DUNIA > BERITA

MAJLIS KESELAMATAN PBB LULUS RESOLUSI SOKONG CADANGAN GENCATAN SENJATA AS DI GAZA

11/06/2024 01:07 PM

HAMILTON (Kanada), 11 Jun (Bernama-Anadolu) -- Majlis Keselamatan PBB (UNSC) pada Isnin meluluskan resolusi yang menyokong cadangan gencatan senjata Gaza yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden.

Resolusi yang digubal oleh AS itu disokong 14 daripada 15 negara anggota UNSC dengan Rusia mengambil pendirian berkecuali.

Resolusi yang diluluskan itu menekankan usaha diplomatik yang diketuai oleh Mesir, AS dan Qatar, serta mengalu-alukan cadangan tiga fasa Biden yang dibentangkan pada akhir Mei, menurut Agensi Anadolu.

Ia turut menyatakan bahawa Israel telah menerima cadangan Biden dan menyeru Hamas untuk melakukan perkara yang sama dan melaksanakannya.

Selepas undian, Wakil Tetap AS ke PBB Linda Thomas-Greenfield mengalu-alukan penerimaan resolusi itu dan menyeru Hamas untuk menerima perjanjian itu bagi menamatkan konflik.

"Majlis ini dan negara-negara di seluruh rantau ini di dunia telah menyokong perjanjian ini," katanya.

Thomas-Greenfield berkata perjanjian gencatan senjata akan "membuka jalan ke arah penamatan konflik yang berpanjangan dan masa depan yang lebih baik untuk semua," sambil menambah komitmen kepada penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin.

Pada 31 Mei, Biden berkata bahawa Israel membentangkan perjanjian tiga fasa yang akan menamatkan konflik di Gaza dan memastikan pembebasan tawanan yang ditahan di wilayah pantai itu. 

Rancangan itu termasuk gencatan senjata, pertukaran tawanan-tahanan, dan pembinaan semula Gaza.

Sebagai sebahagian daripada rangka resolusi, fasa pertama mencadangkan "gencatan senjata segera, penuh dan lengkap, pembebasan tawanan, termasuk wanita, warga emas dan yang cedera, pemulangan mayat beberapa tawanan yang telah terbunuh, pertukaran tahanan Palestin, pengunduran tentera Israel dari kawasan berpenghuni di Gaza, kepulangan penduduk Palestin ke rumah dan kawasan kejiranan mereka di semua kawasan Gaza, termasuk di utara enklaf.

Fasa pertama turut melibatkan pengagihan bantuan kemanusiaan yang selamat dan berkesan secara besar-besaran ke seluruh Semenanjung Gaza kepada semua rakyat Palestin yang memerlukannya, termasuk unit perumahan yang dihantar oleh masyarakat antarabangsa.

Fasa kedua termasuk pembebasan semua tawanan yang masih ada di Gaza sambil menghentikan konflik secara kekal dan "pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza.

Bagi fasa ketiga, resolusi itu mencadangkan pelan pembinaan semula jangka panjang untuk Gaza dimulakan, dengan pemulangan mayat tebusan yang telah meninggal dunia.

Israel meneruskan serangan kejamnya ke atas Gaza, membunuh lebih daripada 36,700 rakyat Palestin sejak 7 Okt lepas, kebanyakan mereka wanita dan kanak-kanak dan mencederakan lebih 83,500 yang lain, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan