BERITA COVID–19   COVID-19: Guru, wanita hamil kes indeks kluster baharu di Sabah | Terbuka Singapura: Kejohanan kelayakan terakhir badminton ke Tokyo dibatalkan | PKP perlu dilaksana meskipun tidak popular - Muhyiddin | Malaysia berdepan gelombang ketiga lebih mencabar - PM Muhyiddin | COVID: Malaysia catat kematian tertinggi 39 kes hari ini - KP Kesihatan | 
DUNIA

COVID: Thailand dalam proses tambah permerolehan vaksin

17/04/2021 10:33 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 17 April -- Thailand kini dalam proses memperoleh lebih banyak vaksin COVID-19 setelah negara itu berdepan dengan gelombang ketiga penularan virus tersebut.

Timbalan jurucakap Kementerian Luar Natapanu Nopakun berkata pihak berkuasa merancang untuk memperoleh vaksin COVID-19 dari Amerika Syarikat dan Rusia setelah negara itu menyasar untuk menyuntik 50 peratus penduduknya pada akhir tahun ini.

"Kementerian Luar Thailand sedang dalam proses penyelarasan dengan pihak berkuasa Rusia dalam usaha mendapatkan Sputnik V," katanya pada taklimat COVID-19 di sini hari ini.

Sebanyak 605,259 dos vaksin Sinovac dan AstraZeneca telah diberikan di negara itu dengan sebahagian besar kepada petugas barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi, sejak program vaksinasi bermula pada 28 Feb.

Sementara itu, pemangku Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) untuk bahaya kesihatan kecemasan dan kawalan penyakit Dr Chawetsan Namwat berkata Thailand akan memulakan vaksinasi besar-besarannya pada Jun.

Beliau berkata vaksin AstraZeneca yang dihasilkan dalam negara dijangka tersedia pada Jun dengan enam juta dos ditetapkan untuk dilancarkan pada Jun diikuti dengan 10 juta dos lagi pada Julai.

Sementara itu, pengeluar biofarmaseutikal Thailand, Siam Bioscience Co Ltd semalam mengatakan bahawa kemajuan pemindahan teknologi dan pengeluaran vaksin AstraZeneca mengikut jadual.

Dalam satu kenyataan, firma itu mengatakan sampel daripada kumpulan ujian telah dihantar untuk ujian kualiti di makmal AstraZeneca yang ditetapkan di Eropah dan Amerika Syarikat.

"Hasil awal pengujian kualiti memenuhi standard global yang ditetapkan oleh AstraZeneca.

"AstraZeneca akan menyerahkan vaksin itu kepada kerajaan Thailand seperti yang dijadualkan pada Jun ini mengikut perjanjian pembelian dua hala antara AstraZeneca dan kerajaan Thailand, tanpa sebarang penglibatan Siam Bioscience dalam proses pemerolehan vaksin kerajaan," katanya.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan