DUNIA > BERITA

KEMBOJA, WHO JANJI TINGKATKAN KERJASAMA DALAM KESIHATAN AWAM

23/06/2024 06:35 PM

PHNOM PENH, 23 Jun (Bernama-Xinhua) -- Kemboja dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berjanji untuk mempertingkatkan lagi kerjasama dalam kesihatan awam, kata Kementerian Luar Kemboja dalam satu kenyataan akhbar pada Ahad, lapor Xinhua.

Komitmen itu dibuat semasa mesyuarat antara Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Kemboja Sok Chenda Sophea, dan Pengarah Serantau WHO bagi Pasifik Barat, Saia Ma'u Piukala, di sini pada Jumaat.

Chenda Sophea memuji usaha WHO untuk memajukan kesihatan global dan menyatakan penghargaan mendalam atas sokongan dan sumbangan berterusan kepada kesihatan awam Kemboja, menurut kenyataan itu.

Beliau berkata tumpuan Kemboja adalah untuk memperbaiki sistem perlindungan kesihatan sosial, memperkukuhkan kapasiti perkhidmatan perubatan utama di pusat kesihatan dan hospital rujukan daerah, serta meningkatkan kualiti perkhidmatan, katanya.

"Dalam hubungan ini, beliau menyatakan komitmen Kemboja untuk terus mempertingkatkan kerjasama dengan WHO bagi meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Kemboja," kata kementerian itu.

Piukala pula berkata beliau berharap dapat meneruskan kerjasama yang kukuh, sambil menegaskan bahawa WHO bersedia memberikan sokongan kepada Kemboja berdasarkan keperluan dan konteks negara ini, menurut kementerian itu.

Piukala juga memaklumkan Chenda Sophea mengenai kemajuan Strategi Kerjasama Negara Kemboja-WHO 2024-2028, yang kini berada di peringkat akhir draf.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan