BERITA COVID–19   Kuarters pekerja lombong Sungai Batu, Raub dikenakan PKPD bermula Jumaat | COVID-19: Guru, wanita hamil kes indeks kluster baharu di Sabah | Terbuka Singapura: Kejohanan kelayakan terakhir badminton ke Tokyo dibatalkan | PKP perlu dilaksana meskipun tidak popular - Muhyiddin | Malaysia berdepan gelombang ketiga lebih mencabar - PM Muhyiddin | 
DUNIA

Pemimpin China, Perancis, Jerman adakan sidang kemuncak

17/04/2021 04:54 PM

BEIJING, 17 April -- Presiden China, Xi Jinping pada Jumaat menyertai sidang kemuncak bersama secara maya dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Canselor Jerman, Angela Merkel.

Antara agenda yang dibincangkan pemimpin berkenaan mengenai perubahan iklim, hubungan China-Eropah, kerjasama memerangi wabak COVID-19 serta isu penting antarabangsa dan serantau.

Presiden Xi mengulangi komitmen China untuk mencapai puncak pelepasan karbon dioksida sebelum 2030 dan status neutral karbon menjelang 2060.

Bermakna China selaku negara membangun, bakal merealisasikan pengurangan pelepasan karbon dengan tahap paling tinggi di dunia, selain mengambil masa paling cepat untuk mencapai matlamat neutral karbon dalam sejarah.

Beliau berkata, China akan memperluas keterbukaan dan menyediakan iklim perniagaan yang sama rata, adil dan tanpa diskriminasi kepada perusahaan asing termasuk Perancis dan Jerman. 

Justeru itu, Eropah diharap memberi layanan yang sama dan positif kepada syarikat China.

Beliau turut mengetengahkan pendirian China menentang “nasionalisme vaksin”, di samping menyuarakan kesediaan untuk bekerjasma dengan masyarakat antarabangsa bagi membantu negara membangun memperoleh vaksin COVID-19.

Macron pula menyambut baik  komitmen China dalam mewujudkan neutral karbon menjelang 2060, yang dianggap memperlihatkan daya usaha Beijing untuk menggalas tanggungjawab penting.

Tambah beliau, vaksin tidak sepatutnya dijadikan alat untuk kuasa besar bersaing dan  Perancis bersedia memperkasakan kerjasama dengan China bagi menjamin keadilan dalam pengagihan vaksin COVID-19.

Canselor Jerman, Angela Merkel pula berkata, amat penting bagi ketiga-tiga negara memperkasakan sinergi dalam menangani perubahan iklim.

Selain itu, Jerman mahu memperkukuh kerjasama ekonomi dan perdagangan  saling menguntungkan dengan China, sambil mempertingkat komunikasi dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi digital dan keselamatan siber.

Pemimpin ketiga-tiga negara juga sependapat mengenai peri mustahaknya menjunjung multilateralisme dan melaksanakan Perjanjian Paris secara menyeluruh ke arah membentuk sistem tadbir urus iklim global yang adil, munasabah dan saling menguntungkan.

-- Bernama

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan