DUNIA > BERITA

TINGKATKAN HUBUNGAN MALAYSIA-CHINA: SISWAZAH SERLAH PELUANG DALAM PERNIAGAAN, BUDAYA, TEKNOLOGI

23/04/2024 05:27 PM

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Malaysia dan China telah memupuk hubungan yang kukuh sejak menjalin hubungan diplomatik 50 tahun lepas. Hubungan ini terus berkembang di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jiang Chengao, pelajar kursus pengajian siswazah dari China yang sedang menuntut di Universiti Malaya (UM), mengetengahkan perkembangan pelbagai aspek hubungan antara China dan Malaysia. 

Beliau melahirkan keyakinan untuk meneruskan kesinambungan itu.

"Di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, terdapat banyak perkembangan bermanfaat bagi kedua-dua negara kita," kata Jiang.

Menekankan kepentingan pasaran Asia Tenggara bagi China, Jiang berkata kedudukan strategik Malaysia sebagai destinasi ideal bagi pelaburan China. 

"Malaysia menawarkan peluang kewangan dan perniagaan yang cerah kepada perusahaan China untuk bekerjasama dengan rakan sejawatan tempatan," katanya.

Di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang berterusan antara China dan negara Barat, Jiang berkata Malaysia menyediakan persekitaran yang kondusif bagi perniagaan China untuk bekerjasama dengan syarikat tempatan, memudahkan pengeluaran jenama Malaysia yang berkualiti tinggi. 

"Kerjasama perniagaan ke perniagaan (B2B) ini saling menguntungkan. Walaupun saiz pasaran di Malaysia mungkin lebih kecil, usaha bersama dapat meningkatkan pertumbuhan perniagaan Malaysia dengan ketara," jelas Jiang kepada Bernama.

Membincangkan interaksi budaya, pelajar media tahun akhir ini juga menekankan pentingnya memahami dan menghargai budaya masing-masing.

"Lebih banyak interaksi antara rakyat China dan Malaysia boleh merapatkan jurang budaya dan memupuk persefahaman. Sesetengah warga China mempunyai pandangan lapuk terhadap Malaysia, menganggap ia kurang maju. 

“Sebaliknya, sesetengah rakyat Malaysia menganggap China masih terperangkap dengan masa lalu atau berfikiran lama. Persepsi ini sudah ketinggalan zaman, kedua-dua negara telah berkembang dengan ketara,” katanya.

Apabila ditanya mengenai keputusannya untuk belajar di Malaysia, respons Jiang adalah mudah, tarikan makanan.

"Saya suka makanan tempatan di sini," katanya. 

Walaupun menghadapi cabaran akibat pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kesukaan Jiang terhadap masakan Malaysia tetap tidak luntur. 

"Semasa PKP, mereka menghantar makanan percuma ke bilik saya. Saya sangat merindui hidangan tempatan sehinggakan 'mi goreng' adalah makanan pertama yang saya makan apabila pulang ke Malaysia," kongsinya.

Mengimbau kembali lawatan pertamanya ke Malaysia pada 2014 bersama keluarganya, Jiang terpikat dengan kemesraan penduduk di sini. 

"Walaupun ibu bapa saya mencadangkan belajar di Thailand kerana lebih banyak unsur hiburan, Malaysia lebih tenang bagi saya. Penduduk di sini menjalani kehidupan yang mudah dan santai, memberi tumpuan kepada kerja dan keluarga," katanya.

Shaoheng Li, yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini berkongsi pengalaman positifnya tinggal dan belajar di Malaysia dengan Bernama. 

Setelah menetap lebih dua tahun di negara ini, Shaoheng menyatakan kekagumannya terhadap rakyat negara ini yang ramah, persekitaran yang mendamaikan dan pengalaman budaya yang kaya, ditawarkan oleh Malaysia.

Satu daripada aspek yang amat dihargai oleh Shaoheng tentang Malaysia ialah keramahan rakyat di negara ini. 

"Keramahan rakyat Malaysia benar-benar menyentuh hati. Sama ada pemandu bas yang memberikan senyuman semasa berulang-alik setiap hari atau mudah untuk berkawan, Malaysia terasa seperti rumah kedua," katanya.

Shaoheng turut menekankan suasana akademik yang santai di Malaysia, tidak terlalu tertekan berbanding tanah airnya.

Dia optimis untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana di Malaysia, diilhamkan oleh abangnya yang kini sedang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pengalaman budaya dan juadah yang pelbagai di Malaysia telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada Shaoheng. 

"Mengunjungi lokasi menarik seperti Pulau Pinang sangat menggembirakan dengan budaya yang meriah, seni yang menawan dan pelbagai masakan tempatan yang lazat," katanya.

Berasal dari wilayah Hunan, China, yang tidak mempunyai laut, Shaoheng melahirkan penghargaan terhadap keindahan pantai Malaysia. 

"Dikelilingi laut, pukulan ombak dan desiran angin amat menenangkan, telah menjadi perubahan yang menyegarkan bagi saya," katanya.

Menyentuh mengenai ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China, Shaoheng menekankan potensi untuk mengukuhkan hubungan melalui pelancongan. 

Beliau percaya peningkatan perjalanan antara kedua-dua negara bukan sahaja akan meningkatkan hubungan diplomatik tetapi juga menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan sektor pelancongan.

Selain itu, Shaoheng melihat peluang kerjasama yang cerah antara Malaysia dan China dalam bidang teknologi, terutamanya Kecerdasan Buatan (AI). 

"Dengan minat China yang semakin meningkat dalam teknologi canggih, Malaysia berpotensi untuk membangunkan penyelesaian AI inovatif yang boleh menarik pelaburan China," jelasnya.

Kerjasama sedemikian, katanya, boleh membuka jalan bagi hubungan dua hala yang lebih kukuh dan manfaat bersama bagi kedua-dua negara.

Kesimpulannya, berdasarkan pengalaman Shaoheng yang positif mengenai Malaysia, mencerminkan hubungan Malaysia dan China yang semakin berkembang, dengan peluang untuk terus bekerjasama dalam pelbagai sektor, termasuk pelancongan dan teknologi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan