DUNIA > BERITA

KES AUDREY FANG: PENYIASAT TEMUKAN BUKTI DALAM BILIK HOTEL SUSPEK

20/04/2024 01:11 AM

SINGAPURA, 19 April (Bernama) -- Agensi penguatkuasaan undang-undang Sepanyol telah mendapat bukti berkaitan kes pembunuhan seorang wanita warga Singapura berusia 39 tahun, Audrey Fang Dirou semasa menggeledah bilik hotel teman senegara berusia 43 tahun.

Pasukan “Civil Guard” dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata ia berjaya mengesan dan memberkas lelaki Singapura itu pada 16 April menggunakan imej daripada kamera pemantauan, menunjukkan Fang diambil dengan sebuah kenderaan di luar hotel penginapannya pada hari sebelum kematiannya.

“Walaupun imej gelap tidak memberikan maklumat tepat seperti nombor pendaftaran kenderaan, Civil Guard berjaya mengenal pasti jenama dan model kenderaan itu selepas menganalisis saiz dan bentuk lampu depan dan belakangnya.  

Inilah bagaimana mereka (penyiasat) berupaya untuk mengikuti jejak mereka, mengesan laluan pergi balik kereta itu. Permulaannya adalah sebuah tempat parkir di sebuah hotel di  Alicante, dari mana lelaki itu pergi ke hotel penginapan mangsa di Jávea dan kemudian ke kawasan perbandaran Abanilla,” kata Civil Guard yang merupakan sebuah daripada dua pasukan polis di Sepanyol. 

Agensi penguatkuasaan itu berkata sebaik sahaja kenderaan dan hotel terbabit dikenal pasti, mekanisme pemantauan diwujudkan sehingga suspek ditangkap. 

Mangsa yang tiba di Sepanyol bersendirian untuk bercuti, mendaftar masuk di sebuah hotel di Pekan Jávea dalam Wilayah Alicante, Valencia pada 4 April dan dijadualkan mendaftar keluar pada 10 April. 

Menurut beberapa laporan media, mangsa bercakap buat kali terakhir dengan keluarganya pada 9 April dan kamera litar tertutup mendapati dia berjalan keluar dari hotel pukul 8.45 malam hari sama.  

Sementara itu, Olive Press Sepanyol hari ini melaporkan suspek telah dibawa ke mahkamah di Cieza, Murcia pada Jumaat yang mana peguam keluarga mangsa Manuel Martinez meminta warga Singapura itu yang tidak dinamakan di hantar ke penjara dahulu sebelum perbicaraan.

Abang Fang dan dua lagi saudara-maranya turut hadir pada pendengaran kes itu.

Keluarga Fang menghubungi Kementerian Luar (MFA) pada 11 April selepas mereka tidak dapat menghubunginya dan membuat laporan polis sehari kemudian selepas dia tidak tiba di Singapura seperti dijadualkan.  

Tubuh mangsa dengan pelbagai kesan tikaman ditemukan pada 10 April di sebuah kawasan berhampiran tempat parkir sebuah restoran di kawasan perbandaran Abanilla di Wilayah Murcia, kira-kira 150 kilometer dari hotel penginapannya.

Pihak berkuasa pada awalnya tidak dapat mengenal pasti identiti Fang kerana tiada dokumen ditemukan pada mayat.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan