DUNIA

SARAWAK AKTIF PROMOSIKAN WCIT|IDECS 2023 MELALUI JERAYAWARA

12/09/2023 02:20 PM

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 12 Sept (Bernama) – Kerajaan negeri Sarawak sedang giat mempromosikan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) keenam dan Kongres Dunia Inovasi dan Teknologi (WCIT) ke-27.

Ia adalah sebahagian daripada usaha berterusannya untuk membina momentum serta menjana minat, penyertaan dan sokongan bagi WCIT|IDECS 2023 yang akan diadakan selama tiga hari bermula 4 Okt 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.

“Kami mempunyai rancangan untuk mengadakan jerayawara di Kuala Lumpur. Jika berpeluang, kami akan ke Sabah dan Brunei,” kata timbalan pengerusi bersama WCIT|IDECS 2023 Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghami kepada Bernama di luar acara jerayawara pertama yang diadakan di sini baru-baru ini.

 WCIT|IDECS 2023 bersedia untuk menghimpunkan lebih 10,000 pakar, peneraju industri, penggubal dasar dan usahawan dari seluruh dunia, untuk meneroka pelbagai dimensi ekonomi digital dan kesan transformasinya terhadap sektor, model perniagaan, kejiranan, dan negara.

Ia akan menggalakkan perdebatan yang merangsang dan menawarkan peluang, kemungkinan pelaburan, pandangan kawal selia dan kisah kejayaan yang membentuk semula landskap digital Asia.

Selain itu, ia bertujuan untuk menggalakkan kerjasama rentas sempadan, perkongsian maklumat dan idea tentang isu penting termasuk kecerdasan buatan (AI), kemampanan, 5G, sistem autonomi, kepelbagaian & keterangkuman, bandar pintar, dasar ICT antarabangsa dan teknologi angkasa.

Ia akan menampilkan program dan acara komprehensif yang terdiri daripada persidangan, pameran, kelas Bandar Pintar, Kampung Startup, Persidangan Meja Bulat Pemimpin Global, sesi padanan perniagaan dan malam anugerah makan malam gala.

Tema yang ditetapkan ialah "Fulfilling the Promise of the Digital Age: Innovation and Technology Driving Economic Prosperity, Social Inclusivity & Environmental Sustainability” dan “Advancing Digital Economy for Sustainable Development”.

Penceramah utama Kongres termasuk Futurist dan Ketua Pegawai Eksekutif Tomorrow, Mike Walsh; pakar robot dan profesor dari Universiti Osaka, Profesor Hiroshi Ishiguro termasuk Pengasas Timeless, Emma Yang; dan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Mogul, Tiffany Pham.

“Sarawak terhubung dengan dunia melalui Singapura dan Malaysia barat sebagai gerbang utama. Dengan lokasinya yang strategik, ia muncul sebagai hab pelaburan yang sangat menguntungkan, secara progresif beralih daripada ekonomi berasaskan komoditi tradisional kepada ekonomi berasaskan teknologi yang mampan,” kata Mohamad Morshidi.

Menjelang pertengahan Ogos, Mohammad Murshidi berkata kerajaan negeri menerima maklum balas positif apabila kehadiran mencecah sekitar 5,000 orang.

WCIT|IDECS 2023 akan membolehkan Sarawak dan rantau ini mempercepatkan pembangunan mampan dan kemakmuran ekonomi bagi perniagaan dan komuniti di seluruh rantau ini.

Ia adalah untuk memudahkan kerjasama antarabangsa, pengetahuan dan pandangan mengenai topik utama seperti kecerdasan buatan (AI), kemampanan, 5G, sistem autonomi, kepelbagaian & keterangkuman, bandar pintar, infrastruktur ICT global dan teknologi angkasa.

Organisasi global terkemuka seperti Huawei, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), TVS, Sarawak Energy Bhd, Digital Nasional Bhd, NEC dan Whale Cloud telah mendaftar sebagai penaja utama.

Sementara itu, Business Events Sarawak, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dan Maxis Bhd, antara lain, menyokong WCIT|IDECS 2023 sebagai rakan kongsi utama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan