BERITA PRU15   PH tidak letak syarat bentuk kerajaan negeri - Wan Rosdy | PRU15 Padang Serai: Calon BN teruskan kempen | DUN Tioman: Masyarakat Orang Asli harap masalah air diselesaikan | DUN Tioman: Calon BN bertemu calon PH, bincang strategi kempen | Calon PN Padang Serai beri keterangan kepada polis berhubung kenyataan ‘kerajaan zina’ | 
DUNIA

Syarikat, diaspora Malaysia sumbang RM228,000 kepada mangsa gempa bumi Cianjur

25/11/2022 07:02 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 25 Nov (Bernama) -- Kedutaan Malaysia menyalurkan sumbangan RM228,000 untuk bantuan bencana dan kemanusiaan di daerah Cianjur wilayah Jawa Barat yang dilanda gempa bumi.

Bekalan makanan dan perubatan disumbang syarikat Malaysia, PT Minamas Plantation (Sime Darby) dan PT Errita Pharma (Pharmaniaga), masing-masing bernilai RM134,000 dan RM89,400.

Sumbangan wang tunai RM4,300 diterima daripada Malaysia Club Jakarta yang dianggotai diaspora Malaysia di Jakarta, kata Kuasa Usaha Sementara kedutaan di Jakarta, Adlan Mohd Shaffieq.

Dalam satu kenyataan, Adlan berkata beliau dan delegasi pada Jumaat meninjau kawasan terjejas dan menyerahkan wang tunai serta barang keperluan kepada Pejabat Daerah Cianjur.

Adlan turut diundang Gabenor Jawa Barat Ridwan Kamil untuk menghadiri mesyuarat penyelarasan pengurusan bencana yang dipengerusikan gubernur itu.

Semasa melakukan kunjungan hormat ke atas Ridwan Kamil di Bandung pada Khamis, Adlan berkata kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

“Kami bersolidariti dengan rakyat Indonesia dan komited untuk memberikan bantuan segera yang diperlukan untuk mangsa,” katanya.

Sekurang-kurangnya 272 maut dan 39 masih hilang dalam kejadian gempa bumi bermagnitud 5.6 di daratan pergunungan Cianjur yang merosakkan bangunan, rumah serta menyebabkan tanah runtuh.

Terdapat 59 kanak-kanak terkorban, kebanyakan pelajar sekolah yang dalam sesi pembelajaran ketika gempa bumi melanda.

Agensi meteorologi, klimatologi dan geofizik (BMKG) Indonesia merekodkan 236 gegaran susulan selepas gempa bumi pada Isnin dan yang terbaharu bermagnitud 4.1 pada 1.44 pagi tadi waktu tempatan.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan