penyelidikan serta pengurusan organisasi dan pembangunan fizikal.

Petugas JAWI menguruskan jenazah mereka yang meninggal dunia akibat COVID-19.

Malah, pelan itu turut dinilai dari semasa ke semasa turut disesuaikan juga dengan dasar dan agenda kerajaan seperti gagasan Malaysia Madani serta Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama menuju Malaysia Madani (Al-Falah).

Selain itu, pemantapan fungsi dan nilai institusi masjid sebagai pusat pengajian ilmu, pengagihan dana kebajikan, pusat penyatuan ummah terus menjadi keutamaan JAWI sejajar dengan visinya sebagai peneraju pengurusan hal ehwal Islam secara komprehensif ke arah kesejahteraan ummah.

Usaha tersebut setakat ini melibatkan sebanyak 92 buah masjid, 610 surau dan 138 surau Jumaat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan termasuk lima buah Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi (SIRAJ), 71 buah sekolah rendah agama (SRA) dan 125 kelas al-Quran dan fardu ain.

“Dalam menyantuni lebih ramai masyarakat termasuk golongan rentan atau marginal seperti gelandangan, Orang Kurang Upaya (OKU) dan komuniti yang terlibat dalam isu sosial, antara yang dilakukan JAWI adalah menyediakan ‘Ilaj Home di Seputeh yang bakal beroperasi dalam masa terdekat sebagai pusat perlindungan dan kebajikan berlandaskan rawatan Islam untuk Orang Yang Hidup Dengan HIV/AIDS (ODHA).

“Kami juga dalam perancangan membangunkan Darul Kalam 2 serta pusat penerangan Islam di tengah-tengah bandar raya selain agenda memperkasakan SIRAJ bagi melahirkan lebih ramai murid yang cemerlang dunia dan akhirat,” katanya.

 

JAWI DULU DAN KINI

Komitmen jitu JAWI dalam memperkasakan hal ehwal Islam secara efisien termasuk menyuntik pembaharuan dalam pendekatan perkhidmatan dan informasi kepada umat Islam di Wilayah Persekutuan turut menarik perhatian alumni kakitangan jabatan berkenaan. 

Antaranya adalah Datuk Abd Aziz Che Yacob, yang pernah berkhidmat selama 18 tahun dari  Disember 1984 hingga November 1998 dan kemudiannya kembali ke JAWI pada tahun 2000 hingga tahun 2005.

Menurut beliau, JAWI kini banyak mengecapi pelbagai perubahan ketara berbanding ketika beliau berkhidmat dengan jabatan itu. 

Datuk Abd Aziz Che Yacob (kanan) bersama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Paradigma itu yang sejajar dengan kematangannya menginjak ke usia 50 tahun, bagaimanapun dilihat Abd Aziz tidak tersasar daripada matlamat JAWI dalam membentuk masyarakat Islam yang seimbang rohani, jasmani, akal dan emosi berlandaskan al-Quran dan sunnah biarpun berhadapan pelbagai cabaran. 

“Sewaktu mula berkhidmat di JAWI sekitar 80-an, semua tugasan dilakukan secara manual iaitu bersemuka dengan masyarakat yang hadir ke jabatan, turun ke lapangan untuk pelbagai progam dan aktiviti seperti kelas pengajian, kursus, seminar, aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong dan aktiviti lain. 

“Namun, sejajar dengan perubahan zaman, JAWI juga tidak ketinggalan mengadaptasikan teknologi dan saya berharap jabatan agama ini akan terus berada di hadapan dalam menyantuni, membimbing dan menangani isu umat menerusi teknologi dengan memaksimumkan penggunaan semua saluran media sosial,” katanya. 

Menggalas tanggungjawab sebagai pendaftar perkahwinan, perceraian dan rujuk kali terakhirnya di JAWI, beliau berkata, masalah kekurangan pegawai dan peruntukan kewangan kecil yang diberikan kepada JAWI semasa awal perkhidmatannya adalah cabaran besar buat jabatan berkenaan. 

Namun, isu itu dapat diatasi dengan baik menerusi penstrukturan semula organisasi selain peruntukan lebih besar diberikan bagi mengukuhkan lagi peranan mereka dalam menguruskan pentadbiran Islam di Wilayah Persekutuan. 

Jawatan terakhir Abd Aziz adalah sebagai Pegawai Agama Istana Negara dari tahun 2009 hingga 2020, berkhidmat dengan empat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) termasuk YDPA ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebelum beliau bersara pada 22 Julai 2020.

Menurut beliau, YDPA adalah ketua agama bagi negeri yang tidak beraja termasuk wilayah persekutuan dan JAWI merupakan salah satu agensi pelaksana bagi urusan hal ehwal Islam di wilayah persekutuan.

“Maka amat penting JAWI menjalin hubungan baik dengan pihak istana dalam usaha menegakkan syiar Islam dengan penglibatan secara langsung dalam menguruskan program keagamaan, urusan pelantikan dan pentauliahan para pegawai serta keberangkatan YDPA menunaikan solat Jumaat, solat Aidilfitri, solat Aidiladha dan merasmikan masjid di wilayah persekutuan.

 

SASARAN GOLONGAN MUDA

Ketika ditanya apakah sumbangan paling signifikan JAWI dalam memperkasakan agama Islam untuk kesejahteraan ummah, beliau merujuk kepada keberkesanan JAWI dalam mengukuhkan institusi keluarga dengan melahirkan generasi yang tidak mudah rentan berhadapan pelbagai cabaran ibu kota. 

Ini dilakukan menerusi rantaian kerjasama bersepadu dengan pelbagai agensi dan jabatan lain sebagai rakan strategik dalam membentuk akhlak, nilai dan norma mulia umat Islam di wilayah persekutuan dengan menjadikan Islam sebagai panduan kehidupan harian. 

Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail (kiri) ketika membuat tinjauan di Pusat Sehenti Sementara Pusara Wilayah Persekutuan.

“JAWI ketika itu memperkenalkan program pembinaan keluarga bahagia dan masyarakat sejahtera selain menggerakkan usaha mengurus ekonomi umat melalui ibadat zakat yang lebih efektif,” katanya. 

Perkembangan positif jabatan ini dalam mengorak langkah, bagaimanapun tidak boleh menjadikannya selesa dengan pencapaian lepas, tetapi perlu bergerak lebih pantas lagi dalam memperkasakan keseinambungan mengangkat syiar Islam dan penyatuan ummah. 

Kerana itu, katanya, pendekatan terbaik menyasarkan generasi muda sebagai penyambung perjuangan dalam memartabatkan agama perlu dilakukan JAWI dengan memperbanyakkan program Islam melibatkan golongan itu.

Beliau turut mencadangkan agar program dakwah JAWI dipertingkat dengan penglibatan lebih menyeluruh daripada semua golongan masyarakat, merangkumi pelbagai kumpulan profesional sebagai pendakwah dan tidak seperti tradisinya, hanya dalam kalangan para asatizah.

“Saya juga melihat akan kepentingan JAWI untuk terus membina dan menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai agensi, jabatan, pertubuhan dan rakan media dalam satu pasukan bagi mencapai visi dan misi serta memberi impak lebih besar kepada masyarakat,” katanya. 

Bersempena sambutan jubli emas nanti, beliau mengharapkan JAWI akan terus melangkah gagah dalam mendepani pelbagai isu dan masalah umat yang semakin kompleks. 

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.